KUANTAN, 17 Feb [10.12 am] - Empat lelaki bersenjatakan parang bukan hanya melarikan wang tunai dan barangan berharga bernilai kira-kira RM8,000, malah turut mengambil nasi impit milik mangsa mereka. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata dalam kejadian pada pukul 5.45 pagi ini, kesemua lelaki dipercayai rakyat Indonesia itu memecah masuk sebuah rumah di Lorong Kempadang Makmur di sini dengan memotong gril besi sebelum mengopak pintu gelangsar. Beliau berkata, kesemua lelaki terbabit kemudian mengejutkan pasangan suami isteri bersama lima anak mereka yang sedang nyenyak tidur sebelum mengikat pasangan suami isteri berkenaan. "Suspek kemudian menggeledah rumah itu dan mengambil wang tunai RM500, sebuah komputer riba, tujuh telefon bimbit dan barangan kemas milik isteri mangsa," katanya. Beliau berkata tidak cukup dengan itu, penyamun terbabit turut mengambil nasi impit yang disediakan keluarga itu untuk bekalan perjalanan menghantar anak perempuan mereka ke pusat matrikulasi di luar Pahang, semalam. "Mangsa yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan mendakwa seorang daripada suspek meminta keluarganya bertenang dan mereka tidak mahu mencederakan sesiapa kerana hanya ingin mengambil wang," katanya. Beliau berkata ikatan pasangan suami isteri itu dibuka oleh anak-anak mereka yang tidak diikat selepas kesemua lelaki itu melarikan diri.[Kejadian rompakan dan samun melibatkan warga asing terutamanya dari Indonesia semakin menjadi-jadi sekarang ini. Bahkan mereka yang terlibat juga dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Soalnya sekarang sampai bilakan kerajaan UMNO BN dapat memastikan kebanjiran PATI ini dapat dibendung, selagi ada kakitangan kerajaan di pejabat imigresen dan sebagainya yang masih menerima rasuah dari pihak terbabit. Jika senario ini terus berkekalan, akhirnya berjuta-juta rakyat asing yang mencari makan di negara ini akan bertambah samseng dan tergamak melakukan berbagai kerja jenayah untuk menampung kehidupan mereka. OLeh itu, kerajaan digesa mengetatkan peraturan kemasukan pekerja asing ke negara ini. Jika enjin jet pejuang pun boleh hilang, masakan pula kemasukan warga asing ke negara ini dapat dikesan. Akhirnya kuasa dan undang-undang negara yang akan diperlecehkan oleh warga asing, setelah semakin ramai orang mereka berada di negara ini pada masa akan datang].












0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:
Post a Comment