
Susulan isu perletakkan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail daripada menjadi Timbalan Pengerusi II dan Pengarah Biro Keahlian PKR Pahang baru-baru ini, maka heboh di sana-sini orang memperkatakan tentang perkara tersebut. Ada yang menyokong tindakan Azan itu, malah tidak kurang juga yang kecewa dengan tindakan tersebut. "Saya gusar isu ini akan menjadikan rakyat hilang kepercayaan kepada Pakatan Rakyat. Ini menyukarkan kita untuk menawan Pahang dalam pilihanraya umum akan datang" kata seorang peniaga. Apapun, kes Azan ini bolehlah dikatakan tidak sehebat kes-kes terdahulu, kerana beliau bukannya "lompat parti" yang menyebabkan pilihanraya kecil perlu di adakan di kerusi parlimen tersebut. Maka, kenapakah keputusan ini diambil di saat rakyat memberi sokongan penuh kepada Pakatan Rakyat sekarang ini?. Azan mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian. Beliau kononnya tidak mahu PKR Pahang terus dijadikan seperti sebuah syarikat dan ditadbir secara sembrono oleh pihak-pihak tertentu. Beliau mahukan adanya ketelusan dalam sistem pentadbiran yang diamalkan. Alasannya, banyak perkara-perkara penting terutamanya dari sudut kewangan yang gagal ditangani dengan betul. Malah, beliau tidak mahu PKR Pahang dijadikan alat untuk kepentingan peribadi semata-mata. Rakyat melihat dan mahukan ketelusan katanya. Jika ia gagal dilaksanakan, maka PKR Pahang samalah sepeti parti UMNO dalam hal-hal tertentu. Untuk rekod, Azan ialah bekas Pegawai Audit dan Bendahari GPMS Pahang sebelum menyertai PKR. Lantaran itulah, kita tidak hairan beliau mahukan akauntabiliti dikawal dengan baik dalam menguruskan sesebuah parti atau persatuan.
Pemimpin PKR Pahang Dipanggil Oleh Anwar

Difahamkan, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertindak memanggil Azan, Dato' Fauzi dan Fuziah Salleh untuk membincangkan perkara ini semalam. Dalam pertemuan itu, masing-masing diberikan ruang untuk mengeluarkan hujjah dan pendapat secukupnya tentang perkara ini. Kami difahamkan, Anwar telah memberi kata dua agar imej PKR Pahang dipulihkan semula secepat mungkin. Beliau tidak mahu kekalutan yang melanda ini boleh menggagalkan usaha Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pimpinan Kerajaan Negeri Pahang dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang. "Saya telah memberi berbagai kenyataan, kenapa tindakan perletakkan jawatan terpaksa diambil" kata Azan. "Lagi pun buat masa ini PKR Pahang mempunyai tiga orang Timbalan Pengerusi. Makanya, masih ada dua pemimpin yang boleh dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut. Tambahan pula, saya terpaksa memberi tumpuan kepada kawasan parlimen saya yang lebih utama selepas ini" kata Azan. Dalam pertemuan itu juga kami turut dimaklumkan bahawa Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang, Dato' Fauzi turut menyatakan hujjahnya kepada Anwar berhubung dengan tindakan Azan itu. Kenyataan Fauzi itu turut disokong oleh Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan yang baru dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya PKR Pusat. Satu kekesohan kecil telah berlaku semasa Dato' Fauzi dan Azan mempertahankan hujjah masing-masing. Kami tidak mendapat maklumat lanjut tentang kenyataan Anwar selepas itu, namun menurut sumber besar kemungkinan satu rombakan akan dilakukan oleh Anwar terhadap kepimpinan tertinggi PKR Pahang. Jika benar perkara itu berlaku, maka sudah pastilah ia merupakan satu lagi isu besar yang akan menjadi buah mulut rakyat Pahang selepas ini agaknya.
[Apapun yang berlaku, diharapkan kepimpinan PKR Pahang dapat duduk semeja bagi menyelesaikan kemelut yang melanda. Perkara konvensyen PKR baru-baru ini, bukanlah pokok utama yang menjadi asas kekecewaan Azan sebenarnya. Memang terdapat satu "rahsia besar" yang masih tidak dirungkaikan selama ini yang menyebabkan timbulnya perasaan iri hati dan tidak puas hati pihak-pihak tertentu. Jalan terbaik ialah kembali duduk di meja rundingan bagi menyelesaikan perselisihan faham ini. "Bom Jangka" boleh meletup bila-bila masa sahaja apabila perkara yang besar dianggap kecil oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini. Kami memang sudah menjangkakan semua ini akan berlaku, tetapi ia dinafikan oleh sesetengah pihak atas alasan ia satu isu terpinggir dan tidak perlu diperbesarkan. Kini, semuanya sudah tersurat. Apa yang tersirat selama ini akhirnya menjadi barah baru dalam PKR Pahang. Semoga sokongan rakyat tidak berubah melihat segala apa yang berlaku ini hendaknya. Ketua Umum PKR perlu mengambil tindakan bijak dalam menyelesaikan isu ini hendaknya. Membuat rombakan kepimpinan negeri, mungkin bukan jalan penyelesaian yang paling utama. Oleh itu, satu langkah bijak yang boleh diterima oleh semua pihak perlu diambil tindakan segera bagi menjaga keharmonian, keutuhan dan kekuatan Pakatan Rakyat di Negeri Pahang].












3 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:
DAH BEROMBAK,NAK TUNGGU KARAM JER
Tak lama lagi lemas la tu..
Jek Tiruk kata...
Cepat2 tinggalkan PKR sebelum kapalnya tengelam. Saya dah lama tinggalkan PKR rasa menyampah tengok gelagat giller2 pemimpin PKR terutama sekali Annuar Ibrahim. PRU 13 nanti jangan harap dapat undi dari saye yek.
Post a Comment