Pahang Daily Online | Suara Keadilan Untuk Rakyat | Peole's Justice Voice (PJV) | Suara Rakyat Suara Keramat

Tuesday, November 30, 2010

Artikel Kononnya Beliau Sudah Keluar PKR Serta Cium Anwar, Blogger Cucumatkilau Bakal Saman Utusan Malaysia Atas Kecurangan Yang Berlaku !!

TEMERLOH, 30 Nov - Blogger Cucu Mat Kilau (CMK) akan bertindak menyaman akhbar rasmi UMNO Utusan Malaysia yang didakwa memfitnahnya keluar parti sedangkan beliau tidak pernah dihubungi oleh wakil berkenaan. Lebih malang lagi, CMK atau nama sebenarnya Mohd Shukri Mohd Ramli, difitnah pernah mencium (foto) Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan beliau tidak pernah berbuat demikian. “Ada tiga perkara pembohongan Utusan, pertama saya tidak pernah pun dihubungi. Memang saya ada menyebut dalam facebook dan blog saya sedang mempertimbangkan untuk keluar PKR tapi saya belumpun buat sidang media lagi dan keputusan belum dibuat. Jadi cerita dibuat berdasarkan andaian. “Kedua, penulis itu buat fitnah kata saya pernah mencium Anwar. Itu karut, saya tak pernah mencium Anwar dan mungkin penulis mengambil gambar dari blog Anwaribrahimdotcom.blogspot.com yang dikendalikan oleh blogger Umno. “Ketiga, ayat yang digunakan penulis menggambarkan seolah-olah saya belot kepada perjuangan Pakatan sedangkan saya masih kekal menyokong perjuangan,” katanya ketika ditemui di sini petang semalam.

[Bekas calon PKR Dun Kemayan pada PRU 2008 itu turut mempertikaikan, bagaimana penulis sebuah akhbar arus perdana sanggup mengenepikan nilai-nilai kewartawanan tulen sehingga mereka-reka cerita tanpa merujuk kepada sumber sebenar. CMK yang juga merupakan salah seorang editor laman popular Pahangdaily yang kini tidak boleh diakses kerana diserang, mengakui beliau memang pernah menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan kepimpinan PKR baru-baru ini. Serentak dengan itu beliau pernah membayangkan mahu keluar PKR dan menubuhkan NGO bagi menumpukan perjuangan membela hak rakyat sebagaimana yang dilakukannya terhadap pencerobohan tanah rizab surau di Indera mahkota sebelum ini. “Cerita yang tersiar dalam akhbar Utusan milik Umno itu menggambarkan seolah-olah saya telah ‘dibeli’ sehingga sanggup belot daripada membela keadilan sehinggakan ramai rakan yang menghubungi bertanya berapa saya ‘dapat’”, tegasnya kesal. selamatkanpahang]

Monday, November 29, 2010

Azmin Ali Sangkal Dakwaan Media Bahawa Beliau Mahu Singkirkan Pihak Tertentu Selepas Kongres!

Timbalan Presiden PKR yang baru, Azmin Ali (foto) berkata beliau tidak pernah menyebut untuk menyingkirkan pihak tertentu selepas kongres PKR berakhir, seperti yang dilaporkan media. "Ia bukan proses untuk witch hunting. Apa yang dibincangkan dalam kongres ini, yang berlegar di kalangan ahli parti adalah (bagi) memastikan kepimpinan baru ini mempunyai semangat untuk mendisplinkan pemimpin dan ahli. "Ini adalah perkara penting untuk memastikan persediaan parti dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang," katanya selepas kongres parti itu berakhir lewat petang ini. Pada 22 November lalu, media melaporkan, Azmin berikrar untuk membersihkan PKR daripada "pengkhianat" ekoran tindakan dalam pemilihan dua bulannya yang mencemarkan imej parti di mata awam. Bercakap kepada parlimen di lobi Parlimen, Azmin yang ketika itu masih Naib Presiden PKR ada berkata, "pembersihan" itu akan bermula serta-merta selepas kongres PKR yang akan tamat hari ini. Bercakap dalam sidang media di Dewan Sivik MBPJ iaitu tempat kongres berlangsung. Azmin berkata, kepimpinan baru juga akan memastikan setiap aduan yang diberikan akan disiasat mengikut prosedur yang ditetapkan. Beliau yang juga ahli parlimen Gombak yakin kepimpinan baru yang dipilih akan memberikan komitmen dan kesetiaan mereka dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang. Sehubungan itu, mengulas pasukan baru Majlis Pimpinan Pusat PKR, Azmin mengharapkan sumbangan dan idea daripada naib presiden baru yang dipilih. Sementara itu, beliau juga berkata akan mengadakan hubungan lebih erat dengan kumpulan lain dan penulis blog untuk memastikan kesedaran tentang hak rakyat dapat dibela.

[Laporan yang dipetikan dari portal malaysiakini itu jelas sekali sungguh mengejutkan para penyokong Zaid Ibrahim sebenarnya. Sebelum ini terdengar desas-desus kencang mengatakan bahawa ramai penyokong tegar Zaid akan dinyahkan dari PKR. Malah, Azmin juga dikatakan bakal membuat rombakan kepimpinan negeri secara besar-besaran selepas kongres untuk memasrikan saki baki puak-puak Zaid disingkirkan. Beliau kononnya mahu melakukan pembersihan dalam parti dan tidak mahu mereka yang khianat terus membuat onar. Dengan keputusan terbarunya itu, mungkin ia sedikit melegakan penyokong Zaid sebenarnya. Malah, keputusan Azmin ini wajar dihormati dan perlu diberi sanjungan yang sewajarnya. Ternyata beliau lebih mengutamakan perpaduan daripada mewujudkan perpecahan seperti yang disangka oleh sesetengah pihak sebelum ini. Agenda perubahan untuk rakyat perlu diteruskan sekarang!].

Sunday, November 28, 2010


Saturday, November 27, 2010

Panas: Kecewa Dengan "Kemelut PKR", Benarkah Blogger Cucumatkilau Keluar PKR Seperti Yang Di Laporkan Oleh Akhbar Utusan Malaysia Hari Ini !


KUALA LUMPUR 27 Nov - Dahulu negara pernah digemparkan dengan tindakan ‘berani mati’ seorang ahli lelaki Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencium penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di khalayak ramai yang pada masa itu memakai penyokong leher. Sejarah individu itu sebagai penyokong tegar Anwar yang juga seorang penulis blog dengan nama komersialnya, Cucu Mat Kilau (CMK) atau nama sebenarnya, Mohd. Shukri Mohd. Ramli (foto), kini tinggal sejarah apabila akhirnya beliau memutuskan untuk meninggalkan parti itu. CMK yang pernah bertanding mewakili PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan, Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, telah menghambakan dirinya lebih 11 tahun berjuang mempertahankan Anwar dan parti itu bersama-sama dengan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor. CMK di dalam blognya, www.cucumatkilau.blogspot.com menegaskan bahawa tindakan keluar PKR bukanlah satu keputusan bijak, namun demi meneruskan perjuangan beliau rela membebaskan diri daripada parti itu. “Akhirnya CMK tidak sanggup lagi untuk menipu diri sendiri. Selama ini apa saja yang berlaku kepada Anwar dan Keadilan pasti CMK akan pertahankan bermati-matian, sama seperti penyokong tegar PKR lain. “Namun, sejak akhir-akhir ini CMK merasakan bagai satu kesalahan besar jika gagal tegur dan kembalikan semula maruah parti yang kini mula tercalar gara-gara pemilihan 2010,” katanya.

Parti Rosak Jika Pemimpinnya Rosak Akhlak

Dakwa beliau, budaya jahiliah kini menyelinap masuk secara meluas ke dalam parti dan ia menyebabkan hala tuju perjuangan PKR tersasar, walau dinafikan namun itulah hakikatnya. “Semuanya gara-gara beberapa kerat pemimpin yang sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa. Masing-masing mahu menjadi pemimpin parti untuk membuka laluan mudah dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang. “Masing-masing kini bercita-cita serta berhasrat untuk menjadi ADUN dan Ahli Parlimen selepas melihat peluang PKR menawan Putrajaya pada PRU-13 ini semakin cerah. “Kerana cita-cita itulah, mereka yang terbabit sanggup melanggar ‘pantang’ selama ini. Amalan yang mereka benci ketika dalam UMNO dahulu kini menjadi mainan dek kerana jawatan dan kuasa,” katanya. Mengulas mengenai pemilihan pimpinan tertinggi PKR, CMK berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang sepatutnya bertindak secara bebas, adil dan profesional bagi mengadili pemilihan itu tidak lagi menjadi telus. Katanya, ia sekadar menjadi robot untuk memuaskan nafsu pihak-pihak tertentu dan amat tidak wajar dijadikan alat yang secara jelas mencabuli amalan demokrasi yang kononnya mahu dipertahankan oleh PKR. “Pemimpin yang rosak akhlaknya tidak layak untuk disanjung apatah lagi mereka yang jelas cuba menipu dan mempermainkan parti sendiri. “Bukankah amalan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah parti yang memperjuangkan agenda perubahan buat rakyat,” katanya.

