Pahang Daily Online | Suara Keadilan Untuk Rakyat | Peole's Justice Voice (PJV) | Suara Rakyat Suara Keramat

Monday, May 31, 2010

Jahanam: Yahudi Makin Biadap Sanggup Halang Konvoi Bantuan Kemanusiaan, 19 Terbunuh Dan 66 Lagi Cedera Bila Kapal Mereka Di Serang Israel

Biadapnya rejim Yahudi, bila mereka tergamak mengarahkan tentera laut Israel menyerang tujuh buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza. Kapal terbesar konvoi yang belayar melalui Laut Maditerranean itu iaitu Mavi Marmara (foto) telah diserang oleh angkatan laut Israel hari ini. Serangan tersebut mengakibatkan 19 orang sukarelawan terbunuh dan 66 yang lain cedera parah. Konvoi yang diketuai oleh sebuah NGO Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) itu turut disertai oleh 12 orang sukarelawan dan petugas media dari Malaysia. Setakat ini semua sukarelawan dari negara kita didapati berada dalam keadaan selamat. Konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Undang-Undang Maritim lain yang berkaitan. Antara lain resolusi itu menyeru supaya penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan. Disamping itu juga menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisme lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan. Malah, mereka yang terlibat juga menyeru supaya semua negara menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza termasuk mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam serta semua bentuk keganasan yang dilakukan oleh Rejim Yahudi.

[Sungguh terkutuk perbuatan Rejim Zionis yang jelas melanggar undang-undang dunia. Soalnya, kenapa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih berdiam diri dan tidak melakukan sebarang tindakan yang sepatutnya. Jika inilah keadaannya, maka sudah pasti rakyat Palestin yang berada di Gaza akan menunggu kematian tanpa dapat dibela oleh masyarakat antarabangsa. Kerajaan Malaysia bukan sahaja perlu mengutuk perbuatan tersebut, namun langkah yang lebih tegas dan wajar perlu diambil bagi menyelamatkan aktivis Malaysia yang turut berhadapan dengan tindakan ganas Yahudi itu. Sebagai umat Islam, kita wajar mendoakan supaya semua aktivis itu selamat dan dapat melaksanakan misi mereka dengan jayanya biarpun berhadapan dengan berbagai dugaan].

Mahkamah: Bicara Kes Liwat II, Saiful Nafi Plastik Di Sumbat Ke Lubang Dubur Waktu Dia Di Periksa

Perbicaraan Kes Liwat II yang membabitkan Saiful Bukhari Azlan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung semula hari ini. Dalam keterengan Saiful kepada mahkamah beliau menafikan bahawa beliau pernah berkata ada plastik dimasukkan ke dalam lubang duburnya semasa diperiksa doktor ketika menjalani perubatan di Hospital Pusrawi. Malah beliau juga menafikan bahawa acara "sumpah laknat" yang dilakukan sehari menjelang hari pencalonan Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh di Masjid Wilayah telah dirancang sejak dari awal lagi. Menurut Saiful, semua ini dilakukan atas kerealaannya sendiri dan tidak ada sesiapa yang memaksa beliau melakukan demikian. Dalam pada itu, Peguam Anwar Karpal Singh juga menyemak semula keterangan awal Saiful mengenai perjumpaan dengan Perdana Menteri, Najib Razak, ACP Rodwan Yusof (ketika itu pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang sekarang ini Ketua Polis Melaka) dan bekas olahgarawati negara, Mumtaz Jaafar yang merupakan sahat akrab isteri perdana menteri, Rosmah Mansor. Karpal kemudian bertanyakan kepada Saiful sama ada Najib, Mumtaz, Rodwan, Ezam ada membuat laporan polis berhubung dakwaannya yang dia diliwat oleh Anwar. Soalan itu ditanya oleh Karpal kepada Saiful, namun dia menjawab tidak tahu menahu perkara itu. "Di bawah Seksyen 13, Kanun Prosedur Jenayah, adalah satu prosedur bagi seseorang untuk membuat laporan polis. Jika ini tidak dilakukan, ia adalah satu kesalahan mengikut sekyen 202, Kanun Keseksaan,” kata Karpal Singh. Ini bermakna, ia menjadi kesalahan kepada pihak terbabit kerana merahsiakan perkara tersebut sebenarnya.

[Nampaknya, berbagai alasan baru yang diperkatakan oleh Saiful bagi menambahkan lagi kekuatan cerita liwat II ini. Apapun, kita masih sangsi kenapa pihak Pendakwaraya enggan membenarkan peguam Anwar mendapatkan senarai nama saksi, apatah lagi contoh bahan bukti yang dikemukakan. Sesuatu yang tidak masuk dek akal dalam mana-mana perbicaraan kes seperti ini dimana tertuduh dilarang mendapatkan senarai nama saksi. Bayangkan jika saksi itu adalah "saksi palsu" yang menerima habuan untuk diketengahkan sebagai saksi. Apakah akan terjadi kepada tertuduh yang belum tentu terlibat dengan kes tersebut. Inilah yang menyebabkan ramai rakyat yang tidak percaya dan yakin dengan perjalanan kes perbicaraan liwat II ini sebenarnya. Mereka lebih mengesyaki Anwar bukannya menjadi tertuduh, sebaliknya menjadi mangsa untuk satu tudah palsu bagi menyekat pengaruh mantan TPM itu sebenarnya. Oleh itu, rakyat diseru bersabar dengan segalanya ini].

Saturday, May 29, 2010

Kontroversi: Tindakan Vell Paari Memohon Maaf Kepada PM Najib Dan TPM Muhyiddin Gara-Gara Membela Bapanya Samy Vellu Amat Memalukan !

Malang sungguh nasih anak Samy Vellu, Vell Paari (foto) apabila terpaksa memohon maaf atas segala kenyataannya sebelum ini bahawa UMNO yang menyebabkan masalah dalaman MIC. Tindakan beliau memohon maaf itu jelas sekali menghina keluarganya sendiri. Beliau tahu kini bapanya, Samy Vellu sedang berhadapan dengan zaman kegelapan dan bila-bila masa sahaja akan dinyahkan dari kancah politik tanahair. Malah, beliau juga tahu bahawa tindakan pemimpin UMNO yang menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti itu. Beliau juga tahu bahawa UMNO juga yang menaja himpunan GAS (Gerakan Anti Samy Vellu) yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok. Biarpun Mugilan yang dipecat oleh Samy Vellu itu mengatakan tempahan dewan dibuat atas namanya, namun apakah Vell Paari boleh percaya perkara itu. Memang benar namanya tertera pada borang tempahan, tetapi siapa dibelakangnya. Mana mungkin Mugilan mampu menyewa dewan tersebut jika tiada sokongan pemimpin UMNO. Tambahan pula, pejabat dan organisasi UMNO sendiri terdapat di bangunan itu. Maknanya Mugilan hanya menjadi "kuda tunggangan" UMNO untuk menjatuhkan Samy Vellu. Amatlah tidak wajar Vell Paari memohon maaf atas kenyataan beliau yang memang satu keputusan yang amat memalukan sebenarnya. Beliau terpaksa tunduk kepada desakan pemimpin UMNO yang mengganggap beliau biadap gara-gara cuba untuk mempertahankan kenyataan dibuat bapanya si Samy Vellu sendiri.

Semalam Vell Paari memohon maaf kepada PM Najib Razak dan TPM Muhyiddin Yassin ekoran dakwaannya bahawa UMNO adalah punca masalah dalaman MIC. Vell Paari turut memohon maaf kepada seluruh ahli Umno kerana tuduhan melulunya itu sehingga menimbulkan bantahan daripada pelbagai pihak. Beliau dalam satu kenyataan hari ini membuat keputusan itu selepas menjelaskan pendiriannya kepada PM. “Mengambil kira perkembangan semasa, adalah jelas kepada saya bahawa Umno tidak terlibat dalam apa jua cara kempen GAS (Gerakan Anti Samy Vellu). “Banyak pemimpin Umno dengan jelas telah mengatakan pendirian mereka bahawa mereka tidak menggalakkan atau bekerjasama dengan V. Mugilan dalam apa jua cara (dalam menggerakkan GAS). “Oleh itu, saya mahu meminta maaf kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri dan juga Umno berhubung kenyataan saya sebelum ini,” katanya yang pernah bertegas enggan menarik balik tuduhannya itu. Sebelum ini Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC itu menuduh Umno menjadi dalang kepada masalah yang wujud dalam MIC dan melakukan 'pembunuhan politik' terhadap parti itu bagi memecah- belahkan Barisan Nasional. Berikutan itu, Muhyiddin menyifatkan anak Presiden MIC itu sebagai biadab. Muhyiddin turut menegaskan bahawa BN dan parti-parti komponennya terutamanya UMNO tidak terlibat sama sekali dalam sebarang usaha yang menimbulkan masalah dalaman MIC. Jika tidak terlibat, kenapa Mugilan jadi calon UMNO di Hulu Selangor dulu sedangkan Samy Vellu sudah ada pilihan.

[Soalnya sekarang, apakah bukti yang UMNO tidak terlibat dengan semua itu. Apakah Vell Paari sudah mendapat ilham tersebut, atau terpaksa akur dengan desakan semua pihak. Inilah yang memusykilkan kita sebenarnya. Apapun, kita juga berbangga dengan kemelut yang melanda MIC sekarang ini. Selepas MCA berhadapan dengan berbagai isu, kini MIC pula menuruti di belakang mereka. Ternyata sekarang, puak-puak BN sudah tidak mampu untuk duduk semeja lagi. Ia bermakna pakatan karat Barisan Nazak itu sudah mencapai penghujung usia dan bakal layu bila-bila masa sahaja dari sekarang. Langkah terbaik ialah kembali kepada rakyat dan lakukan perubahan untuk masa depan generasi akan datang. Pilihanraya Umum ke-13 bakal menjadi saksi parti manakah yang menjadi pilihan hati rakyat].

