Pahang Daily Online | Suara Keadilan Untuk Rakyat | Peole's Justice Voice (PJV) | Suara Rakyat Suara Keramat

Friday, December 31, 2010

Nik Aziz Perjelaskan Bahawa Islam Tidak Larang Sebarang Kegiatan Termasuk 'Acara Senamrobik' Di Lakukan Dalam Kawasan Masjid Sebenarnya !

KOTA BHARU, 31 Dis [12.32 pm] - Islam tidak pernah melarang sebarang kegiatan termasuk senamrobik dilakukan dalam kawasan masjid asalkan kegiatan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (foto). Menteri Besar Kelantan itu berkata, tidak menjadi masalah untuk melakukan kegiatan di luar atau dalam masjid sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam. "Adalah tidak salah dalam Islam pihak tertentu mengadakan kegiatan dalam rumah ibadah orang Islam, kerana zaman Nabi Muhammad s.a.w dahulupun, ada orang kafir masuk (kawasan) masjid kerana ia menjadi pusat segala kegiatan termasuk politik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini. Beliau mengulas tindakan Anggota Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor dengan memakai baju ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid itu, yang disifatkan tidak menghormati rumah suci itu, yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia semalam. Menurut Nik Abdul Aziz, soal anggota Parlimen itu berpakaian tidak sopan atau tidak menutup aurat, adalah perkara kedua yang perlu diperbetulkan. "Yang pasti kita kena beritahu mereka perkara-perkara yang ditegah agama ketika berada dalam masjid...kena beritahu kaedah dan pantang larang dari segi Islam sebelum seseorang itu memasuki masjid," kata Nik Aziz.

[Nampaknya, kenyataan Nik Aziz ini pasti akan menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati dikalangan para penyokong UMNO BN kelak. Mereka sudah pasti akan membuat tuduhan membabi buta terhadap Tok Guru Nok Aziz, gara-gara kenyataan tersebut. Sedangkan da;am masa yang sama mereka itu sendiri tidak faham konsep Islam sebenarnya. Dek kerna itu jugalah mereka pasti akan memainkan isu yang akhirnya akan memakan diri sendiri kelak. Sama-sama kita tunggu apakah komen puak-puak UMNO BN atas kata-kata Nik Aziz ini hendaknya. Semakin mereka bercakap, maka semakin jelas kebodohan mereka terhadap ilmu agama tersingkap satu persatu kelak. Ahli Parlimen Serdang, YB Nie Ching sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi kerana menyampaikan "ceramah" di dalam sebuah surau di Kajang Sentral, Kajang pada bulan Ogos lalu].

Thursday, December 30, 2010

Edisi Pahang: "Banjir Mula Melanda", 64 Mangsa Sekitar Daerah Kuantan Di Pindahkan Pagi Tadi!

KUANTAN 30 Dis [8.20 pm] – Pusat pemindahan banjir pertama dibuka di Pahang hari ini dengan menempatkan seramai 64 orang mangsa yang terdiri daripada 14 keluarga di daerah Kuantan. Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, kesemua mangsa mula dipindahkan pada 10.30 pagi tadi ke Sekolah Kebangsaan Sungai Karang Darat selepas kawasan penempatan mereka di Sungai Karang Darat dinaiki air setinggi satu meter. "Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan selain daerah-daerah lain di negeri ini masih belum terjejas,” katanya ketika dihubungi. Sehingga 5 petang tadi, jalan di Km 18 Jalan Gebeng-Kuantan masih ditenggelami air sedalam 0.5 meter dan hanya dibuka kepada kenderaan berat, manakala jalan di Km 23 Jalan Gebeng-Kuantan yang turut dinaiki air sedalam 0.3 meter pagi tadi kini boleh dilalui semua kenderaan.

[Hujan yang berlarutan sejak semalam, jelas sekali menunjukkan akan berlakunya banjir besar di Pahang kali ini. Hujan yang kadangkala lebat dan kadangkala perlahan ini seakan memberi petanda musim tengkujuh di negeri ii baru bermulla. Oleh itu, semua pihak digesa berwaspada dan berhati-hati mulai sekarang. Simpan dokumen penting dan harta benda di tempat yang tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. Apapun, dikala situasi yang tidak menentu ini makan semua pihak perlu melupakan seketika perbezaan politik dan idealogi masing-masing. Bersatu dan berjaga-jaga menghadapi semua dugaan ini].

Panas: Perebutan Jawatan Presiden Baru MTUC, Akhirnya Syed Shahir Terpaksa Mengundur Diri

PETALING JAYA, 30 Dis [12.50 pm] - Seramai 500,000 anggota Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menghantar petanda yang jelas bahawa mereka tidak mahu pertubuhan itu dianggotai oleh ahli politik dengan memilih ahli jawatankuasa yang tidak terbabit dengan politik, Mohd Khalid Atan sebagai presiden barunya. Khalid dari Kesatuan Pekerja Perkayuan menewaskan Syed Shahir Syed Mahmoud, anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menerajui MTUC sejak enam tahun lepas. Rakan pertandingan Syed Shahir untuk jawatan Setiausaha Agung, Abdullah Sani Abdul Halim, yang juga Anggota Parlimen Kuala Langat daripada PKR juga tewas kepada rakan pertandingan Khalid, Abdul Halim Mansor dari Kesatuan Industri Petroluem dan Kimia. Abdul Halim, timbalan setiausaha agung selama dua penggal telah dipimpin oleh ahli kesatuan yang dihormati setiausaha agung G. Rajasegaran yang telah bersara daripada pergerakan itu selepas hampir 40 tahun memberikan khidmatnya dengan cemerlang. Sumber-sumber MTUC berkata pasukan Khalid-Abdul Halim agak menggerunkan dan inklusif dan akan membantu untuk menyatukan pergerakan itu dan meletakkan kongres itu di tempat asalnya sebagai "juara pekerja sebenar di negara ini," kata Khalid. Katanya tugas pertamanya adalah untuk menyatupadukan pertubuhan dan bekerja ke arah mencapai manfaat untuk pekerja. Beliau merasakan bahawa pertubuhan itu sekian lama dilihat sebagai anti-kerajaan dan berazam untuk mengubah perspektif dan bekerja untuk kebaikan pekerja dan negara. Ini adalah kali pertama dalam masa hampir 30 tahun, ahli politik ditolak oleh anggota MTUC. Sejumlah 475 perwakilan dari 116 kesatuan mengundi pada persidangan kongres itu yang berakhir semalam. Sementara itu, 12 resolusi diluluskan pada persidangan perwakilan MTUC ke-38 yang bersidang pada hari ini.

[Apapun, syabas kita ucapkan kepada Syed Shahir atas kecemerlangan beliau selama enam tahun mengemudi MTUC. Sekurang-kurangnya, beliau membuktikan bahawa pemimpin Pakatan Rakyat juga boleh berjaya memimpin kesatuan sekerja dengan baik dan profesional. Keputusan yang berlaku adalah adat dalam mana-mana pertandingan. Maka eloklah muka baru pula dipilih selepas sekian lama beliau mengendalikannya. Perjuangan membela nasib pekerja terutamanya dalam isu gaji minima adalah bukti jelas bahawa Syed Shahir memikirkan masa depan rakyat Malaysia "rakyat didahulukan". Masalahnya, kerajaan UMNO BN terus memberikan alasan demi alasan untuk menghalang perkara itu menjadi realiti. Makanya, beliau kini akan pergi secara terhormat dan bermaruah !].

Edisi Sukan: Kerajaan UMNO BN Beri Cuti Umum Kerana Malaysia Menang Piala AAF - Suzuki 2010


KUALA LUMPUR, 30 Dis [9.32 am] - Malaysia menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 dalam perlawanan akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala AFF-Suzuki 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia malam ini. Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan itu disempurnakan pemain negara Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-53 dalam perlawanan timbal balik berkenaan. Gol berkenaan memberikan kemenangan kepada negara setelah perlawanan akhir pertama menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan keputusan 3-0 pada 26 Disember lalu. Indonesia kemudiannya memperolehi satu gol melalui pemainnya Mohammad Nasuha pada minit ke-71. Satu lagi gol diperolehi Indonesia pada minit ke-87. Dalam perkembangan berkaitan, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak lewat malam ini mengisytiharkan 31 Disember sebagai cuti umum. Dalam kenyataannya itu, beliau mengisytiharkan cuti umum berkenaan bagi meraikan kemenangan pertama Malaysia dalam sejarah 14 tahun kejohanan berkenaan. Sepanjang tujuh edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali berpeluang melangkah ke perlawanan akhir iaitu pada edisi sulung kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger.

[Apapun, syabas dan tahniah diucapakan kepada pasukan bolasepak negara bimbingan Rajagopal. Ternyata, pemain Malaysia rupanya masih ada yang berbisa seperti dulu-dulu. Apa yang pasti mereka perlulah diberi pendedahan sejak dari awal lagi sebelum menempa nama di persada antarabangsa. Kini jelas membuktikan bahawa bolasepak negara sebenarnya masih ada kelas tersendiri. Dalam hal sukan seperti tini, kita ucapakan terima kasih kepada PM Najib Razak kerana memberikan cuti umum atas kejayaan negara itu. Cuma bagaimana dengan rakan-rakan kita di negeri yang cuti umum jatuh pada hari Jumaat. Harap-harap mereka akan dapat juga cuti ganti pada Ahad nanti. Malaysia boleh, bravo bravo!].

Wednesday, December 29, 2010

Kontroversi: Melantik SUK Tanpa Merujuk Ketua Kerajaan Negeri, Buktikan KSN Sengaja Cemarkan Integriri Perkhidmatan Awam Negara Sebenarnya

Ramai yang terkejut dengan berita perlantikan Datuk Kushrin Munawi (foto) sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru. Apa tidaknya, belum pernah ada dalam sejarah perlantikan seorang pegawai kerajaan tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada ketua jabatan terbabit. Bayangkan, pertukaran dibuat dengan "kuasa ghaib" tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan. Biasanya dalam sesebuah jabatan kerajaan, setiap pertukaran dan perpindahan pasti akan diketahui lebih awal. Kita akan tahu pegawai mana yang berpindah dan yang mana pula akan bertukar ke tempat kita. Malah, bukan setakat perpindahan tapi kita juga boleh tahu ke mana pegawai berkenaan ditukarkan sebenarnya. Ini kerana, notis atau surat pekeliling mengenainya akan dihantar kepada jabatan yang berkenaan. Maknanya, ketua jabatan dan kakitangan mereka sudah tahu siapakan pegawai yang akan bertukar dan akan berkhidmat di tempat mereka. Namun , dalam kes di Selangor ia sungguh "ajaib". Bayangkan, jawatan utama Setiausaha Kerajaan Negeri tiba-tiba diisi oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) tanpa memaklumkan kepada ketua Kerajaan Negeri (MB) sendiri. Bukankah ini sesuatu yang cukup mustahil berlaku dan tidak masuk dek akal. Kenapa terlalu tergesa-gesa dan apakah agenda mereka sebenarnya. Harus diingat, KSN sekarang ialah Sidek Hassan yang berasal dari Kg.Cerok Paloh (Kuantan) yang disambung kontraknya oleh Perdana Menteri Najib Razak. Harus diingat kampung terbabit adalah laluan pantai untuk ke Pekan iaitu Parlimen PM Najib itu sendiri. Soalnya, apakah agenda mereka melakukan ini semua. Ia bukan sahaja menjatuhkan integriti perkhidmatan awam, malah merosakkan imej KSN itu sendiri. Alasan kononnya MB Selangor lewat menghantar calon adalah satu perkara yang tidak boleh diterima sebenarnya. Ini kerana, hak untuk melantik SUK wajarlah dimuktamadkan oleh Ketua Negeri terbabit dan bukan boleh dibuat sesuka hati seperti sekarang. Apatah lagi Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri berlainan ideologinya.

[Tindakan kerajaan pusat melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru dilihat seperti cubaan untuk mengguling kerajaan negeri Selangor, di samping memperlihatkan sikap sebenar kerajaan persekutuan yang tidak demokratik serta tidak menghormati semangat federalisme. Biarpun perlantikan itu dilihat belum muktamad dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mohon mengadap Sultan Selangor untuk membincangkan perkara itu, pandangan kerajaan negeri wajar diteliti terlebih dahulu demi melahirkan sebuah kerajaan yang stabil. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi (foto) berkata, biarpun Kerajaan Negeri Selangor dipimpin oleh sebuah kerajaan yang tidak seideologi dengan kerajaan pusat, namun Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang sah melalui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, ekoran ia adalah mandat dari rakyat yang merdeka menerusi sistem pilihanraya. Menurut beliau, sewajarnya kerajaan negeri Selangor atau mana-mana kerajaan negeri yang lain tidak diganggu apa lagi cuba diguling semata-mata kerana ia dipimpin oleh parti yang berlainan ideologi dengan kerajaan persekutuan].

Tuesday, December 28, 2010

Edisi Pahang: Kekal Pimpin UMNO Negeri, Apakah Satu Petanda Adnan Yaakob Akan Terus Berkuasa Jika BN Masih Memerintah Selepas PRU-13 Nanti !!

KUANTAN, 28 Dis [3.55 pm] - Teka-teki berkenaan akan berlaku rombakan dalam kepimpinan UMNO Pahang akhirnya tidak menjadi, apabila Datuk Seri Adnan Yaakob akhirnya terus dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang. Malah, bagi jawatan Timbalannya pula pucuk pimpinan parti itu masih mengekalkan Dato Sharkar Samsuddin (Ketua UMNO Bahagian Temerloh dan Exco Kerajaan Negeri). Dengan pengekalan ini, mungkin ia menamatkan desas-desus kononnya Adnan bakal mengakhiri perkhidmatannya sebagai Menteri Besar Pahang jika UMNO BN terus berkuasa di negeri tersebut selepas Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang. Sebelum ini, angin bertiup kencang mengatakan Adnan akan bertukar ke pusat dan calon lain bakal menjadi MB Pahang. Ia berdasarkan kepada prestasi beliau yang dikatakan semakin merudum sejak memimpin negeri itu. Sementara itu Adnan berkata pelantikan tiga pengerusi baru mengetuai UMNO negeri bukan petanda bahawa pilihan raya umum (PRU) hampir tiba. "Saya tidak melihat mengapa perlu kecoh mengenai pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di negeri-negeri ini... ia hanya satu proses normal. "Presiden parti pun pernah menyatakan perkara ini dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini dan merujuk kepada negeri-negeri di mana pengerusinya bukan orang tempatan,” katanya selepas merasmikan seminar Standard Halal Pahang 2010 di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perubahan kepimpinan UMNO di Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan seperti yang diumumkan semalam. Adnan berkata, perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah anggota parti terus bekerja keras bagi membantu membela nasib rakyat dan bukannya semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

[Sesuatu yang amat mengejutkan rakyat Pahang sebenarnya. Malah orang UMNO sendiri sebelum ini beriya-iya benar menyebarkan berita kononnya Adnan Yaakob bakal dihantar ke pusat selepas PRU-13 ini. Itu pun jika beliau menang mana-mana kerusi parlimen yang bakal ditandingi nanti. Kini, teka-teki itu sedikit terjawab apabila tiada rombakan berlaku di Pahang. Namun begitu, rakyat Pahang sebenarnya sudah tidak yakin lagi dengan kepimpinan Adnan kerana banyak penyelewengan yang melibatkan anak-anak syarikat kerajaan negeri masih belum terjawab sehingga ke hari ini. Malah, isu-isu panas yang menyebabkan beberapa buah anak syarikat bankrap dan mengalami masalah kewangan yang kritikal masih menghantui rakyat sebenarnya. Soalnya, apakah pengekalan Adnan ini memberi impak positif kepada UMNO BN di Pahang agaknya?. Apa yang pasti rakyat sudah pasti akan semakin benci dan meluat dengan senario yang berlaku ini. Oleh itu, mereka tentu akan membuat perubahan besar dalam pilihanraya umum nanti sama seperti rakan mereka di Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang dulu. Inilah yang perlu diberi perhatian oleh UMNO jika mahu terus berkuasa!].

Kontroversi: Tuduhan Dia "Meninggal Dunia", MB Kelantan Tuan Guru Nik Aziz Mahu Mereka Yang Sebarkan SMS Fitnah Itu Mohon Maaf Dengannya

KOTA BAHARU, 28 Dis [2.35 pm] - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (foto) mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya. "Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya," kata Mursyidul Am PAS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10, di sini. Sebelum ini, berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi. Menteri besar itu minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang. Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik. Beliau juga menyifatkan spekulasi mengenai kesihatan seseorang pemimpin terutama pemimpin politik adalah isu biasa.

[Sungguh mengejutkan tatkala ramai pihak yang mendapat SMS berkenaan begitu percaya dengan perkara itu. Masing-masing panink dan mahukan kepastian tentang hal yang berkenaan. Biarpun agak sukar untuk dituduh siapa yang melakukannya, namun pihak berkenaan boleh mendapatkan kerjasa pihak Telco dan syarikat komunikasi (maxis, digi dan celcom) untuk mengesan pengirimnya. Itu pun jika terdapat laporan yang berkenaan. Soalnya sekarang, kemungkinan besar ia dihantar dengan menggunakan "Server SMS" yang banyak dibekalkan oleh syarikat ICT sekarang ini. Namun, percayakah kita kerja ini dilakukan oleh penyokong Pakatan Rakyat?. Jika mereka terima SMS itu bukankan boleh dirujuk kepada pihak yang berkenaan sebelum "forwardkan" SMS berkenaan. Maka, sudah pastilah kerja terkutuk ini dilakukan oleh "budak nakal" atau puak-puak UMNO BN sebenarnya. Mereka yg seronok dengan berita tersebut, tanpa memastikan kebenarannya pasti akan mengedarkan kepada orang lain dengan begitu taksub sekali. Justeru itu, eloklah mereka memohon maaf daripada MB Kelantan itu daripada menanggung kesalahan yang tidak disengajakan itu].

