Pahang Daily Online | Suara Keadilan Untuk Rakyat | Peole's Justice Voice (PJV) | Suara Rakyat Suara Keramat

Thursday, December 31, 2009

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber Media

Kerajaan Naikkan Harga Gula 20 Sen Mulai Esok

PUTRAJAYA, 31 Dis [7.32 pm] : Kerajaan akan menaikkan harga gula di seluruh negara sebanyak 20 sen mulai esok, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Md Zain Md Dom, sebentar tadi. Ketika ini, harga gula di pasaran tempatan adalah RM1.45 sekilogram. Kenaikan itu menjadikan harga gula di Semenanjung bermula 12 tengah malam ini, RM1.65 sekilogram manakala RM1.75 bagi Sabah dan Sarawak.

[Inikah dia bukti apa yang dilaung-laungkan oleh PM Najib selama ini bahawa "rakyat diutamakan" agaknya?. Ternyata kenyataan tersebut hanyalah omongan kosong belaka, sebaliknya tembolok pengeluar dan pemborong yang sudah kaya-raya itu yang didahulukan. Rakyat akhirnya terpaksa menanggung derita akibat kenaikan ini, kerana gula merupakan antara keperluan utama dalam kehidupan setiap keluarga. Naiknya gula akan menyebabkan banyak barangan lain terutamanya makanan pastinya akan naik harga selepas ini. Rakyat marhaen juga yang tertipu akhirnya].

Felda Holdings Nafi Tuduhan Salah Guna Kuasa

KUALA LUMPUR, 31 Dis [5.40 pm] - Felda Holdings Bhd menafikan tuduhan 1Malaysia Graduates Youth Club, berhubung penyalahgunaan kuasa dalam penganugerahan kontrak oleh anak syarikatnya. "Felda Holdings ingin menyatakan bahawa ia mempunyai prosedur pemerolehan dan proses audit yang kukuh. "Tiada penyalahgunaan kuasa mengenai kontrak yang diberikan seperti yang dikatakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 1Malaysia Graduates Youth Club berkata, dalam satu memorandum 50 muka surat yang dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Perdana Menteri, Isnin lalu, bahawa empat ahli Lembaga Pengarah Felda Holdings menyalahgunakan kuasa mereka. Setiausaha Agungnya, Ezaruddin Abd Rahman, juga menggesa satu penyiasatan diadakan untuk memastikan sama ada anak syarikat Felda Holdings boleh memberikan tender bernilai RM160 juta kepada satu kontraktor tunggal menerusi rundingan terus. Beliau dilaporkan berkata, rundingan terus adalah bertentangan dengan tatacara tender Felda yang menyatakan tender terbuka harus ditawarkan untuk kontrak melebihi RM50,000."Oleh kerana perkara ini sudah dilaporkan kepada SPRM, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada apa-apa penyiasatan supaya orang ramai mengetahui perkara sebenar" kata Felda Holdings.

[Sebelum ini, memang sudah banyak pembongkaran yang kami buat tentang Felda Holdings ini sebenarnya. Masalahnya Felda berada dibawah naungan PM Najib Razak. Makanya, mana-mana kroni yang rapat dengan beliau dijadikan eksekutif dalam Felda yang menyebabkan banyak penyelewengan terus berlaku dari masa ke semasa. Malah, Felda era Najib dilihat begitu teruk dan rosak jika mahu dibandingkan dengan era Tun Razak itu senditi. Kita tidak hairan dengan laporan yang dibuat kepada SPRM itu, kerana mana mungkin kroni-kroni dan puak-puak UMNO BN ini mahu didakwa atas segala kesalahan yang telah nyata itu agaknya !!].

Wednesday, December 30, 2009

Eksklusif: Langkah SPRM Mahu Bala Tampil Beri Keterangan Di Malaysia Merupakan Satu Strategi Menggagalkan Proses Keadilan Buat Altantunya !

Seperti yang sudah dijangkakan, akhirnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdolak dalih dan terus memberi alasan dangkal untuk menggagalkan usaha pembongkaran rahsia sebenar disebalik kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantunya Shariibuu. Senario ini menjelaskan lagi kepada kita bahawa SPRM terpaksa akur dengan arahan pihak atasan agar tidak menyiasat hatta mendakwa pihak-pihak yang dikatakan terlibat dalam kes ini sebenarnya. Terdahulu penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam (foto) telah mendedahkan bahawa beliau diugut supaya meninggalkan Malaysia dan ditawarkan rasuah sehingga mencecah RM5 juta ringgit oleh pihak yang ada kaitan dengan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. Dalam pendedahan videonya baru-baru ini, Bala mendedahkan nama-nama seperti Deepak, Nazim Razak (adik Najib) dan Rosmah Mansor (isteri Najib) yang dipercayai terlibat dan ada kaitan dengan kes sogokan dan ugutan terhadap beliau. Semua itu dilakukan bagi membolehkan beliau menafikan Najib mempunyai hubungan sulit dengan Altantunya. Bala adalah penyiasat persendirian yang diupah Razak Baginda pada tahun 2006 untuk membayangi Altantuya ketika warga Mongolia itu berada di Malaysia. Razak, kenalan rapat Najib, dituduh bersubahat dengan dua pegawai polis membunuh Altantuya. Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh mahkamah. Amatlah tidak wajar bagi Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull yang berkata Bala perlu tampil memberi kenyataan kepada badan itu berhubung dakwaan pembabitan keluarga Perdana Menteri Najib Razak berhubung kes pembunuhan Altantuya.
Kenyataan itu membayangkan bahawa Bala harus hadir ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan. Soalnya sekarang, apakah wajar Bala yang keselamatannya belum tentu terjamin itu tampil memberi keterangan di pejabat SPRM? Sedangkan kita sedia maklum bahawa kes kematian Teoh Beng Hock masih belum terjawab sehingga ke hari ini?. Dalam keadaan situasi politik yang sebegini, segalanya berkemungkinan boleh berlaku. Adengan dalam filem Hindustan boleh dijadikan pengajaran buat kita. Paparan saksi yang didera atau terbunuh sebelum memberi keterangan sering kali kita lihat. Malah, ada yang berlaku saksi dibunuh semasa dibawa ke balai polis oleh pembunuh upahan yang dilantik oleh pihak tertentu. Bukankah ini juga boleh berlaku kepada Bala sebenarnya. Jika beliau tampil memberi keterangan, segalanya mungkin akan terjadi. Oleh itu memadailah tindakan Bala yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan SPRM dalam hal ini. Beliau hanya meletakkan syarat mahukan soal siasat itu dijalankan di luar negara kerana bimbangkan keselamatannya jika kembali ke Malaysia. Soalnya, kenapa SPRM tidak mahu menerima kesediaan Bala ini, dan masih memberi berbagai alasan untuk menolak segala keterangan Bala sebenarnya. Amat tidak munasabah dalam keadaan nyawanya terancam, Bala mahu ke Malaysia untuk memberi keterangan. Bukankah ini membahayakan dirinya. Maka, adalah lebih wajar pegawai SPRM bertemu dengan beliau dan mendapatkan keteranganya di luar negara iaitu satu kawasan yang berkecuali. Itupun jika SPRM benar-benar telus dan jujur untuk menyiasat perkara ini. Jika tidak, ternyata pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sengaja mahu menggagalkan usaha Bala untuk mendedahkan rahsia sebenarnya kes pembunuhan itu.
[SPRM sepatutnya bertindak cepat dalam hal-hal yang memalukan negara seperti ini. Jika SPRm terus mengikut telunjuk pemerintah yang sedang berkuasa ini, maka rakyat akhirnya tidak akan percaya lagi dengan ketelusan badan itu sebenarnya. Tindakan memberi alasan kepada Balasubramaniam ini jelas sekali satu skrip baru untuk mencari kebenaran buat Altantunya. Akhirnya semua yang terlibat terlepas dan bebas seperti Razak Baginda. Begitu juga dengan dua tertuduh iaitu Sirul dan Azilah, hingga kini rakyat tidak tahu dimanakah mereka dan apakah hukuman gantung telah dijatuhkan terhadap mereka. Malah, yang lebih pelik lagi benarkah mereka digantung atau sekadar boneka sahaja?. Mungkinkah mereka keluar ikut jalan belakang dan kini bersenang lenang dengan habuan dan kemewahan. Semua ini bermain difikiran rakyat selagi kes Altantunya tidak ditangani dengan betul oleh kerajaan UMNO dan BN].

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber Media

Bekas Presiden Indonesia, Gus Dur Meninggal

JAKARTA, 30 Dis [7.00 pm] - Bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid (foto), atau lebih dikenali sebagai Gus Dur meninggal dunia jam 6.45 petang tadi (waktu Indonesia). Beliau dilaporkan menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Cipto Mangunkusumo, di sini. Allahyarham akibat mengalami komplikasi angin ahmar, kencing manis dan jantung yang dihadapinya. Bekas Presiden keempat Indonesia berusia 69 tahun itu meninggal dunia di Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM), di sini dan menerima rawatan sejak 26 Disember lalu. "Dengan ini kami beritahukan bahawa Gus Dur telah meninggal dunia pada Rabu, 30 Disember jam 18.45 (6.45 petang)," kata Dr Jusuf Misbach, Pasukan Doktor Perubatan Presiden di RSCM, Jakarta Pusat. Jusuf berkata Gus Dur dirawat sejak 26 Disember lalu dan keadaannya menunjukkan stabil. "Namun pada hari ini, jam 11.30 pagi, kondisinya kembali buruk dengan komplikasi penyakit angin ahmar, diabetes dan jantung dan jam 6.15 petang kondisinya kritikal. "Tepat jam 18.45 (6.45 petang) beliau meninggal," katanya. Adik kandung Abdurrahman, KH Sholahudin Wahid kemudian turut mengesahkan Abdurrahman sudah meninggal dunia. "Saya mendapat khabar beliau meninggal jam 6.45 petang," katanya.