Thursday, May 27, 2010

Mahkamah: Niat Jahat Buat Laporan Polis Palsu, Saman Anwar Terhadap Saiful Di Dengar 23 Sept

KUALA LUMPUR, 27 Mei [3.20 pm] - Saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan kerana niat jahat dalam membuat laporan polis bahawa beliau diliwat oleh ketua pembangkang itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 September. Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, K.Pavani menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Jason Tay dan Zamri Idrus yang mewakili Mohd. Saiful. Zamri memberitahu pemberita bahawa peguam plantif (Anwar) meminta mahkamah untuk tarikh lain bagi sebutan kes itu sementara menunggu perbicaraan jenayah Anwar mengenai pertuduhan liwat di Mahkamah Tinggi Jenayah. Mahkamah Tinggi Jenayah telah menetapkan 31 Mei hingga 4 Jun ini untuk meneruskan perbicaraan liwat Anwar. Mahkamah juga menetapkan sebulan dari 2 hingga 30 Ogos untuk perbicaraan tersebut. Anwar, 63, memfailkan saman itu terhadap Mohd. Saiful, 25, pada 30 Jun 2008 yang mendakwa bahawa bekas pembantunya itu membuat laporan polis itu dengan motif jahat dan juga untuk menjejaskan peribadinya sebagai seorang ahli politik. Dalam kenyataan tuntutannya, beliau berkata, Mohd. Saiful mengetahui bahawa pertuduhan liwat itu adalah palsu tetapi meneruskan dan membuat laporan polis pada 28 Jun 2008. Beliau mendakwa ekoran laporan polis itu, reputasi beliau telah terjejas dan beliau sangat sengsara dan malu. Mohd. Saiful dalam kenyataan pembelaannya pada Mei 2009 berkata, laporan polis itu adalah wajar dan jika tidak benar, pendakwaan tidak akan mengenakan pertuduhan liwat terhadap Anwar.

[Apakah agaknya nasib Anwar selepas ini. Saman terhadap Saiful mahu didengar 23 September 2010 sedangkan perbicaraan kes liwatnya bakal diteruskan 31 Mei hingga 4 Jun ini. Makanya, jika Anwar didapati bersalah apakah beliau meneruskan hasrat menyaman Saiful?. Bukankah beliau akan terpenjara kembali di Sg.Buloh. Apakah ada keadilan buat dirinya lagi selepas itu, biarpun beliau mempunyai alibi yang dirinya tidak bersalah dan telah difitnah oleh Saiful?. Inilah yang meragukan kita sebenarnya. Sepatutnya mahkamah membenarkan kes itu didengar segera kerana ia adalah berkaitan dengan keadilan terhadap Anwar. Malah, perbicaraan liwat yang bakal dihadapinya sekarang ini pun dilihat banyak kepincangan. Namun, dek kerana dendam kesumat yang mendalam ia diteruskan biarpun masyarakat antarabangsa melihat ianya adalah bertentangan dengan normal-normal keadilan sejagat itu sendiri sebenarnya].

Edisi Pahang: Serah Memorandum Bantah Lesen Judi Bola Ke Pejabat Menteri Besar Berjaya Juga !

KUANTAN, 27 Mei [12.32 pm] - Program Penyerahan memorandum bantahan "Lesen Judi Bola" yang diadakan hari ini berjaya mencapai matlamatnya. Penyerahan itu yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man telah diterima oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang di pejabat MB sekitar jam 11.00 pagi tadi. Turut mengiringi beliau semasa penyerahan memorandum itu ialah YB Chong Siew Onn (DAP), Ram Ponnusamy dan Hj.Zahari (PKR) dan Ustaz Suhaimi Md Saad dan Hashim Abdullah (PAS). Seramai hampir 200 orang penyokong telah mula berhimpun di perkarangan Masjid Sultan Hj.Ahmad Shah I sejak awal pagi lagi. Turut kelihatan beberapa orang anggota polis yang mengawal keadaan termasuk juga dari Cawangan Khas (SB). Sekitar jam 10.30 pagi, Dato' Tuan Ibrahim memberikan sedikit ucapan kepada mereka yang hadir. Antara lain beliau mahu semua rakyat tidak kira apa jua fahaman politik, agama dan kaum agar menyokong bantahan ini. "Kita sudah terlepas dari tanggunjawab apabila ditanya oleh Allah di akhirat kelak" katanya. Selepas berucap, kelihatan Ketua Polis Daerah Kuantan (OCPD) Tuan Jasmani Yusof bertemu dengan Dato' Tuan Ibrahim. Atas kerjasama yang diberikan oleh pihak polis, maka Dato' Tuan akhirnya bersetuju hanya wakil parti sahaja dibenarkan menyerahkan memorandum tersebut di pejabat MB. Kerjasama pihak polis amat baik dan dihargai. Malah, mereka juga turut mengawal keadaan sekiranya berlaku kekecoahan dan sebagainya. Selepas menyerahkan memorandum, semua pemimpin bersama-sama mengedarkan risalah bantahan tersebut.



[Apapun, kita ucapkan syabas dan tahniah kepada pihak polis yang berjaya mengawal keadaan dengan baik. Ramai yang hadir disitu pada mulanya agak kecewa kerana tidak dapat bersama-sama pimpinan untuk berarak ke pejabat MB. Turut kelihatan hadir dalam program pagi tadi ialah beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. Pada malam ini pula, program solat hajat dan ceramah perdana tentang isu ini akan diadakan di Putra Balok. Penceramah undangan ialah Exco Pemuda PAS Pusat (Suhaizan Kayat), Peguam Fadzli Ramly (PAS Pahang) dan Ustaz Suhaimi Saad (Ketua Pemuda PAS Pahang). Orang ramai dijemput hadir malam ini].

Wednesday, May 26, 2010

Panas: Pakatan Dacing Karat Kini Semakin Nazak, Bila Ketua Pemuda MIC Sendiri Cadang Partinya Mengkaji Semula Keanggotaan Mereka Dalam BN !

Nampaknya, ramalan dan spekulasi yang kami buat sebelum ini bagaikan menjadi kenyataan. kami menjangka bahawa MIC pasti akan mengambil keputusan untuk meninggalkan BN jika isu berkaitan dengan Samy Vellu vs Mugilan tidak dapat diselesaikan secara profesional. Telahan kami itu bagai menjadi kenyataan apabila Ketua Pemuda MIC Pusat, T.Mohan (foto) juga dilihat telah mengeluarkan kenyataan meminta parti itu mengkaji semula keanggotaan mereka dalam pakatan BN (Barisan Nazak). Biarpun kenyataan itu mungkin bersifat peribadi, namun ternyata ia lahir dari perasaan kesal dengan tindakan bekas pemimpin pemuda S.Mugilan yang dipecat baru-baru ini cuba menganjurkan satu perhimpunan yang dinamakan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Ahad ini. Biarpun ada pemimpin pemuda MIC yang mendesak Mohan menarik balik kenyataan itu, namun kemungkinan besar beliau tidak akan berbuat demikian. Ini kerana Mohan mengambil ketetapan demikian ekoran pendedahan yang dibuat oleh anak Samy Vellu sendiri iaitu Vell Paari yang mengatakan UMNO bertanggungjawab memecah belahkan MIC dengan menyokong kumpulan anti presiden parti itu. Nampaknya, pakatan karat BN semakin rapuh sekarang ini. Selepas MCA didesak keluar parti kerana kononnya gagal menarik pengaruh kaum Cina supaya menyokong BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor dan Sibu. Kini MIC pula yang bakal menjadi mangsa. Makanya, ini menampakkan lagi kepada kita bahawa BN sudah semakin menghampiri ke penghujung hayatnya. Kapal BN bakal karam bila-bila masa dari sekarang. Malah, kekalahan di Sibu baru-baru ini juga membuktikan bahawa rakyat sudah muak dan jelek melihat BN. Mereka mahukan perubahan dan tidak mahu terus ditipu dengan projek "mee segera" lagi. Semoga pemimpin UMNO dapat mengambil ikhtibar akan perkara ini. Jika tidak sudah pasti harapan besar untuk rakyat melihat parti pembangkang merampas Putrajaya pasti bakal terlaksana dalam pilihanraya umum akan datang.

[Sudah jatuh ditimpa tangga, inilah yang berlaku kepada pakatan dacing karat ini sebenarnya. Selama ini mereka berbangga kononnya hubungan antara komponen BN itu kukuh dulu, kini san selamanya. Malah mereka sering memomok-momok berita dalam media arus perdana kononnya Pakatan Rakyat semakin goyah dan sering berbalah sesama sendiri. Namun, akhirnya kini perkara itu terkena atas batang hidung mereka. Inilah yang dikatakan takdir sebenarnya. Semoga pemimpin UMNO BN dapat bermuhasabah diri, sebelum jangka hayat malah talian hayat mereka di Sabah dan Sarawak itu tumbang satu persatu ditangan rakyat. Insaflah dan kembali ke pangkal jalan. Apa yang pasti, pilihanraya umum akan datang pastinya lebih mendebarkan dan akan menyaksikan satu lagi gelombang Tsunami yang lebih besar buat rakyat. Angin perubahan kian terasa dimana-mana sekarang ini, maka puak-puak UMNO BN tidak boleh lagi mendabik dada kononnya mereka sukar untuk dikalahkan kali ini!].

Edisi Pahang: Penyerahan Memo, Solat Hajat Dan Ceramah "Bantah Judi Bola" Dekat Kuantan Esok!

KUANTAN, 26 Mei [4.55 pm] - Satu memorandum bantahan "Judi Bola" akan dihantar kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui Pejabat Menteri Besar di Wisma Sri Pahang esok. Memorandum akan diserahkan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri iaitu Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto). Justeru itu orang ramai terutamanya umat Islam tanpa mengira perbezaan kaum dan fahaman politik diseru hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan perkara ini. Memo bantahan dijangka akan diserahkan kepada MB Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob yang juga selaku Exco Agama Kerajaan Negeri. Orang ramai yang ingin menyertai penghantaran memo ini dikehendaki hadir dan berkumpul di Perkarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah I, Kuantan pada kira-kira jam 10.00 pagi. Sementara itu disebelah malamnya satu solat hajat akan diadakan selepas Isyak di Putra, Balok dan kemudian diikuti dengan satu program ceramah "Bantah Judi" oleh Exco Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat dan Peguam Fadhli Ramli, Pemuda PAS Pahang.

[UMNO BN nampaknya terjerat dengan isu pemberian lesen judi bola Piala Dunia ini. Rata-rata rakyat kecewa dan marah melihat apa yang berlaku. Mereka hairan, kenapa pemimpin UMNO yang berbangsa Melayu dan beragama Islam tergamak tunduk kepada kehendak tokey judi, Vincent Tan untuk menggadaikan maruah agama. Malah, rakyat juga hairan kenapa pemimpin UMNO yang selama ini melaung-laungkan kononnya merekalah puak yang membela agama dan bangsa, tiba-tiba menikus dalam hal "judi bola" ini. Mereka semua tergamam kerana PM Najib Razak sanggup merelakan judi bola diluluskan gara-gara tidak mahu rakyat terjebak dengan judi bola haram. Malah, rakyat sebenarnya gusar jika isu ini tidak ditangani dengan betul lama kelamaan kerajaan UMNO BN akan mewujudkan pula lesen pusat pelacuran bagi mengelakkan daripada aktiviti pelacuran haram. Malah, akhirnya "anak haram" akan dijadikan "anak halal" gara-gara kealpaan pemimpin UMNO yang bertopengkan Islam itu. Maka itu, ayuh sekalian rakyat dan umat Islam beramai-ramai kita berhimpun dan nyatakan sokongan untuk membantah pemberian lesen judi bola sepak kepada kumpulan Berjaya ini pagi esok!].