Monday, December 27, 2010

Menolak Tawaran, Chegubard Akhirnya Terpaksa Mempertahankan Prinsip Serta Keadilan Yang Di Tuntut Terhadap Aduan Semasa Pemilihan 2010 !

Seperti yang sudah dijangka oleh ramai pihak, akhirnya Calon ketua Angkatan Muda Keadilan iaitu Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) yang tewas dalam pemilihan lalu berkata beliau enggan menerima tawaran untuk dilantik ke jawatan Timbalan Setiausaha Agung yang ditawarkan parti. Keputusan beliau ini jelas sekali tidak mengejutkan, kerana sebelum ini pun beliau sudah bersedia untuk tidak menerima sebarang jawatan yang ditawarkan oleh parti itu. berkaitan pemilihan parti yang berakhir bulan lalu. Menurut Chegubard beliau menolak jawatan yang diberikan kerana apa juga jawatan yang diberikan dianggap merupakan amanah besar. Beliau menegaskan dia bukanlah manusia yang menganggap jawatan itu sebagai matlamat yang harus dikejar hingga sanggup memanipulasi segalanya termasuk melakukan penyelewengan demokrasi, tetapi setelah memegang jawatan tidak mampu melakukan apa-apa serta gagal memikul amanah dan hasrat perjuangan rakyat. Beliau turut menegaskan penolakan yang buat terpaksa buat itu adalah atas prinsip dan pengiktirafan Pemilihan Keadilan 2010 akan hanya dibuat setelah hasil siasatan pemilihan dilaksanakan dan dimaklumkan kepada pihaknya.

Chegubard bersama rakannya dalam sidang media pagi tadi
"Saya ingin nyatakan bahawa saya masih menanti hasil penyiasatan dan tindakan terhadap aduan - aduan yang saya dan teman-teman ajukan mengenai Pemilihan KEADILAN 2010. Saya akur dengan nasihat YB Setiausaha Agong agar sabar menanti dan jangan buat bukan-bukan tetapi saya juga meminta beliau ingat dengan kenyataannya yang memberi jaminan hasil siasatan akan diperolehi dalam 2 minggu. Janji ini diungkap ketika Kongres 2010 berlangsung", kata Chegubard.
Sumbangan BolehTetap Di Buat Tanpa Jawatan

Namun dalam masa yang sama Chegubard juga menegaskan bahawa dia akan terus berjuang memperkasakan rakyat demi perubahan negara. Jadualnya saban hari masih penuh dengan aktiviti parti dan bersama rakyat mendesak perubahan. "Saya sayang parti ini dan kerana sayangkan parti inilah saya tegur, saya sayangkan negara ini dan kerana sayangkan negara inilah saya ingin pastikan KEADILAN menjadi sesempurna mungkin sebelum memasuki Putrajaya. Saya masih yakin demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN belum mati (tetapi mungkin gering teruk), namun untuk memastikan keadilan, demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN subur mekar maka kita perlu keberanian mendesak", katanya. Beliau turut menegaskan bahawa bukan persoalan kewangan atau jawatan dalam perjuangannya. Sebab itulah beliau sanggup tolak semua lantikan. "Tanpa jawatan pun kita sebenarnya mampu menyumbang terhadap gerakan kalau kita mahu. Namun saya juga ingin berpesan kepada teman - teman saya yang bersama berkongsi aspirasi ini agar turut bersabar dengan sindiran dan cubaan provokasi pihak tertentu. Mereka ialah golongan yang tidak mahu suara pendesak ada dalam gerakan perubahan, mereka mahu kita lakukan sesuatu diluar batasan untuk mudahkan cari alasan singkirkan kita", katanya.

Budaya Pemilihan Kotor Perlulah Diperbetulkan

Dalam masa yang sama beliau turut mengintakan bahawa KEADILAN adalah parti rakyat, ia parti bagi tiap rakyat yang memahukan perubahan kerana itu beliau dan rakan-rakannya berkongsi aspirasi terus menjalankan program di perbagai peringkat. Dalam konteks nasional juga katanya memang memerlukan kumpulan muda yang sentiasa mendesak perubahan dan penambahbaikan negara. Sesuatu negara akan mudah berada dalam zon krisis apabila anak muda hilang roh mendesak ini. "Kita tidak mahu menuruti budaya pemilihan yang kotor, penipu serta korup seperti yang diamalkan oleh sesetengah parti lain. Apabila individu itu diistiharkan memang semua yang bersuara akhirnya diam disogok dengan berbagai habuan, tidak berbunyi lagi kerana anak mudanya mamai disumbat mulut mereka. Semua ini kononya untuk menjaga kestabilan parti dan menyapu semua kekotoran dan penipuan ke bawah karpet. Ini tidak harus berlaku dalam parti reformasi, kewujudan anak muda kumpulan pendesak harus dilihat dari aspek positif kelangsungan nafas semangat reformasi", katanya.

[Ramai yang gusar dengan keputusan Chegubard ini sebenarnya. Ini kerana beliau adalah antara tokoh anak muda yang cukup berkarisma dan lantang bersuara dalam menjuarai isu-isu rakyat sejak sekian lama. Ramai yang menganggap keputusannya untuk menolak jawatan itu memang tepat sekali, namun hakikatnya ia jelas mengecewakan pucuk pimpinan parti itu terutamanya Anwar Ibrahim. Bahkan, kengganan Chegubard tidak mahu menerima kenyataan dan mahu pertahankan prinsipnya itu dilihat sebagai satu tekanan buat parti sebenarnya. Apa tidaknya, mana mungkin Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mahu melaporkan hasil sebenar segala aduan yang telah disiasat oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) seperti yang dibangkitkan oleh Chegubard. Ini kerana terdapat asas dan bukti-bukti kukuh memang ada unsur penyelewengan dan penipuan semasa proses itu berlangsung dulu. Bahkan, jika siasatan ini diteruskan maka kita khuatir akhirnya yang akan mendapat impaknya ialah Ketua Umum PKR itu sendiri. Ia bersandarkan kepada memang banyak laporan mengatakan Anwar yang telah menghubungiu pihak-pihak tertentu diperingkat negeri dan cabang agar memberikan sokongan padu untuk memastikan kemenangan Azmin Ali dalam pemilihan itu. Soalnya, mampukah semua ini didedahkan andai kebenaran itu terbongkar?. Makanya, kemungkinan besar "Chegubard" bakal dihambat keluar dari parti akibat tuduhan menanamkan "virus kebencian" atas nama keadilan kepada parti itu. Apakah beliau juga akan dituduh sebagai "pengkhianat" dan "penderhaka" seperti Si Zaid Ibrahim].