Klik pada imej berkenaan untuk baca artikel sebenar di Utusan Online

[Laporan artikel diatas telah disiarkan dilaman ketiga akhbar arus perdana Utusan Malaysia hari ini. Sungguh mengejutkan andainya laporan ini ada kebenarannya. Pasti ada sesuatu yang tidak kena kini melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pemimpin yang tidak jujur cuba menyembunyikan hakikat yang berlaku dalam parti itu. Misalnya, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution secara jelas mengatakan tidak ada apa-apa penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan PKR baru-baru ini. Sedangkan, banyak laporan yang telah dibuat diperapkan begitu sahaja oleh mereka semata-mata untuk menutup kes. Malahan, laporan dan aduan yang dibuat siap dengan bukti-bukti sekali pun mereka tutup demi menjaga nama baik PKR dan Anwar Ibrahim. Maka itu, kami tidak hairan jika orang yang sanggup berkorban apa saja dalam PKR akhirnya rela meninggalkan parti itu setelah melihat perjuangan itu dikhianati].

Kongres PKR: Amat Memalukan, Hanya Segelintir Sahaja Anak Muda Berada Di Dalam Dewan Ketika Ketua AMK Samsul Iskandar Buat Ucapan Dasar !!

Ke mana perginya anak-anak muda Keadilan?. Inilah yang menjadi persoalan dikalangan pemerhati Konges AMK Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Sivik Petaling Jaya semalam. Bayangkan dewan yang sepatutnya boleh memuatkan lebih seribu peserta kosong dan lengang. Tidak sampai 400 orang ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berada dalam dewan ketika Ketua AMK, Samsul Iskandar Md Akin (foto) menyampaikan ucapan dasar. Senario yang berlaku ini sungguh memalukan dan tidak dapat disembunyikan lagi sebenarnya. Soalnya, kenapakah ini berlaku sedangkan ketika itu pemimpin utama AMK sendiri yag berucap. Apakah ini menunjukkan bahawa memang telah berlaku "perpecahan" dalam pergerakan itu agaknya. Mana perginya penyokong calon Ketua AMK yang tewas kepada Samsul iaitu Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard?. Apakah mereka semua memboikot Samsul? Lantaran itu keluar dewan ketika beliau berucap. Imej yang buruk ini memberi tamparan hebat kepada PKR sebenarnya. Jelas sekarang bahawa perpecahan telah berlaku biarpun usaha untuk meyatupadukan semua ahli parti telah dilakukan. Malah, rayuan yang dibuat oleh bekas Timbalan Ketua AMK iaitu Fariz Musa agar Chegubard dilantik ke mana-mana jawatan penting dalam pergerakan itu jelas membuktikan beliau menyedari apa yang berlaku. Masalahnya, apakah Chegubard boleh menerima pelawaan Samsul itu agaknya. Biarpun Samsul kini mempunyai lima kekosongan exco lantikan, namun apakah ia sesuai untuk Chegubard?. Memilih Chegubard sebai exco bukan sahaja menghina beliau, malah turut merendahkan imej dirinya. Mana mungkin beliau yang bertanding untuk kerusi Ketua AMK tiba-tiba dilantik sebagai exco oleh "lawannya". Sedangkan, Chegubard sendiri kecewa akibat pendirian "lalang" Samsul biarpun mereka sudah sedia berkompromi sebelum ini sebenarnya.


Hanya egelintir sahaja perwakilan AMK saksikan Samsul Iskandar
buat ucapan dasar. (Sila lihat diskrin untuk bukti beliau berucap)

Sikap Samsul yang "U-Turn" di saat-saat akhir jelas sekali merosakkan perancangan Chegubard untuk memimpin AMK. Malah, tindakan itu dipercayai merupakan "wahyu Anwar" sendiri selepas melihat calon harapannya Rafizi Ramli tidak bisa menyaingi ketokohan Chegubard. Lantaran itulah Samsul diarahkan bertanding jawatan itu bagi memastikan harapan Chegubard berkecai kerana dia dipercayai berada dalam team calon Timbalan Presiden yang keluar parti iaitu Datuk Zaid Ibrahim.

[Dengan senario ini, maka kita tidak hairanlah apabila melihat segelintir sahaja ahli AMK yang tergamak berada dalam dewan ketika Samsul Iskandar menyampaikan ucapan dasar. Kejadian yang sungguh memalukan dan tidak wajar berlaku sebenarnya. Jika inilah yang ingin ditunjukkan kepada rakyat maka sudah pasti kita amat gusar sebenarnya. Kenapakah tidak ada pihak yang mengarahkan perwakilan AMK masuk ke dewan ketika ketua mereka berucap. Ini merupakan satu sikap "kurang ajar" yang tidak sepatutnya dilakukan oleh perwakilan AMK jika mereka mengamalkan sikap yang lebih toleransi. Kemenangan dan kekalahan adalah adat pertandingan, namun sikap memboikot persidangan yang sedang berlangsung jelas sekali amat memalukan. Langkah terbaik wajar diambil untuk menyatupadukan semula anak-anak muda keadilan jika tidak mahu perpecahan yang lebih besar terjadi nanti].

Friday, November 26, 2010

Saifuddin: "Pemilihan PKR 2010", Parti Menerima Sebanyak 289 Aduan Berkaitan Proses Dijalankan

PETALING JAYA 26 NovParti Keadilan Rakyat (PKR) telah menerima sebanyak 289 aduan berkaitan proses pemilihan parti itu termasuk penamaan calon dan pengiraan undi, kata Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail (foto). Katanya, sehingga selesai mesyuarat agung tahunan cabang, masih ada 12 lagi aduan yang belum diselesaikan dan pihaknya masih meneliti sembilan aduan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Mengenai dakwaan calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), mengenai campur tangan serius Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan parti, Saifuddin berkata, Chegubard telah diberi penjelasan oleh pimpinan termasuk Anwar dan beliau sendiri selepas mesyuarat MPP dua hari lepas. Dakwaan Chegubard itu tidak berasas, katanya pada sidang akhbar di luar Kongres Nasional PKR Ketujuh di sini hari ini.

[Biar apa pun dakwaan yang diterima, PKR harus mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat. Tidak perlu sengaja memberi alasan untuk menutup hakikat sebenarnya yang berlaku. Biar pun dakwaan Chegubard itu tidak berasas, namun ia haruslah diambil perhatian oleh pucuk pimpinan parti. Jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang. Apa pun, PDO ucapkan selamat bersidang kepada semua sempenan Kongres Nasional PKR ke-7 sekarang ini. Lakukanlah agenda perubahan dengan ikhlas demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya. Perjuangan harus diteruskan].

Gempar: Bala Menimpa, 'Peguam Cara Negara II' Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin Pula Terjatuh !!

Ini satu berita panas yang baru kami terima, mahkamah sebelum ini dimaklumkan bahawa Peguam Cara Negara II, yang mengetuai pasukan pendakwaan terhadap kes liwat Anwar iaitu Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin (foto) mengalami masalah kesihatan. Beliau dipercayai deman dan tidak dapat hadir ke perosiding perbicaraan kes liwat II semalam dan juga hari ini. Tempat beliau digantikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mohd Hanafiah Zakaria. Namun daripada sumber yang berkenaan, kami dimaklumkan bahawa beliau sebenarnya telah mengalami kejutan akibat "terjatuh". Tidak dapat dipastikan di mana beliau terjatuh, namun kini nasibnya belum diketahui. Justeru itu, rakyat diminta bersabar dengan apa yang berlaku ini. Mungkin beliau terkejut dan takut untuk menghadapi perbicaraan seterusnya yang melibatkan konspirasi besar terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim agaknya?. Apapun, laporan seterusnya akan kami buat segera selepas ini. Apakah satu lagi bala akan menimpa mereka yang bersekongkol untuk menzalimi Anwar itu agaknya?. Segala musibah yang menimpa ada pedomannya! Justeru itu semoga mereka yang cuba mempermainkan undang-undang dapat mengambil ikhtibar atas segalanya berlaku itu.

[Tidak dapat dipastikan dimanakah Datuk Mohd Yusof terjatuh sebenarnya. Mungkinkah di rumahnya, atau dikandang kudanya atau pun ketika beliau sedang bermain golf?. Apapun, segalanya adalah satu takdir yang pastinya mengundang seribu makna. Semuanya gara-gara permainan politik dalam institusi kehakiman dan perundangan kita yang kini terus ditertawakan oleh masyarakat antarabangsa. Bukankah ini satu petanda yang memang ada sesuatu yang tidak kena kepada kes liwat II Anwar ini].

Thursday, November 25, 2010

Terkini: Bekas 'Ketua Menteri Pulau Pinang' Tun Dr. Lim Chong Eu Meninggal Dunia Malam Tadi !!

