PAHANG DAILY ONLINE (PDO) | SUARA KEADILAN UNTUK RAKYAT | PEOPLE'S JUSTICE VOICE (PJV)

Saturday, July 30, 2011

Warta Pahang Daripada Pelbagai Sumber Media

Mulai sekarang Pahang Daily Online (PDO) akan menyiarkan berbagai informasi dan maklumat tentang Pahang menerusi ruangan Warta Pahang yang kami wujudkan. Berita yang dipaparkan adalah berkaitan isu semasa dan hal ehwal dalam negeri Pahang sahaja. Dengan berita ini ia akan mendekatkan lagi rakyat Pahang seantero dunia dengan kampung halaman masing-masing. Kepada anda yang ingin menghantarkan bahan berita dan maklumat yang tidak bertujuan komersial, sila emailkan ke pahangdaily@yahoo.com (sertakan gambar dan maklumat berkaitan) untuk memudahkan segala urusan yang berkenaan. Harap Maklum

MB, Kerajaan Negeri Tidak Abaikan Aduan Rakyat


JERANTUT - Kerajaan negeri tidak mengabaikan setiap aduan yang disampaikan oleh rakyat bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN). Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, pihaknya memahami keperluan dan permasalahan yang dihadapi rakyat di luar bandar dan pedalaman khususnya penyediaan kemudahan asas termasuk bantuan pendidikan."Sejak mengadakan lawatan ke beberapa daerah di Pahang Barat awal bulan ini, masalah yang sama diadukan kepada saya berkaitan kemudahan asas, memohon hak milik tanah, bekalan air, elektrik dan kebajikan lain. "Saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, wakil rakyat dan pegawai daerah segera menangani masalah itu dalam sesi pertemuan dan amat memahami masalah yang mereka hadapi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua kampung, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komponen parti BN, di sini kelmarin. Menurut Adnan, kerajaan negeri mahu permasalahan rakyat didengari dengan lebih telus dan tindakan segera diambil dengan kerjasama wakil rakyat dan agensi kerajaan. Sehubungan itu, katanya, ketua jabatan di peringkat negeri dan daerah tetap berusaha sebaik mungkin untuk menyiapkan segera sesuatu projek mengikut jadual walaupun berhadapan sedikit kelewatan. sumber

Ribut Serta Angin Kencang Melanda Lepar Hilir

KUANTAN - Sebanyak 113 buah rumah di Gugusan Felda Lepar Hilir dekat sini rosak akibat dilanda ribut dan angin kencang petang semalam. Kejadian pada pukul 4.15 petang itu melibatkan kerosakan 92 buah rumah di Felda Lepar Hilir 1, Lepar Hilir 4 (11) dan Taman Saujana (10). Timbalan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Abdul Rahman Inoh berkata, kejadian itu berlaku dalam tempoh tidak sampai lima minit menyebabkan bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang. "Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diminta menghulurkan bantuan kepada mangsa selain meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) memutuskan bekalan elektrik buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dibuat," katanya. Abdul Rahman menambah, Felda akan turut memberi bantuan segera kepada mangsa ribut bagi meringankan beban mereka. Dalam pada itu, seorang mangsa, Zakiah Abdul Rahman, 51, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang dekat sini. "Ketika itu, suami saya seorang diri berada di rumah dan sebaik sahaja sampai, saya terkejut melihat bumbung di bahagian dapur diterbangkan angin," katanya sambil bersyukur suaminya selamat dalam bencana itu. Seorang lagi mangsa, Saluma Mat Alim, 50, memberitahu, semasa kejadian dia sedang menonton televisyen dan tiba-tiba berlaku angin kencang menyebabkan dia segera selamatkan diri bersama anak lelakinya. sumber

Peneroka Tembagau Dapat Duit Tanam Semula

BERA - Lebih 500 peneroka Felda Tembangau 1 dan 2, dekat sini akan menerima wang tanam semula antara RM9,000 dan RM13,000 berikutan menukar tanaman mereka daripada getah kepada kelapa sawit. Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (foto) berkata, pengurusan Felda sedang menyiapkan penyata terakhir bagi membolehkan bayaran itu dibuat dalam tempoh terdekat dan ia bergantung kepada kadar jualan hasil peneroka kepada agensi tersebut sebelum ini. ''Segala masalah peneroka akan diatasi secara baik dan berhemah walaupun kadangkala berlaku kelewatan berikutan masalah teknikal serta terpaksa meneliti secara rapi bagi mengelakkan pelbagai masalah berbangkit di kemudian hari. ''Peneroka jangan terus menuding jari kepada Felda atau termakan hasutan pihak luar jika menghadapi sesuatu masalah tetapi perlu beri peluang kepada kakitangan agensi itu untuk menyelesaikannya," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka peringkat Wilayah Mempaga di Felda Tembangau 1, di sini kelmarin. Ismail yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, pengurusan Felda prihatin dengan masalah yang dihadapi peneroka. Begitupun, katanya, jika peneroka membawa masalah mereka kepada pihak luar, ia hanya akan menyulitkan keadaan terutamanya membabitkan kewangan dan sebagainya. Beliau berharap, warga peneroka bersyukur kerana dengan menyertai Felda, terbukti mereka berjaya mengubah taraf kehidupan. sumber

[Artikel yang disiarkan di sini adalah dipetik daripada pelbagai sumber media. Kami tidak mengubah isi artikel terbabit untuk memberi peluang kepada pembaca menilai dan membuat perbandingan isu-isu yang dipaparkan. Kepada pembaca terutamanya rakyat Pahang yang mempunyai apa saja berita menarik di kawasan masing-masing, anda bolehlah menghantar berita dan artikel tersebut ke pahangdaily@yahoo.com untuk disiarkan. Seelok-eloknya, serta sekali gambar-gambar yang berkaitan supaya ia lebih menarik. Harap Maklum].

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini: