Seramai 538 mangsa banjir dari empat daerah di Pahang ditempatkan di 13 pusat pemindahan, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abd Rahim. Beliau berkata mangsa-mangsa itu adalah dari 18 perkampungan di daerah Rompin, Raub, Bera dan Maran yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan yang dibuka sejak pukul 2.40 petang semalam. Daerah Raub mencatatkan angka pemindahan tertinggi dengan 204 mangsa diiikuti Rompin (179), Bentong (100) dan Maran (55), katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini. Sementara itu katanya, beberapa jalan di daerah Bentong, Bera dan Rompin ditutup kepada semua jenis kenderaan setelah dinaiki air setinggi 1.5 hingga dua meter. Katanya, jalan-jalan tersebut ialah di Km 9, 12 dan 13 Jalan Karak-Kuala Pilah di Bentong, jalan alternatif Kampung Pasal ke Felda Palong 8 dekat Muadzam Shah, jambatan Kampung Lubuk Batu dan Jambatan Sungai Gayung di Rompin serta KM22 Jalan Kemayan ke Ladang Risda di Bera.
[Nampaknya, selepas sahaja gelombang Tsunami Pilihanraya Kecil DUN Tenang berakhir maka kini bencana alam banjir terus melanda dan semakin membimbangkan. Malah difahamkan sudah tiga mangsa lemas sudah dikenalpasti sekarang ini iaitu dua di Johor dan satu di Melaka. Justeru itu, kepada seluruh rakyat Pahang diminta berhati-hati dan senantiasa berwaspada bagi mengelakkan kehilangan nyawa semasa banjir melanda. Pastikan juga dokumen-dokumen penting diletakkan di tempat selamat. Saling bantu membantulah sesama kita biarpun berbeza fahaman politik masing-masing. Dalam ketika semua berhadapan dengan bencana seperti ini, usahlah terbawa-bawa imej kepartian kerana ia bakal mengeruhkan keadaan sebenarnya. Bersama kita menghadapi segalanya].

















