PULAU PINANG, 25 Nov - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu (foto), disahkan meninggal dunia di kediamannya di Tanjong Bungah pada lebih kurang jam 9.00 malam tadi iaitu sebulan selepas beliau diserang sakit angin ahmar. Mendiang berusia 91 tahun. Sebelum itu beliau dirawat di Hospital Pulau Pinang. Beliau telah dibawa balik dari hospital itu petang Rabu selepas keadaannya semakin uzur. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengesahkan berita mengenai kematian Dr Lim itu. Mendiang merupakan bekas Presiden MCA dan juga mantan Presiden Gerakan yang pertama selama 9 tahun. Beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama 21 tahun mulai Mei 1969 hingga Oktober 1990. Chong Eu yang merupakan salah seorang pengasas Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga pernah menjadi Presiden MCA. Beliau keluar meninggalkan MCA selepas usahanya untuk memartabatkan bahasa Mandarin dan lain-lain bahasa setaraf dengan bahasa kebangsaan ditolak oleh Kerajaan Perikatan. Selepas membentuk Gerakan, parti itu berjaya merampas Pulau Pinang tetapi kemudiannya Gerakan menyertai Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejurus selepas pembentukannya. Beliau berkhidmat sebagai ketua menteri negeri itu sehinggalah kekalahannya di tangan Lim Kit Siang pada pilihan raya umum 1990. Tempatnya sebagai ketua menteri diambil alih oleh bekas setiausaha politiknya, Dr Koh Tsu Koon sebelum diserahkan kepada Lim Guan Eng selepas Pilihanraya Umum Ke-12 (2008) yang lalu.

[Pahang Daily Online (PDO) ucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Nama mendiang sememangnya amat dikenali oleh rakyat Malaysia sejak dulu lagi. Tambahan pula kerana beliau pernah memimpin dua buah parti kaum Cina terbesar di Malaysia. Namun, harus diingat di zaman pemerintahan mendianglah tanah Melayu di Pulau Mutiara itu terhakis satu demi satu sebelum diteruskan pula olek Koh Tsu Koon. Mujurlah kini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat. Justeru itu, kini nasib rakyat negeri itu diharap lebih terbela biarpun penuh dengan provokasi yang dilemparkan oleh mereka yang cemburu dengan kejayaan kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng itu].

Wednesday, November 24, 2010

Mahkamah: Kes Saman Fitnah RM100 Juta Anwar Terhadap Mahathir Terbatal Gara-Gara Kelicikan Peguam "Correct, Correct Correct" Si V.K Lingam !!

KUALA LUMPUR, 24 Nov - Hakim mempunyai budi bicara yang luas untuk menulis penghakiman mereka sama ada dalam Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris. Dalam keputusannya hari ini, mahkamah Persekutuan juga menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas penghakiman Mahkamah Rayuan berhubung saman fitnah yang difailkannya ke atas mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ia ditulis dalam bahasa Inggeris. Namun penghakiman mahkamah rayuan juga dibuat dalam bahasa Inggeris. Dalam menolak permohonan itu, Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria berkata alasan penghakiman tidak terdiri daripada bahagian penghakiman itu sendiri. Beliau bagaimana pun berkata pihaknya memandang serius penggunaan bahasa Melayu di mahkamah. Hakim Arifin merujuk pekeliling yang dikeluarkan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hashim Yeop Sani, pada 1990 yang mana beliau berkata sekurang-kurangnya satu penghakiman mesti ditulis dalam bahasa kebangsaan. Sehubungan dengan penghakiman hari ini, Anwar juga diarahkan membayar kos mahkamah sebanyak RM70,000, meskipun peguam Mahathir iaitu VK Lingam (foto) memohon RM100,000. Lingam berkata pengujian tanda aras mesti dibuat bagi permohonan kes-kes Mahkamah Persekutuan sambil merujuk kepada satu penghakiman di mana mahkamah rayuan bersetuju kos RM100,000 diberikan. Anwar kelihatan agak geram dengan penghakiman hari ini. "Dia (Lingam) adalah seorang jutawan. Saya kalah kes ini. Ini adalah peguam Mahathir, jadi macam mana boleh kita menang?” katanya di luar mahkamah. Peguamnya, Karpal Singh berkata mereka sedang mempertimbangkan untuk membuat rayuan keputusan tersebut.

[Keputuan tersebut dengan sendirinya membatalkan rayuan Anwar dalam kes saman malu RM100 juta yang dikemukakan ke atas mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dua lagi anggota panel hakim yang bersidang hari ini ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar. Pada 20 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar atas sebab teknikal kerana tidak menyediakan memorandum rayuan dalam bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Malaysia. Peguam Anwar juga dikatakan tidak menandatangani memorandum tersebut dan oleh itu, ia menjadi cacat. Anwar telah menyaman fitnah mantan perdana menteri itu berhubung kenyataan yang telah dibuatnya].

Panas: Lagi Bukti Penyelewengan Di Bongkarkan ! Kali Ini Melibatkan Pemilihan PKR Di Parit Sulong

Nampaknya semakin hari semakin banyak pendedahan tentang bukti penyelewengan pemilihan PKR 2010 dibuat sekarang ini. Terbaru pendedahan dibuat oleh calon Pengerusi Tetap AMK iaitu Azimuddin Ahmad (foto) menerusi laman blognya Sharpshooter. Menurutnya, terdapat kepincangan yang telah dikenalpasti dalam pemilihan yang dijalankan di cabang Parit Sulong baru-baru ini. Terdapat unsur penyelewengan pengurusan dan pemilihan berlaku di cabang itu yang mengadakan pemilihan pada 21 November 2010. Terdapat lima kepincangan yang berlaku dalam pemilihan di cabang itu katanya. Antara yang dikenalpasti ialah pemilihan dilakukan di luar kawasan, tempat mengundi yang tidak sah mengikut peraturan kerana diadakan di rumah Bendahari Keadilan yang belum laya mengundi telah dibenarkan mengundi (pengundi hantu), penyelaras pemilihan tidak mengumumkan keputusan pemilihan di lokasi dan penyelaras pemilihan seolah-olah telah mengatur kemenangan Hasmi Hashim sebagai Ketua Cabang. Satu laporan polis yang telah dibuat oleh Saudara Zailan bin A.Hamid selaku Timbalan Pengerusi PKR Cabang Parit Sulong.


Bukti pengundi hantu yang jelas boleh dilihat pada buku pendaftaran
[ Sila klik untuk membesarkan imej gambar yang dipaparkan ini ]

[Jika sebelum ini Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mendabik dada kononnya cerita tentang penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan baru-baru ini adalah rekaan Datuk Zaid Ibrahim semata-mata. Kini nampaknya, satu persatu bukti kukuh telah berjaya didedahkan. Kami juga terkejut dengan apa yang dibongkarkan ini sebenarnya terutamanya berkenaan dengan "pengundi hantu" di Cabang Parit Sulong ini. Kenapa, pengundi yang tidak mempunyai nama dalam senarai "ahli" boleh mengundi?. Sedangkan, semasa mengundi petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) begitu profesional menyemak nama-nama ahli. Jika tiada nama, sepatutnya ahli terbabit tidak layak untuk mengundi. Soalnya, kenapa ini berlaku di Parit Sulong. Itu yang didedahkan, bagaimana pula di cabang-cabang lain?. Sebab itu kami tegaskan, bahawa memang benar adanya penyelewengan dalam pemilihan PKR baru-baru ini dan wajarlah ia ditangguhkan. Namun, dek kerana ada pihak yang mahu membuktikan kebenaran maka inilah jadinya. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak terbabit. Buktikan kebenaran biar pun pahit. Apakah mereka ini boleh dituduh sebagai pengkhianat atau pembelot?].

Panas: Ramai Ahli-Ahli PKR Merasa Amat Kecewa, Majlis Dialog Yang Di Janjikan 'Bertukar' Jadi Sesi Penerangan Satu Hala Anwar-Saifuddin Semalam

Dalam ceramahnya di Kuantan semalam, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lantang mengatakan bahawa beliau amat kecewa dengan tindakan Datuk Zaid Ibrahim menggunakan media arus perdana terutamanya Utusan Malaysia untuk menghentam serta mengkritik parti. Bagi Anwar, akhbar terbabit adalah "musuh nombor satu PKR" sejak dulu, kini dan selamanya. Maka itulah, Zaid amat wajar dipecat dan dipersalahkan dalam kemelut yang melanda parti itu mutakhir ini. Bagi Anwar, tindakan Zaid yang sanggup bersekongkol dengan media UMNO itu amatlah dikesali dan tidak wajar berlaku sama sekali. "UMNO mencari peluang untuk melumpuhkan parti, tiba-tiba ada orang seperti Zaid pula yang bersekongkol dengan media mereka untuk menjatuhkan parti", kata Anwar. Sambil tidak mahu menghuraikan apa yang ditegur oleh Zaid itu benar atau sebaliknya, Anwar lebih selesa menggasak Zaid. Soalnya sekarang jika benar kesalahan Zaid kerana tidak mengikut saluran yang betul untuk menegur dan mengkritik parti. Apakah saluran betul yang dimaksudkan itu agaknya?. Lihat apa yang berlaku di Kuantan semalam, saluran yang betul dibuat untuk membolehkan ahli-ahli yang tidak berpuas hati meluahkan pandangan mereka secara berdepan akhirnya bertukar jadi "majlis penerangan satu hala" semata-mata.