Memalukan: Nasib Felda Tambah Malang, Apabila Pemimpin Rasuah Si Isa Samad Itu Pula Di Lantik Sebagai Pengerusinya Yang Baru Mulai 1 Jan 2011!

KUALA LUMPUR 27 Dis [3.25 pm] - Nampaknya, kontorversi melibatkan Felda bakal meledak kembali apabila bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan pemimpin UMNO BN yang pernah dikenakan tindakan penggantungan akibat terlibat dengan rasuh ketika Pemilihan UMNO iaitu, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (foto) dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baru berkuat kuasa pada 1 Jan 2011. Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mohd Isa untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif. Mohd Isa menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusoff Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA. Pelantikan ini berkuatkuasa pada 1 Jan 2011. Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Yusoff di atas perkhidmatan beliau menerajui Felda bermula dari 1 Julai 2001 hingga 31 Disember 2010. Soalnya, kenapakah Isa Samad yang sudah sah terlibat dengan rasuah itu dilantik sebagai Pengerusi Felda?. Bukankah rakyat terutamanya peneroka Felda kini sedang melihat apa yang berlaku kepada agensi itu sejak berita "Felda Bankrap" dihebohkan sebelum ini. Kini, UMNO BN mencipta sejarah "malang" buat Felda apabila melantik "pemimpin kotor" untuk menerajui agensi tersebut. Jika dulu, Dato' Md Bakke Salleh, salah seorang pemimpin yang dikatakan menjadi punca Felda merudum dilantik selepas merosakkan imej Bank Islam dan Tabung Haji. Kini, Isa Samad yang sudah jelas "terang lagi bersuluh" diangkat ke jawatan itu. Apakah sudah tiada lagi pemimpin lain yang lebih sesuai untuk dilantik?.

[Kini ramai yang menganggap perlantikan Isa Samad yang diperkenankan oleh PM Najib Razak itu ada kaitan dengan "Tragedi Port Dickson" satu ketika dulu. Difahamkan Isa adalah orang yang bertanggungjawab menyelamatkan Najib daripada dituduh berkhalwat dengan seorang penyanyi terkenal ketika itu. Malah, pihak yang cuba mendakwa Najib juga telah ditukarkan serta merta oleh Isa Samad selaku MB Negeri Sembila ketika itu. Soalnya, apakah Najib takut Isa Samad menyerahkan fail sulit beliau itu kepada WikiLeaks untuk didedahkan kepada umum?. Maka, akhirnya seperti di Bagan Pinang Najib terpaksa akur untuk memberi kedudukan istimewa kepada pemimpin terbabit biarpun satu dunia tahu yang Isa Samad memang terlibat dengan aktiviti rasuah ketika pemilihan UMNO dulu. Makanya, perlantikan Isa ini mungkin untuk menutup mulut beliau supaya tidak membocorkan segala rahsia berkenaan. Hanya mereka yang berada di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dan jabatan agama yang berkenaan sahaja yang lebih mengetahui kes ini sebenarnya. Tahniah Isa Samad kerana berjaya menyelamatkan Najib Razak dan diberi kedudukan penting itu. Ia pasti akan menyebabkan kerajaan UMNO BN itu lebih cepat tumbang dalam pilihanraya umum Ke-13 nanti sebenarnya. Itulah hikmah disebalik semua ini].

Edisi Pahang: Dewan Pemuda PAS Kuantan Anjur Majlis Gunting Rambut Perdana 'Jom Ke Sekolah'

KUANTAN, 27 Dis [11.55 am] - Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuantan dengan kerjasama Urusan Pengundi Muda DUN dan Pemuda-Pemuda Cawangan telah mengadakan satu program "Gunting Rambut Perdana" kepada masyarakat sekitar kawasan parlimen Kuantan semalam. Program sehari bertemakan "Jom Ke Sekolah" itu telah mendapat sambutan hangat daripada orang ramai. "Ramai yang mengambil kesempatan membawa anak masing-masing untuk bergunting rambut secara percuma dalam program ini. Secara dasarnya program kali ini telah berjaya mencapai matlamatnya dan kita akan adakannya secara berterusan sebagai aktiviti kemasyarakatan untuk rakyat", kata Ustaz Fadli Ibrahim (foto), Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuantan ketika ditemui oleh krew kami di Pasti As-Saadah, Kg.Razali dekat sini. Selain disitu, acara turut diadakan di Pasti Batu 3 dan Masjid Al-Fattah yang terletak berhampiran dengan kawasan berkenaan. Secara dasarnya, program seperti ini amatlah bagus dan baik untuk rakyat sebenarnya. Justeru itu, semoga pihak-pihak lain dapat menjalankan aktiviti kemasyrakatan seperti ini, demi menarik lebih banyak sokongan daripada semua pihak pada masa hadapan.