Panas: Kapal BN Terus Bergelora, Muhyiddin Nafi Kononnya UMNO Terlibat Merancang Gulingkan Presiden Seumur Hidup Parti MIC Si Samy Vellu !!

Bagai sudah ditakdirkan, akhirnya tanda-tanda pakatan karat Barisan Nazak (BN) bakal karam semakin terserlah. Ini berikutan perbalahan yang berlaku dalam parti-parti komponen mereka dilihat bertambah kritikal sekarang Bermula dengan UMNO, kemudian Parti Progresif Rakyat (PPP) dan kemudiannya MCA dan terbaru serta sedang hagat diperkatakan sekarang ini ialah parti ketiga terbesar mereka iaitu MIC. Semua ini berlaku akibat keengganan, presiden seumur hidup MIC berundur selepas 31 tahun menerajui parti itu. Siapa lagi kalau bukan si Samy Vellu. Sebelum ini, beliau dilihat telah mencetuskan polimik dengan kepimpinan tertinggi BN bila mana tidak bersetuju dengan calon pilihan BN untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor. Kekalutan tersebut memaksa pimpinan tertinggi BN menukar calon disaat akhir dengan menolak Palanivel (pilihan Samy Vellu) dan Mugilan (pilihan UMNO). Akhirnya nama P.Kamalanathan terpilih sebagai jalan penyelamat untuk BN merampas kuasa di parlimen itu. Samy Vellu awal-awal lagi mahukan Palanivel iaitu Timbalan Presiden MIC menjadi calon, namun bantahan keras dibuat oleh puak-puak UMNO sendiri hingga memaksa Pengarah Pilihanraya BN iaitu Muhyiddin Yassin mencari jalan penyelesaiannya. Tindakan Muhyiddin memilih Kamalanathan jelas sekali mengecewakan penyokong Palanivel dan Si Samy sendiri, bagi mereka calon tersebut juga adalah pilihan UMNO selepas si Mugilan.

Anak Samy Dedah UMNO Punca Masalah MIC

Perkembangan ini amat menarik sebenarnya. Maka akhirnya "bom jangka" yang sudah lama tersimpan itu akhirnya meletup pabila Mugilan dipecat dari MIC oleh Samy Vellu baru-baru ini. Semua itu lantaran kenyataan banggang Samy kononnya beliau akan melepaskan jawatan Presiden MIC pada tahun 2012. Ini menyebabkan pemimpin pemuda MIC seperti Mugilan amat kecewa dan akhirnya "menentang arus". Mugilan membuat sidang media supaya Samy Vellu melepaskan jawatan segera dan bukannya menunggu sehingga tempoh yang dijanjikan. Akhirnya, Samy Vellu menjadi panas hati dan memecat beberapa orang lagi pemimpin MIC yang disyaki menyokong kenyataan Mugilan. Malah Samy Vellu semakin tertekan bilamana mendengar Mugilan mahu mengadakan protes besar-besaran bagi menjatuhkan dirinya. Tindakan Mugilan menubuhkan GAS (Gerakan Anti Samy Vellu) jelas sekali memaksa beliau mengambil tindakan drastik dengan memberi amaran ramai lagi pemimpin MIC yang menyokong Mugilan akan dipecat. Maka, akhirnya pertembungan "buku dengan ruas" berlaku, apabila Samy Vellu bertindak menuduh UMNO menjadi dalang bagi menjatuhkannya. Beliau bijak dengan menggunakan anaknya, Vell Paari (foto) untuk menjadi jurucakapnya. Akhirnya anak Samy mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO yang menjadi punca masalah dalaman MIC. Kenyataan ini disangkal oleh TPM Muhyiddin dan menuduh Vell Paari biadap. Malah, Muhyiddin Menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan mahu anak Samy menghentikan tindakan yang tidak bertanggungjawab itu. Soalnya, benarkah UMNO tidak terlibat?

Terbukti Memang UMNO Yang Sokong Mugilan

Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Umum mengetahui bahawa pemimpin UMNO sebenarnya yang beriya-iya cuba mencalonkan Mugilan sebagai calon BN di Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor dulu. Malah, perkara ini juga telah didedahkan oleh pihak media. Maknanya, memang UMNO yang cuba "membakar kelambu MIC", tambahan pula Presiden MIC mahukan Palanivel menjadi calon sebenarnya. Soalnya, siapakah yang mencalonkan Mugilan jika bukan Pengarah Pilihanraya BN di Hulu Selangor iaitu Muhyiddin Yassin?. Maknanya, kemungkinan besar tindakan Mugilan menubuhkan GAS itu juga adalah ditanggung halal oleh UMNO. Tambahan pula mereka juga kecewa dengan tindakan Samy memecat Mugilan yang menjadi "ayam tambatan" mereka dulu. Bersandarkan kepada kenyataan beberapa pemimpin UMNO termasuk mantan Perdana Menteri Mahathir yang mahukan Samy melepaskan jawatannya dulu. Maka, kita amat yakin bahawa kenyataan anak Samy Vellu itu ada kebenarannya. Cuma yang menjadi masalah kini, pemimpin UMNO seolah-olah lupa apa yang mereka lakukan. Sungguh lucu apabila ada pemimpin yang mengatakan UMNO tidak pernah masuk campur dengan urusan parti komponen BN yang lain.

[Ramai yang menjangkakan, tindakan UMNO mendesak supaya Samy Vellu berundur bakal menikam diri sendiri. Malah, sikap segelintir pemimpin UMNO yang mengutuk bulat-bulat kenyataan anaknya, Vell Paari bakal mengundang musibah yang lebih besar sebenarnya. Malah, ramai rakyat tahu bahawa UMNO memang beriya-iya mahu riwayat politik Samy dikapankan segera. Mereka sudah tidak tahan lagi menanggung "biawak hidup" yang bakal membawa malapetaka yang lebih besar buat BN dalam pilihanraya umum akan datang. Tindakan Samy untuk terus berkhidmat sehingga 2012 dilihat sengaja mencari helah bagi meneruskan kuasanya. Apalah yang boleh dilakukan Samy selepas dia mengabaikan peluang membela nasib kaum India selama leboh 30 tahun menerajui parti MIC. Inilah hakikatnya dan apakah desakan yang dibuat supaya Samy berundur itu bakal menyebabkan MIC keluar dari BN?. Jika ini berlaku, pastinya ia satu bencana besar buat pakatan karat itu dalam pilihanraya umum nanti]

Tuesday, May 25, 2010

Rasuah: Zaid Ibrahim Menfailkan Petisyen Untuk Isytiharkan Keputusan Hulu Selangor Tidak Sah!

KUALA LUMPUR, 25 Mei [8.10 am] - Datuk Zaid Ibrahim (foto), semalam memfailkan petisyen bagi mengisytiharkan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor itu tidak sah. Beliau mendakwa berlakunya amalan rasuah yang berleluasa oleh pencabarnya. Petisyen itu difailkan dengan hujah calon BN, P Kamalanathan telah “secara langsung ataupun tidak” mengetahui tawaran yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa berkempen. "Petisyen tertumpu kepada janji RM3 juta oleh Najib (kepada SRKJ (C) Rasa) dan tawaran-tawaran kepada peneroka Felda," kata peguamnya Malik Imtiaz Sarwar. Petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi Tetuan Thomas Philip itu, menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Hulu Selangor Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan. Pada sidang media sebelum ini, Zaid mendakwa jentera dan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) mengamalkan rasuah melalui pelbagai janji yang dibuat untuk meraih undi rakyat. Katanya, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa gagal mengendalikan pilihan raya kecil itu dengan adil. Pada pilihan raya itu, calon BN, P Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.

[Tindakan Zaid ini amatlah wajar sekali, selepas melihat betapa rakusnya pemimpin UMNO BN terutamanya PM sendiri yang rela membuat janji rasuah semata-mata mahu memenangi hati rakyat. Selama ini mereka bebas melakukannya kerana calon pembangkang bukanlah orang yang pakar dan arif tentang undang-undang yang dipalsukan itu. Kini "buku bertemu ruas" apabila ia terkena kepada Zaid yang juga merupakan seorang peguam yang hebat di negara ini. Ini sajalah caranya untuk mengajar pemimpin UMNO BN cara amalan demokrasi itu dilaksanakan dalam pilihanraya. Anehnya, pihak SPR sendiri menyokong tindakan PM itu. Malah, Setiausaha SPR Wan Ahmad relah "melacurkan" tanggungjawabnya bagi mempertahankan kerajaan BN. Ini jelas membuktikan bahawa SPR memang talibarut dan proksi BN sebenarnya. Mujurlah mereka akhirnya ditumpaskan dengan "suara rakyat". Jika mengharapkan perjalanan pilihanraya yang telus dan adil, jauh sekali. SPR dibutakan mata dan hati untuk melihat kepincangan berlaku dalam undang-undang dan peraturan pilihanraya yang telah mereka tetapkan sendiri itu].

Edisi Pahang: Adnan Yaakub, ADUN Kerdau Kini Mampu Berkomunikasi Melalui Mata Tetapi Masih Belum Mampu Untuk Bercakap Biarpun Dia Stabil

NONEKUALA LUMPUR, 25 Mei [7.29 am] - Anggota Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim (foto), yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur sudah mampu memberikan respon melalui komunikasi mata, kata Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob. Katanya, Zaharuddin bagaimanapun belum berupaya untuk bercakap dan keadaan beliau stabil. Beliau sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh kerana penyakit ulser dan telah menjalani pembedahan. Bagaimanapun doktor yang merawatnya turut mengesan beliau mengalami komplikasi jantung dan memindahkannya ke IJN pada 9 Mei lalu. Sebelum ini (23 Mei) beliau telah ditempatkan di Unit Rawatan Jantung (CCU) dan juga dikatakan stabil pada hari tersebut.

[Kami amatlah berharap agar Datuk Zaharuddin Abu Kassim dapat pulih seperti biasa untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasannya. Biarpun berbagai spekulasi kini melanda kononnya pilihanraya kecil DUN Kerdau pasti akan berlaku pada bila-bila masa, namun sebagai manusia sesama Islam usahlah kita mendoakan perkara itu kerna ia lebih memilukan hati keluarga ADUN terbabit. Namun, semua spekulasi ini tidak dapat dihalang dan rakyat sebenarnya amat menunggu pilihanraya kecil di mana-mana sekarang ini. Ia akibat sikap UMNO BN yang gemar menaburkan wang dan projek-projek pembangunan setiap kali adanya pilihanraya kecil. Malah, ramai yang mengharap agar itu sahaja jalan untuk mereka bermewah-mewah dan mendapat segala yang dijanjikan dengan cepat. Kini kerajaan terpaksalah menerima hakikat itu. Rakyat tidak boleh disalahkan, kerana memang mereka mengharap pilihanraya kecil di kawasan mereka demi habuan yang bakal datang mencurah-curah. Soalnya, siapakah yang telah mengajar rakyat tentang semua itu agaknya ].