Antara tetamu dan hadirin yang telah hadir dalam majlis petang semalam

Asyik mendengar "satu hala" tetapi gagal ambil bahagian untuk berdialog

Ahli PKR yang hadir dicanangkan supaya menerima apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh parti. Tanpa boleh menegur dan menyalahkan pihak lain, mereka terpaksa menerima kenyataan itu biar pun pahit untuk ditelan. Mereka yang hadir umpama "lembu dicucuk hidung". Apa sahaja kata Anwar dan Saifuddin, mesti diterima bulat-bulat dan tidak perlu dipertikaikan. Apakah ini keadilan buat mereka yang mempunyai sesuatu untuk ditanyakan kepada Anwar. Hak ahli perlu juga difikirkan kerana mereka mahukan penjelasan terus daripada pemimpin terbabit.

Guna Media, Kenapa Ada Dua Tindakan Berbeza


Datuk Zaid Ibrahim dipersalahkan kerana menggunakan media arus perdana terutamanya Utusan Malaysia untuk mengkritik parti. Namun, apa yang dilakukan itu bukanlah bersifat umum dan tidak akan menghancurkan parti secara keseluruhannya. Soalnya sekarang, ramai yang mempertikaikan jika itulah penyebabnya Anwar tidak sukakan Zaid maka apa bezanya dengan tindakan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail (foto) agaknya. Umum masih ingat, beliau telah memanggil satu sidang media yang turut dihadiri oleh media arus perdana untuk menyatakan hasratnya meletak jawatan Timbalan Pengerusi I PKR Pahang. Keputusan itu dibuat akibat beliau tidak percaya lagi dengan kepimpinan Pengerusi PKR Pahang iaitu Dato' Fauzi Abd Rahman ketika itu. Bukankah Dato' Fauzi iti dilantik oleh Anwar, makanya Azan tidak wajar membuat sidang media untuk mengkritik Dato' Fauzi. Mengkritik Dato' Fauzi samalah seperti mengkritik Anwar. Kecoh dibuatnya dengan tindakan Azan itu, malah timbul juga desas-desus beliau antara nama yang disebut-sebut bakal "lompat parti". Bahkah Azan sendiri mengakui kepada beberapa orang proksinya, bahawa dia ada mendapat tawaran lumayan kiranya keluar PKR. Namun, dek kerana dia komited dan setia parti maka Azan tidak berbuat demikian. Soalnya, insiden itu telah menjadi mainan media arus perdana kononnya PKR terus bergolak. Malah, di Pahang sendiri ia menjadi isu panas dan kepimpinan Dato' Fauzi pula dipertikaikan. Bukankah isu Azan ini juga "besar impaknya" kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Namun, kenapakah tiada tindakan displin dikenakan terhadap beliau?. Apakah kerana dia ada hubungan cukup rapat dengan Azmin Ali bahkan Anwar Ibrahim sendiri?.


Antara penyokong Azan yang hadir dalam majlis yang diadakan semalam
Ini yang memusykilkan rakyat sebenarnya. Kenapa ada orang boleh buat sidang media dan bersahabat dengan Utusan Malaysia, tetapi ada yang lain pula dianggap kurang ajar dan khianat kepada parti. Kenapa ada dua peraturan yang berbeza?. Sedangkan dalam PKR itu sendiri tidak ada surat pekeliling khas atau arahan rasmi supaya media arus perdana terutamanya Utusan Malaysia itu diboikot. Maka kenapa dalam kes Zaid ia dicanang-canangkan sedemikian rupa seolah-olah beliau memang pesalah besar?

Kenapalah Saifuddin Sanggup Putar Belit Fakta

Banyak fakta yang diperkatakan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution (foto) dalam majlis semalam telah diputarbelit sebenarnya. Antaranya ialah tentang pemilihan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang kononnya dipilih dari 250, dihantar kursus dan sebagainya. Tapi beliau tidak sedar dalam dewan semalam ada JPP "bidan terjun" yang dilantik secara "pasang siap". Tiada kursus, tiada latihan tiada ilmu tapi ditugaskan jaga pemilihan peringkat cabang. Maknanya apa yg dikatakan oleh Saifuddin hanyalah wayang semata-mata. Begitu juga dengan kenyataan beliau kononnya JPP sudah menyelesalikan beratus-ratus laporan cabang tentang kemelut pencalonan dan pemilihan. Sebaliknya beliau lupa, cabang Indera Mahkota sendiri (tempat beliau bercakap) statusnya masih diragui hingga ke hari ini. Bahkan Pengerusi Majlis (MC) majlis itu sendiri iaitu Razali Alias adalah calon Ketua Cabang yang telah menghantar protes bantahan tersebut. Mungkin ianya antara yang terawal dihantar kepada JPP, namun hingga ke hari ini tiada maklumat tentang siasatan yang diterima. Jangan surat rasmi malahan satu panggilan telefon pun tidak diterima oleh beliau sebenarnya. Namun, anehnya Saifuddin mengatakan "sudah selesai". Apa yang selesai agaknya?. Melihat dua penipuan kenyataan ini, jelas sekali ternyata Setiausaha Agung PKR itu sengaja memberi penjelasan "satu hala" tanpa memberi ruang kepada ahli untuk bersoal jawab. Mereka dimomokkan dengan laporan salah oleh Saifuddin tentang pemilihan parti, sedangkan ahli-ahli yang datang lebih tahu apa yang telah berlaku di cabang mereka.

[Melihat kepada apa yang berlaku ini, bermakna memang kemelut yang melanda PKR sekarang amat sukar untuk dipulihkan sebenarnya. Biarpun dalam pertemuan tersebut Anwar ada menjelaskan bahawa dia tidak mahu penyokong Zaid dinafikan hak untuk terus bersama parti, namun kenyataan Azmin pula sebaliknya. Ini menunjukkan bahawa pembersihan yang mahu dilakukan oleh Azmin selepas Kongres Nasional PKR minggu ini pasti akan menjadi kenyataan sebenarnya. Soalnya sekarang, apakah Anwar akan datang semula untuk memperbetulkan keadaan supaya rakyat terutamanya pengundi atas pagar yakin dengan apa yang diperkatakan itu. Jika tidak harapan untuk melihat Pakatan Rakyat menuju Putrajaya pasti akab berliku sebenarnya. Pemimpin PKR perlu jujur dan ikhlas untuk berjuang dan jangan sekadar retorik serta menabur kata-kata manis kepada rakyat. Sebaliknya mereka sendiri berpuak-puak dan mengamalkan budaya UMNO yang amat dibenci oleh seluruh rakyat itu sebenarnya].

Biar Pun Ada Sambutan, Namun Jelas Kehadiran Anwar Ke Pahang Semalam Gagal Menghuraikan Segala Kekalutan Yang Masih Ada Itu Sebenarnya

KUANTAN, 24 Nov - Kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pahang semalam dilihat masih gagal sepenuhnya untuk menyatu padukan ahli serta meyakinkan rakyat terhadap hala tuju perjuangan parti itu sebeneranya. Apa yang diharapkan oleh ahli dan rakyat ternyata tidak kesampaian dan seperti apa yang diharapkan. Ramai yang kecewa dan terkilan dengan tindakan Anwar tidak mahu berterus terang dengan isu-isu semasa dan kemelut yang sedang dihadapi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang ini. Anwar berceramah selama lebih kurang satu jam dengan hanya menceritakan tentang kehairanan beliau terhadap tindakan pemimpin UMNO BN yang begitu takut dengan kelibatnya sejak akhir-akhir ini. Beliau mengatakan media arus perdana begitu ghairan mensensasikan ceritanya hingga lupa memberi fokus kepada isu-isu dunia yang sedang melanda sekarang ini. Malah, beliau menegaskan dia sedikit pun tidak terasa dengan serangan-serangan yang dilakukan terhadapnya itu. "Saya bukan sahaja mahu digantung dari parlimen, bakal dipenjarakan kembali ke Sg.Buloh kini mereka mahu menghalang pula saya ke luar negara. Saya dituduh khianat kepada bangsa Melayu gara-gara beberapa kenyataan ketika ditemuramah oleh media asing. Ini bukti yang mereka begitu takut dan tergamak melakukan apa saja", kata Anwar Ibrahim.

Sajian Lagu Lama Terus Dialunkan Untuk Rakyat


Dalam pada itu beliau lebih banyak menceritakan kembali apa yang sudah diceritakan ketika berada di pentas yang sama awal tahun lalu. Cerita soal kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Malah, Anwar juga banyak menceritakan secara terperinci sifat peribadi mulia beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Tuan Guru Nik Aziz (MB Kelantan), Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang), Ustaz Azizan Razak (MB Kedah) dan Tan Sri Khalid Ibrahim (MB Selangor). Disamping itu juga beliau turut menyentuh tentang "Isu Memali" dan sedikit berkenaan kes perbicaraan yang sedang beliau hadapi di mahkamah sekarang ini. Anwar dilihat gagal mengulas dengan baik berkenaan isu dan kemelut yang melanda dalam PKR sekarang ini, terutamanya berkaitan tindakan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri dan keluar dari parti itu. Ini menyebabkan ramai hadirin yang hadir kecewa kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian. Mereka mahu tahu apakah tindakan dan perancangan Anwar dalam menyakinkan rakyat terutamanya ahli PAS, DAP dan pengundi atas pagar terhadap PKR. Namun tindakan Anwar yang masih terus "menyajikan lagu lama" dalam ceramah beliau malam tadi sedikit mengecewakan mereka sebenarnya. "Ulang tayang cerita dan isu yang sama", tanpa memberikan harapan baru buat rakyat. Malah, ramai yang melihat kehadiran beliau ke Pahang itu tidak lebih untuk mempertahankan segala apa yang berlaku dalam PKR sekarang ini, tanpa mahu membongkarkan kepincangan dan penyelewengan yang sepatutnya perlu diperbetulkan.


Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir malam semalam

[Akibat kecewa dengan info yang tidak sampai dan mememuaskan hati mereka, ramai hadirin yang menyatakan mereka hilang kepercayaan kepada PKR sekarang ini. Malah, terdapat maklumat panas yang mengatakan tiga cabang PKR di Pahang juga turut akan dibubarkan jika kemelut yang melanda tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Pertembungan yang berlaku di Pahang bukan sahaja antara kumpulan Azmin dan Zaid sebenarnya, tetapi ia lebih menjurus kepada perselisihan faham antara Dato' Fauzi Abdul Rahman (Pengerusi PKR Negeri) dan Azan Ismail (Ahli Parlimen Indera Mahkota). Kemelut dalaman antara mereka masih gagal diselesaikan biarpun Anwar hadir sebagai penyelamat semalam. Malah, kami juga mendapat maklumat mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang yang diadakan petang semalam juga kecoh dengan isu Azan. Ini membuktikan "kiambang masih belum bertaut" di Pahang. Justeru itu, bagaimana harus PKR negeri bercita-cita untuk menakluki negeri ini daripada UMNO BN agaknya. Maknanya Anwar ternyata gagal untuk bertindak dan memulihkan PKR Pahang biarpun beliau telah mempunyai peluang yang terbaik semalam. Kenapa Anwar tidak mahu melakukannya?].

Tuesday, November 23, 2010

Kontroversi: 'Pembersihan Ahli', Wajarkah Semua Penyokong Datuk Zaid Ibrahim Di Anggap Sebagai Pembelot Serta 'Pengkhianat Parti' Oleh Azmin Ali

Selepas Datuk Zaid Ibrahim membuat pengumuman mengejut menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan kemudiannya mahu keluar dari parti itu 16 Disember ini, maka berbagai cerita panas mula timbul sekarang. Antaranya ialah kenyataan Naib Presiden PKR, Azmin Ali bahawa parti akan buat pembersihan dan nyahkan mereka yang dipercayai "pengkhianat". Inilah yang menakutkan para penyokong Zaid sebenarnya. Mereka gusar akan diterajang keluar daripada parti selepas bermati-matian berkempen untuk Zaid. Malah ada juga pemimpin tegar Zaid yang menanti hari untuk dikeluarkan sekiranya Azmin membuat rombakan kepimpinan negeri selepas Kongres Nasional parti itu hujung minggu ini. Masalahnya, apakah Azmin tergamak melakukan demikian disaat Pakatan Rakyat sedang bersiap siaga unyuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 tidak lama lagi?. Wajarkah Azmin melakukan pembersihan serta menuduh mereka yang menyokong Zaid sebagai pembelot parti. Mereka bukan belot kepada parti, tetapi menyokong Zaid. Ketika disokong, Zaid adalah ahli PKR dan salah seorang calon bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan baru-baru ini. Maka, apakah menjadi kesalahan besar mereka menyokong Zaid. Apakah menjadi satu dosa besar apabila melihat kepincangan yang berlaku dalam pemilihan parti, menegur dan mengkritik itu dikira sebagai "pembelot"?.

Wajarkah Para Penyokong Zaid Di Cop Pembelot

Jika itulah alasannya, maka halatuju Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu dipulihkan semula. Jika tubuh Zaid dijadikan alasan untuk mengatakan penyokongnya pengkhianat atau pembelot, maka lebih besar dosanya kepada orang yang membawa Zaid masuk ke dalam parti. Masalahnya, siapakah yang membawa Zaid masuk ke dalam parti?. Siapa juga yang memilih Zaid sebagai calon PKR di Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor?. Siapa yang lantik Zaid sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan? serta banyak lagi jawatan penting dalam parti dan Pakatan Rakyat sebelum ini?. Jika menyokong Zaid semasa berkempen pemilihan PKR 2010 dianggap khianat pada parti kerana Zaid orang baru yang rakus, kurang ajar dan tidak sabar maka mereka yang berkempen untuk Zaid ketika PRK Hulu Selangor juga boleh dianggap sebagai pembelot sebenarnya. Ramai pemimpin dan penyokong Azmin sendiri juga berkempen untuk Zaid. Malah, Azmin juga turut hadir pada hari penamaan calon pilihanraya kecil itu. Beliau berada bersama Zaid untuk memberi sokongan dan kemudian berkempen bagi memenangkan Zaid. Makanya, apakah dengan tindakan Zaid keluar parti itu para penyokong beliau boleh dianggap pembelot dan pengkhianat?. Inilah yang perlu difikirkan sebenarnya. Jika tiada Zaid dalam parti maka tiadalah penyokongnya. Jika Zaid tidak dipelawa masuk ke dalam parti maka tiada pihak yang akan terkinja-kinja untuk berkempen bagi memenangkan beliau dalam pemilihan PKR lalu.


Mana lebih besar dosanya, penyokong atau orang yang bawa masuk

Datuk Zaid Ibrahim ke dalam Parti Keadilan Rakyat itu agaknya?


Bukti, Azmin Ali serta lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat termasuk
Anwar dan Wan Azizah juga turut sokong Zaid di PRK Hulu Selangor
[Sebenarnya keputusan Zaid menarik diri serta meletakkan jawatannya dalam PKR juga dibuat tanpa berbincang dengan orang kanan beliau sendiri. Malah langsung tidak diketahui oleh penyokong tegar beliau ketika itu. Beliau membuat kenyataan itu di dalam blog peribadi beliau tanpa diketahui oleh sesiapa pun hatta "kempen manager" beliau sendiri. Justeru itu, apakah mereka semua ini boleh dipersalahkan kerana menyokong Zaid?. Eloklah perkara ini diperhalusi betul-betul sebelum menganggap mereka yang menyokong Zaid itu pembelot dan sebagainya. Jika tidak sudah pasti akan berlaku perkara lain yang tidak diingini satu hari nanti. Malah, kini ramai juga para penyokong Zaid tidak menganggap isu beliau itu sebagai sesuatu yang perlu diperbesarkan sangat. Bagi mereka, yang sudah lepas itu biarlah berlalu dan perpaduan dalam parti itulah yang paling utama. Soalnya sekarang, mampukan Anwar mengembalikan semua itu agaknya. Apapun, kehadiran Anwar ke Kuantan hari ini dilihat mampu mengembalikan semula semangat perjuangan ahli yang kian luntur dek kemelut pemilihan baru-baru ini. Teruskan agenda perubahan yang lebih besar untuk takluki Putrajaya dalam PRU-13 nanti].

Pendedahan Terbaru "Bukti Penglibatan" Anwar Dalam Pemilihan PKR Oleh "Chegubard", Apakah Beliau Juga Bakal Dituduh Sebagai Pengkhianat !!

Sungguh mengejutkan bila membaca kenyataan berkaitan pendedahan terbaru yang dibuat oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shahrin (foto), tentang adanya campurtangan serius Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan parti itu baru-baru ini. Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendedahkan perkara itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Ismail. Menurut Chegubard, segala kepincangan telah diketahui sejak sekian lama cuma waktu dan masa yang tidak mengizinkan untuk beliau mendedahkannya. Justeru itu beliau berharap agar pucuk pimpinan parti menyiasat dan mengambil tindakan tegas atas perkara ini. Persoalannya, jika benar pun laporan yang dibuat oleh Chegubard itu maka apalah sangat yang boleh dilakukan oleh Wan Azizah. Bukankah Anwar itu adalah suami kesayangan beliau?. Maka, mana mungkin dia sanggup pertahankan orang lain daripada suami sendiri. Inilah yang perlu diperhalusi apabila sesebuah parti itu dipimpinan oleh keluarga sendiri. Segala dakwaan Chegubard itu memang sudah lama kita dengar, cuma bukti-bukti kukuh tidak mencukupi untuk beliau tampil sebenarnya. Kini, selepas beliau ditewaskan oleh Samsul Iskandar barulah dia punyai cukup ruang untuk melaporkannya. Soalnya sekarang, apakah Chegubard juga akan dituduh sebagai pengkhianat andainya dia melakukan kerja ini?. Tugas memperbetulkan keadaan dianggap derhaka jika ia tidak sealiran dengan kehendak pucuk pimpinan agaknya?. Sebelum ini memang sudah heboh ditimbulkan solah "wahyu" yang mengatakan Anwar sudah memberi kepercayaan kepada beberapa orang pemimpin untuk dipilih. Malah, Chegubard sendiri dipercayai telah dipanggil oleh Anwar agar mengundur diri dari bertanding jawatan Ketua AMK, semata-mata untuk memberi laluan kepada calon-calon tertentu. Berita ini diterima sejak dari awal lagi iaitu sebelum hari pencalonan pemilihan PKR 2010 lagi.

