Tanah Adat Di Rampas Kroni BN Di Batang Ai
LUBOK ANTU - Isu tanah adat menjadi agenda utama dalam kempen calon KeADILan di pilihnraya kecil N29 Batang Ai, Jawah Gerang (foto) bagi menentang calon Barisan Nasional Malcolm Mussen . Tanah adat telah menjadi isu utama apabila Kerajaan Barisan Nasional telah merampas tanah hak kepunyaan individu dan memperdayakan mereka dengan alasan Kerajaan BN mahukan tanah berkenan untuk pembangunan dan tidak perlu di beri sebarang pampasan kepada tuan tanah. Menurut Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Sarawak Rahmat Aidil Latif, rampasan tanah yang berleluasa dengan sewenang-wenangnya oleh pegawai kerajaan BN telah memaksa orang-orang Iban di pendalaman untuk menyerahkan tanah berkenaan kepada kerajaan atas alasan pembangunan. “Namun apa yang terjadi sebenarnya adalah tanah berkenaan telah diagihkan kepada kroni-kroni BN untuk tanaman kelapa sawit dan sebagainya,” kata Rahmat.
“Ada rumah panjang telah dirobohkan dan penghuninya di halau begitu sahaja tanpa sebarang pampasan sehingga ada yang menyatakan bahawa kehidupan pendatang haram lebih baik di Sarawak berbanding dengan kaum Iban yang asalnya dari sini,” tambah beliau. Rahmat berkata, kemarahan kaum Iban disini amat jelas kerana penindasan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan dengan menafikan hak tanah adat yang selama ini dipertahankan dari satu generasi ke satu generasi oleh kaum Iban ini. “Mereka tinggal jauh di pendalaman, segala kemudahan asas seperi jalan raya, bekalan air bersih dan letrik jauh sekali untuk dinikmati walaupun tapak projek mega hidro-letrik tidak jauh dari sini,” jelas Rahmat. “Jawah dilihat sebagai pejuang kaum Iban kerana berasal diri Lubok Antu dan pernah menjadi Adun selama lima tahun. Beliau begita popular di kalangan rakyat Lubok Antu berbanding Mossen yang jarang sekali pulang ke Lubok Antu,” kata Rahmat.
Krisis Perak: Lebih 1,600 Ahli BN Masuk PKR
TAIPING [7.15 pm] - Seramai lebih 1,600 orang ahli komponan Barisan Nasional, termasuk UMNO, Gerakan, MCA dan MIC, di kawasan Bukit Gantang telah menyertai KeADILan sejak berlaku krisis perlembagaan dan rampasan kuasa Umno /BN terhadap kerajaan Perak yang sah dari Pakatan Rakyat pada Februari lalu. Pengerusi Perhubungan KeADILan Osman Abd. Rahman (foto) berkata, mereka ini memasuki KeADILan kerana tidak puas hati dan tidak bersetuju dengan tindakan UMNO/BN yang merampas kerajaan Perak secara tidak bermarwah. Dalam satu majlis penyerahan borang di bilik Gerakan Induk, Jalan Simpang, Taiping, semalam, Osman berkata, KeADILan juga sudah menerima lebih daripada 1,000 borang keahlian di kawasan Bukit Gantang dan berjanji akan mengundi dan memberi sokongan padu kepada calon Pakatan Rakyat Mohammad Nizar. “Semua mereka dengan rela hati menyertai KeADILan kerana sudah hilang kepercayaan kepada BN yang gagal membela rakyat golongan miskin,” katanya dalam sidang media di Pejabat KeADILan di sini semalam.
Sementara itu Osman berkata, KeADILan telah membuka empat bilik gerakan iaitu DUN Changkat Jering, bertempat di premis di hadapan Sekolah Kebangsaan Simpang, Dun Kuala Sepetang, iaitu jalan menghala ke Matang, Pekan Terong dan Bilik Gerakan Induk di Jalan Simpang. Katanya, pilihanraya kecil P 59 Bukit Gantang adalah amat penting dan kemenangan calon Pakatan Rakyat, Nizar dari Pas adalah memberi mesej kepada BN bahawa tindakan mereka merampas kerajaan Perak yang dikuasai Pakatan Rakyat adalah satu perbuatan tidak bermarwah. “Rakyat mahu Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan dan diadakan pilihan raya bagi menentukan kerajaan pilihan rakyat yang sebenarnya,” katanya. Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pengarah Pilihan Raya Negeri PKR Ismail Yusop, dan Ketua Penerangan PKR Perak, Zulkifli Ibrahim.
