Aminah Dakwa Di Ugut Kerana Pendedahan
BUKIT MERTAJAM: Calon Bebas, Aminah Abdullah (foto) mengakui beliau menerima beberapa ugutan melalui telefon daripada pihak yang tidak dikenali ekoran pendedahan berhubung bukti beliau ditawarkan ganjaran daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti. Aminah berkata melalui panggilan telefon tersebut beliau menerima cacian dan kata-kata kesat yang meminta supaya menarik balik kenyataan dan pendedahan yang dibuatnya sebelum ini. "Kak Min (Aminah) ada menerima satu, dua panggilan ugutan...biasalah, tak perlu layan," katanya dalam sidang media di Simpang Tiga Kubang Ulu hari ini. Isnin lalu Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama dua wakil PKR iaitu seorang Pegawai Khas kepada Exco Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang dan seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Jelas Aminah panggilan berbaur ugutan tersebut dibuat oleh seorang lelaki yang tidak di kenali. "Lelaki itu telefon dan maki hamun, kalau berani telefonlah menggunakan telefon yang boleh Kak Min hubungi semula. "Ini dia guna telefon awam...pengecut," katanya. Ditanya sama ada pihak polis memberi perlindungan kepada beliau dan keluarga selepas membuat laporan berhubung keselamatannya, Aminah berkata: "Ada...polis ada datang."
[Nampaknya calon bebas Aminah Abdullah kini, bukannya berkempen untuk bertemu rakyat bagi memenangi pilihanraya kecil DUN Penanti itu, tetapi beliau masih tercari-cari rentak "songsang" dan cuba untuk memenangi pilihanraya ini berlandaskan ehsan parti komponen BN iaitu SPR sendiri, melalui jalan belakang sebenarnya].
Isteri Keliru Status Akhil Hayy Dengan Waheeda
PETALING JAYA [10.33 am] -Pendedahan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, iaitu Maizawati Zainal yang mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi itu nampaknya semakin 'panas' apatah lagi bila Maizawati dilihat semakin 'berani' mengeluarkan kenyataan kepada media tentang masalah yang melanda rumahtangganya itu sehingga dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Akhil. Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda. Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media. Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan kes perceraiannya itu akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.
[Apa sudah jadi dengan "Ustaz Rock" ini sebenarnya?. Sebelum ini PDO juga ada mendedahkan yang beliau dan Waheeda memang sudah berkahwin di sebuah masjid di Johor Bahru. Majlid yang dibuat secara sederhana itu, langsung tidak mengundang wartawan media. Malah hubungan Akhil dengan Waheeda menjadi semakin intim selepas itu sebenarnya. Ramai yang marah dengan pendedahan kami tentang skandal mereka, namun sekarang sudah terbukti yang petanda ke arah itu semakin dekat sebenarnya. Memang Akhil Hayy sudah mula "lupa diri" selepas kembali mengecapi dunia "glamour" sebagai artis di Astro].
SPR Umum Pilihanraya Manek Urai Hari Ini
PETALING JAYA [10.30 am] - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pagi ini menentukan tarikh pilihan kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan. SPR akan mengumumkan tarikh menjelang tengah hari ini. Kerusi berkenaan kosong berikutan kematian Ismail Yaacob Jumaat lalu. Ismail, 60, daripada PAS memenangi kerusi Manek Urai sejak pilihan raya umum 1985 kecuali pada 2004. Pada pilihan raya umum ke-12, Ismail yang juga Timblan Yang Dipertua PAS Kuala Krai menewaskan Mohamed Zulkifli dari BN dengan majoriti 1,352 undi. DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut terdiri daripada DUN Dabong, Guchil serta Mengkebang.
[Pilihanraya kecil akan kembali meriah di Manek Urai bilamana BN awal-awal lagi sudah mengumumkan akan meletakkan calon mereka untuk bertanding di sana nanti. Selamat berjuaang buat semua, semoga kemenangan akan memartabatkan Islam dan keadilan di Bumi Kelantan Darul Naim dalam pilihanraya kecil kali ini].
Sukan, Barcelona Singkir Manchester United
ROME [6.30 am] -
Barcelona menyingkirkan
Manchester United sebagai juara Eropah dengan kemenangan bergaya
2-0 pada final
Liga Juara-Juara di
Stadio Olimpico pagi tadi. Penyerang
Samuel Eto membuka jaringan pada minit ke-10 apabila beliau memotong
Nemanja Vidic dari sebelah kanan dan menolak bola rendah melepasi penjaga gol United,
Edwin van der Sar.
Xavi meledakkan tendangan percuma ke tiang gol pada permulaan separuh masa kedua sebelum
Lionel Messi memastikan kemenangan dengan tandukan cantik hasil hantaran Xavi pada minit ke-70.Kemenangan itu adalah yang ketiga untuk Barcelona dalam persaingan kelab perdana Eropah selepas kejuaraan pada 1992 dan 2006 dan melengkapkan tiga kejayaan musim ini selepas menjuarai
La Liga dan King’s Cup. Sementara itu, Pengurus Manchester United,
Alex Ferguson, tidak menawarkan sebarang alasan, sebaliknya berkata Barcelona layak memenangi perlawanan pagi tadi. Juara Sepanyol itu menang mudah 2-0 ke atas United yang tercari-cari rentak permainan selepas permulaan baik di awal permainan.