[Kini, dengan apa yang berlaku apakah mereka yang mahu menuntut keadilan dan kebenaran ini akan dikatakan petualang oleh parti?. Kebenaran akhirnya disembunyikan dan mereka yang cuba mempertahankannya pula bakal dinyahkan agaknya. Inilah yang amat ditakuti oleh para penyokong Chegubard sekarang ini. Namun, diharapkan Wan Azizah selaku Presiden PKR dapat mengambil berat laporan ini dan memperbetulkan segala kepincangan yang berlaku itu. Jika tidak, kita khuatir rakyat akan hilang kepercayaan kepada PKR itu suatu hari nanti. Apakah Chegubard juga akan menerima nasib yang sama seperti Datuk Zaid Ibrahim atas ketegasan beliau ini. Jika ini berlaku, sudah pasti ia akan mengecewakan ramai pihak sebenarnya. Justeru itu langkah yang terbaik dan berhati-hati perlu dilakukan demi menjaga keharmonian parti. Jika tidak, sudah pasti permasalahan yang lebih besar berlaku nanti].

Benarkah Azmin Ali Mahu Lakukan Pembersihan Serta Merta Terhadap Pengkhiant PKR, Atau Buat Rombakan Untuk Membuang Semua Orang Zaid !!

Seperti yang dijangka dan sungguh tidak mengejutkan apabila bakal pemenang jawatan Timbalan Presiden, Azmin Ali (foto) mengumumkan akan melakukan "pembersihan" untuk menghalau pengkhianat selepas Kongres Nasional PKR nanti. Azmin membuat ikrar demikian ketika ditanya oleh wartawan (termasuk media arus perdana) di lobi parlimen semalam. Antara lain beliau berikrar untuk membersihkan parti itu daripada "pengkhianat" ekoran tindakan dalam pemilihan dua bulannya yang mencemarkan imej parti di mata awam. Malah Azmin turut menegaskan "pembersihan" itu akan bermula serta-merta. Beliau mendesak anggota parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya itu membangunkan "prinsip kesetiaan" demi memastikan semangat reformasi tidak diketepikan dalam parti itu. "Apabila pemimpin bersifat khianat, bukan sahaja parti akan tercalar malah tamadun sendiri boleh tumbang. "Cuba lihat di Perak. Apabila ada dua pengkhianat, bukan sahaja parti retak, malah negeri juga tumbang (kepada BN)," kata Azmin. Katanya, parti mesti menginstitusikan latihan bagi menghasilkan kesetiaan dan menyerapkan ideologi parti kepada akar umbi. Persoalannya sekarang, jika benar inilah kerja pertama yang akan dilakukan oleh Azmin selepas menang maka tidqak syak lagi ia mengesahkan maklumat awal yang kami terima bahawa "rombakan besar-besaran" akan dilakukan untuk membuang semua orang-orang Zaid dalam parti. Jika ini berlaku, sudah pasti ia akan memecahbelahkan parti itu sendiri sebenarnya. Azmin tidak wajar melabelkan mereka sebagai pengkhianat hanya kerana menyokong Datuk Zaid Ibrahim dalam pemilihan baru-baru ini. Beliau tidak boleh mendabik dada kononnya dia berada di pihak yang benar dan menuduh mereka yang terlibat sebagai pengkhianat parti?. Jika inilah yang mahu dibuktikan oleh Azmin, maka tidak syak lagi telahan ramai pihak bahawa beliau sememangnya menggunakan "taktik kotor" untuk memastikan dia menang dalam pemilihan baru-baru ini. Malah jika senari ini terjadi, maka memang tidak syak lagi bahawa PKR itu untuk Azmin (Anwar) dan bebas melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita seperti yang pernah diperkatakan oleh sesetengah pihak sebelum ini.

Pemilihan PKR, Yang Menang Tidak Semesti Benar


Di kala rakyat sedang berhadapan dengan Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang, makanya kepimpinan sedia ada perlulah dikekalkan. Jika mahu ada rombakan atau pembersihan sekali pun, bukan sekarang masanya. Azmin tidak wajar merasakan kononnya sesiapa sahaja yang menyokong beliau itu adalah ahli yang setia kepada parti. Sudah menjadi adat mana-mana pertandingan, pasti ada yang akan menyokong pemimpin pilihan masing-masing. Masalah penyelewengan dan penipuan semasa pemilihan melibatkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sebenarnya masih belum disiasat sepenuhnya. Hanya yang berlaku, masing-masing mahu menjadi juara untuk mengumumkan kononnya pemilihan itu bersih biar pun ada sedikit kepincangan. Kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung parti, Saifuddin Nasution (foto), bukanlah bererti "apa yang berlaku itu tiada". Sebaliknya, kenyataan beliau tidak lebih daripada "mahu menutup cerita disebaliknya". Malah, Saifuddin lebih dilihat cuba mempertahankan seseorang daripada mahu menyelamatkan parti itu sendiri. Apakah beliau juga mendapat arahan dan "wahyu" daripada pihak atasan agaknya?. Oleh itu, Azmin tidak sewajarnya mendabik dada mahu melakukan pembersihan, sedangkan umum mengetahui bahawa beliau mahu memasukkan "chai-chai" dan "orang-orangnya" dalam barisan kepimpinan PKR yang baru. Jika ini berlaku, sudah pasti orang-orang yang dipercayai serta disyaki menyokong Zaid akan terpelanting. Soalnya, apakah tindakan ini dapat diterima oleh ahli-ahli diperingkat akar umbi?. Justeru itu, Azmin perlu berhati-hati untuk melakukan pembersihan jika tidak mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus dirundung masalah yang akan bertimpa-timpa. Adalah lebih elok beliau mencari jalan untuk merapatkan kembali hubungan sesama ahli parti yang telah sedikit tercalar baru-baru ini. Apa yang penting "yang menang tidak semestinya benar dan yang kalah tidak semestinya salah".

[Inilah yang berlaku sejak sekian lama sebenarnya. Rakyat melihat kemenangan UMNO BN dalam Pilihanraya Umum ke-12 lalu penuh dengan penipuan dan mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri. Lantaran itulah mereka tidak dapat menerima kenyataan tersebut biarpun ternyata BN itu telah menang dalam keadaan "tsunami politik" yang melanda seluruh negara. Inilah yang berlaku dalam PKR sebenarnya. Biarpun "team Azmin" itu menang, namun tidak bererti ia boleh diterima dengan mudah oleh seluruh ahli. Malahan, kemenangan tersebut dilihat dengan kerjasama badan bebas seperti SPR iaitu JPP itu sendiri sebenarnya. Maknanya, apa yang berlaku kepada UMNO BN kini sedikit terpalit kepada PKR itu sendiri. Namun, SPR dilihat lebih bersih daripada JPP kerana ia tidak melibatkan ahli parti politik berbanding ahli parti sendiri yang menjadi petugas JPP. Inilah yang wajar diberi perhatian sebenarnya jika benar ikhlas lakukan perubahan].

Monday, November 22, 2010

Perbicaraan "Kes Liwat II", Akhirnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hari Ini Tolak Permohonan Anwar Untuk Mendapatkan Nota Klinikal Saiful !!

Seperti yang telah dijangkan akhirnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan nota-nota klinikal doktor pakar, Dr. Mohd. Razali yang dibuat sewaktu pemeriksaan awal ke atas bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008. Barisan pembelaan juga gagal dalam permohonan agar mahkamah mengenepikan laporan perubatan yang didakwa tercemar kerana laporan toksikologi dan darah tidak diberikan kepada pembelaan. Dengan penolakan ini maka kini semakin terserlah kepada rakyat bahawa tanda-tanda awal Anwar bakal terpedaya dan terperangkap dengan permainan kotor "kes liwat II" ini pasti akan terlaksana jua akhirnya. Perbicaraan yang mungkin sekadar pelengkap segala kezaliman terhadap mantan TPM itu dilihat tidak lebih untuk memuaskan nafsu pihak-pihak tertentu sekarang ini. Apatah lagi, antara individu panas yang dikaitkan sebagai perancang utama permainan ini seperti bekas pelari pecut negara iaitu Muntaz Jaafar kini dikatakan semakin selesa dan bermewa-mewah dengan projek yang diterimanya. Malah, khabarnya beliau kini merupakan rakan karib kepada Rosmah Mansor (isteri Perdana Menteri). Muntaz yang merupakan ibu kepada bekas tunangan Saiful kini menikmati limpahan projek ratusan juta ringgit daripada kerajaan BN. Semua ini amat mengejutkan sebenarnya

[Apakah Anwar akan terus terpenjara lagi di Sungai Buloh atau sebaliknya. Apapun, rakyat sebenarnya semakin tidak percaya dan yakin dengan perbicaraan yang dihadapi oleh Anwar. Ramai yang percaya, PM Najib pasti akan memenjarakan Anwar untuk memudahkan beliau mengadakan pilihanraya umum selepas itu. Plot jalan cerita ini kononnya sudah dirancang dengan baik oleh "sifunya" Mahathir Mohamad sejak dulu lagi. Tiada apa yang boleh diharapkan lagi kepada keadilan yang sepatutnya dipertahankan oleh institusi mahkamah. Apa yang jelas dapat dilihat kini, jalan ceritanya hampir sama dengan "kes liwat I" yang berlaku terhadap Anwar dulu. Hanya suara rakyat yang boleh merubah segalanya iaitu dengan mengembalikan semula integriti badan kehakiman yang tercemar itu. Caranya ialah dengan menjatuhkan BN dalam PRU-13].

