KUANTAN, 21 Okt [9.32 am] - Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob (foto), digesa bertanggungjawab dan menjalankan siasatan yang telus terhadap isu penyalahgunaan dan penyelewengan yang melibatkan kenderaan Kerajaan Negeri Pahang seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara baru-baru ini. Menurut laporan, dalam perbezaan satu minit saja, sebuah kereta milik kerajaan negeri Pahang direkodkan mengisi minyak bernilai lebih RM100 sebanyak dua kali di sebuah stesen minyak yang sama di negeri itu. Ini adalah penyalahgunaan kad inden bagi perolehan bahan api untuk kenderaan kerajaan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang diedarkan di sini hari ini mengenai aktiviti jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri Pahang 2008. Laporan itu berkata semakan audit terhadap Laporan Butiran Belian Bahan Api yang dikeluarkan oleh pihak pembekal pada tahun lepas mendapati sebanyak 24 kes pengisian bahan api dalam tempoh kurang dari lima minit melibatkan lima buah kenderaan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang. Kereta-kereta terbabit dikenalpasti sebagai Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah membuat sebanyak 18 kes pengisian bahan api dalam tempoh masa yang singkat dengan jumlah kos sebanyak RM4,177, katanya. Contohnya pada 14 Dis lepas, kereta tersebut telah mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Raub, Pahang pada pukul 12.14 tengah hari sebanyak 59.47 liter yang bernilai RM113 dan seminit kemudian pada 12.15 tengah hari kereta yang sama mengisi sebanyak 58.95 liter minyak yang bernilai RM112 di stesen yang sama.Pada 19 Dis perkara yang sama berlaku di stesen minyak yang sama pada pukul 6.35 petang dan 6.36 petang dengan jumlah pengisian sebanyak 125 liter bernilai RM225, dan perkara yang sama dilakukan pada 23 Dis, 24 Dis, 26 Dis dan 31 Dis, dan pada 24 Dis pengisian minyak dilakukan di sebuah stesen minyak di Kuantan, katanya dan menambah jumlah keseluruhan kos adalah RM1,349.95. Laporan audit itu berkata perkara yang sama juga dilakukan terhadap Proton Perdana CBB37 dan Proton Perdana CBR1993, iaitu sebanyak dua kali yang memakan belanja lebih RM300 setiap buah, dan sekali bagi Proton Perdana CBD1003 dan Proton Perdana CBD23 yang melibatkan kos antara RM200 dan RM100. Selain itu terdapat juga perolehan bahan api yang meragukan oleh kenderaan Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah mengisi minyak pada 14 Ogos 2008 di sebuah stesen minyak di Bentong, dengan kuantiti pengisian sebanyak 1 liter dengan kos RM117, dan kes dan tempat yang sama pada 26 Ogos dengan kos RM128.30, pada 7 Sept dengan kos RM119, pada 14 Nov dengan kos RM90 dan pada 27 Nov dengan kos RM120, katanya. Kesemua lima pengisian itu merekodkan pengisian sebanyak 5 liter dengan jumlah kos bahan api sejumlah RM574.53 dan ini menunjukkan terdapat pembelian yang meragukan dan tiada penyemakan dilakukan sebelum pembayaran dibuat, katanya. Selain itu, tindakan susulan terhadap perkara ini masih belum diambil oleh pihak yang bertanggungjawab, dan akibatnya Pejabat SUK telah menanggung kos penggunaan bahan api yang tinggi, katanya.
Laporan itu berkata pihak pejabat SUK memaklumkan bahawa perkara yang dibangkitkan akan diselesaikan melalui kerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan negeri Pahang iaitu memeriksa sistem perolehan bahan api yang digunakan oleh setiap pembekal bahan api yang terlibat. Jabatan Audit Negara turut mendapati perolehan bahan api yang melebihi tangki kenderaan, selain penggunaan kad inden terhadap kereta yang telah lama dilupuskan. Selain itu, kos penyenggaraan kenderaan yang tinggi contohnya penyenggaraan empat buah Proton Perdana V6 Executive di pejabat SUK antara 2004 dan 2008 adalah tinggi berbanding dengan kos perolehan kenderaan tersebut. Contohnya, kos penyelenggaran Perdana V6 yang bernombor pendaftaran CBL100 yang dibeli dengan kos RM117,062 untuk dari 2005 hingga 2008 berjumlah RM171,888, dan bagi kereta bernombor pendaftaran CBN31 pula adalah RM192,743 dari tahun 2004 hingga 2008, katanya. Laporan itu berkata maklum balas dari pejabat SUK, kereta-kereta itu digunakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan kos penyenggaraan yang tinggi adalah disebabkan kerosakan kotak gear (gear box) dan juga kemalangan.