Monday, May 24, 2010


Mohd Shafik dan adiknya Nurul Anis sayu melihat buku-buku sekolah mereka hangus setelah rumah nenek mereka terbakar di Felda Bukit Sagu Satu, Kuantan semalam. Ekhsan (Mstar)

Sunday, May 23, 2010

Panas: Isu Judi Bola Sepak Piala Dunia, Akhirnya Mantan PM Si Pak Lah Badawi Pula Berbunyi Dan Kritik Keputusan Kerajaan UMNO Lulus Lesen Itu

Kerajaan UMNO Barisan Nasional kini menerima tamparan lebih hebat dalam isu "Judi Bola Sepak Piala Dunia 2010". Jika sebelum ini mereka memandang rendah kepada desakan rakyat agar lesen kebenaran judi yang telah diberikan kepada Berjaya Group itu ditarik balik. Terbaru, kenyataan mempertikai dan mengutuk isu tersebut diluahkan oleh Mantan Perdana Menteri mereka sendiri iaitu Pak Lah Badawi (foto). Semalam, Pak Lah bersetuju agar kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat berhubung keputusan meluluskan lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan yang akan berlangsung awal bulan depan itu bermula. Malah, menurut Pak Lah lagi pihak pihak yang telah meluluskan lesen itu perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya pandangan yang telah disuarakan. Katanya bagi orang Islam, judi tidak dapat diterima dan dan begitu juga orang bukan Islam yang turut tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Kenyataan Pak Lah ini sedikit memeritkan telinga pemimpin UMNO BN terutamanya Perdan Menteri Najib Razak sebenarnya. Jika selama ini, Pak Lah banyak berdiam diri dalam banyak isu selepas melepaskan jawatannya Mac tahun lalu. Kini beliau seolah-olah mula cuba untuk campur tangan terhadap pentadbiran Najib. Inilah yang berlaku kepadanya dulu, bila Mantan PM Mahathir sering kritik pentadbirannya.

[Nampaknya, pentadbiran Najib sedikit kucar kacir sekarang ini. Siapa yang mahu didahulukan, rakyat atau kroni si Vincent Tan?. Nampak benar pemimpin UMNO BN tidak cakna rakyat bila sanggup meluluskan lesen judi kerana nak menghalang orang berjudi secara haram. Bukankah penguatkuasaan sudah ada dan mereka yang melakukan aktiviti perjudian itu boleh ditahan dan didakwa di mahkamah. Kenapa perlu dilesenkan?. Inilah dia dasar Islam UMNO bila tergamak menggadaikan maruah agama untuk kepentingan peribadi pihak tertentu. Bayangkan, jika inilah keadaannya maka satu hari nanti aktiviti perzinaan akan diberikan lesen bagi menggelakkan banyaknya pusat pelacuran haram di negara kita. Islam dipermainkan sesuka hati, tetapi kenapa majoriti pemimpin dan penyokong UMNO berdiam diri?. Pak Lah berani bersuara kerana beliua sudah tidak tahan dengan apa yang berlaku. Di mana Ibrahim Ali dan Perkasa yang kononnya beriya-iya benar mahu membela Islam dan Melayu itu agaknya?. Kenapa tidak menikus dalam isu sensistif seperti ini?].

Saturday, May 22, 2010

Edisi Pahang: ADUN Kerdau, YB Zaharuddin Abu Kassim Kembali Kritikal Dan Kini Dirawat Di IJN!

KUANTAN, 22 Mei [10.32 pm] - Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim (foto), dilaporkan kini kembali berada dalam keadaan kritikal. Beliau kini difahamkan tidak sedar dan berada dalam keadaan koma. Malah, jantung dan paru-paru beliau juga dikatakan berada dalam keadaan lemah dan perlu menerima rawatan rapi sekarang. Beliau sebelum ini telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Mei lalu selepas berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh. Beliau dimasukan ke Hoshas pada 3 April lalu setelah mengadu sakit di bahagian perut. Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob sebelum ini melaporkan bahawa ADUN terbabit kian pulih. Malah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Aziz Mohd Yusof pada hari yang sama menolak spekulasi mengenai keadaan beliau yang sedang dirawat selepas menjalani pembedahan ekoran kebocoran usus pada 3 Mei 2010. Rakyat diseluruh negara kini tertumpu ke kawasan terbabit, kerana jika kesihatan dan sesuatu yang diluar jangkaan berlaku maka kemungkinan besar satu lagi pilihanraya kecil akan dapat disaksikan dalam masa terdekat ini. Apapun, kita berharap agar beliau akan kembali pulih seperti biasa dan dapat meneruskan perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.

[Jika pilihanraya kecil ditakdirkan berlaku di kawasan terbabit, sudah pasti ianya agak mencabar dan mendebarkan. Tambahan pula BN kini kurang selesa dengan pilihanraya kecil selepas mereka tewas di Parlimen Sibu baru-baru ini. Zaharudin, menang kerusi DUN Kerdau dalam pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim. Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus lain-lain kaum. Apapun, sama-sama kita nantikan perkembangan terkini tentang perkara ini dari masa ke semasa].

Thursday, May 20, 2010

Eksklusif: Dek Kerana Cabaran Debat, Akhirnya Presiden Seumur Hidup MIC Si Samy Vellu Pecat Timbalan Ketua Pemuda Parti Kaum India Itu !!


Hebat benar Presiden MIC, Si Samy Vellu (foto). Masyarakat kaum India sebenarnya sudah tidak boleh percaya kenyataan yang dibuat oleh pemimpin tersebut bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Presiden parti itu sebelum tamat penggal memegang jawatan pada 2012. Samy Vellu yang menerajui MIC selama 31 tahun, mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatannya dalam tempoh 'lapan atau sembilan' bulan sebelum penggalnya sekarang tamat (Mei 2012). Ramai yang tidak percaya dengan kenyataan Samy ini. Malah, tindakan beliau yang tidak mahu berundur selepas dirinya sendiri kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12 lalu amat mengejutkan. Tambahan pula, ramai pemimpin yang seangkatan dengannya seperti Lim Liong Sik (MCA), Lim Kheng Yeik (Gerakan) dan termasuk juga Mahathir Mohamad (UMNO) sendiri. Maknanya, semua pemimpin utama parti terbesar BN itu sudah pun memberi laluan kepada muka baru untuk menerajui parti masing-masing. Anehnya, kenapa Samy Vellu enggan berbuat demikian?. Malah beliau masih ingin terus berkuasa sehingga 2012, maknanya beliau mungkin mahu menjadi calon BN lagi dalam Pilihanraya Umum ke-13 andai ia berlaku dalam tahun tersebut. Bayangkan jika beliau menang?, Apakah Samy Tol ini akan meletakkan jawatan?. Maknanya beliau pasti akan mengatakan bahawa khidmatnya masih diperlukan oleh parti. Akhirnya Samy akan menjadi Presiden MIC seumur hidup. Maka, kempunanlah pemimpin kanan parti itu yang sudah lama bersedia untuk mengambil alih kepimpinan MIC. Samy juga seperti biasa tidak suka ada orang mahu berlawan dengannya. Sesiapa sahaja yang cuba menjatuhkan beliau pasti akan dipancungnya. Malah ramai pemimpin popular MIC yang terus terkorban akibat cuba menentang beliau suatu ketika dulu. Soalnya sekarang, apakah masyarakat kaum India masih memerlukan khdimat Samy Vellu mewakili mereka lagi agaknya?.

Samy Gagal Perjuang Nasib Masyarakat India

Tinjauan kami mendapat, majoriti kaum India tidak mahu lagi kelibat Samy Vellu memimpin parti itu. Ramai yang menganggap Samy "tidak sedar diri" dan "masih anggap dirinya popular" sedangkan kaum India kini sudah menolak MIC dan mula menyokong parti alternatif seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memperjuangkan nasib mereka. Masing-masing bosan dengan Samy Vellu, namun beliau masih mahu terus berkuasa sedangkan dirinya sudah tidak bernilai lagi di sisi masyarakat kaum India. Samy banyak memperkayakan diri dan kroni-kroninya sedangkan dalam masa yang sama gagal membangunkan tahap kehidupan kaum India di negara ini sejak sekian lama. Malah beliau kini bukan lagi Ahli Parlimen (wakil rakyat) atau pun Menteri Kabinet dalam kerajaan BN seperti dulu. Maknanya, Samy perlu melepaskan jawatannya sekarang dan tidak perlu menunggu hingga tahun 2012 sebenarnya. Kaum India seluruh negara ramai yang menolak BN dalam pilihanraya umum lalu majoritinya mengatakan mereka benci dengan Samy Vellu dan mahu membuat protes terhadap pemimpin itu. Lantaran itulah Samy kecundang di kerusi parlimen tradisinya iaitu Sungai Siput. Jangkaan kita, selepas dimalukan Samy akan mengundur diri. Rupanya beliau masih mahu menerajui MIC sejak dulu kini dan mungkin untuk selama-lamanya. Justeru itulah sesiapa sahaja yang cuba menghalang atau mengecam beliau pasti akan dijadikan mangsanya.

Kerana Dendam, Samy Akhirnya Pecat Mugilan

Terbaru Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan (foto) dipecat daripada parti itu. Semuanya kerana tindakan Mugilan mendesak Samy meletakkan jawatan Presiden MIC sebelum akhir tahun ini kerana kepimpinan beliau sudah tidak diperlukan oleh kebanyakan masyarakat India. Mugilan yang pernah diwar-warkan bakal calon BN di Hulu Selangor itu dikatakan telah mencabar Samy untuk berdebat secara terbuka dengannya pada Ahad ini bagi membuktikan sepanjang 11 penggal menerajui parti, Samy gagal menaikkan taraf hidup masyarakat India. Akibat dendam dan terkejut dengan cabaran Mugilan itu, akhirnya beliau dikenakan tindakan. Soalnya sekarang apakah pimpinan BN akan berdiam diri dengan tindakan tersebut. Malahan, Mugilan adalah harapan UMNO buat kaum India sebenarnya. Pemecatan Mugilan bakal menimbulkan kemarahan pemimpin UMNO juga. Maka, sudah pasti mereka akan mencari jalan untuk menjatuhkan Samy Vellu selepas ini. Tambahan pula, dalam pemilihan agung parti itu sebelum ini, Mantan PM Mahathir juga ada mengeluarkan kenyataan supaya Samy berundur dan memberi peluang kepada muka baru memimpin parti itu. Namun, Samy tetap memekakkan telinganya. Apakah dengan tindakan beliau memecat Mugilan itu, riwayat politik Samy akan dikuburkan dalam masa terdekat ini. Sama-sama kita nantikan adengan seterusnya politik bekas Menteri Kerja Raya ini.

