PAHANG DAILY ONLINE (PDO) | SUARA KEADILAN UNTUK RAKYAT | PEOPLE'S JUSTICE VOICE (PJV)

Thursday, November 25, 2010

Terkini: Bekas 'Ketua Menteri Pulau Pinang' Tun Dr. Lim Chong Eu Meninggal Dunia Malam Tadi !!

PULAU PINANG, 25 Nov - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu (foto), disahkan meninggal dunia di kediamannya di Tanjong Bungah pada lebih kurang jam 9.00 malam tadi iaitu sebulan selepas beliau diserang sakit angin ahmar. Mendiang berusia 91 tahun. Sebelum itu beliau dirawat di Hospital Pulau Pinang. Beliau telah dibawa balik dari hospital itu petang Rabu selepas keadaannya semakin uzur. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengesahkan berita mengenai kematian Dr Lim itu. Mendiang merupakan bekas Presiden MCA dan juga mantan Presiden Gerakan yang pertama selama 9 tahun. Beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama 21 tahun mulai Mei 1969 hingga Oktober 1990. Chong Eu yang merupakan salah seorang pengasas Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga pernah menjadi Presiden MCA. Beliau keluar meninggalkan MCA selepas usahanya untuk memartabatkan bahasa Mandarin dan lain-lain bahasa setaraf dengan bahasa kebangsaan ditolak oleh Kerajaan Perikatan. Selepas membentuk Gerakan, parti itu berjaya merampas Pulau Pinang tetapi kemudiannya Gerakan menyertai Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejurus selepas pembentukannya. Beliau berkhidmat sebagai ketua menteri negeri itu sehinggalah kekalahannya di tangan Lim Kit Siang pada pilihan raya umum 1990. Tempatnya sebagai ketua menteri diambil alih oleh bekas setiausaha politiknya, Dr Koh Tsu Koon sebelum diserahkan kepada Lim Guan Eng selepas Pilihanraya Umum Ke-12 (2008) yang lalu.

[Pahang Daily Online (PDO) ucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Nama mendiang sememangnya amat dikenali oleh rakyat Malaysia sejak dulu lagi. Tambahan pula kerana beliau pernah memimpin dua buah parti kaum Cina terbesar di Malaysia. Namun, harus diingat di zaman pemerintahan mendianglah tanah Melayu di Pulau Mutiara itu terhakis satu demi satu sebelum diteruskan pula olek Koh Tsu Koon. Mujurlah kini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat. Justeru itu, kini nasib rakyat negeri itu diharap lebih terbela biarpun penuh dengan provokasi yang dilemparkan oleh mereka yang cemburu dengan kejayaan kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng itu].

1 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

Anonymous said...

good shared pahangdaily.blogspot.com