“Saya rasa gol pertama adalah pembunuhnya, kami bermula dengan baik tetapi menjadi gementar selepas itu. “Kami mempunyai banyak masa dan peluang di separuh masa kedua tetapi kami ditewaskan pasukan yang lebih baik," katanya. Pertahanan tengah United,
Rio Ferdinand, pula berkata pasukannya tidak mempamerkan permainan terbaik mereka.
“Saya tidak fikir seorang pun daripada kami di luasr sana yang boleh mengatakan kami bermain dengan baik," katanya.
[Di Malaysia sebenarnya lebih ramai peminat Manchester daripada Barcelona. Maka ramailah dikalangan mereka yang merungut kekecewaan didepan TV pagi tadi, akibat teruja melihat Barcelona memperbudak-budakkan pemain Man U. Malah juara Liga Inggeris itu dilihat gagal beraksi dengan baik terutamanya setelah Barcalona berjaya menjaringkan gol pada minit-minit awal babak pertama. Kita sangka tahap permainan EPL lebih tinggi, rupanya kelab dari Sepanyol itu lebih hebat rupanya. Terkenang kembali kehebatan Sepanyol pada zaman Salahuddin Al-Ayubi dulu, sedih kini negara itu bukan lagi negara Islam].
Polis Berjaya Bebaskan Tiga Tahanan Along
SUBANG [4.15 am] - Polis menyelamatkan tiga lelaki mangsa sindiket along yang dirantai dan dikurung secara kejam dalam dua
"lokap" yang dibina sendiri di tingkat bawah sebuah rumah kedai empat tingkat di
Jalan PBS 14/2, Serdang Raya, di sini, petang tadi. Seorang daripada
"banduan" along itu ditahan sejak dua bulan lalu, seorang lebih sebulan manakala seorang lagi kira-kira 10 hari. Ketiga-tiga mangsa diikat dengan rantai balak pada leher, tangan dan kaki. Semua mangsa dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing di
Kajang, Gombak dan Segamat, Johor. Setiap mangsa hanya diberi sebuku roti untuk sajian selama seminggu, manakala air minuman dari paip tandas yang dibina khusus untuk lokap berkenaan. Mereka ditemui dalam keadaan lemah, ada kesan lebam dan luka akibat dirotan di beberapa bahagian badan. Semua mangsa dibawa ke
Hospital Serdang untuk rawatan. Ketua Polis Daerah Gombak,
Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata serbuan dilakukan dua jam susulan penahanan dua ahli sindiket along di hadapan sebuah bank di
Desa Jaya, Kepong, kira-kira jam 11 pagi. Katanya, suspek berusia 30 dan 33 tahun itu dipercayai baru selesai menjalankan urus niaga berkaitan pinjaman.
"Polis yang dibawa ke premis terbabit, menemui sebuah bilik kecil di bahagian belakang dan menemui ketiga-tiga mangsa dalam dua buah lokap berasingan. "Kita percaya suspek mengambil kesempatan menggunakan kekerasan luar biasa berikutan hutang mangsa di antara RM1,500 dan RM4,000," katanya petang semalam. Kes itu disiasat mengikut
Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana membuat kurungan secara salah dan
Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.
Ngeri, Inilah dia lokasi dan wajah-wajah tahanan along terbabit [Tahniah diucapkan kepada anggota polis yang terbabit dalam kes ini. Namun begitu sepatutnya polis juga perlu berusaha membenteras punca kes ini iaitu along. Pihak polis boleh menyamar sebagai orang awam untuk membuat pinjaman daripada along terbabit, dan sesudah segala urusan selesai maka mereka boleh menangkap ceti haram itu dengan mudah sebenarnya. Tetapi kenapa ini tidak dilakukan oleh pihak polis. Anggota Cawangan Khas boleh digunakan untuk tujuan penyamaran itu sebenarnya. Namun, mereka lebih banyak digunakan untuk memantau ceramah pembangkang daripada membuat kerja kes jenayah seperti ini].
Laporan Polis Di Buat Terhadap MB Selangor
KUALA LUMPUR [3.43 am] - Seorang peniaga hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berikutan kenyataannya menyokong tindakan pihak tertentu mengadakan perhimpunan haram di negara ini.
Azwanddin Hamzah (foto), 36, dari Ampang, dekat sini, membuat laporan itu di
Balai Polis Dang Wangi di sini kira-kira jam 4.30 petang tadi. Katanya, beliau rasa terpanggil untuk membuat
laporan polis itu kerana percaya perhimpunan haram boleh menjejaskan ketenteraman awam.
"Bagi saya perhimpunan haram ini salah dan sebagai sebuah negara berbilang kaum, kita harus menjaga keharmonian negara. "Saya sebagai orang awam rasa tergugat dan risau jika ada pemimpin besar yang mengemukakan kenyataan sebegitu kerana ia akan mempengaruhi pemikiran rakyat terutama golong muda," katanya. Baru-baru ini, sebuah
akhbar melaporkan kenyataan Abdul Khalid bahawa kerajaan Selangor menyokong tindakan pihak tertentu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan perhimpunan haram di negara ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi,
ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman, mengesahkan laporan itu.
[Nampanknya Saudara Azwanddin benar-benar mencari "publisiti murahan" sebenarnya. Beliau yang pernah bersama Parti KeAdilan pada tahun 1999 dan memegang jawatan Ketua Pemuda KeAdilan Wilayah Persekutuan dan Exco Pemuda KeAdilan Malaysia. Kemudian menyertai UMNO pada 2008 bersama-sama Ezam Mohd Nor kini sudah terpinggir dari arus politik negara. Mungkin cara ini sahaja membolehkan sahamnya naik dan dia akan popular semula agaknya].