Ustaz Fadli bergambar kenangan dengan peserta dekat Pasti Batu-3

Para peserta seronok ketika menanti giliran untuk digunting rambut

Hebat, nampaknya Ustaz Fadli juga turut tunjuk skill gunting rambut

Ustaz Fadli bergambar kenangan dengan peserta di Pasti As-Saadah

[Nampaknya kini banyak aktiviti Pakatan Rakyat terus dijuarai oleh parti PAS. Justeru itu, kita mengharapkan agar rakan-rakan lain dari PKR dan DAP dapat sama-sama memainkan peranan untuk memantapkan lagi perjuangan pada masa akan datang. Aktiviti ceramah perlu dijalankan secara berterusan secara lebih berkesan lagi. Ramai yang tertanya-tanya tentang penggunaan pentas ceramah di Pejabat PKR Pahang yang hanya diadakan ceramah untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata, sebaliknya ceramah berkala yang melibatkan pemimpin lain masih tidak dapat dilihat hingga ke hari ini. Akhirnya lokasi yang cukup menarik itu kini umpama gajah putih dan tidak mendapat perhatian langsung daripada rakyat. PKR perlu lakukan sesuatu untuk mengadakan lebih banyak aktiviti ceramah di situ dan tidak terlalu mengharapkan kepada PAS semata-mata. Bersama-samalah meneruskan perjuangan rakyat dengan lebih aktif lagi].

Saturday, December 25, 2010

Edisi Pahang: Ceramah Umum "Pakatan Rakyat", Blogger Cucumatkilau Bakal Muncul Dalam Dua Program Di Pekan (25 Dis) Dan Jerantut (26 Dis) !

KUANTAN, 25 Dis [5.25 pm] - Orang ramai, khasnya di sekitar kawasan Pekan dan Jerantut di jemput beramai-ramai ke program ceramah umum Pakatan Rakyat yang akan diadakan pada hari ini dan esok. Ceramah malam ini bakal diadakan di Madrasah Al-Husna, Jalan Rompin Lama Pekan menampilkan YB V.Sivakumar (Bekas Speaker DUN Perak) manakalah esok (Ahad) bakal diadakan di Kompleks Imam Al-Shafie (KIAS) Kg.Temin Jerantut bakal menampilkan YB Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena). Apa yang menarik dalam kedua-dua ceramah ini turut akan menampilkan Blogger Cucumatkilau (foto) sebagai penceramah jemputan. Beliau yang sebelum ini dihebohkan akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini sedang membuat persiapan untuk menfailkan tindakan saman terhadap akhbar arus perdana Utusan Malaysia berhubung dengan penyiaran satu artikel berkaitan dirinya. Menurut CMK ketika dihubungi, beliau akan membuat satu kelainan dalam kedua-dua ceramah tersebut. "Saya akan menggunakan LCD Projector dan Power Point untuk menarik orang ramai lebih berminat kepada isu-isu panas yang akan diketengahkan. Banyak isu panas tentang negeri Pahang dan Nasional yang bakal dikupas termasuk isu APCO, kenaikan harga barang, tol, air, PTPTN, gejala sosial dan sebagainya. Manakalan isu Pahang pula saya akan mengupas tentang penyelewengan yang berlaku dalam anak-anak syarikat kerajaan Pahang seperti PKNP, Astana Golf, Mentiga Corporation, LKPP, PKNP, Yayasan Pahang serta banyak lagi agensi kerajaan yang terbabit dengan penyelewengan itu. Justeru itu, saya menyeru rakyat Pahang agar hadir beramai-ramai untuk menyaksikan sendiri apakah yang akan dipersembahkan oleh saya nanti", kata Blogger Cucumatkilau.


Program bersama YB Mahfuz Omar di KIAS Jerantut pada 26 Dis 2010

Program bersama YB V. Sivakumar di Madrasah Al-Husna Pekan 25 Dis
[Nampaknya perjuangan menyedarkan rakyat akan kebobrokan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO BN semakin bersemarak lagi apabila para blogger yang selama ini berada di alam siber dan hanya berjuangan dibelakangg tabir kini mula naik ke pentas ceramah. Satu pendekatan dan teknik baru dalam penyampaian ceramah apabila penggunaan "alat pandang dengar" mula mendapat perhatian. Sebenarnya memang sudah lama pimpinan Pakatan Rakyat perlu mengubah dan membawa pendekatan baru dalam menarik perhatian rakyat terhadap apa yang disampaikan. Maka, langkah yang diambil oleh blogger terbabit dianggap satu percubaan baru yang harus diberi perhatian sewajarnya. Justeru itu, rakyat diseru hadir beramai-ramai untuk menyaksikan dan mendengar pendedahan blogger terbabit].

Tindakan SPR Tetapkan Hari Cuti Sebagai Tarikh Pencalonan Serta Pengundian DUN Tenang Jelas Membuktikan Mereka Memang Double Standard !

KUALA LUMPUR, 25 Dis - Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi PRK Dun Tenang, jelas memperlihatkan sikap 'double standard' suruhanjaya itu. Menurut Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa (foto), SPR dilihat tidak konsisten apabila pada PRK Galas 4 November lalu, pengundian dibuat pada hari bukan cuti umum sehingga memaksa Kerajaan Negeri Kelantan pada waktu itu mengumumkan tarikh itu sebagai cuti peristiwa. Katanya, apabila berdepan PRK di kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja, sedangkan apabila di kerusi BN, tindakan sebaliknya dilakukan SPR. "Kita dapat melihat dengan jelas perbezaan ini dan ini bukannya pelik dalam negara kita ini. "Kita kenal siapa SPR ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok. SPR hari ini mengumumkan tarikh PRK Dun Tenang, Johor pada 30 Januari tahun depan manakala penamaan calon pula pada 22 Januari. Walaupun berdepan situasi itu, Nasharuddin mahu jentera PAS berkerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon PAS yang akan bertanding kelak. Kepada jentera yang sudah mula menjalankan tugas, beliau mahu semua tenaga kerja yang ada dimobilisasi pada tahap terbaik berdepan Umno BN. "Bagi kita cuti ke tak cuti ke, kita tetap masuk dengan niat untuk menang dengan memberi tentangan sehebat mungkin kepada lawan kita, BN," katanya lagi.Beliau juga optimis PAS berpotensi menang apabila pada pilihan raya umum lalu mereka dapat mengurangkan majoriti kepada 2,492 undi berbanding sebelumnya. "Kejayaan mengurangkan majoriti pada PRU lalu akan menjadi perangsang kepada PAS untuk menambah satu lagi kerusi di Johor nanti," katanya. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PAS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu PRK Tenang termasuk soal pemilihan calon.