[PDO mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga dan rakyat Indonesia diatas pemergiaan Bapak Gus Dur. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh serta mendapat keberkatan dariNya. Gus Dur meninggal pada usia 69 tahun, namun ada bekas pemimpin utama negara yang masih terus diberi ruang oleh Allah untuk hidup, bertaubat dan kembali ke pangkal jalan biarpun pada usia yang melebihi 80 tahun. Mungkinkah ada hikmah disebalik semua yang terjadi ini gamaknya. Sama-samalah kita renung dan fikirkan]

Pakatan Rakyat Tolak Penamaan Calon Tiga Hari

KUALA LUMPUR, 30 Dis [5.20 pm] - Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanjangkan proses penamaan calon dari satu hari kepada tiga hari disifatkan sebagai tidak munasabah dan membuang masa. Naib Presiden Pas Salehuddin Ayob (foto), menggesa SPR untuk tidak menghabiskan sumber meminda Penjalanan Pilihanraya 1981 bagi tujuan tersebut, sebaliknya merencana usaha memastikan keamanan sepanjang proses pilihanraya. Jelasnya, Pakatan Rakyat menggesa satu peraturan khusus dirangka berhubung penyediaan tempat perhimpunan para penyokong calon pada hari penamaan. “Mengarut dan tidak masuk akal kerana tidak pernah berlaku sebelum ini kejadian-kejadian hingga menyebabkan ketegangan di antara kedua-dua parti. Tetapi yang berlaku hanyalah perlu ada satu peraturan untuk memberikan tempat yang sesuai untuk penyokong-penyokong parti politik berhimpun pada hari penamaan calon. Bukan sampai tiga hari kerana ini hanya akan membuang masa, mengarut dan tidak masuk akal," katanya. Pemimpin Pas itu mendesak SPR supaya melihat semula tuntutan Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih supaya undi pos dihapuskan, memperkenalkan dakwat khas, ketelusan perbelanjaan pilihanraya, kebebasan bersuara dan penyalahgunaan jentera kerajaan. “Sebenarnya tidak ada perkara yang kecoh di Malaysia. Yang penting adalah tempat yang sesuai untuk berhimpun, demokrasi disuburkan, berikan hak yang sama, kemudian kawalan di peringkat keselamatan ditingkatkan. Itu akan dapat membendung kejadian-kejadian yang tidak diingini," katanya.

[Terkadang, sebagai rakyat kita agak hairan dengan cara kerja Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) ini. Mereka gemar melaksanakan agenda yang merosakkan kepercayaan rakyat terhadap badan itu. Alasan untuk memanjangkan tempoh hari pencalonan kepada tiga hari sememangnya satu tindakan bangang dan amat memalukan sebenarnya. Provokasi yang berlaku semasa hari pencalonan kebanyakkannya adalah dilakukan oleh puak-puak UMNO dan BN sendiri. Misalnya, ada pemimpin UMNO yang sengaja lalu ikut jalan yang dikhaskan kepada Pakatan Rakyat supaya mereka dimaki hamun dan diherdik. Kamera pula akan merakamkan aksi itu, kononnya ia membuktikan tindakan ganas penyokong pembangkang. Walhal, pihak polis sepatutnya mengarahkan pemimpin terbabit masuk ke lokasi pencalonan melalui jalan yang dikhaskan kepada BN. Kenapa mereka sengaja melanggar arahan? Itulah trik sebenarnya agar rakyat melihat penyokong Pakatan Rakyat ganas dan bertindak liar terhadap mereka].


Polis London Diminta Untuk Jejaki Raja Petra

KUALA LUMPUR, 30 Dis [4.20 pm] - Polis percaya pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, yang sudah dikenakan waran tangkap, masih bersembunyi di London dan usaha sedang dibuat untuk mengesannya. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (foto), berkata beliau sudah meminta bantuan pihak polis di London untuk mengesan Raja Petra. "Hasil risikan, polis percaya dia masih bersembunyi di London dan dengan itu saya sudah meminta bantuan pihak berkuasa di sana untuk mengesan Raja Petra," katanya di sini, hari ini. Beliau berkata, Raja Petra dikehendaki pulang ke negara ini bagi membuktikan dirinya tidak bersalah. "Kalau rasa diri tidak bersalah Raja Petra perlu tampil bersihkan nama, kenapa perlu bersembunyi? Dia perlu balik ke sini," katanya. Mengulas permohonan perintah ekstradisi terhadap Raja Petra, Musa berkata, permohonan itu mengambil tempoh yang lama sebelum Raja Petra dapat dibawa pulang ke negara ini melalui cara itu. "Sepatutnya tidak perlu perintah (ekstradisi) ini. Dia sendiri perlu serah diri," kata Musa. Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor melalui laman webnya. Akhbar tempatan melaporkan dia kini menetap di London.

[Kenapa kerajaan begitu sukar untuk menjejaki Raja Petra?. Walhal mereka boleh menggunakan Interpol dan lain-lain agensi berkaitan untuk melihat ke mana Raja Petra pergi selepas meninggalkan Malaysia. Tetapi kenapa ini tidak berlaku?. Mungkin kerana jika Raja Petra dibawa ke muka pengadilan maka banyak lagi rahsia besar kes Altantunya akan didedahkan menerusi perbicaraan di mahkamah sebenarnya. Ini juga berlaku kepada Helmi dalam kes bogel Elizabeth Wong dulu. Helmi dipercayai berada selesa di rumahnya dekat Ampang Selangor. Namun, kerajaan mengatakan beliau berada di Batam Indonesia dan sukar dijejaki. Apakah munasabah alasan ini agaknya?. Ternyata mereka tidak mahu mendakwa Helmi, kerana banyak rahsia besar tentang siapa perancang utama skandal itu bakal didedahkan termasuklah mantan MB Selangor itu sebenarnya].

Monday, December 28, 2009

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber Media

Peserta Perhimpunan Bukannya Ahli Parti PAS

KOTA BHARU, 28 Dis [5.30 pm] - PAS berkata tidak ada ahlinya yang terbabit dalam perhimpunan mendesak parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat yang diadakan di hadapan Pejabat Perhubungan PAS Selangor, semalam. Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto), berkata siasatan awal mendapati mereka yang terbabit bukanlah ahli Pas. "Jika benar mereka ahli PAS sudah tentu mereka akan diheret kepada jawatankuasa disiplin parti tetapi kita sudah menyiasat termasuk jurucakapnya dan didapati mereka bukan ahli kita," katanya selepas Majlis Ijtimak Ulamak Muda Negeri Kelantan hari ini. Pada perhimpunan itu, kumpulan terbabit turut mengemukakan 13 perkara dalam memorandum untuk mendesak parti itu keluar daripada pakatan itu. Jurucakap kumpulan yang menamakan diri mereka Badan Bertindak Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi PAS, Wan Hilman Wan Ibrahim, berkata tindakan itu diambil kerana mereka mahukan PAS terus kekal sebagai parti politik yang tidak perlu bersekutu dengan PKR dan DAP. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, pula berkata perhimpunan itu sebenarnya sengaja diadakan untuk memburukkan imej PAS. Katanya, ahli PAS tidak akan mengadakan perhimpunan seperti itu kerana mereka sudah masak dengan keadaan politik.

[Inilah dia kerja-kerja puak-puak UMNO dan BN sebenarnya. Mereka mengadakan demo tetapi mengatakan ia dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Banyak kes yang berlaku seperti ini sebenarnya. Maka, tidak hairanlah kita melihat peserta demo menganggat sepanduk lebih tinggi dari muka mereka. Mungkin dek kerana malu dengan wajah mereka yang bakal disiarkan dalam media dan mereka pula bukanlah ahli parti PAS agaknya. Terkadang lucu benar kita melihat adengan seperti ini. Ternyata mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat mereka itu. Nampak benar, mereka sudah kehilangan idea dalam tindakan].

Kes Liwat, Permohonan Munawar Anees Ditolak

PUTRAJAYA, 28 Dis [3.45 pm] - Dr Munawar Ahmad Anees (foto), bekas penulis ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gagal dalam cubaannya supaya dipadamkan sebahagian daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat membabitkan dirinya. Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Raus Md Sharif, sebulat suara bersetuju menolak permohonan supaya diadakan semakan semula bagi membenarkan rayuannya bertarikh 17 Disember 2008 terhadap pensabitan dan hukuman penjara enam bulan berhubung kes liwat itu. Munawar dan peguamnya, Manjeet Singh Dhillon tidak hadir di mahkamah hari ini manakala Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud, adalah satu-satunya pihak yang hadir. Ketika membacakan penghakiman 15 muka surat, Hakim Raus berkata, mahkamah mendapati perenggan 20 hingga 26 dalam penghakiman sebelum ini bukanlah sesuatu yang direka. "Adalah jelas bahawa apa yang dinyatakan oleh mahkamah ini dalam perenggan 20 hingga 26 ada kaitan dengan sesuatu yang dihujah oleh semua pihak. Oleh itu, tidak ada apa salahnya bagi mahkamah ini untuk memberikan pendapatnya berhubung persoalan yang dibentangkan," kata Hakim Raus.

[Terkadang malu melihat permainan ini. Langsung tidak munasabah seorang manusia seperti Muanawar Anees ini menjadi habuan Anwar Ibrahim. Jika beliau seorang anak muda dan masih bergetah, mungkin boleh masuk dek akal sebenarnya. Inilah yang dikatakan takdir buat seorang pemimpin yang dicemburui oleh rakyat serta musuh-musuh politiknya. Adengan liwat ini telah menjatuhkan imej negara di mata dunia. Hingga menyebabkan seorang ulamak terkenal seperti Yusoff Al-Qardawi pun mahu kes ini ditangani dengan dengan berlandaskan Islam yang sebenarnya, dan bukan Islam ala Malaysia yang banyak menyimpang].

Empat Tentera Dituduh Rogol Gadis Bawah Umur


SEREMBAN, 28 Dis [2.45 pm] - Empat anggota tentera hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh merogol seorang gadis bawah umur berusia 16 tahun pada 14 Disember lalu. Nor Effendi Mohd Yusof, 22; Muhammad Khairi Mohd Rashid, 22; Ismail Darus, 20 dan Mohammad Shahrul Md Noor, 27, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Amran Jantan. Ia didakwa berlaku di sebuah kereta di kawasan kebun pisang dekat Masjid Kampung Teluk Pelandok, Pasir Panjang, Port Dickson, antara jam 2.10 pagi dan 2.40 pagi. Nor Effendi menghadapi dua pertuduhan iaitu rogol dan samun, Ismail dan Muhammad Khairi pula dikenakan satu pertuduhan rogol, dan Mohamad Shahrul dikenakan dua pertuduhan rogol. Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan So Phon dan mereka semua tidak diwakili peguam. Keempat tertuduh dikenakan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin. Kes akan disebut semula pada 29 Januari tahun depan.

[Sungguh menjijikan apabila melihat adengan seperti ini. Ternyata ada dikalangan tentera di negara kita yang mempunyai tahap displin yang amat mencurgikan. Mereka yang diharapkan membela dan menjaga keselamatan negara serta rakyat Malaysia, tetapi mereka pula yang menggunakan kesempatan untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Apakah mereka terpengaruh dengan tabiat pemimpin atasan yang melakukan adengan ini secara diam-diam agaknya. Atau inilah yang dikatakan kepimpinan melalui tauladan yang dilaung-laungkan oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional selama ini agaknya].

Cyberita: Aura Si Tok Guru, Bekas Model Sambilan Kartika Saridewi Mengadakan Pertemuan Dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat !!