[Sesuatu yang cukup memalukan rakyat Pahang sebenarnya. Kes ini jelas sekali membuktikan betapa lemahnya pentadbiran kerajaan negeri Pahang untuk menjaga harta dan wang rakyat daripada dirompak sesuka hati oleh mereka yang berkuasa. Amatlah malang buat rakyat negeri ini, kerana kes sebegini pun gagal untuk ditangani. Apa yang dikesali ialah sikap acuh tidak acuh pihak terbabit untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga hak dan kepentingan rakyat. Sebelum ini telah banyak isu penyelewengan yang melibatkan kerajaan Negeri Pahang. Namun, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara ini membuktikan segalanya. Apa yang berlaku ini jelas membuktikan kepada kita bahawa ada pihak-pihak tertentu yang menggunakan wang rakyat untuk mengisi minyak kenderaan rasmi dan peribadi masing-masing. Ini berlaku di mana-mana sebenarnya dan tidak perlu mereka pertikaikan lagi].
Mudahnya Bekas Exco Beri Penjelasan Isu CBD88
KUANTAN, 21 Okt [10.20 am] - Sementara itu Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Pahang, Datuk Kan Tong Leong yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran CBD 88 telah tampil semalam untuk memberi penjelasan berhubung laporan Ketua Audit Negara 2008 mengenai penyelewengan penggunaan bahan api berlebihan. Menurut beliau, dia tidak lagi menggunakan kereta Proton Perdana milik kerajaan negeri sejak 2003 selepas tidak lagi menjadi Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (Exco). "Kereta Proton Perdana itu adalah kereta rasmi yang disediakan kerajaan negeri kepada Exco untuk menjalankan tugas rasmi. "Bagaimanapun, saya tidak lagi menggunakan kereta itu selepas tidak menjadi Exco pada tahun 2003," katanya. Namun, kata beliau, nombor pendaftaran berkenaan terus diberikan kepadanya untuk digunakan. Katanya, beliau difahamkan bahawa kereta terbabit sudah dilupuskan. "Saya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan dan kenalan bertanyakan mengenai laporan ini yang disiarkan akhbar kerana ramai yang tahu saya guna nombor (pendaftaran) ini," katanya. Kan berkata kekeliruan itu berlaku kerana kad inden yang didaftar pada kereta CBD 88 digunakan salah seorang ahli exco pada masa ini tetapi maklumat berkaitan kenderaan yang digunakan tidak dikemaskini. Menurut Laporan Ketua Audit Negara, terdapat penyelewengan penggunaan bahan api yang berlebihan dalam tempoh masa yang singkat oleh kenderaan kerajaan negeri Pahang. Laporan itu menyatakan kenderaan yang didapati mengisi bahan api secara tidak munasabah adalah kereta Proton Perdana nombor pendaftaran CBD 88 yang dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh sebulan pada Disember 2008. Semakan audit juga mendapati pengisian sebanyak 743.39 liter berjumlah RM1,350 itu dilakukan dalam tempoh yang singkat yang meragukan.[Bekas Exco atau sesiapa sahaja pemimpin UMNO dan BN akan mengelak daripada sebarang pertuduhan. Inilah yang berlaku sebelum ini, di Selangor misalnya segala pertuduhan yang dibuat terhadap bekas MB Khir Toyo biarpun siap dengan bukti pasti akan dinafikan serta dikatakan sebagai fitnah. Walhal, senatero dunia tahu kekoborokan kerajaan UMNO BN terdahulu. Inilah juga yang berlaku kepada bekas exco Pahang terhadap isu berkenaan, mereka mudah akan menafikan segala yang telah dibuktikan. Untung benar menjadi pemimpin UMNO dan BN, kerana mereka bebas daripada segala pertuduhan biarpun kes telah dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPM). Negara ini seolah-olah sudah menjadi puak-puak UMNO BN yang punya agaknya].












4 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:
Biasa la beb, curi minyak ni bukan orang bawahan saja. Orang VVIP pun celok minyak juga. Pasai tu bila minyak naik harga depa tak kecoh pun. Depa isi 2 kereta sekali, 1 kereta rasmi, 1 lagi kereta bini. Memang BN ni taik minyak...
Minyak ni kecik punya hal, Balak 20k ekar jual kat Upaya Padu RM100/- satu ekar pun tak ada apa apa tindakan. Tapi bukan kah itu KEPIMPINAN MELALUI TELADAN.
tu la namanya gajah depan mata tak nampak, nyamuk seberang sungai boleh nampak.. dulu, kini dan selamanya ditipu..
PDO cita pasal pahang je.. yang dekat penang tanak citer ke?
Post a Comment