Keputusan Rasmi Bagi Pemilihan PKR 2010 Bakal Diumumkan Semasa Kongres Nasional Parti Itu !!

KUALA LUMPUR 22 Nov -Para pemenang bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Naib Presiden, Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Ketua Wanita dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi penggal 2010-2013 dijangka diumumkan pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan PKR. Kongres tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat depan akan diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Sehingga 14 Nov lepas, keputusan terhadap saingan bagi jawatan timbalan presiden menyaksikan Naib Presiden Mohamed Azmin Ali mendahului kedudukan dengan kelebihan undi sebanyak 11,350 undi. Mohamed Azmin meraih 14,751 undi manakala pencabarnya Naib Presiden dan Pengerusi PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub memperoleh 3,401 undi. Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah, yang juga anak kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendahului saingan bagi jawatan Naib Presiden yang memperuntukkan empat tempat dengan kelebihan undi sebanyak 1,518 undi daripada pencabar terdekatnya Pengarah Strategi PKR Tian Chua. Nurul Izzah memperoleh 11,042 undi manakala Tian Chua dengan 9,524 undi dan mereka diikuti Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh (7,878) serta Pengerusi PKR Pulau Pinang Mansor Othman (7,448). Bagi jawatan anggota MPP yang memperuntukkan 20 tempat, Ketua Penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong Keat Ping mendahului saingan dengan memperoleh 8,367 undi; diikuti anggota MPP, Dr. Badrul Amin Baharon (7,814), anggota MPP Hee Loy Sian (6,694), Pengarah Pemantapan Politik Keanggotaan, Datuk Johari Abdul (6,570), dan anggota MPP, Khalid Jaafar (6,406). Saingan bagi jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin mendahului dua calon lain dengan kelebihan 2,362 undi. Beliau memperoleh 4,510 undi manakala pencabarnya, timbalan pengerusi 2 Perlis, Dr. Suraya Sudin memperoleh 1,181 undi serta anggota MPP, Animah Ferrar hanya mendapat 967 undi.

[Saingan bagi jawatan Ketua AMK pula, pertandingan dilihat sengit di antara penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan anggota MPP, Badrul Hisham Shaharin. Shamsul Iskandar memperoleh 3,981 undi manakala Badrul Hisham 3,273 undi, beza undi adalah sebanyak 708 undi. Semalam adalah hari terakhir pemilihan MPP, baki sebanyak 37 cabang lagi di Johor, Selangor, Sarawak dan Sabah akan mengadakan pemilihan MPP, manakala 15 cabang lagi telah selesai mengadakan pemilihannya sebelum itu. Kongres Nasional Tahunan PKR bersidang setahun sekali dan ia dihadiri oleh wakil-wakil yang dipilih di peringkat cabang, Majlis Pimpinan Negeri (MPN), AMK, Wanita dan anggota MPP].

Sunday, November 21, 2010

Felda Menubuhkan BAPAK (Biro Aduan Peneroka Kebangsaan) Untuk Menyaingi Pengaruh 'ANAK' !

SHAH ALAM 21 Nov - Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (BAPAK) merupakan alternatif baru bagi menyalurkan aduan dan pendapat untuk warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sekiranya terdapat sebarang masalah, perkara dan isu yang membabitkan warga peneroka. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (foto), berkata penubuhan BAPAK yang merupakan biro di bawah Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) sangat dialu-alukan kerana ia boleh berfungsi untuk membantu menjelaskan dan menyelesaikan sesuatu isu itu dengan lebih cepat. "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merestui penubuhan BAPAK dan berharap ia memberikan faedah kepada semua warga Felda terutamanya menyelesaikan isu berbangkit atau dibangkitkan di kalangan warga Felda,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan BAPAK di sini hari ini. Beliau berkata, BAPAK dianggotai oleh 317 sukarelawan yang bersedia menerima aduan dan cadangan yang dikemukakan warga Felda tentang sesuatu isu dan berusaha menyelesaikan dalam tempoh paling minimum antara seminggu dan dua minggu hari bekerja. Katanya BAPAK merupakan idea Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail yang turut berbesar hati menaja segala perbelanjaan yang diperlukan oleh biro berkenaan.

[Sungguh melucukan melihat kerenah Felda ini sebenarnya. Tindakan menubuhkan BAPAK untuk berlawan dengan ANAK adalah satu langkah terbaik yang mungkin bakal berhadapan dengan masalah yang lebih besar sebenarnya. Ini kerana, Felda tidak mungkin mampu untuk melayan rungutan, ketidakpuasan hati dan kekecewaan para peneroka terhadap agensi itu. Namun, Ahmad Maslan yang diberi tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan peneroka dan menjaga imej Felda itu akhirnya sanggup lakukan apa saja. Namun, para peneroka lebih mengetahui apakah yang membelenggu nasib mereka sejak sekian lama].

Kunjungan Anwar Ke Pahang Di Jangka Pulihkan Kepercayaan Rakyat, Nama Si Zaid Ibrahim Pasti Bergema Serta Bakal Jadi Perhatian Sebenarnya !!

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim khabarnya akan bertandang ke bumi Pahang Darul Makmur pada 23 November ini. Kunjungi ini adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh ahli PKR dan juga rakyat Pahang sebenarnya. Tambahan pula disaat kemelut pemilihan 2010 yang kini melanda parti itu. Apa yang pasti kehadiran Anwar bakal memberi suntikan baru kepada pimpinan PKR negeri untuk kembali memperkukuhkan parti selepas agak tegang gara-gara kempen pemilihan ini. Justeru itu ramai yang amat ternanti-nanti kemunculan mantan TPM itu. Difahamkan, Anwar bakal bertemu dengan kepimpinan PKR negeri di Pejabat Perhubungan PKR Jalan Beserah Kuantan. Sementara di sebelah malamnya, beliau akan bertemu rakyat dalam ceramah umumnya yang kedua di lokasi terbabit. Harus diingat, Anwar pernah hadir dan berceramah di tempat yang sama awal tahun ini. Makanya, kehadiran Anwar kali ini pasti akan memberi harapan baru buat PKR Pahang. Sudah pasti, nama Datuk Zaid Ibrahim bakal ditimbulkan semasa ceramah beliau itu nanti. Soalnya, apakah relevan untuk nama Zaid terus dimainkan, sedangkan penyokong bekas calon Timbalan Presiden itu sebenarnya masih ramai dalam PKR Pahang itu sendiri. Ada sebahagian daripada mereka kini, mengakui bahawa tertipu dengan permainan Zaid. Beliau begitu licik memberi harapan kepada para penyokongnya, tetapi tiba-tiba bertindak diluar dugaan mereka seperti apa yang berlaku sekarang ini. Semuanya ini jelas membuktikan bahawa para penyokong Zaid tidak bersalah sebenarnya apabila memberi sokongan kepada beliau. Namun, masalahnya yang berlaku mutakhir ini mereka bukan sahaja dihentam dan dikutuk oleh penyokong Azmin Ali. Malah ada juga yang telah diberi kata dua bahawa riwayat politik masing-masing akan berakhir kiranya berlaku rombakan kepimpinan negeri selepas ini. Apapun, hanya Anwar Ibrahim yang lebih mengetahui dan bakal meredakan keadaan yang berlaku ini. Nantikan kunjungan beliau ke Kuantan bagi mendengar amanat terakhirnya sebelum Kongres Nasional PKR mulai 26 November ini.

[Dengan perkembangan ini, adalah lebih elok kepada para penyokong Azmin Ali tidak terus menyerang dan menghentam bekas penyokong Zaid Ibrahim sama ada secara terbuka atau menerusi laman sembang sosial seperti facebook. Senario ini jelas berlaku di Pahang sekarang ini, terutamanya melibatkan pimpinan PKR negeri yang menyebelahi Azmin itu sendiri. Adalah lebih elok mereka berusaha untuk memantapkan semula perjuangan parti agar ia kembali di terima rakyat, daripada terus memainkan isu Zaid. Langkah mencetuskan provokasi keterlaluan bakal menyebabkan individu yang tidak dapat mengawal perasaan akhirnya mengambil tindakan diluar batasan. Adalah lebih elok, hubungan sillaturahim dieratkan semula jika benar mereka mengatakan pemilihan PKR yang berlaku itu adalah antara adik beradik. Jika sikap seperti sekarang terus diambil, maka akhirnya kepercayaan rakyat terhadap PKR akan terus terhakis dan peluang untuk menakluki negeri Pahang akhirnya berkubur begitu saja. Inilah yang perlu difikirkan semua pihak sekarang].