KOTA BHARU, 28 Dis [11.32 am] - Bekas model sambilan, Kartika Saridewi Shukarnor (foto), yang pernah mencetus polemik berhubung hukuman sebat atas kesalahan minum arak telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam. Beliau bersama anggota keluarga dan rombongan dari Pusat Pendidikan Al Baroqah, Manjor, Ipoh mengunjungi Mursyidul Am PAS itu di kediaman rasminya di JKR 10 di sini Turut bersama anak bongsunya, Kaitlynn Saridewi yang berusia lima tahun. Kartika ketika ditemui menyatakan beliau sudah lama menyimpan hasrat menemui Nik Aziz. Sebelum ini Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman ke atasnya pada 20 Julai lalu selepas beliau mengaku bersalah minum arak. Hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 dikenakan. Bagaimanapun hukuman sebatan tersebut masih ditangguh sehingga sekarang biar pun Kartika bertegas mahu menjalani hukuman tersebut. Bagaimanapun banyak pihak merayu hukuman ke atasnya dikaji semula atas alasan bertentangan dengan hak asasi manusia.

Kartika dan rombongan bergambar kenangan dengan Nik Aziz

Hadir sama pada pertemuan tersebut ialah anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Wan Ubaidah Omar serta Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof.

Sunday, December 27, 2009

Edisi Pahang: Sukan Berbasikal Moonsun Ride'09 Di Agro Resort Semuji Berjaya Menarik Perhatian Ramai Peserta Dari Dalam Serta Luar Negara !!

KUANTAN, 27 Dis [5.22 pm] - Satu acara sukan berbasikal telah diadakan di Agro Resort Semuji, dekat Gambang di sini. Program Moonsun Ride 2009 yang berbentuk Sport Tourism itu telah dianjurkan oleh sebuah syarikat swasta iaitu Arineen Event Management. Ia berjaya menarik penyertaan hampir 500 orang peserta dari dalam dan luar negara. Krew kami bersama beberapa orang wartawan media arus perdana termasuk Astro Awani sempat merakamkan detik-detik acara tersebut, sejak dari awal pagi lagi. Peserta dikehendaki berbasikal sejauh lebih kurang 40 km merentasi kawasan hutan sambil menikmati pemandangan yang cukup menakjubkan. Biarpun terpaksa berlumpur sepanjang perjalananan, namun majoriti peserta berjaya menghabiskan acara tersebut termasuk Exco Pelancungan, Warisan, Kebudayaan dan Hal Ehwal Wanita Pahang iaitu Dato' Shafik Fauzan (foto). Beliau antara tetamu kehormat yang berjaya membuat kayuhan basikal montainbike dari awal hingga ke garisan penamat. Kegigihan Dato' Shafik amatlah dikagumi oleh ramai pihak, kerana semangatnya yang kuat untuk berkayuh hingga ke akhir garisan. Tidak ramai pemimpin politik yang sanggup melakukan seperti beliau sebenarnya. Kebanyakan yang dapat kita lihat, hanya membuat gimik perlepasan kemudian berpatah balik selepas peserta beredar. Kegigihan Dato' Shafik amatlah dikagumi oleh orang ramai yang menyaksikan acara itu. Peserta dilepaskan sekitar jam 9.00 pagi dan dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk lebuhraya. Acara berakhir sekitar jam 5.00 petang selepas cabutan bertuah di adakan, di mana tiga buah basikal sumbang Ah Sun Motors Kuantan telah dimenangi oleh peserta terbabit. Kami ucapkan tahiah kepada semua peserta yang terlibat, dan berharap acara seperti ini dapat diadakan dari masa ke semasa kerana ia mengeratkan sillaturrahim sesama rakyat.

[Difahamkan kejohanan Montainbike akan datang bakal di adakan di bandar sejarah Sg.Lembing pada 19 hingga 21 Mac 2010 oleh penganjur yang sama. Turut hadir pada acara tersebut ialah Dato' Hj.Abd Hadi Ibrahim (Presiden Persatuan Berbasikal Pahang), Tn.Hj Idrus (Majlis Tindakan Pelancongan Pahang) dan Cik Salmah (Pengurus Agro Resort Semuji). Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta yang menjayakan acara ini. Sukan adalah satu elemen khas yang boleh membawa kebaikan kepada semua pihak tanpa membezakan agama dan fahaman politik kepartian masing-masing. Terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi mengundang dan memberi ruang kepada krew kami untuk sama-sama hadir serta membuat liputan sukan berbasikal itu].

Saturday, December 26, 2009

Edisi Pahang: Suara Keadilan Versi Cina Dilancar

KUANTAN, 26 Dis [3.45 pm] - Majlis pelancaran rasmi akhbar Suara Keadilan versi Bahasa Cina (Ghong Zeng Bao) telah diadakan di Pasar Pagi, Taman Angkasa dekat sini. Majlis yang bermula sekitar jam 9.00 pagi itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail. Turut hadir ialah Tn. Syed Mohamad Tn Lonik (ADUN Beserah), Kamarul Hatta (Timbalan Ketua AMK Pahang) sertai lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat dari PKR, PAS dan DAP. Majlis pelancaran Ranting Parti Keadilan Rakyat Air Putih turut diadakan serentak.

Azan sampaikan ucapan lancar Suara Keadilan Versi Cina pagi tadi

Gimik pelancaran, orang ramai juga tertarik dengan akhbar tersebut

Antara pimpinan Pakatan Rakyat Indera Mahkota yang turut hadir

[Dengan terlancarnya akhbar Suara Keadilan versi bahasa Cina ini, ia diharap akan menjadi pemangkin untuk memberikan maklumat yang lebih tepat dan telus kepada masyarakat kaum Cina di kawasan ini. Sokongan rakyat terutamanya kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat telah dicemburui oleh puak-puak UMNO dengan memberikan berbagai alasan yang tidak masuk dek akal. Antaranya mengatakan Pakatan Rakyat ingin menjual negara kepada orang Cina, dan macam-macam lagi. Mereka menggunakan isu ketuanan Melayu sebagai asas perjuangan, walhal mereka lupa bahawa UMNO adalah parti yang telah banyak menjual negara ini sebenarnya. Malahan mereka juga bersahabat dengan kaum Cina seperti MCA dan Gerakan. Terkadang mereka lupa apa yang telah mereka lakukan].

Edisi Pahang: Mazlan Aliman Dedahkan Akta GSA Digunakan Oleh Felda Dan Kerajaan UMNO Untuk Mengugut Serta Menindas Masyarakat Peneroka !!

KUANTAN, 26 Dis [12.45 am] - Akta GSA yang diperkenalkan oleh Felda semenjak tahun 1960 dulu dipercayai menjadi alat kepada kerajaan UMNO BN untuk mengongkong kebebasan para peneroka sebenarnya. Akta itu jelas merupaka satu agenda jahat mereka untuk menjadikan rakyat sebagai "kuli batak" biarpun mereka telah memperolehi geran hak milik tanah masing-masing. Kenyataan itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman (foto), dalam ceramahnya di Felda Sg.Panching Selatan malam tadi. Biarpun kehadiran para peneroka agak kurang memberansangkan, namun ia sudah menjadi lumrah dalam setiap ceramahnya sebelum ini. "Peneroka takut untuk hadir mendengar ceramah saya kerana ditekan oleh pihak pengurusan Felda. Malah, mereka juga risau akan dipantau oleh pegawai dan pengurus Felda jika hadir. Hanya yang berani sahaja akan duduk dengar di depan dan yang kurang berani akan duduk jauh-jauh" katanya. Sementara itu, Mazlan turut menegaskan bahawa Felda kini telah jauh menyeleweng dan tersasar dari matlamatnya. Peneroka terus dibelenggu dan ditipu mungkin sampai bila-bila jika senario ini tidak diubah. "Banyak kes-kes seperti peneroka yang mahu tanam semula tidak melalui Felda, diugut dengan berbagai tindakan oleh pihak Felda. Pengurus dan pegawai dijadikan senjata untuk mereka memeras kudrat peneroka. Hasilnya, ramai peneroka yang memberontak dan cuba untuk melawan. Namun mereka tidak mendapat pembelaan kerana bergerak secara sendirian. Lantaran itulah ANAK ditubuhkan bagi membela nasib dan masa depan mereka" tegas Mazlan.

Peneroka katanya perlu bertindah mempertahankan hak mereka, bukan sahaja mengikut telunjuk Felda dengan membabi buta. Banyak tindakan seperti tanaman semula yang dilakukan oleh Felda Techno Plant, jelas sekali menipu peneroka apabila mengenakan caj yang terlalu tinggi daripada kadar harga yang sepatutnya. "Bayangkan, untuk bayaran membaja sahaja Techno Plant mengenakan caj sehingga mencecah RM8,000. Itu belun termasuk caj-caj tersembunyi yang lain lagi" tambahnya. Mazlan turut menegaskan, masalah lain yang perlu diberi perhatian serius ialah masalah generasi kedua Felda yang seolah-olah terus dipinggirkan sekarang ini. "Felda Plantations perlu dimansuhkan dan tanah rancangan terbabit perlu diserahkan semula kepada generasi kedua untuk diusahakan. Jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pentadbiran negara semua ini akan dilakukan segera. Lebih 70,000 peneroka baru yang terdiri dari kalangan generasi kedua akan mendapata tempat jika ini dilaksanakan" katanya. Disamping itu Mazlan turut menempelak kewujudan Gabungan Persatuan Wanita (GPW) di tanah-tanah rancangan Felda sekarang ini. Menurutnya, GPW banyak memecah belahkan masyarakat dan keluarga peneroka itu sendiri. Mereka melaksanakan agenda kerajaan untuk memaksa para peneroka terus menjadi hamba kepada Felda "Banyak program anjuran GPW lebih banyak membawa kerosakan akhlak sebenarnya, program seperti poco-poco yang mengajak isteri peneroka bergalak, berjoget atas nama riadah jelas sekali terpesong daripada ajaran Islam. Adalah lebih elok isteri peneroka diajar mendekati Al-Quran daripada terkinja-kinja tidak tentu pasal" katanya. Sementara itu beliau turut mengatakan bahawa ANAK akan mendesak Felda supaya memberi ruang jawatan-jawatan utama dalam agensi itu kepada anak-anak peneroka Felda sendiri.

"Lihat saja, Tan Sri Yusof Noor (foto). Beliau bukan anak Felda tetapi telah dilantik sebagai Pengerusi sedangkan beliau tidak tahu apa-apa tentang kehidupan masyarakat peneroka Felda itu sendiri. Orang seperti Yusof Noor yang pernah dikaitkan dengan kehilangan wang Baitulmal itu kini dipilih pula sebagai Tokoh Maal Hijrah baru-baru ini. Bukankah ini sukar diterima sebenarnya" kata Mazlan. Diakhir ceramahnya, Mazlan turut mendedahkan bahawa ramai pemimpin UMNO dikalangan peneroka Felda kini mula percaya dengan kewujudan ANAK. Malah mereka sudah jemu mengharapkan bantuan daripada parti itu sendiri yang ternyata gagal membela malah mengutamakan masalah yang dihadapi oleh para peneroka. Mereka lebih seronok berpolitik daripada membela rakyat sebenarnya. Banyak juga permasalah peneroka yang terdiri dari kalangan orang UMNO telah berjaya dibawa ketengah dan diselesaikan. Ia membuka ruang kepada mereka untuk memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat selepas ini. Rakyat terutamanya generasi kedua Felda diseru membuat perubahan dan menyakinkan ibu bapa mereka tentang perkara ini. Jika tidak mereka akan terus menjadi hamba kepada Felda buat selama-lamanya, biarpun sudah memiliki hak terhadap 10 ekar tanah yang diusahakan selama ini. Generasi muda tidak boleh terlalu takut dalam mempertahankan hak masing-masing sebenarnya.