[Memang itulah hakikatnya seperti yang telah kami ramalkan. Soalnya sekarang, kenapakah sebuah badan bebas seperti SPR ini tiba-tiba cuba memperbodohkan imej mereka sendiri. Jika inilah keadaannya, maka sudah pastilah rakyat akan hilang keyakinan terhadap badan itu sendiri. Maka, kita juga tidak hairan SPR lebih memihak kepada UMNO BN dalam apa jua keadaan sekali pun termasuk hal-hal yang berkaitan peraturan semasa berkempen. Apa yang dibuat oleh UMNO BN semuanya betul, tetapi yang dilakukan oleh pembangkang semuanya dianggap melanggar undang-undang. Mereka merosakkan integriti sendiri, eloklah SPR itu dibubarkan dan digantikan dengan badan lain yang benar-benar lebih bertanggungjawab kepada rakyat. SPR yang ada sekarang hanay bertanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah iaitu UMNO BN. Cuma akhirnya mereka tertewas dek gelombang suara rakyat yang lebih besar daripada agenda jahat mereka itu sendiri. Inilah yang menyebabkan Pakatan Rakyat masih lagi menang dan berjaya di kawasan tertentu. Apa yang menarik di DUN Tenang ialah jumlah pengundi pos hanya 18 orang sahaja. Ini memberi tamparan cukup hebat buat UMNO BN sebenarnya. Soalnya, apakah SPR akan bertindak adil dalam mengadili "games" ini?].

Friday, December 24, 2010

Seperti Skrip Yang Telah Di Jangka, Akhirnya SPR Menetapkan Hari Cuti Sebagai Tarikh Pencalonan Dan Pengundian Pilihan Raya Kecil DUN Tenang !

PUTRAJAYA, 24 Dis [8.50 pm] - Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Labis, Johor ditetapkan pada 30 Januari (Ahad) depan. Manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jan, (Sabtu) kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff (foto). Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya. Menurut Abdul Aziz, seramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang. Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun ketiga tahun ini yang telah dikemaskini sehingga 17 Disember lalu. Abdul Aziz berkata, sebanyak 376 petugas telah dilantik sepanjang lapan hari tempoh berkempen. Manakala seorang pengurus pilihan raya dan tiga penolongnya daripada Majlis Daerah Labis turut dilantik. SPR menubuhkan tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya untuk mengurus perjalanan pilihan raya dan mengawal kempen. Pilihan raya itu juga akan menggunakan tiga dewan dan sembilan buah sekolah sebagai tempat pengundian yang melibatkan 32 saluran mengundi. Katanya, penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi. Sementara itu, Abdul Aziz turut mengambil kesempatan mengingatkan majikan supaya memberi kebenaran kepada pekerja mereka bagi keluar mengundi. "Mungkin ada daripada pihak swasta yang bekerja pada hari itu . Oleh itu, majikan mesti memberikan kebenaran kepada pekerja mereka untuk keluar, jika tidak mereka boleh dihukum melalui akta pilihan raya. "Saya juga akan menulis surat kepada ketua setiausaha sumber manusia supaya jangan menghalang pengundi daripada mengundi ," katanya.

[Ternyata nampaknya Pengerusi SPR, Si Aziz Yusoff berjaya melengkapkan skrip pilihanraya seperti yang telah kami jangkakan sebelum ini. Tindakan beliau memilih hari pencalonan dan pengundian pilihanraya kecil DUN Tenang pada hari cuti jelas sekali menampakkan betapa beliau "dicucuk hidung" sebenarnya. Buktinya jika melibatkan kerusi yang boleh memenangkan BN maka dipilihnya hari cuti, tetapi jika kawasan yang boleh menguntungkan maka dipilihnya hari bekerja. Cuba lihat di PRK Galas & Batu Sapi tarikh mengundi pada (Khamis,4 November) Permatang Pauh (Khamis, 26 Ogos), Manek Urai (Selasa, 14 Julai) dan sebagainya. Tetapi bagi kawasan pilihanraya kecil yang boleh memihak kepada mereka, maka tarikh hari cuti dipilih. seperti di Hulu Selangor (Ahad, 25 April) dan Kuala Trengganu (Sabtu, 17 Januari). Kenapalah begitu "bangangnya" mentaliti Pengerusi SPR agaknya. Bukankah Hari Pencalonan dan Hari Pengundian pilihanraya adalah satu detik bersejarah yang menjadi jari peristiwa. Maka sudah sewajarnya sebagai badan bebas SPR perlu memilih hari cuti dalam mana-mana pilihanraya. Tapi soalnya, kenapa ada dia situasi yang berbeza?. Bukankah ini bererti SPR memang kerjanya ingin memastikan "sebelah pihak" mendapat faedah, sedangkan pihak yang lain akan ditekan dengan berbagai peraturan dan akta yang tidak munasabah. Paling menarik, mereka sanggup mendesak agar majikan swasta memberikan pekerja cuti untuk mereka mengundi. Anehnya, SPR tergamak buat pilihanraya pada hari bekerja di tempat-tempat lain pula. Kenapa harus begini jika benar mereka bebas?].

Isu Memperkenal 'Imbuhan Khas RM500' Kepada Pendidik, Si Muhyiddin Akhirnya 'Terperangkap' Dengan Idea Anwar Bila Kata Negara Akan Muflis

KUALA LUMPUR 24 Dis [8.21 pm] - Timbalan Perdana Menteri hari ini menolak dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau memperlekehkan peranan guru apabila mempertikaikan tawaran pembangkang untuk memperkenalkan imbuhan khas RM500 seorang setiap bulan. Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, sebaliknya menyifatkan dakwaan itu hanya menunjukkan betapa terdesaknya Ketua Pembangkang itu untuk meraih sokongan rakyat. "Hanya Menteri Pelajaran tidak berhati perut yang tidak menghargai guru... beginilah terdesaknya Anwar Ibrahim, yang sebelum ini pernah menjadi Menteri Pendidikan. Saya gembira mendengar tawaran ini... tetapi apa yang saya katakan adalah kita perlu melihat secara keseluruhan untuk menterjemahkan apa yang dikatakan tawaran ini dalam hakikat sebenar. "Anwar Ibrahim yang pakar dan bijaksana itu harus tahu, tetapi kerana muslihat politik dan pilihan raya maka dia sanggup buat begitu... tak apalah kalau bankrap, tak apalah kalau tanggung lebih belanja asalkan kita menang dan saya akan jadi perdana menteri, itu tujuan dia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Mendidik Demi Malaysia di sini hari ini. Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas dakwaan Anwar yang kesal dengan kenyataannya apabila menyebut bahawa tindakan perkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan akan menyebabkan negara boleh muflis.

