PEKAN, 29 Okt - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan menurunkan harga tiket RM50 yang ditetapkan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu di Stadium Shah Alam, malam ini. Presidennya, Sultan Hj.Ahmad Shah (foto) bertitah, penyokong kedua-dua pasukan seharusnya mengetepikan isu kenaikan harga tiket dengan datang beramai-ramai ke stadium bagi menyokong pasukan masing-masing. Baginda bertitah, sebelum harga tiket ditetapkan, ia telah dikaji kewajarannya sebuah jawatankuasa bertanggungjawab. Titah baginda, jika dibandingkan dengan negara Asean, penjualan tiket di negara ini jauh lebih murah. "FAM tidak akan mendapat apa-apa keuntungan daripada harga tiket tersebut, sebaliknya ia bertujuan menambah pendapatan kedua-dua pasukan yang layak ke pertandingan akhir. "Lagi berapa jam sahaja perlawanan akhir ini akan bermula, buat apa kita hendak tukar, harganya akan kekal seperti ditetapkan. "Beta menyeru kepada para penyokong Negeri Sembilan dan Terengganu supaya datang ke stadium beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. "Selepas perlawanan akhir dan bila keadaan sudah reda, rakyat boleh datang berjumpa FAM dan kita boleh bincang mengenai segala-galanya, termasuk harga tiket untuk perlawanan-perlawanan akan datang," titah baginda.
[Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Kem Force 136, Rejimen 505 Askar Wataniah Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraannya (ke-81). Baginda tutut mengulas bantahan penyokong kedua-dua pasukan yang mara ke final, yang turut mengancam untuk memboikot penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia. Sementara itu, mengulas kejadian Wisma FAM di Kelana Jaya yang dilempar cat merah kelmarin, Sultan Ahmad Shah bertitah, polis sedang menyiasat insiden tersebut. "Ini (lempar cat) tindakan orang bodoh, dia hendak lari ke mana. "Kita (FAM) telah maklumkan kepada pihak polis dan biarlah mereka siasat mengenai insiden ini," titah baginda].