[Ceramah Mazlan Aliman malam tadi turut disertai oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dan dihadiri oleh Ketua PKR Cabang Paya Besar (Tn Hj.Zahari), Timbalan Ketua AMK Pahang (Kamarul Hatta) serta lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat. Diakhir ceramah, Mazlan turut menyatakan akan melancarkan buku terbarunya berkaitan Felda yang lebih panas tahun depan. Beliau turut mempromosikan bukunya "Felda, Dulu Tolong Kini Along" kepada orang ramai. Di Pahang, jika Pakatan Rakyat gagal menembusi kawasan Felda maka harapan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini dilihat agak sukar. Justeru itu, langkah drastik perlu dilakukan bagi menyakinkan masyarakat Felda supaya terjaga dari lamunan dan membuat perubahan dalam pilihanraya umum akan datang. Pastikan Pakatan menang dalam pilihanraya akan datang jika mereka mahu melalui masa depan yang lebih adil dan terjamin].

Cyberita: Sepuluh Penumpang Maut Dan Tiga Lagi Tercedera Akibat Kemalangan Bas Sani Ekpress Di KM272.8 Lebuhraya Utara Selatan Awal Pagi Tadi!

IPOH, 26 Dis [11.35 am] - Sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express (foto), terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini. Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak, berkata 12 mangsa itu adalah penumpang di tingkat bawah bas itu dalam kejadian pukul 1 pagi itu. "Dua pemandu bas itu dan 36 lagi penumpang selamat," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Mereka yang terbunuh adalah Shaharin Mohd Nor, 61, dan isterinya Supiah Adam, 46, dari Taman Setia, Klang, Selangor; Musa @ Ismail Abdullah, 64, dari Gurun, Kedah; Mohd Shukri Mohd Ali, 22, dari Sungai Besar, Selangor dan Noor Jismi Noordin, 25, dari Kangar, Perlis. Mohd Bilal Osman, 22, dari Sungai Besar, Selangor; dua beradik Ng Kah Kit, 14, dan Ng Poh Ngoh, 23, dari Alor Setar, Kedah, Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21, dan adiknya Sharifah Hasanah, 15, dari Sungai Petani, Kedah. Katanya, penumpang yang cedera parah dikenali Md Razip Fadzir, 43, seorang anggota tentera manakala penumpang yang cedera ringan ialah Siti Munira Hashim, 30, dari Langgar, Kedah. Katanya, Md Razip kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini manakala mayat mangsa yang maut juga dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat. "Siti Munira pula menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama akibat kecederaan di muka," katanya. Beliau berkata, bas ekspres itu berlepas dari Klang, Selangor pada 9 malam tadi menuju ke Kangar dan membawa 48 penumpang.

"Di tempat kejadian, bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudiannya melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti,"
katanya. Beliau berkata, besi daripada pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (rempuhan di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan penumpang berkenaan. Wan Abdullah berkata, pemandu bas ketika kemalangan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Difahamkan pemandu yang ditahan itu baru sahaja mengambil giliran memandu selepas bas itu berhenti di Hentian Sebelah, Simpang Pulai dekat sini sebelum kejadian. Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum kemalangan tersebut. "Bas dipandu dalam keadaaan tidak stabil, terhoyong-hayang ke kiri...kanan sebelum kejadian," dakwa penjawat awam itu yang duduk di bahagian depan di tingkat atas bas berkenaan. Pada 13 Ogos 2007, seramai 20 orang terbunuh, manakala sembilan yang lain cedera, dua daripadanya parah, apabila sebuah bas ekspres terbabas sebelum terjunam ke dalam sebuah parit di KM229 Lebuh Raya Utara-Selatan di Bukit Gantang dekat Taiping.

[Seperti biasa, bila berlaku kemalangan maut yang melibatkan bas ekspress seperti ini maka mulalah kerajaan akan mengeluarkan berbagai arahan. Malah kementerian pengangkutan juga akan membuat pemantauan yang cukup rapi terhadap pemandu dan bas ekspress itu sendiri. Namun selepas beberapa ketika, ianya menjadi seperti "hangat-hangat tahi ayam" dan sekadar "melepaskan batuk ditangga" semata-mata. Akhirnya penumpang terus menjadi mangsa pemandu-pemandu yang tidak berdisplin seperti ini. Nyawa melayang begitu sahaja, kerana kesilapan syarikat bas memilih pemandu yang benar-benar berwibawa dan bertanggungjawab. Bila ada pemandu yang mengantuk pun tetapi masih terus membawa bas, akhirnya beginilah jadinya. Kerajaan pula perlu bertindak konsisten dalam setiap peratturan yang dijalankan agar tiada lagi kejadian seperti ini berlaku pada masa hadapan. Salam takziah buat keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu].

Friday, December 25, 2009

Edisi Pahang: ADUN Chenor Cakap Tidak Serupa Bikin, Bila Tergamak Bina Mahligai Istana Ketika Masih Ada Rakyat Hidup Menderita Dan Sengsara

KUANTAN, 25 Dis [9.00 am] - Rakyat negeri ini tidak terkejut dengan pendedahan yang telah dibuat oleh mantan Timbalan Menteri Besar Pahang, Dato' Tan Mohd Aminuddin Ishak (foto) perihal ada pemimpin politik negeri yang menggunakan kuasa dan kedudukan mereka untuk meneroka dan menceroboh ratusan hektar tanah dengan sesuka hati mereka. Dato' Tan, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Chenor dan Exco kerajaan negeri yang menjaga hal ehwal pertanian dan peneroka Felda itu mendedahkan kegiatan tersebut telah berlaku sejak sekian lama dan semakin serius mutakhir ini. Biarpun beliau tidak menamakan pemimpin UMNO terbabit, namun rakyat setempat sudah boleh meneka siapakah antara mereka yang terlibat. Setakat ini Dato' Tan masih berdiam diri tentang cabaran pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya dari PAS yang mahu supaya beliau mendedahkan nama-nama tersebut atau berhadapan dengan tindakan laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kenyataan beliau itu. Susulan pendedahan beliau itu juga, maka ramailah pemimpin UMNO Pahang terutamanya yang berkedudukan amat khuatir dan gusar sekarang ini. Mereka kecewa dengan kenyataan melulu Dato' Tan itu, sedangkan mereka juga tahu banyak rahsia pemimpin kanan UMNO Bahagian Maran itu sebenarnya. Inilah yang bakal menyebabkan Dato' Tan bakal tersungkur dan dipingggirkan sebagai calon BN selepas ini, semuanya gara-gara beliau cuba menjadi juara di gelanggang sendiri.

Shahaniza dan Ismail, dikatakan ada hubungan keluarga dengannya

Beliau yang sudah beberapa penggal menjadi ADUN itu dikatakan "lupa daratan" oleh pemimpin UMNO apabila mendedahkan kegiatan ini. Ramai dikalangan mereka menganggap Dato' Tan sengaja cuba "menjolok sarang tebuan" kerana rekod perkhidmatan beliau sendiri sejak menjadi wakil rakyat itu amat meragukan. Malahan, Dato' Tan kini dikatakan sedang sibuk membina "istana mahligai air mata rakyat" di kediamannya dekat Chenor yang dipercayai menelan belanja mencecah jutaan ringgit. Malah, ramai juga tahu Dato' Tan telah membina kekayaan untuk dirinya serta saudara mara beliau sejak menjadi pemimpin UMNO di bahagian Maran. Bagi menutup kelemahannya, beliau memasang kroni di merata tempat termasuk ADUN Kuala Sentul, YB Shahaniza Samsuddin yang dipercayai adalah anak saudaranya sendiri. Malahan, Ahli Parlimen Maran YB Ismail Mutalib juga dikatakan mempunyai hubungan keluarga dengan pemimpin terbabit. Pendek kata, Dato' Tan sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan demi menjaga kepentingan politiknya di bahagian Maran itu sebenarnya. Ramai pemimpin UMNO Pahang melihat, pendedahan Dato' Tan itu seperti sengaja "membuka pekung di dada" beliau sendiri. Malah, tindakan membina istana mahligai di saat rakyat di kawasannya sendiri menderita dan sengsara adalah bukti bahawa beliau tidak mengutamakan rakyat, sebaliknya dirinya sendiri sejak sekian lama.
Inilah kediaman rumah ADUN Chenor itu yang sedang dibangunkan
Ini pula rumah rakyat yang terletak tidak jauh dari kediamannya itu
Selain daripada memperkayakan suku sakat dan kroni-kroninya, Dato' Tan juga cukup dikenali sebagai perompak balak secara berhemah di Pahang. Dengan kedudukan beliau selama ini yang memegang portfolio exco pertanian, maka mudahlah baginya untuk memperdayakan rakyat dengan satu strategi licik yang cukup sukar untuk difahami sebenarnya. Hanya rakyat yang bijak dan tidak dibutakan mata dan hati sahaja boleh menilai segalanya. Atas nama projek pertanian seperti penanaman keledek, roselle, jagung dan ladang rakyat maka beliau begitu mudah untuk mengeluarkan beratus-ratus ekar hutan balak di negeri ini. Malah ada juga industri pertanian dalam bidang penternakan yang turut digunakan untuk tujuan tersebut, misalnya dengan memperkenalkan program lembu pawah dan sebagainya. Kebanyakan projek berkenaan hanya sebagai gimik semata-mata, sebaliknya belum apa-apa lagi ratusan ekar kayu balak telah "dirompak secara berhemah" oleh beliau dan kroni-kroninya. Perkara ini memang telah diketahui oleh sebahagian besar rakyat tambahan pula puak-puak UMNO karat. Namun dek kerana kebijakan Dato' Tan menggunakan "politik wang" setiap kali pilihanraya dan musim pemilihan UMNO maka riwayat politiknya terus selamat hingga ke hari ini. Bagi mereka yang tidak mengenali pemimpin ini dengan rapat, pasti akan menganggap beliau adalah pemimpin yang hebat. Namun, bagi yang sudah mengenali dan mendalami kehidupan beliau maka ternyata Dato' Tan adalah seorang yang boros dan suka bermegah-megah. Lantaran itulah kita tidak hairan beliau sanggup membina mahligai istananya, sebagai persediaan dipenghujung kariernya sebagai wakil rakyat DUN Chenor itu. Beliau mungkin tahu bahawa dirinya kemungkinan besar tidak dicalonkan lagi oleh UMNO dalam pilihanraya umum akan datang. Maka itulah, dibina istana sebagai bukti perjuangan membela rakyat yang dilaung-laungkan selama ini. Anehnya, rakyat miskin yang berdekatan dengan rumahnya sendiri langsung tidak terbela selepas begitu lama menjadi wakil rakyat.
[Atas dasar inilah, Dato' Tan Aminuddin tidak perlu mendabik dada seolah-olah beliau bersih dari segala amalan rasuah dan penyelewengan dalam isu rompakan wang rakyat di negeri ini. Rakyat melihat sendiri apa yang dilakukannya, malah kesombongan dan kerakusan pemimpin ini untuk terus berkuasa menyebabkan beliau hampir menumbuk muka Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob ketika melihat namanya tidak dicalonkan dalam pilihanraya umum ke-11 beberapa tahun yang lalu. Inilah sikap beliau sebenarnya yang langsung tidak diketahui oleh rakyat. Malah, beliau pernah menaja ketua-ketua UMNO di Bahagian Maran untuk menunaikan umrah dan ziarah ke timur tengah menjelang pemilihan UMNO bahagian itu beberapa tahun yang lalu. Semua ini adalah bertujuan untuk memancing undi semata-mata. Oleh itu marilah sama-sama kita menolak Dato' Tan dan semua pemimpin UMNO BN yang telah sekian lama merosakkan dan merompak hasil mahsul serta khazanah negeri ini].