[Kasihan benar melihat nasib Timbalan Ketua Pemuda MIC Si V.Mugilan ini,sudahlah namanya ditolak sebagai calon BN di Hulu Selangor oleh Presiden MIC itu. Kini dia pula dipecat terus dari parti gara-gara cuba menunjukkan cara berpolitik sebenar kepada Si Samy. Soalnya sekarang, apakah tindakan Samy ini mendapat restu seluruh kepimpinan parti?. Inilah yang menghairankan kita sebenarnya. Samy seolah-olah begitu berkuasa untuk memecat sesiapa sahaja yang cuba menentang atau ingin memperbetulkan perjalan parti terbesar kaum India itu. Pemecatan Mugilan ini mengingatkan kembali kepada kita ketika Mahathir memecat Anwar Ibrahim pada 2 September 1998 dulu. Gara-gara Anwar ingin memperbetulkan perjalanan parti dan cuba membuar perubahan dari dalam menyebabkan dia terpelanting keluar. Namun, nasib Mugilan tidak sehebat Anwar yang ditelanjangkan bulat-bulat oleh Mahathir selepas dipecat. Apapun, begitulah nasib mereka yang cuba membawa perubahan dan mempertikaikan orang yang memegang kuasa. Semoga pergolakan yang berlaku dalam MIC ini akan berlarutan hingga pilihanraya umum akan datang. Jika ia makin serius maka lengkaplah pergolakan MCA, PPP dan MIC dalam BN itu nanti. Ia secara tidak langsung akan menghilangkan sokongan rakyat terhadap pakatan karat itu nanti].

Edisi Pahang: Tragedi Kebakaran Pondok Kecil Di Keratong Satu, Nenek Berusia 70 Tahun Rentung

KUANTAN, 21 Mei [1.45 am] - Seorang nenek berusia 70 tahun ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah pondok kecil di Felda Keratong Satu, Rompin awal hari ini. Wanita yang dikenali sebagai Minah Mahmud itu dikatakan tinggal seorang diri di dalam pondok yang terletak di bahagian belakang rumah anaknya itu. Pemangku Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Muadzam Shah Rahmat Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada pukul 1.55 pagi semalam. "Sebuah jentera dengan lapan anggota dihantar ke tempat kejadian tetapi kami gagal menyelamatkan mangsa selepas pondok kecil itu musnah terbakar," katanya. Punca dan jumlah kerugian kini masih disiasat.

[Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terbabit. Persoalannya kenapakah wanita yang berusia 70 tahun itu boleh ditinggalkan seorang diri dalam sebuah pondok kecil oleh anaknya. Sungguh hina anak-anak terbabit, hingga membawa malapetaka kepada nenek tua itu. Sampainya hati anak terbabit. Jika sebelum ini kita dengar ibu bapa dihantar ke rumah orang-orang tua, itu pun kita rasa tidak patut sebenarnya. Kini, bila berlaku insiden seperti itu maka barulah kita tahu ada manusia yang tergamak buat begitu pada ibunya sendiri. Akhirnya si ibu mati akibat kebakaran yang berlaku awal pagi semalam. Bukankah ini sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi, tambahan pula ia melibatkan peneroka felda. Jika anaknya seorang tokoh korporat atau usahawan yang berjaya di kotaraya, mungkin ia tidak menghairankan kita. Inilah dunia sebenarnya, segala benda boleh terjadi hatta di pedalaman sekalipun].

Edisi Pahang: Sikap Pengguna Buat Belian Panik Antara Punca Utama Gula Kurang Di Negeri Ini !!

KUANTAN, 20 Mei [5.30 pm] - Sikap pengguna yang membuat pembelian panik merupakan antara punca utama berlakunya kekurangan bekalan gula di beberapa kawasan di Pahang, kata Ketua Seksyen Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Pahang, Md Nawawi Ab Rahman. Beliau berkata, jumlah bekalan gula di Pahang bagi menampung 1.6 juta penduduk negeri itu sebenarnya amat mencukupi, dengan 1,700 hingga 1,900 metrik tan gula dibekalkan di Pahang setiap bulan. "Jumlah itu mencukupi bagi menampung keperluan penduduk di Pahang ini, jadi masalah bekalan gula di Pahang sepatutnya tidak berlaku," katanya hari ini. Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai masalah bekalan gula yang dikesan terutamanya di daerah Kuantan, Bera dan Temerloh. Md Nawawi berkata, berdasarkan tinjauan, pihaknya mendapati masalah kekurangan itu bukanlah disebabkan kekurangan bekalan atau sebab lain seperti tindakan para peniaga menyorok bekalan. "Pengguna juga tidak perlu panik dengan khabar angin kononnya harga gula akan naik atau stok bekalan berkenaan berkurangan," katanya dan menambah pihaknya sentiasa memantau keperluan gula di seluruh daerah di Pahang. "Kita sentiasa pantau, bukan sahaja bekalan barang, tapi juga harga, dan laporan yang diterima setakat menunjukkan bekalan gula di Pahang mencukupi," katanya.

[Terkadang rakyat Pahang sendiri pening memikirkan kenyataan yang dibuat ini. Pembelian panik, sedangkan memang berlaku kekurangan bekalan tersebut sejak tahun lepas lagi. Malah, sudah beberapa kali menteri berkenaan yang juga merupakan mengeluarkan kenyataan kononnya masalah itu tidak akan berlaku lagi. Namun semakin banyak kenyataan dibuat semakin kerap pula ia terjadi. Kenapa mahu disalahkan pengguna atas senario ini. Kerajaan yang sepatutnya mengambil tindakan tegas dan drastik untuk mengawal segala yang berlaku. Apakah ia akan berlarutan hingga pilihanraya umum akan datang. Jika ini berlaku, sudah pasti ia akan menjadi modal untuk rakyat menolak UMNO BN nanti. Wajarlah Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob ambil perhatian serius perkara ini jika tidak mahu kecundang dalam PRU-13 akan datang].

Wednesday, May 19, 2010

Panas: Tindakan Balas Dendam BN Akibat Kecewa Di Sibu, Seorang Lagi ADUN DAP Bakal Digantung

Bagai sudah dijangka, amuk puak-puak BN tidak berakhir disitu. Selepas Speaker DUN Sarawak menggantung ADUN Pakatan Rakyat iaitu Dominique Ng Kim Ho (Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Padungan) dan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) semalam, kini bagai menerima arahan beliau sekali lagi bakal mengambil tindakan yang sama terhadap seorang lagi ADUN DAP iaitu Ting Tze Fui - foto (Maradong). Beliau telah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, dewan Undangan Negeri Sarawak berhubung satu kenyataan yang dibuatnya November lalu. Beliau juga akan dihadapkan ke jawatankuasa itu Jumaat ini berikutan usul yang diluluskan oleh Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Wong Soon Koh pada persidangan DUN hari ini. Tindakan drastik yang dilakukan ini jelas sekali merupakan satu usaha untuk menghalau perwakilan Pakatan Rakyat di DUN Sawarak. Menurut ahli Parlimen Sibu, Wong Ho Leng penggantungan ADUN DAP semalam dan cadangan mengheret Ting ke jawatankuasa khas itu sebagai dendam BN atas kekalahan kerusi Sibu, Ahad lalu.

[Bagai sudah ditakdir, inilah akibatnya bilamana ada pihak yang tidak dapat menerima kekalahan dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini. Mereka bebas melakukan apa saja kerana kuasa masih ada ditangan mereka. Tunggulah sehingga pilihanraya umum negeri yang akan berlaku tidak lama lagi, pasti rakyat akan menghukum sikap "kurang ajar" mereka ini sebenarnya. Oleh itu, rakyat Sarawak perlu bersabar dengan kerenah BN yang sedang menggila sekarang ini. Dengan terhukumnya ketita-tiga ADUN terbabit, maka hanya tinggal lagi empat sahaja ADUN Pakatan Rakyat yang akan bersuara di DUN Sarawak nanti].

Panas: Skandal Poligami Tanpa Kebenaran, Bung Mokhtar Dan Zizie Izette Di Denda RM1,000 Atau Sebulan Penjara Penjara Oleh Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR, 19 Mei [11.28 am] - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin hari ini dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 kerana berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah. Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak dekat sini awal pagi ini. Manakala isterinya, pelakon Zizie Izette A. Samad dikenakan denda maksimum RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda hari ini. Sementara itu, mahkamah berhenti rehat sehingga pukul 12 tengah hari bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan afidavit untuk menangguhkan hukuman. Bung dikatakan telah berkahwin dengan Zizie hujung tahun lalu. Dalam perbicaraan awal mereka di mahkamah yang sama pada 20 April baru-baru ini, Bung telah mengaku bersalah kerana melangsungkan perkahwinan keduanya tanpa izin dan kebenaran pendaftar nikah dan pihak mahkamah terlebih dahulu.

[Nampaknya, Bung Mokhtar bakal kelemasan dengan skandal yang berlaku ke atas dirinya itu. Apakah beliau akan terus berkokok dan menjadi ayam tambatan BN lagi di parlimen selepas ini. Berkahwin tanpa kebenaran jelas sekali menunjukkan bahawa pemimpin BN itu tidak faham undang-undang yang tercipta dalam kerajaannya sendiri. Malah, kemungkinan besar akibat malu dengan kejadian ini bakal membuatkan Bung "hilang seketika" selepas ini. Apakah beliau sedia menyahut cabaran agar dia melepas jawatannya selepas sengaja mencari pasal itu. Kita amat kecewa dengan hukuman yang diterimanya. Bayangkan kedua-duanya hanya perlu membayar RM1,000 untuk kesalahan sensasi seperti itu. Bukankah ini akan menggalakkan lebih ramai lelaki di Malaysia ini kawin dua tanpa kebenaran selepas ini. Bahkan jumlah denda sebanyak itu dipejam sebelah mata oleh mereka untuk membayarnya. Tambahan pula Bung adalah Ahli Parlimen BN yang pastinya berupaya membayar tanpa kesulitan pun].

Panas: Dua ADUN Pakatan Rakyat Kini Digantung Setahun Akibat Dendam Taib Mahmud Dek Kerna Kekalahan BN Di Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu!

