SITIAWAN 27 Okt - Kerajaan negeri yang dikuasai pakatan pembangkang PKR, PAS dan DAP juga perlu menjawab beberapa teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 kerana laporan itu mencakupi prestasi semua kementerian, agensi dan kerajaan negeri seluruh negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang tidak patut sesuka hati melabel bahawa kelemahan perbelanjaan yang didedahkan dalam laporan itu adalah bukti kegagalan program transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau menjawab soalan wartawan ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik dasar transformasi kerajaan ekoran ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara itu. "Laporan itu mencakupi semua agensi dan kerajaan-kerajaan negeri. Tidak juga terkecuali kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang. Ada juga teguran dari audit yang mereka perlu jawab,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan akhbar mini ”The School Times” di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh di Lekir dekat sini, hari ini. Menurut Muhyiddin, Anwar yang pernah berada dalam kerajaan dahulu sebagai Timbalan Perdana Menteri semestinya tahu bahawa Laporan Ketua Audit Negara itu sentiasa disertakan dengan teguran penting untuk pastikan perbelanjaan negara dilaksanakan dengan penuh hemah dan baik.
[Apa yang pasti, rakyat sungguh terkejut dengan laporan yang dibuat itu. Ternyata kerajaan gagal membendung penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh kroni dan proksi mereka. Wang rakyat mengalir macam air sungai, tanpa ada sesiapa yang melarang. Dek kerana kuasa, mereka rompak segala hasil khazanah negara untuk mengenyangkan tembolok mereka. Apakah ini namanya pembangunan yang diperkatakan. Tranformasi Najib ternyata telah gagal dan rakyat berhak menukar kerajaan yang ada sekarang ini jika mahu nasib mereka terus terbela. Jika tidak pasti mereka akan terus ditipu oleh pihak terbabit buat selamanya. Ratusan juta wang rakyat dipunggah sesuka hati dengan penipuan-penipuan yang dilakukan. Masih adakah kita yang sanggup berdiam diri dan biarkan ia berlaku begitu sahaja?. Lakukanlah perubahan mulai sekarang !].












0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:
Post a Comment