Pendedahan Dato' Tan pasal pemimpin UMNO ceroboh beratus hektar tanah di Pahang. Kami akan mendedahkan satu persatu siapakah antara pemimpin terbabit itu, biar pun namanya tidak disebut oleh wakil rakyat terbabit. Oleh itu kepada anda yang mempunyai fail sulit kes berkenaan sila emailkan kepada kami berserta dengan gambar berkenaan untuk didedahkan kepada rakyat. Pertahankan hak kita dan jangan biarkan mereka sewenangnya merompak khazanah rakyat untuk kepentingan peribadi. Pendedahan pertama akan dilakukan terhadap bekas ADUN Kuala Sentul yang kini merupakan exco wanita UMNO pusat iaitu Dato' Rosni Zahari. Beliau dipercayai menggunakan syarikat kroni untuk mengaburi rakyat dengan merompak beratus ekar tanah di daerah Maran. Tunggu pendedahannya dalam masa terdekat ini. Segala fail berkenaan telah pun diperolehi dan menanti masa untuk didedahkan. Pastikan rakyat tahu segala bukti penyelewengan ini demi kepentingan masa depan.

Thursday, December 24, 2009

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber Media

Peguam Teoh Belum Terima Hasil Bedah Siasat

SHAH ALAM, 24 Dis [4.45 pm] - Peguam mewakili keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Doe masih menunggu laporan hasil bedah siasat ke atas mayat mantan Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri itu. Katanya sehingga ke hari ini, pihaknya masih belum menerima apa-apa maklumat berhubung laporan itu. “Tidak ada apa-apa perkembangan lagi, saya masih belum terima laporan itu,” katanya. Gobind berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru inkues kematian Beng Hock. Prosiding inkues bagi menyiasat kes kematian Beng Hock yang sepatutnya didengar di Mahkamah Majistret Shah Alam 17 Disember lalu terpaksa ditangguhkan ke 7 Januari tahun depan. Penangguhan itu dibuat bagi menunggu laporan bedah siasat mayat Beng hock disiapkan oleh pakar patalogi dari Hospital Sungai Buloh. Penangguhan ini merupakan penangguhan kedua selepas Koroner Azmil Munthapa Abas menetapkan 9 Disember lalu sebagai tarikh untuk meneruskan prosiding selepas bedah siasat kali kedua dijalankan. Pada 22 November lalu, sekumpulan pakar patologi di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh yang diketuai Ketua Unit Patologi HSB, Dr Shahidan Md Noor selesai melakukan bedah siasat kali kedua ke atas mayat mendiang yang digali semula sehari sebelum itu. Mayat Teoh dikebumikan semula pada 24 November di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih. Gobind berkata, beliau tidak tahu bila laporan itu dapat dityerima namun berharap pakar patologi dapat menyiapkannya sebelum prosiding diteruskan 7 Januari depan. “Ya kita masih menunggu, saya tidak tahu (bila) tetapi harap sebelum kes pada tarikh yang akan datang,” katanya. Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat 5, Plaza Masalam, pada 16 Julai lalu, beberapa jam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang berpejabat di plaza itu. Bedah siasat kali kedua ke atas mayatnya dibuat setelah Pakar Patalogi dari Thailand, Dr. Pronthip Rojanasunand yang dilantik Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan 80 peratus kemungkinan mendiang telah pun dibunuh.

[Rakyat begitu hairan dan tertanya-tanya, apakah laporan bedah siasat kedua itu memang lambat atau sengaja dilambat-lambatkan bagi mengubah fakta yang telah diperolehi. Kita tidak harus percaya lagi dengan segala apa yang dilakukan oleh pihak terbabit, terbukti mereka mencari jalan untuk mengubah fakta yang ada bagi membuktikan mereka berada di pihak yang benar. Walhal, rakyat sendiri boleh menilai apajah rahsia yang berlaku di sebaliknya. Justeru itu, kami amat yakin laporan ini akan dilengah-lengahkan seolah-olah ada masalah yang berlaku. Pihak doktor pakar yang terlibat juga sudah pasti akan ditekan dengan berbagai ugutan agar melakukan sesuatu untuk menyelamatkan maruah kerajaan. Kiranya mereka tidak mahu berkompromi, sudah pasti tindakan drastik akan dilakukan. Oleh itu, janganlah kita terlalu berharap kes Teoh Beng Hock ini akan mendapat keadilan yang sewajarnya jika tiada campurtangan pihak yang lebih berwibawa. Amalan undang-undang dan kehakiman di negara kita memang sudah tercemar dan tidak layak untuk dipercayai lagi].

Wednesday, December 23, 2009

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber Media

Saman Mahathir, Rayuan Anwar Didengar 1 Mac
PUTRAJAYA, 23 Dis [3.30 pm] - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 1 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak saman fitnahnya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Timbalan Pendaftar, Jumirah Marjuki, menetapkan tarikh itu dalam kamar semasa kes itu didengar hari ini untuk tujuan pengurusan. Dalam permohonan yang dikemukakan pada 20 November lalu, Anwar menyenaraikan tiga isu untuk ditentukan oleh mahkamah, antaranya sama ada Mahkamah Rayuan, dalam keadaan undang-undang terkini yang tidak memihak kepada bantahan bersifat teknikal, boleh terus memutuskan untuk enggan mengguna pakai budi bicara untuk memastikan bahawa kecacatan bersifat teknikal tidak diberi keutamaan ke atas hak-hak substantif Pada 10 Oktober lalu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Malik Ishak, yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, menolak saman Anwar berjumlah RM100 juta dengan alasan bahawa memorandum rayuan yang dikemukakan oleh Anwar dalam bahasa Inggeris adalah satu kecacatan, tidak sah dan menyalah guna proses mahkamah. Sebelum itu pada 4 Julai 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah pun menolak saman itu dengan kos. Anwar telah mendakwa bahawa kenyataan Dr Mahathir yang menganggap beliau seorang homoseksual adalah satu fitnah dan bertujuan menghina beliau.
[Hakim Mahkamah Rayuan yang mempertikaikan memorandum rayuan Anwar dalam Bahasa Inggeris itu sebenarnya adalah antara mereka yang telah diberi watak-watak utama dalam skrip untuk menyelamatkan mantan Perdana Menteri itu sebenarnya. Lantaran itulah kita tidak hairan mereka menggunakan alasan dangkal seperti itu untuk memastikan Mahathir terselamat. Mereka seolah-olah cuba untuk memperbodoh-bodohkan rakyat dan diri mereka sendiri yang kononnya tidak tahu berbahasa Inggeris, sedangkan perbicaraan terdahulu selama ini kebanyakannya mereka menggunakan bahasa tersebut. Semua ini dilakukan hanya untuk mengaburi rakyat agar mempercayai bahawa Mahathir yang betul].

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber Media

Yusuf Qardawi Rujuk Kes Anwar Ke Dunia Islam

PUTRAJAYA, 23 Dis [9.30 am] - Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi berjanji akan membawa isu fitnah liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ke persada antarabangsa untuk diselesaikan secara syarie. Justeru, tokoh Islam terkemuka itu akan menggunakan pengaruh beliau untuk bertemu dengan organisasi Islam antarabangsa dan pemimpin Islam terkenal diseluruh dunia dalam masa terdekat. “Hingga ini kes itu kata syeikh qardawi hendaklah diangkat dengan lebih kuat dan luas seantero dunia supaya datuk seri anwar terbela. “Dari segi syarak dan digerakkan wadah-wadah antarabangsa seperti kesatuan ulama islam sedunia, dan juga untuk di kemukakan dengan lebih luas untuk sama-sama bekerjasama menyelesaikan kes fitnah anwar,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sesi pertemuan khas Yusuf bersama Anwar Ibrahim di Putrajaya, semalam. Menurut Dr Muhammad Nur lagi sekiranya kes qazaf yang difailkan Anwar pada Julai 2008 terus dilengahkan ini akan menjejaskan imej serta martabat Malaysia di mata ummah. Ini kerana keadilan yang ditangguhkan adalah satu bentuk kezaliman, dan seorang Muslim berhak untuk membela diri di muka pengadilan. “Pendirian Syeikh Qardawi begitu tegas, dan hendaklah mengikut prinsip al-quran dan sunnah dengan menggunakan prosedur-prosedur. “Anwar mempunyai hak syarak untuk mempertahankan dirinya bagi menjawab tuduhan fitnah yang tidak berasas ini,katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin berkata Sheikh Al-Qaradawi berasa hairan mengapa pemerintah melengah-lengahkan kes qazaf tersebut. Zulkifli berkata KEADILAN akan menghantar satu delegasi untuk mengadakan perbincangan secepat mungkin dengan Kesatuan Ulama Islam Sedunia untuk membincangkan kemelut Qazaf ini. “Dia juga nasihatkan bawa isu ini ke pringkat pentas antarabangsa, isu ini besar kerana membabitkan orang yang dikenali, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali di pentas antarabangsa sebagai tokoh pejuang Islam, macamana boleh dikenakan pertuduhan sebegitu rupa, sepatutnya tak dilengah-lengahkan,” katanya.