Kekalahan BN dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu baru-baru ini, memberi tamparan besar kepada kepimpinan Taib Mahmud "uban putih" (foto) di Bumi Sarawak. Susulan kekalahan itu, berbagai tuduhan telah dilemparkan terhadap kepimpinan tertinggi BN disana. Malah Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi sendiri menyatakan bahawa kegagalan parti komponen BN termasuk parti yang bertanding (SUPP) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu untuk menterjemah kesungguhan Perdana Menteri, Najib Razak bagi mendahulukan rakyat merupakan antara punca kekalahan parti itu kepada DAP. Ekoran kekalahan itu, Perdana Menteri melahirkan kekecewaannya dengan prestasi jentera parti BN yang menurut Najib, mereka tidak memiliki kreativiti untuk mematahkan strategi DAP selain tidak kuat berkerja. Dalam pada itu, Zahid juga berkata, masalah dalaman Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga dikenal pasti sebagai salah satu faktor berlaku penolakan rakyat. Masing-masing tidak dapat menerima kekelahan tersebut, sedangkan kerajaan menjanjikan peruntukan sehingga mencecah RM5 bilion untuk pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan itu. Semua ini mengundang seribu persoalan, dan mereka tidak dapat menerima hakikat kekalahan yang amat memalukan itu. Tambahan pula Parlimen Sibu adalah kubu kuat BN dan terletak dalam zon selesa "talian hayat" BN untuk terus berkuasa memerintah negera ini. Ramai yang melihat kekalahan itu akan memberi impak yang cukup besar sokongan rakyat terhadap BN dalam pilihanraya negeri yang dijangka akan diadakan pada tahun depan itu nanti.


YB Dominique Ng dan YB Chong Chieng Jen yang digantung

Susulan kekalahan tersebut, Taib Mahmud "uban putih" bagai cacing kepanasan "mandi tak basah tidur pun tak lena". Mungkin beliau boleh sakit jantung kerana tidak tahan untuk menjawab panggilan telefon daripada kepimpinan BN pusat akibat kegagalan itu. Semua ini menyebabkan Taib Mahmud semakin rakus dan bertindak untuk membalas dendam terhadap rakyat terutamanya pemimpin pembangkang di negeri itu. Maka, semalam segala dendam kesumat itu akhirnya dinatijahkan apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang digantung daripada menghadiri sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selama 12 bulan berkuat kuasa serta merta. ADUN terbabit iaitu Dominique Ng Kim Ho (Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Padungan) dan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) digantung atas kesalahan yang dilakukan semasa sidang DUN, Mei tahun lalu. Dominique digantung kerana menghina Dewan dengan mengeluarkan kenyataan 'Kanggaroo Court' manakala Chieng Jen membuat tuduhan liar terhadap Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman. Kedua-dua kes tersebut kemudian dirujuk kepada Jawatankuasa Keistimewaan DUN sebelum keputusan penggantungan dibuat menerusi kiraan undi daripada ahli dewan berdasarkan sistem kiraan majoriti. Seramai 61 ahli terlibat dengan pengundian iaitu 53 ahli bersetuju dengan penggantungan Dominique manakala tujuh menentang dan satu undi lagi berkecuali. Sementara itu, seramai 60 ahli dewan mengundi berhubung penggantungan Chieng Jen iaitu 54 bersetuju manakala enam lagi menentang. Keputusan penggantungan kedua-dua ADUN berkenaan kemudiannya diumumkan Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar.

[Aneh benar hukuman yang dikenakan hanya beberapa hari selepas berakhirnya Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu itu. Apapun yang terjadi, siri penggantungan ini akan diteruskan lagi selepas ini bilaman Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen gara-gara membangkitkan isu APCO dan Israel di Dewan Rakyat baru-baru ini. Itulah sahaja strategi terbaru BN bagi melumpuhkan kekuatan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Agenda mereka sekarang ialah membeli dan menggantung. Maka itu kita tidak hairan selepas ini ramai lagi yang akan berhadapan dengan tindakan ini melainkan yang menyokong mereka. Inilah dia ciri-ciri politik kelas tiga yang dilakukan oleh parti yang sudah terdesak dan mahu kekal berkuasa tanpa sokongan rakyat. Semoga UMNO BN bakal berkubur dalam pilihanraya umum ke-13 nanti hendaknya].

Tuesday, May 18, 2010

Panas: Terbongkar, Aziz Yusof Penipu Bila Tuduh Agen DAP Halang Pegawai SPR Bawa Keluar Peti Undi Pos Pilihan Raya Kecil Sibu hari Ahad Lalu !!

Sungguh tidak disangka, seluruh rakyat Malaysia ditipu lagi oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Semalam, akhbar arus perdana melaporkan bahawa gara-gara petugas DAP menyebabkan peti undi pos yang sudah dikira lambat tiba di pusat penjumlahan undi. Maka rakyat yang tidak tahu apa-apa pun percaya bulat-bulat kenyataan SPR itu. Malah, Pengerusi SPR Abdul Aziz Yusof (foto) berkata agen parti DAP sebenarnya yang menghalang pegawai suruhanjaya itu daripada membawa keluar peti undi pos yang sudah dikira di Tingkat 9, Wisma Sanyan, untuk dibawa ke Dewan Suarah Sibu, kira-kira tiga kilometer dari situ, untuk penjumlahan undi. katanya. "Penolong pegawai pengurus pilihanraya yang mengendalikan urusan pengiraan undi pos terpaksa memanggil polis untuk mengawal penyokong parti terbabit,""Inilah kali pertama saya melihat keadaan seperti ini berlaku selain pegawai kerap diganggu agen parti," katanya lagi. Ekoran itu, keputusan pilihanraya kecil Sibu hanya dapat diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya, Wong See Meng kira-kira jam 11 malam tadi, walaupun SPR sebelumnya menjangka keputusan dapat diumumkan pada 9 malam. Kami cuba menjejaki apakah yang berlaku sebenarnya di sana. Ini kerana jika kiraan berpihak kepada BN sudah pasti keputusan akan diumumkan sepantas kilat. Inilah dia sikap bacul SPR yang kononnya melaksanakan pilihanraya yang telus dan adil untuk rakyat Malaysia.


Bukti, adakah Pegawai SPR ini dihalang Agen DAP seperti yang dikatakan?
Nampak benar Pengerusi SPR Si Aziz Yusof ini cuba buat kontroversi lagi
Daripada beberapa gambar yang kami perolehi (foto), ternyata Pegawai SPR yang membawa peti undi pos itu tidak langsung dihalang oleh agen DAP seperti yang diperkatakan oleh Aziz Yusoff. Malah, petugas DAP (Pakatan Rakyat) juga hanya menggunakan lif selepas semua pegawai SPR selesai memunggah peti-peti undi pos untuk dibawa ke pusat penjumlahan undi pilihanraya kecil Sibu itu. Makanya, mana bukti yang mengatakan agen DAP mengganggu pegawai SPR itu agaknya?. Apa yang kita tahu, pegawai SPR sengaja enggan memberikan Borang 15 kepada Agen DAP dan terdapat kejadian "blackout" ketika suasana suspen itu berlaku. Difahamkan, SPR mahu peti undi tersebut dikira semula selepas mendapat arahan daripada pihak BN. Soalnya sekarang, siapa yang sengaja melambat-lambatkan permainan ini?. Malah, awal-awal lagi ketika diwawancara oleh TV3, Pengerusi komponen BN (SPR) itu telah bercakap "belit-belit macam ular" bila mengubah angka peratusan keluar mengundi dan tiba-tiba dia tahu keputusan akan dibuat selepas jam 10.00 kerana ada beberapa masalah yang tidak dielakkan. Sedangkan temubual dengan TV3 itu dilakukan sejak awal lagi. Soalnya, kenapa Aziz boleh tahu kejadian yang akan berlaku di sebelah malamnya?. Ini semua menimbulkan syak wasangka bahawa SPR itu "badan bebas" atau "komponen BN" sebenarnya. Oleh itu, rakyat yang menyaksikan perkara ini diharap dapat bersabar dengan kerenah SPR ini. Apa yang penting, andai mereka menipu jumlah undi pos tersebut sekali pun BN tetap juga akan kalah. Inilah takdir yang berlaku sebenarnya, terbukti BN kini ditolak oleh rakyat Sarawak. Apa yang pasti, memang terdapat perancangan jahat antara SPR dan BN untuk memutarbelitkan fakta supaya kemenangan berpihak kepada pakatan karat itu, biarpun mereka sebenarnya memang sudah pun kalah.

[Terkadang kita amat hairan dengan kerja-kerja Pengerusi SPR ini?. Beliau dilantik untuk memegang amanah atau khianat kepada rakyat?. Dia langsung tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti semua manusia ini akan mati dan akan berhadapan dengan Allah diakhirat kelak. Pengerusi SPR adalah orang Melayu yang beragama Islam, tapi kerja buatnya dan sikap yang ditunjukkan jelas sekali mencemarkan imej serta kreadibiliti SPR itu sendiri sebenarnya. Jika inilah senarionya, maka elok sahaja SPR itu sendiri dibubarkan dan Aziz Yusoff masuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang atas tiket UMNO Barisan Nasional. Kita mahu tengok apakah beliau boleh menang agaknya. Jika beliau terus khianat dan menipu rakyat, maka lama kelamaan rakyat akan hilang keyakinan terhadap badan bebas itu dan akhirnya mereka tidak keluar mengundi seperti apa yang berlaku di Sibu baru-baru ini. Oleh itu, SPR perlu berubah jika rakyat ingin menikmati satu pilihanraya yang bebas dan adil pada masa akan datang. Jika tidak sampai bila-bila pun kita akan terus begini. Menang dan kalah dalam satu pilihanraya yang penuh dengan penipuan, penyelewengan dan hanya suara rakyat sahaja dapat mengatasi itu semua. Sebab itulah DAP tetap menang di Sibu, itu semua dek kerana suara rakyat berjaya atasi segala penipuan yang dilakukan]. Klik Bukti

Sensasi: BN Terpaksa Tunai Segala Janji Manis Di Sibu Kerana Mereka Amat Takut Rakyat Sarawak Tolak Parti Nazak Itu Di Pilihanraya Negeri Nanti

Terkadang kita merasa sedih dan terharu mendengar ungkapan yang terpacul daripada mulut Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak bila mengulas kekalahan BN dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu, Sarawak baru-baru ini. Antara lain Najib mengaku bahawa jentera BN tidak bertenaga dan kurang kreatif berbanding dengan petugas Pakatan Rakyat. Beliau mengakui BN gagal memenangi hati rakyat dan bersedia melakukan "bedah siasat" untuk mencari puncanya. Anehnya, Najib juga mengatakan pembangkang berjaya mengadakan ceramah setiap hari yang menyebabkan rakyat serta pengundi berpihak kepada mereka. Persoalannya, bukankah BN juga berceramah setiap hari, malah lebih hebat lagi kempen BN juga disokong oleh semua media arus perdana. Saban hari, kita disaksikan dengan berita kemunduran dan kedaifan rakyat Sarawak dan pemimpin BN kononnya turun menghantar bantuan yang dinanti-nantikan. Mereka turun dengan membawa berbagai-bagai projek "mee segera" serta janji pembangunan dan kebajikan untuk rakyat. Namun, anehnya Najib kecewa kerana BN tetap tewas biarpun majoriti undi pos berpihak kepada calon mereka. Soalnya sekarang kenapa rakyat Sibu menolak BN?. Setelah beberapa tilikan dibuat, rupanya rakyat dikawasan itu memang amat benci dengan segala janji-janji manis pemimpin BN semasa berkempen di kawasan mereka. Pemimpin BN terutamanya Muhyiddin dan Najib, cuba memperbodohkan rakyat dengan menjanjikan segala macam kemewahan dan projek pembangunan yang kesemuanya dikatakan bernilai RM5.155 billion kesemuanya.