Saturday, November 20, 2010

Kontroversi: Zaid Kuda Trojan, Wajarkah Beliau Undur Diri Jika Benar Dia Memang Ikhlas Dalam Perjuangan Untuk Membela Rakyat Sebenarnya!



Ramai yang terkejut melihat apa yang berlaku kepada Datuk Zaid Ibrahim sebenarnya. Belum pun setahun beliau bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR), akhirnya kini dirinya terpelanting dan kemungkinan besar bakal diterajang keluar dari parti itu. Malah, Ketua Umum PKR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menganggap bahawa Zaid adalah pengkhianat dan merupakan "Kuda Trojan" untuk menghancurkan parti itu. Soalnya sekarang, apakah benar Zaid memang seperti apa yang diperkatakan?. Bagi penyokong Azmin Ali, kini mereka gembira dan selesa dengan pemergian "insan bernama Zaid Ibrahim" itu sebenarnya. Keluarnya Zaid bukan sahaja memudahkan laluan Azmin untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden. Malah, ketiadaan Zaid itu sendiri dilihat dapat memperkukuhkan lagi perjuangan parti itu dalam usaha untuk menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum Ke-13 nanti. Zaid kini bukan sahaja dituduh penderhaka, malahan juga dicop sebagai "agen UMNO" yang ditugaskan menghancurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Namun, biar apapun tuduhan yang dilemparkan kepadanya tetapi Zaid Ibrahim tetap seperti biasa. Terus mengadakan sidang media dan mendedahkan kononnya dia cuba untuk memperbetulkan parti dan ikhlas mahu melaksanakan agenda perubahan. Jika benar, kenapa Zaid haru keluar dan undur diri dari PKR?. Inilah yang memusykilkan rakyat sebenarnya. Malah, tindakan Zaid yang gemar mengadakan sidang media dan secara terbuka menghentam parti dilihat sebagai satu tindakan biadap dan tidak sepatutnya. Apatah lagi dia sendiri dibawa masuk ke dalam parti oleh Anwar. Maka itu, ramai yang kecewa apabila Zaid begitu berani mengeluarkan kenyataan supaya Anwar dan Azmin harus berundur jika mahu melihat parti itu selamat. Soalnya, selamat untuk siapa?. Apakah selamat untuk berada dalam gengamannya?. Inilah yang menjadi kemusykilan rakyat sebenarnya?. Apakah Zaid berada dipihak yang benar seperti pendedahannya kepada media?. Jika dia benar, sepatutnya Zaid tidak khianat kepada penyokongnya. Jika dia benar, Zaid sepatutnya tidak mengundur diri dari pertandingan jawatan Timbalan Presiden, letak jawatan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan atau sebagainya.

Tidak Wajar Berundur Jika Perjuangannya Ikhlas


Kini "nasi sudah menjadi bubur" dan dalam sidang medianya hari ini Zaid dengan bangganya mengumumkan pemilihan 16 Disember akan datang sebagai tarikh beliau meninggalkan parti itu. Soalnya sekarang, kenapa Zaid tidak terus mengumumkannya semalam?. Kenapa dia perlu memilih tarikh tersebut. Apakah benar Zaid "Kuda Trojan" seperti yang disangkan itu agaknya. Zaid yang pernah menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ketika berada dalam kerajaan UMNO BN itu sebenarnya bukanlah seperti apa yang disangka-sangkakan. Ramai penyokong tegas Zaid yang sebenarnya amat kecewa dengan tindakan beliau itu. Mereka tidak marah Zaid menegur Azmin Ali selaki pesaingnya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Namun, tindakan Zaid menyuruh Anwar berundur diri seolah-olah merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan sebenarnya. Maka itulah, ramai yang berbelah bagi dengan senario yang berlaku terhadap Zaid sekarang ini. Beliau yang diangkat sebagai pemimpin hebat dalam PKR selepas dipecat daripada UMNO dulu, kini bukan lagi seperti yang dijangkakan. Zaid sepatutnya berterima kasih kepada Anwar kerana telahmemilihnya sebagai calon bagi pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor baru-baru ini. Pemilihan Zaid telah mengecewakan ramai pemimpin PKR setempat, termasuk Dr.Halili yang akhirnya bertindak keluar dari parti itu. Malah, dalam usia politiknya dalam PKR yang begitu muda akhirnya dia diangkat sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan. Maka itu, ramai yang beranggapan sepatutnya Zaid menumpukan perhatiannya bagi memartabatkan perjuangan PKR di Wilayah Persekutuan. Maknanya, belum masa untuk beliau merebut jawatan tinggi dalam parti itu. Kesetiaan perjuangannya masih belum benar-benar teruji. Namun, kenapa Zaid begitu pelahap dan rakus untuk menawarkan diri bertanding. Sedangkan sebelum ini beliau mengatakan tidak akan bertanding dalam apa jua jawatan dalam PKR. Bukankah ini satu pembohongan yang nyata, menyebabkan ahli PKR sendiri meragui keikhlasannya. Justeru itu, dia tidak sepatutnya berundur diri jika benar-benar ingin meneruskan agenda perubahan. Namun, kenapa Zaid mengambil tindakan tidak popular itu?. Apakah Zaid merasa dia tidak ada membuat kesilapan dalam kempen pemilihan PKR baru-baru ini agaknya?

Zaid Sebenarnya Mulakan Game Terhadap Azmin


Selepas pengumuan Zaid mutakhir ini, ramai yang menganggap beliau kononnya berada dipihak yang benar. Namun, bagi penyokong Zaid, Azmin tetap benar dan lebih layak untuk dianggap sebagai pemimin tertinggi parti itu sebenarnya. Namun, hakikat sebenarnya masing-masing tidak tahu siapakah yang mencetuskan polimik ini. Bercakap soal penyelewengan misalnya, Zaid hanya mendedahkan tentang Azmin dan apa yang berlaku kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). Kononnya Azmin meletakkan ramai orangnya sebagai petugas JPP untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya dan proksi beliau. Malah, Azmin dilihat kononnya mempengaruhi Anwar untuk memastikan "line-up" beliau menang selesa dalam pemilihan PKR ini. Namun, sesuatu harus diingat bahawa Zaid sebenarnya juga ada melakukan kesilapan dan kesalahan besar yang tidak disedari. Beliau terlebih dahulu membawa budaya UMNO ke dalam PKR. Amalan, janji manis dan politik wang begitu ketara tatkala Zaid mengumumkan hasratnya untuk bertanding. Malah, ada bukti kukuh yang terdapat Ketua-Ketua Cabang yang sudah menerima habuan dan imbuhan yang dijanjikan Zaid andainya berjaya mencalonkan dan memastikan undi beliau tinggi. Biarpun mungkin ini cuba dinafikan orang-orang Zaid, namun hakikat sebenar hanya mereka yang mengetahui dan mengalaminya sahaja lebih mendalaminya. Mungkin dek kerana "politik wang" yang dimainkan oleh Zaid menyebabkan Azmin dan penyokongnya mula gentar. Lantaran itu, jalan terbaik ialah menggunakan "taktik kotor" seperti mempengaruhi Anwar dan juga JPP. Inilah yang berlaku akhirnya, satu perjalanan pemilihan yang jelas diragui kesahihannya serta penuh dengan penipuan seperti apa yang dikatakan oleh Zaid itu sendiri. Soalnya sekarang, apakah Azmin tidak menggunakan taktik yang sama?. Ia juga ada, namun jumlahnya tidak sehebat Zaid. Malah, Azmin dilihat lebih "bermewah-mewah" apabila menampilkan imej hebat dengan buku manifesto, sticker, bookmark, poster, bunting serta lain-lain barangan yang digunakan untuk memancing undi. Bahkan, hinggakan ke hari pengundian pun orang-orang Azmin masih mengedarkan barangan tersebut. Soalnya, dari mana Azmin mendapat wang sebanyak itu untuk menyediakan segalanya?. Melihat kepada buku manifestonya sahaja, mungkin nilainya cukup hebat. Maknanya, kedua-dua pemimpin terbabit sebenarnya bermain dalam "game" yang sama.

[Melihat kepada senario yang berlaku ini jelas sekali Azmin berjaya melakukan pukulan "smash kencang" yang membolehkan beliau menang "straigt set" terhadap Zaid. Inilah yang mengecewakan penyokong Zaid, beliau tewas kepada "game" yang dimulakan sendiri. Oleh yang demikian jugalah, Zaid sepatutnya tidak berundur dari medan pertarungan. Beliau harus menerima hakikat tersebut dan bukannya mencanangkan kononnya dia berada di pihak yang benar dalam apa yang berlaku ini. Namun, harus diingat juga bahawa Azmin Ali tidak semestinya berada dipihak yang benar selagi JPP itu sendiri dilihat masih gagal meyakinkan ahli-ahli PKR itu sendiri. Maknanya, yang menang tidak semestinya benar dan yang kalah tidak semestinya salah. Justeru itulah, para penyokong kedua-dua pemimpin terbabit tidak perlulah terlalu emosi dalam hal ini. Biarlah jalan penyelesaian terbaik diambil agar keutuhan PKR dan perjuangan rakyat itu tidak terpalit dengan segala kemelut ini].