[Inilah akibatnya apabila penguasa undang-undang mengikut telunjuk pemerintah yang zalim untuk terus berkuasa. Jika di mahkamah lain mereka boleh menggunakan berbagai taktik dan strategi untuk memperdaya Anwar dalam kes liwat ini, tapi kini di Mahkamah Syariah mereka harus laksanakan undang-undang yang telag termaktub. Teguran oleh pemimpin ulamak tersohor dunia ini diharap dapat merungkai segala kepalsuan dan menyerlahkan hakikat sebenar kes ini. Sia-sia Malaysia digelar negara Islam, jika kerajaan yang ada sendiri pun takut untuk menggunakan undang-undang tersebut kepada orang Islam yang dituduh. Inilah juga yang berlaku kepada Kartika Sari Dewi yang didapati bersalah kerana meminum arak. Hingga ke hari ini hukuman ke atasnya masih ditangguhkan atas berbagai alasan. Walhal, mereka semua takut berhadapan dengan kenyataan. Jika kes Anwar ini tidak dibicara di Mahkamah Syariah, maka ternyata ia adalah satu konspirasi jahat musuh-musuh politiknya yang terus berusaha untuk menjatuhkan hukuman bersalah kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu].

Tuesday, December 22, 2009

Eksklusif: Kehilangan Enjin Pesawat Pejuang F-5E TUDM, Terbukti Kerajaan UMNO BN Telah Gagal Menjaga Sistem Keselamatan Negara Sebenarnya !

Negara baru sahaja digemparkan dengan kehilangan aset pertahanan negara yang cukup berharga, iaitu sebuah enjin pesawat pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) baru-baru ini. Sungguh mengejutkan bila aset berharga dan terkawal itu boleh hilang. Biar apapun alasan yang diberikan, namun ternyata ia adalah sesuatu yang amat tidak wajar berlaku serta tidak masuk dek akal sama sekali. Tambah menggemparkan bila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa enjin bernilai RM50 juta itu yang dikesan hilang dari Gudang Material Udara 1, Pengkalan Udara Sungai Besi pada 2007 dan didapati telah dijual kepada sebuah syarikat di Amerika Selatan. Malah maklumat terbaru mendedahkan bahawa, bukan satu enjin yang dijual malahan terdapat dua buah. Engin kedua dikatakan hilang juga bersama rekod perkhidmatan dan penyelenggaraannya dari gudang simpanannya di Pangkalan Udara Kuala Lumpur sebaik tiba dari Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth. Ini bermakna dua buah enjin pesawat pejuang negara bernilai RM100 juta telah hilang sebenarnya. Soalnya sekarang, kenapa perkara ini baru diperbesar sedangkan kehilangan tersebut telah disedari pada bulan Mei 2008, kehilangan pertama dipercayai berlaku pada tanggal 26 Jun 2007 dan 1 November 2007 (kedua). Ini bermakna, selepas setahun barulah perkara ini disedari oleh pihak berkuasa tentera di negara ini. Sungguh memalukan melihat senario ini sebenarnya. Masakan, aset berharga jutaan ringgit ini boleh terlepas daripada penjagaan TUDM dengan sewenangnya dan mengambil masa yang lama untuk disedari. Jika diambilkira faktor penghantarannya yang menggunakan kontena dikendalikan oleh sebuah syarikat penyelenggaraan pesawat tentera lantikan kerajaan sendiri, maka amatlah mustahil insiden ini boleh berlaku.

Wajarkah Selepas Setahun Hilang Baru Disedari


Dalam satu kenyataan baru-baru ini, PM Najib Razak juga ada mengatakan bahawa kerajaan tidak akan menyembunyikan tentang kes kehilangan engin pesawat. Namun anehnya, kenapa selepas setahun (Jun 2007) baru kehilangan itu disedari (Mei 2008) selepas enjin berkenaan tidak tiba ke destinasinya?. Soalnya kenapa Ogos 2008 baru laporan polis dibuat? Maknanya setahun kes disedari dan dua bulan baru laporan polis dibuat. Bukankah ini menimbulkan banyak persoalan dan keraguan sebenarnya. Adakah ini caranya pihak Angkatan Tentera Malaysia memantau dan mengawal sistem keselematan atau ketenteraan negara agaknya?. Apakah juga ini bererti perjalanan membawa enjin pesawat pejuang itu, mengambil masa setahun dari Butterworth ke Kuala Lumpur. Sepatutnya, ia harus disedari pada hari yang sama kerana sudah pasti ada pegawai yang berkenaan membuat semakan butir-butir penghantaran dan sebagainya. Amat mustahil ia boleh hilang tanpa disedari. Sedangkan penghantaran bungkusan melalui "pos laju" atau "currier" sekali pun si pengirim dan penerima akan dikehendaki menandatangani pada borang yang berkenaan. Jika tidak diterima dalam masa sekian-sekian, maka sudah pastilah barangan itu akan dipulangkan semula kepada pengirimnya.
Wajarkah selepas setahun dihantar dengan kontena, ia baru disedari ?
Maka, pengirim boleh merujuk kelewatan dan kehilangan barangan tersebut kepada pihak yang menguruskan penghantarannya. Makanya, dalam sekelip mata sahaja kes kehilangan ini dapat disedari. Itu proses biasa yang dilakukan di negara kita. Namun, kenapa bagi aset bernilai jutaan ringgit milik angkatan tentera, proses ini tidak berlaku sama sekali?. Malah, penerima dipercayai tidak memaklumkan penerimaan engin pesawat itu selepas ia dihantar menggunakan kontena dari Butterworth. Bukankah ia amat mustahil bukan?. Jika proses seperti ini pun gagal dipantau oleh pihak terbabit, apatah lagi jika berbagai barangan lain lagi yang diseludup keluar masuk ke negara kita sebenarnya. Dalam hal ini, siapakah yang harus dipersalahkan. Memang benar, pihak kerajaan menukar, menamatkan tempoh perkhidmatan atau mengambil tindakan tegas termasuk memecat mereka yang dipercayai terlibat. Tetapi apakah wajar tindakan itu sahaja dilakukan, sedangkan mereka yang terlibat itu difahamkan telah mendapat imbuhan ratusan juta ringgit yang akan dibahagikan sesama mereka?. Maknanya, biarpun ditamatkan atau dipecat dari perkhidmatan angkatan tentera itu sendiri, kesemua yang terbabit akan hidup mewah dengan wang hasil penjualan haram tersebut.
ISAkan Mereka, Najib Perlu Bertanggungjawab
Satu tindakan tegas perlu diambil termasuk menahan pihak yang berkenaan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ini kerana, ternyata kesemua mereka yang terlibat telah mengkhianati serta membahayakan keselamatan negara dan rakyat Malaysia itu sendiri. Malah, tindakan tersebut jelas menunjukkan mereka telah durhaka dan mengingkari sumpah janji ketika berkhidmat dengan angkatan tentera itu sendiri. Mereka ini adalah "musuh negara" dan wajar dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak kerajaan. Mereka terbukti bersalah dan melakukan perbuatan yang jelas melanggar undang-undang, malah engkar kepada arahan yang terkandung dalam etika kerja mereka sendiri. Jika kerajaan boleh menghumbankan ramai pemimpin Pakatan Rakyat ke dalam ISA hanya kerana satu kesalahan yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan kesalahan ini. Maka, mengapa perlu ada sikap "double standard" dalam satu perkara yang lebih besar seperti ini sebenarnya. Bahkan, kerajaan sendiri mendedahkan bahawa keterlibatan "orang dalam" dikenalpasti menjadi punca aktiviti haram ini berlaku. Apakah cukup dengan hukuman tatatertib dan perbicaraan biasa dalam kes yang cukup besar dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini?. Tindakan kesemua mereka jelas sekali mencemarkan maruah negara, malahan imej Menteri Pertahanan ketika itu iaitu Dato' Seri Najib Razak sendiri. Ia jelas membuktikan bahawa pegawai tentera tidak takut dengan menteri yang menjaga kementerian itu, makanya mereka berani melakukan tindakan ini. Najib perlu bertanggungjawab atas segala yang berlaku. Biarpun beliau merasakan dirinya tidak bersalah, namun atas kapasiti Menteri Pertahanan pada masa kejadian berlaku makanya beliau wajar dipertanggungjawabkan. Ini jelas membuktikan beliau telah gagal memainkan peranan untuk memastikan pertahanan negara dikawal rapi. Sudahlah sebelum ini, kita dikejutkan dengan berbagai isu panas termasuk pencerobohan orang awam ke kem-kem angkatan tentera, termasuk kecurian berbagai peralatan tentera dalam kes Al-Maunah di Bukit Jenalek, Sauk Perak dulu. Ini pula kehilangan yang lebih besar dan melibatkan aset bernilai jutaan ringgit yang terlepas ke tangan orang asing. Ini jelas satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia dan wajarlah mereka yang terlibat dikenakan tindakan yang sewajarnya !! Soalnya sekarang, kenapa kerajaan takut menggunakan ISA ke atas semua mereka yang terlibat?. Sedangkan mereka jelas mengancam keselamatan negara?.

LIMA, Medan Urusan Jual Beli Peralatan Tentera


Kerajaan Malaysia selama ini amat berbangga dengan penganjuran Langkawi International Maritime And Aerospace Exhibition (LIMA). Malah, kononnya ia telah berjaya menghimpunkan banyak syarikat pengeluar dan pengusaha kapal terbang dan kapal terkenal dari seluruh dunia. Niat baik akhirnya mengundang keburukan. Inilah yang berlaku sebenarnya. Kemungkinan besar di sinilah "dealing" penjualan barangan dan aset angkatan tentera itu berlaku. Kerajaan gagal untuk memantau perkara ini kerana ia diadakan secara rahsia dan tidak melibatkan mana-mana pihak yang ada kepentingan politik agaknya. Segala urusan boleh berlaku dalam sekelip mata, tanpa sebarang keraguan dan tidak disedari. Tambahan pula, mereka yang datang membuat pameran di LIMA adalah mereka yang pakar dalam bidang terbabit. Disinilah agaknya segala urusan yang berkaitan di adakan dan urusan penghantaran dilakukan selepas itu. Justeru itu, kerajaan tidak perlu terlalu mendabik dada kononnya LIMA berjaya dan mencapai matlamatnya. Apalah yang mahu dibanggakan sangat, bilamana selepas penganjuran itu aset angkatan tentera negara yang bernilai jutaan ringgit berjaya diseludup keluar. Bukankah ini memalukan dan menjatuhkan maruah negara sebenarnya. Wajarlah LIMA ditangguhkan dulu pada masa hadapan, bagi menggelakkan malu yang lebih besar terhadap kerajaan UMNO dan Barisan Nasional. Tidak perlulah mencari populariti dengan menjadi penganjur acara bertaraf dunia seperti itu, jika porfesionalisme dan integriti angkatan tentera kita sendiri dipertikaikan oleh masyarakat antarabangsa. Apakah ini yang dimahukan oleh para pemimpin negara terutamanya Mahathir Mohamad tuan punya LIMA?. Inilah yang dikatakan "ayam menang kampung tergadai". Kita menang dan berbangga menganjurkan acara berprestij seperti LIMA itu, namun akhirnya kita juga kehilangan ratusan juta ringgir akibat kehilangan aset angkatan tentera kita sendiri. Wajarkah ia terus dibiarkan berlaku?