Bayangkan, peruntukan yang sepatutnya boleh digunakan untuk seluruh rakyat Sarawak hanya mahu dihumbankan kepada pengundi di Sibu. Bukankah ini sesuatu yang diluar dugaan dan tidak masuk dek akal fikiran manusia yang waras sebenarnya. Mereka cuba memperbodohkan pengundi di Parlimen Sibu, seolah-olah mereka semua itu "tidak ada otak" untuk membuat pertimbangan. Lantaran itulah akhirnya mereka menolak tawaran BN itu dan menganggap semuanya hanyalah "omongan kosong" dan "gula-gula pilihanraya" yang hanya bertujuan memancing undi semata-mata. Malah mereka juga mempersoalkan, kenapa setelah beberapa penggal BN memerintah di Sarawak, segala peruntukan itu tidak kunjung tiba. Kenapa disaat mereka terdesak untuk meraih simpati dan mendapat undi barulah "terhegeh-hegeh" memohon rakyat mengundi mereka. Antara senarai projek yang dijanjikan oleh BN sekiranya mereka menang di Pilihanraya Kecil Sibu itu ialah: -
RM4 bilion telah diperuntukkan kepada Sarawak bagi sektor Pendidikan dalam RMK9 dengan 1,700 buah sekolah telah dibina termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan | RM1 bilion untuk penebatan banjir di mana RM300 juta telah dilaksanakan (Fasa I). RM99 juta telah diperuntukkan kepada Sibu dalam RMK9 dan akan ditambah dalam RMK10 | RM28 juta untuk Pulau Bruit bagi faedah 9,000 penduduk yang duduk di 13 Kampung di pulau tersebut dengan pemilihan Pulau Bruit sebagai Kota Agropolitan yang baru di Negara kita dengan bajet RM18 juta dan bagi projek bekalan air bersih dengan kos RM10 juta | RM 18 juta diperuntukkan kepada 65 sekolah bantuan Cina dan dua buah sekolah kebangsaan | RM6.6 juta untuk kebajikan umat Islam termasuk bina dua masjid. RM2 juta telah diperuntukan untuk naik taraf sistem perparitan dan menurap jalan di Kg Bahagia Jaya dan Kg Jeriah | RM 1 juta pemberian Komputer riba percuma bernama “Netbook 1Malaysia” bernilai RM999 untuk 1000 pelajar di Sibu yang mana menjadi sebahagian dari bujet RM1 bilion pemberian netbook percuma kepada pelajar kurang mampu seluruh Negara | RM 500,000 diperuntukkan untuk Sek. Men. Agama Sibu | Dewan Serbaguna bernilai RM250,000 yang akan dibina dalam kawasan Sek.Men.Kebangsaan Batang Igan, Dalat | RM 100,000 untuk naik taraf dua buah sekolah iaitu Sek.Keb.Rantau Panjang dan Tanjung Penasu, Bawang Assan di mana majoriti pelajar adalah kaum Iban | Kemudahan wifi dengan kewujudan Kampong Wifi Pertama di Malaysia di Kampung Bahagi Jaya, Teku yang akan memberi manfaat kepada 5,000 penduduk | Bekalan eletrik untuk 2,000 penduduk di Sg Rasau sebelum 2012 dengan tambahan RM600 kepada setiap pintu rumah panjang bagi tujuan baik pulih | Siaran TV satelit percuma untuk 200,000 penduduk pendalaman Sabah dan Sarawak bagi saluran RTM,TV3 dan Astro yang akan ditentukan kelak | Naik taraf Kolej Laila Taib menjadi sebuah Universiti pada tahun 2012.
BN Tunai Janji , Takut Tewas Pilihanraya Negeri

Tambah menarik dan mengejutkan TPM Muhyiddin Yassin (foto) mengatakan BN akan tetap menunaikan janji-janji yang telah diumumkan oleh kerajaan kepada rakyat semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu. Kononnya kerajaan tidak melihat pilihan raya itu sebagai satu titik penamat terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan. Malah segala apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, dirinya sendiri atau mana-mana pemimpin BN sebelum ini akan ditunaikan. Soalnya, kenapa tiba-tiba Muhyiddin berdegar-degar mengeluarkan kenyataan demikian?. Semuanya ini dek kerana BN takut mereka akan kehilangan undi dan keyakinan rakyat dalam Pilihanraya Negeri Sarawak tidak lama lagi. Lantaran itulah, langkah terbaik mereka mesti tunaikan segala janji-janji tersebut. maka, bertuah benarlah pengundi Sibu kerana memenangkan calon DAP, YB Wong Ho Leng itu. Ini kerana biarpun DAP menang, maka BN tetap akan tunaikan tanggungjawab dan segala janji yang mereka taburkan itu. Soalnya sekarang, apakah janji BN itu hanya untuk rakyat di Sibu sahaja?. Bagaimana untuk rakyat di Permatang Pauh, Penanti, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai dan sebagainya?. Apakah mereka juga akan dilayan secara adil dan saksama seperti di Sibu. Sebenarnya, pemimpin BN itu mengungkapkan demikian kerana mereka gusar jika janji-janji itu tidak ditunaikan maka rakyat seluruh Sarawak akan menolak BN dalam pilihanraya negeri nanti. Inilah yang menghantui mereka sekarang. Akhirnya mereka terjerat dek "projek mee segera dan janji" yang mereka taburkan sendiri. Inilah padahnya bila cuba menipu rakyat, akhirnya "suara rakyat suara keramat" dan bergembiralah warga Sibu kerana projek dan peruntukan sebanyak 5.155 bilion pasti akan mereka terima sebelum pilihanraya negeri nanti. Jika BN gagal tunaikan janji tersebut, maka harapan besar untuk seluruh negeri Sarawak jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pasti akan tercapai jua akhirnya.

[Sungguh kita tidak sangka, akhirnya puak-puak BN terjerat dek "janji-janji manis" yang mereka taburkan sendiri. Inilah padahnya, bila mengharap sokongan rakyat dengan merasuah mereka. Rakyat sekarang bukan lagi bodoh dan bangan macam puak-puak UMNO BN. Beri duit maka boleh dicucuk hidung macam lembu. Mereka sudah "educated" dan pandai menilai sesuatu isu itu. Beri duit mereka ambil, tapi pangkah tetap mereka sokong "opposition party". Inilah yang amat menakutkan pemimpin BN sebenarnya. Rakyat sudah mula bijak terutamanya kaum Cina. Mereka tidak termakan dek gula-gula yang ditaburkan oleh puak-puak BN. Mereka mahu pilihanraya adil dan telus berlaku berlaku, namun masih lagi dilihat berat sebelah terutamanya tindakan media arus perdana yang secara terang-terang membuat provokasi supaya rakyat menolak DAP. Anehnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) langsung tidak mengganggap itu sesuatu yang tidak adil kepada rakyat. Satu pihak boleh guna media, sedangkan satu pihak lagi terpaksa turun padang untuk menerangkan agenda mereka kepada rakyat. Inilah yang menyebabkan rakyat simpati dan memberi undi kepada DAP sebenarnya. Agaknya, jika pilihanraya dibuat secara adil dan telus tanpa unsur-unsur rasuah maka sudah lama "UMNO BN" bungkus dan meninggalkan Putrajaya. Namun, dek kerana sikap SPR yang terus bersekongkol dengan parti karat @ Barisan Nazak itu maka mereka masih bernafas sehingga ke hari ini. Apapun, pilihanraya umum ke-13 nanti belum tentu mereka akan ada lagi].

Monday, May 17, 2010

Satu Analisis: Kemenangan DAP Di Parlimen Sibu, Petanda Awal Penolakan Rakyat Terhadap UMNO BN Dalam Pilihanraya Umum Ke-13 Akan Datang !



Rakyat Malaysia seluruh negara berasa amat berpuas hati dan gembira apabila melihat Barisan Nasional (SUPP) tumbang di Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu semalam. Satu keputusan "up-set" yang dianggap memberi petanda awal zaman kejatuhan BN di Sarawak sudah mula muncul. Harus diingat Sarawak dan Sabah adalah "talian hayat BN" dalam Pilihanraya Umum yang lalu. Jika mereka tewas majoriti kerusi parlimen di sana maka lembaran baru politik negara sudah bermula selepas 8 Mac 2008 lalu. Namun, segala perancangan untuk memastikan kemenangan BN sudah diatur sejak awal-awal lagi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Mereka menambah begitu banyak kerusi parlimen di kedua-dua negeri itu, sebagai persediaan untuk memastikan BN terus berkuasa biarpun sudah ditolak oleh majoriti rakyat di negara ini. Bagai sudah dijanjikan, keegoaan dan kesombongan pemimpin UMNO BN mendabik dada kononnya mereka adalah "juara rakyat" kini "memakan diri sendiri". Laungan keramat, "rakyat didahulukan" langsung tidak terkesan dihati pengundi Sibu. Malah, mereka cukup benci dan meluat dengan "ugutan kerajaan BN" supaya mengundi calon BN jika mahu segala projek dan wang yang dijanjikan "turun kepada rakyat". Malah, berbagai projek "mee segera" yang senantiasa dicanang-canangkan oleh mereka akhirnya menjadi "bukti" betapa rakyat sudah tidak rela diperbodohkan oleh pemimpin UMNO BN yang sememangnya sudah "tidak keruan" itu. Berbilion projek pembangunan dijanjikan jika BN menang, malah media arus perdana juga begitu bangga memaparkan wajah-wajah pemimpin UMNO BN melawat ke penempatan rakyat yang begitu daif dan memilukan hati kita, walhal mereka tidak terfikir bahawa paparan itu menyebabkan majoriti rakyat di Sibu melihat itulah "kegagalan BN" sejak dulu, kini dan selamanya. Mereka hanya dilayan dan "ditatang bagai minyak yang penuh" tatkala ada pilihanraya kecil sahaja. Sebaliknya, mereka akan dipinggirkan selepas semua itu berakhir. Malah, di Sarawak banyak lagi kawasan parlimen yang masih mundur dan perlukan pembelaan. Ini jelas membuktikan kepada kita bahawa sememangnya kerajaan BN pusat gagal membawa pembangunan kepada rakyat Sarawak Bumi Kenyalang sebenarnya. Maka itulah mereka akhirnya ditolak di parlimen Sibu.