[Nampaknya dalam kes ini, TPM Muhyiddin yang terperangkap sebenarnya dan bukan Anwar. Malah, keyakinan Anwar untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan itu adalah berlandaskan kepada kantung kewangan negara yang memungkinkan perkara itu berlaku. Malah, sepatutnya Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran menyokong penuh idea tersebut. Ia bukan sahaja memberi galakan kepada golongan pendidik agar lebih cemerlang untuk mengajar anak-anak murid, malah turut boleh meningkat kualaiti kerja mereka. Guru senantiasa terbeban dengan berbagai tanggungjawab, maka sudah pasti cadangan ini dapat menguatkan semangat mereka untuk berkhidmat dengan lebih gigih lagi pada masa akan datang. Sebelum ini, para guru pernah meminta kerajaan menimbangkan kerja lebih masa kiranya mereka mengajar dan terlibat dengan aktiviti lain disebelah petang. Maka dengan cadangan ini ia sedikit sebanyak memberi kepuasan buat mereka. Kenapa Muhyiddin boleh mengatakan negara akan "Muflis" jika ia dilaksanakan?. Sedangkan selama ini mereka menyelamatkan syarikat-syarikat kroni tanpa memikirkan langsung kewangan tersebut. Mengapa bila mahu menyelamatkan ribuan guru (rakyat) mereka marah dan kecewa?. Jika benar "rakyat didahulukan" maka inilah masanya].

Terbukti Ada Unsur Penipuan Projek Bakun, Sime Darby Menyaman Bekas Pengarah Eksekutif Serta Dua Orang Pegawai Kanan Sebanyak RM92 Juta !!

KUALA LUMPUR, 24 Dis [5.30 pm] - Sime Darby Bhd dan tiga subsidiarinya, Jumaat, memfailkan saman sivil terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid (foto) dan dua eksekutifnya, memohon ganti rugi sekurang-kurangnya RM92.2 juta kerana pecah amanah dan bertanggunggjawab berhubung projek Bakun. Saman itu difail di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Dagang Baru pagi ini menerusi firma guaman Tetuan Zaid & Co, dan ini merupakan saman kedua difail oleh Sime Darby terhadap mereka. Plaintif dalam saman itu adalah Sime Darby Berhad, Sime Engineering Sdn Bhd, Sime Darby Holdings Berhad dan Sime Darby Energy Sdn Bhd manakala defendan adalah Ahmad Zubir, bekas Naib Presiden Eksekutif Bahagian Tenaga dan Utiliti Kumpulan Datuk Mohamad Shukri Baharom dan bekas Ketua Pegawai Kewangan Bahagian Tenaga dan Utiliti Kumpulan, Abdul Rahim Ismail. Dalam saman itu plaintif membuat tuntutan sekurang-kurangnya RM92.2 juta, serta faedah dan kos yang perlu dibayar oleh defendan kerana pecah amanah dan bertanggungjawab terhadap projek Bakun.

Empangan Bakun Sepatutnya Siap Disember 2010

Kumpulan itu dalam saman mereka antara lain memohon satu perintah mahkamah supaya Ahmad Zubir, Mohamad Shukri dan Abdul Rahim membayar kembali RM74 juta dan RM16.5 juta yang dibayar dengan cara yang salah dalam projek Bakun, dan perintah supaya masing-masing Mohamad Shukri dan Ahmad Rahim, membayar balik RM851,313.49. Plaintif turut memohon satu perintah supaya jumlah kerugian dinilai dan dibayar oleh setiap defendan, kerana memberikan 'plant' kepada Sinohydro dalam projek Bakun, dan satu perintah supaya kerosakan dinilai bagi semua kerugian yang dialami plaintif dalam projek itu. Plaintif juga mahukan satu perintah supaya defendan membayar kerosakan berdasarkan tindakan setiap defendan yang melakukan pecah amanah di samping bertanggungjawab terhadap tugas mereka, serta bayaran faedah dan kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Projek Empangan Bakun yang terletak di Sungai Balui, Sungai Rejang, Sarawak, merupakan projek tenaga hidro terbesar di Malaysia, dengan kapasiti yang dicadangkan 2,400 megawatt (MW) apabila disiapkan. Mengikut jadual awal empangan itu dibina pada awal 1994 dan dijangka siap Disember 2010. Mengikut saman itu, menjelang September 2007, lembaga pengarah Sime Darby menyedari bahawa limpahan kos berlaku dalam empat projek termasuk Bakun di Sarawak.

[Semalam Sime Darby Berhad, Sime Engineering Sdn Bhd, Sime Darby Energy Sdn Bhd, Sime Darby Marine Sdn Bhd dan Sime Darby Marine (Hong Kong) Sdn Bhd menfailkan saman terhadap Ahmad Zubir, Mohamad Shukri, Abdul Rahim, dan bekas ketua unit perniagaan gas dan minyak bahagian tenaga dan utiliti) Abdul Kadir Alias serta bekas pengurus besar kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd Mohd Zaki Othman, bagi menuntut mereka membayar balik sekurang-kurangnya RM338 juta, dan ganti rugi am dan teruk, serta lain-lain ganti rugi. Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia Khamis, syarikat tersebut berkata saman itu berkaitan dengan kerugian yang dialami dalam projek Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar dan projek marin. Saman itu difail menerusi Tetuan Zaid & Co dan mahkamah menetapkan 9 Mac tahun depan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Khairuddin Anhar].