Enjin F-5E Dan Bom C4 Hilang, Mana Berbahaya

Kekecohan kehilangan enjin pesawat pejuang F-5E milik TUDM itu amat menejutkan semua pihak. Ia menguatkan lagi alasan bahawa sememangnya sistem kawalan keselamatan dan ketenteraan negara berada diperingkat yang paling kritikal sebenarnya. Kerajaan bertindak tegas dan cepat dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang dipercayai terlibat termasuk "orang dalam" yang terdiri dari kalangan pegawai tentera itu sendiri. Namun, sedarkah kita bahawa kehilangan F-5E adalah sinambungan daripada kehilangan senjata dari kem tentera dan termasuk juga kehilangan bom C4 dari simpanan tentera dalam kes pembunuhan wanita Monggolia Altantunya Shariibuu beberapa tahun yang lalu. Kita dihebohkan ketika itu dengan bahan letupan bom C4 yang diambil dari stor tentera, tanpa keizinan dan diluluskan oleh mana-mana pihak. Malah, difahamkan penggunaan bom itu haruslah mendapat restu daripada Menteri Pertahanan itu sendiri. Soalnya kenapa bom C4 itu boleh terlepas keluar dan akhirnya digunakan dalam kes pembunuhan wanita Monggolia itu?. Namun, selepas kes tersebut diselesaikan oleh mahkamah tetapi sehingga kini siasatan tidak dilakukan siapakah yang punya angkara membenarkan dan membawa keluar bom tersebut dapat pengetahuan pegawai yang terbabit. Jika melihat kepada kes kehilangan engin F-5E ini, maka wajarlah kes kehilangan dan pengeluaran bom C4 dari stor angkatan tentera itu juga perlu disiasat oleh pihak polis. Dalang yang bertanggungjawab haruslah dibawa ke muka pengadilan. Soalnya, apakah ini akan berlaku dalam keadaan sekarang. Makanya sudah pastilah ia tidak akan dibongkarkan demi keselamatan pihak-pihak tertentu. Jika inilah keadaannya, maka memang logik ada pihak tentera di Malaysia ini yang tidak takut untuk mencuri dan membawa keluar aset pertahanan negara sesuka hati mereka. Lantaran itulah kejadian seperti ini boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya.

Belian Yang Meragukan Punca Segala Angkara

Rakyat dikecohkan dengan isu penjualan aset tentera bernilai RM100 juta yang cukup meragukan mutakhir ini. Soalnya, dari manakah mereka yang terlibat ini mempelajari teknik penipuan dan penyelewengan itu agaknya. Setelah diamati betul-betul, maka sahlah kepada kita bahawa inilah yang dikatakan pepatah Melayu "bapa borek anak rintik" sebenarnya. Pegawai tentera dan mereka yang terlibat menjual engin pesawat pejuang F-5E itu sebenarnya belajar dari kecekapan Kementerian Pertahanan di zaman Najib Razak menguruskan pembelian Jet Pejuang Sukhoi dan kapal selam Scorpene (foto) yang hangat diperkatakan sebelum ini. Difahamkan pembelian aset tentera yang sepatutnya dibuat "Goverment to Goverment" itu telah diserahkan kepada sebuah syarikat swasta yang dilantik sebagai "broker" mewakili Kerajaan Malaysia. Akibatnya syarikat terbabit mendapat komisyen yang mencecah ratusan juta ringgit dengan sekelip mata sahaja. Perkara meragukan ini telah beberapa kali didedahkan kepada pihak media, namun ia telah ditutup rapat-rapat dan banyak faktanya diselewengkan oleh pihak terbabit. Atas kecekapan dan kepakaran inilah yang memungkinkan syarikat kontena yang dilantik kerajaan untuk membawa enjin F-5E dari Butterworth ke Sungai Besi itu bertindak demikian. Mungkin bagi mereka "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan" maknanya alang-alang nak jadi jutawan biar mereka dapat untung yang besar. Bagi mereka, kekayaan sekelip mata kepada broker pembelian aset tentera itu adalah tidak adil dan jelas satu perbuatan yang tidak wajar berlaku. Mungkin dek kerana inilah, mereka nekad untuk melakukan tindakan yang sama dengan menjual aset tersebut. Inilah yang dikatakan pembelian meragukan akhirnya dibalas dengan penjualan meragukan.

[Dengan analisis yang dibuat ini, maka ternyatalah kini bahawa kerajaan UMNO dan BN tidak serius dalam memastikan keselamatan negara terjamin. Jika perkara sebegini boleh berlaku kepada angkatan tentera Malaysia maka ia bermakna siapa lagi yang harus diharapkan untuk menjaga keamanan negara kita dari ancaman musuh. Jika enjin pun boleh dijual, bermakna akan ada lebih ramai pegawai tentera selepas ini atau yang terdahulu menjual rahsia ketenteraan negara kepada orang luar. Semua ini sudah pasti melibatkan banyak pihak sebenarnya. Maka itu rakyat perlu melihat dari sudut yang lebih luas tentang isu ini. Perkara ini adalah serius dan boleh menyebabkan negara ini dijajah semula. Jika aset ketenteraan boleh terlepas ke tangan asing, sudah pasti ia memudahkan pihak luar untuk menceroboh negara kita selepas ini. Rakyat perlu bertindak dengan menjatuhkan kerajaan yang serupa ini. Jika tidak, masa depan anak-anak dan generasi akan datang sudah pasti tidak terjamin. Lakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang. Pastikan UMNO dan Barisan Nasional tersungkur, kerana mereka sudah tidak layak untuk menjadi pentadbir dan kerajaan di negara Malaysia yang tercinta ini].

Sunday, December 20, 2009

Cyberita: Konvensyen Blogger PAS 2009, Harapan Dan Cabaran Buat Blogger Berjaya Menarik Lebih Lima Ratus Orang Peserta Dari Seluruh Negara !!

KUALA LUMPUR, 20 Dis [10.00 am] - Majlis pelancaran Kelab Blogger PAS telah disempurnakan oleh Tuan Guru Dato' Seri Hj.Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) sebentar tadi. Kira-kira seramai 500 orang peserta telah menyertai Konvensyen Blogger PAS di Dewan Dato' Fadzil Noor, Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar dekat sini. Konvensyen sehari itu telah disertai oleh para blogger yang datang dari seluruh pelusuk negara. Pendaftaran peserta bermula seawal jam 8.00 pagi lagi. Sekitar jam 9.00 pagi program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Ucaptama perasmian juga telah dilakukan oleh Presiden PAS sendiri. Konvensyen yang julung-julung kali diadakan itu membawa tema "Harapan Dan Cabaran Buat Blogger PAS", turut dibuka kepada blogger lain yang turut menyokong PAS. Pembentangan kertas kerja pertama bertajuk "Mengurus Potensi Media Baru Dalam Merekayasa Pengaruh Politik: Pemikiran Informasi Sebagai Menurut Perspektif Future Studies" dibuat oleh Prof Madya Dr.Abu Hassan Hasbullah (UM). Manakala kertas kerja kedua dibentang oleh Pengerusi Lajnah IT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin yang bertajuk "Blog Sebagai Arena Dakwah Dan Bukan Medan Fitnah".

Saturday, December 19, 2009

Konvensyen Pakatan Rakyat Berjaya Tingkatkan Usaha Bagi Kuasai Putrajaya Dalam Menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 Yang Akan Datang Ini !!

SHAH ALAM, 19 Dis [8.20 pm] - Pakatan Rakyat mempertingkatkan usahanya untuk menguasai Putrajaya dengan mengumumkan dasar bersama Pakatan yang menjanjikan pembaharuan segera dan kesaksamaan. Sebagai respons kepada musuh politiknya, BN, dasar bersama itu berjanji untuk mengurangkan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan menggubal akta hubungan kaum dan akta peluang saksama serta dasar-dasar lain yang berasaskan merit seperti pemberian biasiswa kerajaan. Ia turut menjanjikan layanan istimewa kepada Sabah dan Sarawak - di mana pengaruh Pakatan tidak kuat - dengan menjanjikan akses kepada royalti minyak serta berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sudah lama berlanjutan. Pakatan juga berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyelesaikan isu-isu membabitkan isu pendatang haram, yang didakwanya tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat. Sokongan kuat dari dua negeri Malaysia Timur itu amat penting dalam usaha Pakatan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihanraya umum kerana satu perempat jumlah kerusi parlimen adalah dari sana. Pakatan juga berjanji untuk menangani isu-isu agama yang selama ini telah menimbulkan pergeseran antara parti Islam PAS dan parti sekular DAP. Di samping itu, Pakatan juga berjanji untuk mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif untuk menangani kes-kes di mana berlaku pertindihan antara undang-undang sivil dan Syariah.
Untuk tujuan itu, sebuah Suruhanjaya Diraja akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam isu-isu yang berkaitan dengannya. Di peringkat institusi pula, Pakatan berjanji untuk memastikan kebebasan dan ketelusan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memulihkan keyakinan rakyat terhasdap sistem kehakiman. Pembaharuan lain yang dijanjikan termasuk menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Petronas dan institusi-institusi kerajaan yang lain dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen. Ini termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen bagi pelantikan jawatan penting kerajaan seperti Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Audit Negara. Mengenai ekonomi, Pakatan bercadang mendesentralisasikan pengurusan ekonomi negara bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan taburan pembangunan yang seimbang. Cadangan ini termasuk pengagihan kuasa pentadbiran dan ekonomi dan pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur kepada kerajaan negeri. Dasar Pakatan Rakyat itu merangkumi empat perkara, iaitu demokrasi telus dan tulen; memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil; keadilan sosial dan pembangunan insan; dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar.
[Rakyat semakin bersemangat dan yakin dengan hala tuju pembangkang di negara ini. Bukan sahaja menjadi "check and balance" kepada kerajaan, malah dalam erti kata lain menjadi pemangkin ke arah sebuah pentadbiran yang lebih telus, tersusun, adil dan saksama buat seluruh rakyat Malaysia. Konvensyen ini juga dilihat berjaya membuktikan kepada puak-puak UMNO BN bahawa tidak wujudnya perpecahan seperti yang digembar gemburkan oleh media arus perdana selama ini. Semoga berjaya akhirnya]

Eksklusif: Pendedahan Bala Mencemaskan Najib Serta Membuatkan Dendamnya Terhadap Anwar Ibrahim Dan Pakatan Rakyat Semakin Membara !