[Nampaknya isu keluar masuk parti semakin dihangatkan lagi menjelang detik pengundian pilihanraya kecil tiga serangkai 7 April ini. Masing-masing mahu menunjukkan kononnya parti mereka mendapat sokongan tanpa berbelah bagi dari rakyat. Namun mereka harus tahu bahawa kemasukan disaat genting seperti ini adalah penuh makna dan tipu muslihat sebenarnya. Justeru itu, berhati-hati dengan keluar masuk ahli agar tidak terjerat satu hari nanti hendaknya].
Mahathir Masuk Semula UMNO Yakinkan Rakyat?
KOTA BAHARU [6.45 pm] - Keyakinan rakyat kepada UMNO dan kerajaan akan kembali kukuh sekiranya mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menyertai UMNO, kata anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali (foto). Ibrahim berkata Dr.Mahathir mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap suasana politik negara dan ia mampu menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan yang semakin menurun sebelum ini. “Pengaruh Tun Mahathir bukan sahaja mampu menarik bangsa Melayu menyokong semula Umno tetapi turut memberikan keyakinan kepada bukan Melayu untuk menyokong kerajaan,” katanya selepas majlis pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena ulang tahun ke 59 Keputeraan Sultan Kelantan di Istana Balai Besar di sini hari ini. Ibrahim mengulas pengumuman Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini akan menyertai semula UMNO pada satu tarikh sesuai. Katanya pengaruh Dr Mahathir itu bukan sahaja mempunyai erti yang sangat besar kepada rakyat negara ini tetapi juga turut diakui oleh masyarakat antarabangsa dan sebab itu UMNO perlu menerima pandangannya jika pemimpin itu kembali ke dalam UMNO.
[Nampaknya kemungkinan besar juga Ibrahim Ali turut akan masuk UMNO jika Mahathir berbuat demikian. Ini kerana di zaman Mahathir beliau dapat merasa jawatan menteri suatu ketika dulu. Lantaran itulah bila Anwar dipecat dari UMNO, beliaulah antara ahli MT yang lantang mengutuk Anwar ketika itu. Maka itulah juga kini beliau begitu bangga untuk mengutuk pembangkang biarpun menang di Pasir Mas atas tiket PAS. Apakah benar bila Mahathir masuk UMNO rakyat akan percaya kepada pemimpin mereka yang rasuah itu?. Walhal Mahathir kini sebenarnya sudah tidak lagi relevan dalam politik alaf baru].
Pemuda MCA Pahang Sokong Khairy Jamaluddin
BERA (3.52 pm) - Pemuda MCA Pahang berikrar memberikan kerjasama serta sokongan padu kepada Ketua Pemuda UMNO yang baru Khairy Jamaluddin dalam memperkasakan pergerakan pemuda Barisan Nasional (BN). Ketuanya Wong Yoke Loong (foto) berkata Pemuda MCA Pahang sedia bekerjasama bagi melaksanakan tanggungjawab serta peranan yang boleh dimanfaatkan oleh pergerakan pemuda kedua-dua parti dalam pembangunan negara. “Pemuda MCA berharap lebih banyak kegiatan akan dapat diadakan di peringkat akar umbi bagi kedua-dua parti dalam usaha untuk menarik golongan muda menyertai BN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Wong berkata beliau yakin Khairy yang mempunyai banyak pengalaman serta idea boleh merangka pelbagai kegiatan untuk memperkasakan pemuda sekaligus membawa lebih ramai golongan muda menyertai parti itu di masa depan. Katanya Pemuda MCA sendiri akan mengadakan lebih banyak kegiatan bercorak kemasyarakatan untuk menarik golongan muda menyertai parti itu.
[Biarpun ada pihak-pihak yang mencemuh dan mengkritik kemenangan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baru, namun nampaknya Pemuda MCA Pahang tiba-tiba menjadi juara untuk menyokong beliau. Apakah sokongan ini benar-benar ikhlas atau sebagai retorik politik semata-mata. Tambahan pula Khairy dilihat sebagai penyambung legasi Pak Lah dalam UMNO. Apapun tahniah kita ucapkan kepada Saudara Suffian Awang wakil Pemuda UMNO Pahang yang mendapat undi tertinggi untuk pemilihan jawatan exco pemuda parti itu baru-baru ini].