Strategi SPR Tidak Menjadi Buatkan BN Tewas


Pemimpin dan penyokong UMNO BN perlu menyalahkan diri mereka sendiri kali ini. Janji-janji manis dan ugutan pembangunan sudah tidak relevan lagi untuk politik alaf baru. Rakyat didahulukan, tetapi dengan bersyarat "undi BN baru rakyat didahulukan" jelas sekali menyebabkan pengundi Sibu memberontak. Malah, ramai diantara mereka mengambil sikap berdiam diri dan tidak mahu keluar mengundi. Lantaran itulah sasaran SPR untuk melihat 80% pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka akhirnya tidak terlaksana. Inilah yang membingungkan kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Yussof (foto) semalam. Beliau amat kecewa dengan senario itu, dan beliau juga gusar akan dimarahi oleh Perdana Menteri, Najib Razak atas kekalahan yang memalukan ini. Biarpun SPR sudah bersedia dengan "undi pos" dan BN berjaya memperolehi majoritinya, namun takdir menentukan segalanya. BN akhirnya ditewaskan dengan majoriti tipis 398 undi sahaja. Inilah yang menyebabka puak-puak BN tidak dapat tidur lena. Mimpi ngeri menghantui mereka kini. Inilah balasan akibat sikap "tidak cakna rakyat" yang ditunjukkan oleh kerajaan BN selama ini. Jika dulu (PRU-12) calon BN Robert Lau Hoi Cew berjaya menang di kerusi parlimen itu dengan majoriti 3,235 undi iaitu satu jumlah yang sukar untuk digugat sebenarnya jika dicongak dengan mata kasar. Namun, akhirnya semua undi itu hilang apabila ramai penyokong BN tidak keluar mengundi dan ini memberi kemenangan buat DAP menerusi calon mereka yang juga merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dalam parlimen itu sendiri iaitu, YB Wong Ho Leng. Inilah keajaiban dan kehebatan "suara rakyat" sebenarnya. SPR sebagai komponen BN boleh lakukan apa sahaja untuk pastikan BN menang, namun jika suara rakyat itu mengatasi segalanya maka mereka akan tetap kecundang. Buktinya, bila majoriti DAP melebihi angka undi pos yang telah tersedia untuk dicampurkan dengan undi biasa, maka pihak SPR sudah gelabah kerana sudah nampak tanda awal Pakatan Rakyat akan merampas parlimen Sibu. Itulah yang berlaku, biarpun DAP hanya berjaya mendapat 70 undi sahaja dari keseluruhan undi pos yang dibuka. Malah, jika 100% undi pos berpihak kepada BN pun mereka masih kalah sebenarnya. Inilah hakikat dan takdir yang berlaku di pilihanraya kecil Sibu. Apapun, syabas dan tahniah kita ucapakan kepada semua pengundi yang telah bertindak bijak untuk mencaturkan perubahan baru dalam iklim politik di negeri Sarawak.

Rakyat Benci Sikap Taib Mahmud "Uban Putih"


Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan kepimpinan Ketua Menteri Taib Mahmud (foto), selain tidak mahu berundur dan ingin terus menongkat langit memerintah Sarawak sehingga kiamat. Perangai Taib Mahmud ini samalah dengan perangai Samy Vellu terajui MIC sampai mati. Lantaran itu rakyat melihat semakin hari semakin banyak kelemahan dan kecurangan yang berlaku. Malah, keluarga Taib Mahmud dilihat semakin kaya-raya bila mereka mengaut segala kekayaan dan khazanah negeri untuk "tembolok mereka". Rakyat dipedalaman dipinggirkan dan dijadikan alat untuk memastikan beliau terus menang dalam setiap kali pilihanraya berlaku. Taib Mahmud, banyak menyeleweng dan merompak wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan juga kroni beliau sendiri. Rakyat sebenarnya sudah lama muak melihat kerenah dan gelagat Ketua Menteri "uban putih" mereka itu. Tidak ada cara lain untuk menolak kepimpinan Taib Mahmud, melainkan dengan memastikan BN tumbang di Bumi Kenyalang itu. Maka itulah, pengundi Parlimen Sibu menatijahkan kebencian mereka dengan menolak calon BN yang akan bersekongkol dengan pentadbiran Kerajaan UMNO BN peringkat pusat dan negeri. Penolakan secara total dijangka berlaku dalam pilihanraya umum akan datang. Kemenangan di Sibu hanyalah satu amaran keras buat Taib Mahmud supaya melihat dan kembali kepada rakyat. Mujurlah ada pilihanraya kecil Sibu, sekurang-kurangnya seluruh rakyat Sarawak seenatero dunia dapat tahu kebobrokan dan pengabaian yang dilakukan oleh Taib Mahmud terhadap rakyat di kawasan itu. Kita ucapkan terima kasih kepada media arus perdana terutamanya RTM dan TV3 yang memaparkan kepincangan yang berlaku. Semoga semua ini dapat memberi pengajaran kepada rakyat untuk terus menolak BN itu.

Isu Lompat Parti Buatkan Rakyat Menolak BN


Ramai yang tercari-cari kenapakah BN ditolak rakyat di Sibu ini?. Namun, sedarkah kita bahawa rakyat sebenarnya benci dan meluat dengan kerenah media arus perdana yang sering memaparkan isu lompat parti terutamanya menjelang hari pengundian dalam satu-satu pilihanraya. Malah, dua hari sebelum hari pengundi pilihanraya kecil Sibu, tiba-tiba Ahli Parlimen Wangsa Maju dari Parti keadilan Rakyat, Wee Cho Keong (foto) keluar parti dan bertindak menjadi wakil rakyat bebas. Malah, puak-puak UMNO BN terutamanya TPM Muhyiddin Yassin begitu lantang dan sombong menghina PKR dengan mengatakan parti itu "Parti Kian Runtuh" susulan isu lompat parti mutakhir ini. Akhirnya, lompat parti "makan tuan", mereka pula yang menerima tamparan hebat apabila kerusi parlimen Sibu dirampas oleh Pakatan Rakyat. Justeru itu, ini membuktikan kepada kita bahawa rakyat sedikit pun tidak terkesan dengan beberapa orang "pengkianat lompat parti" yang digembar-gemburkan selama ini. Malah, mereka mendabik dada kononnya Parti Keadilan Rakyat akan berkubur selepas 10 orang wakil rakyatnya lompat parti. Kini semuanya sudah terbukti, bahawa 10 lompat parti di Semenanjung Malaysia masih tidak sama nilainya dengan satu parlimen "talian hayat BN" di Sarawak yang dirampas oleh Pakatan Rakyat. Malah sebelum ini, satu parti popular di sana iaitu Sarawak National Party (SNAP) telah bertindak menyertai pakatan itu. Rakyat juga melihat, semua Ahli Parlimen dan ADUN yang lompat parti itu sebenarnya "telah dibeli" dan mendapat habuan lumayan daripada kerajaan UMNO BN sendiri. Biarpun ia dinafikan oleh pemimpin terbabit, namun rakyat lebih mengetahui dan menilai apa yang berlaku. Lantaran itulah mereka tidak mengikut jejak "pengkianat rakyat" terbabit. Maka itu juga kita tidak hairan, setiap kali isu lompat parti diwar-warkan hanya kelihatan pengkianat terbabit sahaja dan bukannya ribuan rakyat yang mengundi mereka. Inilah bukti jelas bahawa rakyat benci dengan isu lompat parti sebenarnya dan pengundi di Sibu merealisasikan kebencian tersebut semalam. Inilah padahnya dan hikmah disebalik "isu lompat parti" yang sering dicanangkan oleh mereka itu.

Jika PKR Parti Kian Runtuh, BN Barisan Nazak


Ketika ditemubual selepas melancarkan Festival Hari Guru Kebangsaan di Kuantan semalam, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (foto) dengan bangganya memperli dan menghina Parti Keadilan Rakyat. Kononnya, parti itu kini dikenali sebagai "Parti Kian Runtuh" susulan semakin ramai wakil rakyatnya yang "lompat parti". Kenyataan itu dibuat ketika rakyat dan pengundi sedang menunaikan tanggungjawab untuk membuang undi di Parlimen Sibu. Kata-kata menghina Munyiddin itu telah membuatkan pengundi bersimpati kepada PKR dan akhirnya mereka memilih DAP iaitu satu gabungan utuh dalam Pakatan Rakyat. Maknya, kehinaan di balasa dengan kehinaan juga. Inilah padahnya bila bercakap sombong dan bongkak, seolah-olah mereka terlalu kuat untuk dikalahkan. Maka itu, jika Muhyiddin menggelar PKR "Parti Kian Runtuh" maka BN pula kini layak digelar "Barisan Nazak". Maknanya, BN itu sudah menghampiri ke penghujung hayatnya dan akan berkubur bila-bila masa dari sekarang. Buktinya, talian hayat parlimen BN di Sarawak kini berjaya dirampas oleh Pakatan Rakyat. BN tidak boleh bergantung lagi kepada kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak. Ini kerana, gara-gara pilihanraya kecil di Sibu mereka mendedahkan segala kelemahan pentadbiran BN di negeri itu. Terbukti rakyat di situ terpinggir dari arus pembangunan. Sedangkan umum mengetahui Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud kaya raya dan merompak khazanah rakyat sesuka hati. Inilah hakikatnya yang perlu ditelan, jika dia dibairkan terus berkuasa maka sudah pasti Sarawak juga berkemungkinan besar akan tumbang dalam pilihanraya umum akan datang. Tumbangnya Sarawak bermakna akan tumbanglah kerajaan UMNO BN diperingkat pusat. Jika ini berlaku, maka kuasa akan kembali kepada rakyat. Oleh itu, marilah kita terus lakukan perubahan mulai sekarang !!

[Kenyataan yang harus ditelan sekarang ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersikap profesional dan tidak bersikap "double standard" dalam melaksanakan amanah rakyat. Pilihanraya perlu dilakukan secara adil dan saksama. Politik wang dan rasuah projek "mee segera" perlu diharamkan dalam setiap kali pilihanraya. Jika amalan ini diteruskan oleh puak-puak UMNO BN, maka harapan besar untuk kita melihat pakatan "BN @ Barisan Nazak" kian lumpuh pasti menjadi kenyataan dalam pilihanraya umum akan datang. Ketika itu, apa yang mahu dilakukan oleh SPR agaknya. Bila tanggungjawab melaksanakan pilihanraya yang adil disalah gunakan, maka inilah jadinya. Mahu membuat pengumuman dan diwawancara oleh media pun kita sudah dapat melihat dengan jelas wajah "pucat dan gelabah" Aziz Yusoff. Kenapa ini berlaku agaknya?. Kerana beliau diamanahkan memastikan BN menang di Sibu, tetapi beliau hahal dan menanti saatnya untuk dihembur oleh Perdana Menteri Najib Razak. BN perlu berubah jika mahu terus diterima oleh majoriti rakyat].