Susulan pendedahan demi pendedahan yang dibuat dalam blog Malaysia Today perihal rakaman video pendedahan "skandal pembunuhan Altantunya" oleh Penyiasat Persendirian P.Balasubramaniam, maka ternyata kini Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bagai "cacing kepanasan". Biarpun isterinya, Rosmah Mansor mengatakan segala maklumat terbaru itu tidak menganggu tugas-tugas Najib dan dianggap sebagai tuduhan liar yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang cemburu dengan suaminya itu. Malah Rosmah juga ada berkata beliau tidak risau dengan begitu banyak tuduhan jahat dan liar dilemparkan terhadapnya oleh pihak-pihak yang bersikap memusuhi beliau dan sebagai isteri perdana benteri, beliau lebih fokus dalam kerjanya untuk membantu rakyat mendapatkan kehidupan lebih sempurna serta baik untuk masa depan. Begitulah kenyataan seorang isteri pemimpin yang kini mungkin tidak lena tidur akibat dibuai oleh mimpi-mimpi ngeri jelmaan "Altantunya Shariibuu". Umum melihat, biarpun kes itu seolah-olah sudah ditutup rapat-rapat bilamana dua "kambing hitam" iaitu Sirul Azhar dan Azilah Hadri didapati bersalah dan dihukum gantung oleh mahkamah hujung tahun lalu. Namun, sehingga kini rakyat masih sangsi dengan keputusan tersebut, tambahan pula pabila dalang disebalik skandal ini iaitu Razak Baginda dibebaskan oleh mahkamah. Sedangkan, kedua-dua tertuduh itu sebenarnya kemungkinan besar mendapat arahan daripada Razak sendiri. Manakala Razak pula sudah pasti mendapat arahan pihak atasan atau "Boss"nya. Malah, di mahkamah sendiri, Razak ada menjelaskan bahawa Altantunya mengugut beliau dan meminta diberi bayaran ratusan ribu ringgit. Soalnya, kenapa tuntutan itu dilakukan oleh Altantunya?. Apakah beliau hanya "berseronok" meminta wang daripada Razak tanpa ada apa-apa perjanjian yang dimeterai sebelum itu?. Kenapa pihak polis tidak mahu menyiasat kaitan perkara ini agaknya?
Altantunya Terperangkap Disebalik Janji Palsu
Inilah yang menimbulkan persoalan dan kesangsian dihati rakyat sebenarnya. Malah, kenapa nama-nama Najib Razak sering disebut oleh saksi-saksi terutamanya sepupu Altantunya sendiri. Anehnya, kenapa pula pihak hakim, pendakwaraya dan peguambela tertuduh pula menghalang Amy (sepupu Altantunya) mengemukakan gambar bukti kelibat Altantunya dengan pemimpin negara yang dipercayai Najib Razak itu?. Bukankah semua ini berpunca daripada skandal pembelian peralatan pertahanan negara yang dipercayai menelan ratusan juta ringgit. Malah, pembelian yang dilakukan dengan negara Perancis itu pula agak pelik kerana menggunakan "sebuah syarikat broker" yang mendapat "untung atas angin" bernilai ratusan juta ringgit. Pembelian yang sepatutnya berlaku antara kerajaan dengan kerajaan "goverment to goverment" dibuat melalui broker yang ada kena mengena pula dengan Razak Baginda pula. Bukankah ini menguatkan lagi firasat rakyat bahawa kes ini masih ada "rahsia besar" yang belum dirungkaikan sebenarnya. Benarlah juga bagai dikataka Altantunya adalah "jurubahasa" untuk semua rundingan pembelian kelengkapan tentera ini sebenarnya. Maka itulah beliau dipercayai ditawarkan dengan "ganjaran lumayan" sekiranya perjanjian pembelian itu dimeterai. Inilah dia "skrip asal" yang bermain difikiran rakyat. Kemudian timbul pula isu "anak Altantunya" yang dipercayai hasil hubungan sulitnya dengan individu terbabit "dipercayai suaminya". DNA yang dikatakan dilakukan terhadap anak Altantunya di Monggolia langsung tidak diambil biarpun katanya ia dilakukan. Hasilnya, memungkinkan Altantunya memberontak gara-gara wang ganjaran penuh yang dijanjikan tidak ditunaikan. Malahan beliau pula dipermainakan oleh pihak yang berkenaan. Maka itu juga, kemungkinan besar dek kerana beliau ingin mendedahkan pasal "kandungan dan anak" tersebutlah, akhirnya terdapat arahan agar "menghapuskan" beliau demi maruah negara yang akan tercemar sekiranya "rahsia besar" itu didedahkan.
Video Pendedahan Bala, Fitnah Atau Kebenaran
Semua ini adalah bersandarkan maklumat dan perjalanan kes yang dilakukan di mahkamah sebenarnya. Justeru itu, perkara seperti ini tidak wajar diistilahkan sebagai "fitnah", kerana ia bermain difikiran setiap hamba rakyat yang mengikuti rentetan perjalanan kes ini sebenarnya. Lantaran itu jugalah, pendedahan terbaru yang dibuat melalui video eksklusif Balasubramaniam (foto), itu menandakan bukti jelas kes ini perlu dibuka semula. Sirul dan Azilah perlu dibenarkan untuk membela diri mereka daripada pertuduhan. Soalnya sekarang, sebagai anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) kedua-dua tertuduh sudah pasti mendapat arahan daripada pihak atasan. Masakan pula mereka membunuh Altantunya "sesuka hati" begitu sahaja. Inilah yang perlu dibongkarkan sebenarnya. Supaya dunia melihat kes jenayah seperti ini mendapat pembelaan sewajarnya di negara kita. Sirul dan Azilah pula dikatakan adalah "polis pengiring" pemimpin negara. Oleh itu, bukankah agak jelas dan mempunyai alasan yang kukuh untuk mengaitkan beliau yang didedahkan oleh Balasubramaniam dengan kes ini?. Rakyat melihat apa yang berlaku didepan mata mereka. Undang-undang ada kalanya boleh dipermain dan diperalatkan. Namun, suara rakyat adalah suara keramat yang akan menghukum mereka yang terlibat itu sebenarnya. Kita tidak hairan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berteka teki untuk mengambil keterangan daripada Bala seperti yang didedahkan oleh Ketua AMK Parti Keadilan Rakyat, Samsul Iskandar Md Akin baru-baru ini. Mungkin mereka takut, bertemu dan mengambil keterangan dari Bala bakal mengundang "bala yang lebih besar" dalam kerjaya mereka selepas ini. Akhirnya, kes ini akan dibiarkan tanpa pembelaan yang sewajarnya oleh sistem kehakiman di negara kita.
Dendam Terhadap Anwar Semakin Membara
Malahan, pendedahan Bala tentang beliau diugut, dihantar ke luar negara dan ditawarkan ganjaran lumayan oleh nama-nama yang disebut oleh beliau dalam pendedahannya itu juga masih belum dipanggil oleh pihak SPRM sendiri. Apakah mereka takut untuk berpijak di bumi yang nyata, lantaran membiarkan begitu sahaja keterangan dan akuan ini agaknya?. Begitu juga pihak polis sendiri. Apakah mereka menganggap pendedahan terbaru Bala ini sebagai fitnah semata-mata dan tidak perlu dilayan?. Mereka lebih berselera melayan kenyataan dan akuan Saiful Bukhari bahawa dirinya diliwat oleh Anwar Ibrahim daripada satu akuan kes yang cukup besar seperti ini. Maruah negara tercalar dek kerana, terdapatnya amalan undang-undang yang cukup "double standard" di Malaysia ini sebenarnya. Malahan biarpun kes Altantunya sudah diputuskan oleh mahkamah, tetapi "rakyat adalah hakim negara". Mereka lebih bijak menilai dan mengadili sesuatu kes daripada hakim-hakim yang boleh dijual beli sekarang ini. Lantaran itu jugalah mereka melihat kes "liwat II" yang melibatkan Saiful Bukhari Azlan dengan Anwar Ibrahim itu adalah satu tindakan "balas dendam" Najib Razak terhadap Ketua Pembangkang itu sebenarnya. Akhirnya Anwar dinafikan hak sebagai rakyat Malaysia untuk mempertahankan diri dan menuntut keadilan. Segala dokumen dan laporan berkaitan tidak dibenarkan untuk diserahkan salinannya kepada barisan peguam Anwar. Maka, apa yang mahu dibela oleh mereka jika ada bukti-bukti palsu yang direka cipta dibawa ke mahkamah nanti agaknya?.
Atas ketakutan pendedahan Bala ini juga, membawa kepada kejadian yang berlaku di Dewan MBPJ Taman Sri Manja, Petaling Jaya malam tadi. Beratus anggota polis "menggempur" dewan tersebut semata-mata untuk menghalang orang ramai dari mendengar penerangan tentang kes perbicaraan Anwar Ibrahim. Malah, salah seorang pemimpin PKR iaitu Khairul Anwar (Jonah) telah ditahan polis kerana mengedarkan risalah tentang kes Anwar ini. Difahamkan beliau akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk membolehkan tahanan reman dibuat terhadap dirinya. Apa yang jelas dapat dilihat oleh rakyat ialah betapa takutnya pihak terbabit dengan "kebenaran" yang mahu diberikan. Biarpun Anwar yang belum terbukti bersalah, malah kesnya juga yang dilihat bercelaru itu dibicarakan tetapi kerajaan UMNO dan BN pimpinan Najib Razak mahu rakyat percaya bahawa Anwar memang sudah bersalah dan "kaki liwat". Ini jelas berjaya ditanamkan kepada puak-puak UMNO dan BN, tetapi tidak buat rakyat keseluruhannya. Dalam masa yang sama juga, mereka mahu rakyat percaya bahawa Najib Razak dan Rosmah Mansor memang tidak terlibat dengan kes pembunuhan Altantunya Shariibuu itu sebenarnya.
[Kesimpulannya, dunia sudah terbalik sekarang ini pabila kebenaran cuba ditutup rapat tetapi kezaliman cuba diselewengkan supaya rakyat melihat itulah kebenaran sebenarnya. Inilah yang dikatakan undang-undang rimba yang cukup zalim buat rakyat. Kezaliman ini disokong pula oleh beberapa kerat hakim Mahkamah Rayuan yang telah "dibela" oleh kerajaan untuk memastikan mereka senantiasa menang dalam apa jua kes besar yang boleh menjatuhkan maruah mereka. Hasilnya, kita dapat lihat sendiri apa yang berlaku di negara kita sekarang ini. Sistem keadilan jelas sekali telah dirobek oleh mereka-mereka yang rakus untuk terus berkuasa. Hanya rakyat sahaja yang dapat menentukannya dalam pilihanraya umum akan datang. Kerajaan yang adil perlu disokong tetapi kerajaan yang zalim dan menindas rakyat perlu ditentang habis-habisan demi masa depan].