


Mereka berdua adalah penyokong UMNO yang begitu agreasif di Hyatt dulu



KUALA LUMPUR 29 Jun - Pihak polis akan menahan sesiapa sahaja yang mempamerkan apa-apa perkataan atau lambang yang menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram yang dianjurkan oleh beberapa kumpulan di ibu negara pada 9 Julai ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (foto). "Bukan sahaja baju, kereta, bas, kasut, seluar dan apa sahaja yang berbau hasutan akan ditangkap di bawah undang-undang yang boleh diguna pakai,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini. Beliau berkata, antara undang-undang yang boleh digunakan dalam tindakan ini ialah Seksyen 27(5) Akta Polis iaitu percubaan untuk mengadakan perhimpunan haram. Sehubungan itu, Ismail menasihati kumpulan yang berlainan ideologi itu supaya batalkan hasrat mengadakan perhimpunan haram demi keamanan negara. Bernama
[Nampaknya Malaysia kini menuju ke arah negara polis. Pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat itu kini benar-benar telah diperalatkan oleh kerajaan UMNO BN bagi menghalang satu perhimpunan yang bertujuan untuk membersihkan segala kepincangan yang berlaku dalam pilihanraya di Malaysia sejak sekian lama. Kenapa polis perlu takut sehingga sebegitu rupa, sedangkan mereka sepatutnya bersama-sama rakyat mengawal keadaan agar tidak berlaku kekecohan dan perbuatan yang tidak diingini sepanjang himpunan tersebut. Namun, tindakan polis keluarkan kenyataan seperti ini membuktikan mereka memang rela menjadi alat perkakas UMNO BN untuk menghalang rakyat itu sebenarnya].
Ramai pihak yang ditemui malam tadi merasa terharu dan lucu melihat keletah Karam Singh (foto), memperkatakan isu Lynas. Siaran berita secara eksklusif yang diusahakan oleh syarikat televisyen swasta TV3 itu benar-benar menjatuhkan maruah beliau sebenarnya. Nampak sangat Karam Singh telah diupah dan dibayar dengan harga-harga tertentu untuk menyokong keputusan pakar-pakar IAEA yang akan memutuskan kononnya Lynas itu selamat buat rakyat Kuantan hujung bulan ini. Siaran eksklusif Lynas yang disiarkan menerusi rancangan Buletin Utama TV3 bermula malam tadi hingga esok itu benar-benar memalukan sebenarnya. Paling mengejutkan bila Karam Singh sanggup diperalatkan untuk mengukur tahap radiasi Pejabat Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh di Jalan Beserah yang begitu lantang memperjuangkan isu ini. Sepatutnya, TV3 harus lebih profesional untuk menyiarkan berita dan informasi tentang Lynas. Bukannya arahkan Karam Singh membuat "lawak bodoh" yang jelas membuktikan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Pahang sudah tiada jalan lain agaknya.
KUANTAN 29 Jun - Seorang jurutera kilang ditemui mati di sebuah bilik hotel (Hyatt) di Teluk Chempedak di sini, kelmarin. Mangsa, Gray Steven Anthony, 54, yang bertugas di kilang Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) di Gebeng dekat sini, ditemui terbaring di atas katil bilik hotel tersebut oleh rakan sekerjanya. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan dan Perundangan Negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah ke atas mangsa. Apapun, pihak polis diharap dapat menjalankan siasatan yang telus dan rapi apakah faktor utama yang menyebabkan kematian beliau itu.
[Kematian jurutera ini sungguh mengejutkan, ini kerana ia berlaku dua tiga hari menjelangnya keputusan kajian pakar-pakar IAEA diumumkan. Soalnya, apakah kematian beliau itu ada kaitan dengan radiasi atau sebagainya. Mungkin juga dek kerana tekanan terhadap kerja. Ini kerana kami difahamkan kini pihak Lynas menekan dan mengarahkan pekerja mereka bekerja siang dan malam bagi menyiapkan kilang tersebut mengikut jadual yang ditetapkan iaitu bulan Julai ini. Malah, mereka yakin akan beroperasi dua bulan berikutnya (September). Sama-sama kita nantikan apakah sebab musabab yang menyebabkan kematian misteri ini].


KUANTAN, 28 Jun - Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu dan Naib Presiden PKR, Tian Chua dijangka akan berceramah di Putra Balok jam 9.00 malam ini. Oleh itu, orang ramai terutamanya penyokong Pakatan Rakyat adalah dijemput hadir untuk bersama mereka bagi mendapatkan info terkini tentang senario politik negara yang semakin panas sekarang. Sementara itu, pada petangnya mereka dijangkan bersama rakyat dalam Program High-Tea di Markas PAS Taman LKNP Bukit Setongkol. Berdasarkan maklumat yang disebarkan turut bersamai ialah Dato' Fauzi Abdul Rahman (Pengerusi PKR Pahang), YB Azan Ismail (Ahli Parlimen Indera Mahkota) dan YB Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan). Program dijangka akan bermula pada jam 4.45 petang iaitu selepas solat Asar. Oleh itu, kepada mereka yang berkelapangan bolehlah menyertai program ini untuk beramah mesra dengan pemimpin terbabit.
KUALA LUMPUR 27 Jun - Dakwaan pihak pembangkang bahawa wujudnya manipulasi dalam proses undian pos adalah tidak benar sama sekali terutamanya berdasarkan keputusan pilihan raya umum 1999 dan 2008. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (foto) memberitahu persidang Dewan Rakyat hari ini bahawa, pada pilihan raya umum 1999 dan 2008, kebanyakkan undi pos kononnya memihak kepada pembangkang. Beliau menjawab soalan Dr. Mujahid Yusof Rawa (Pas-Parit Buntar) yang ingin tahu mengenai statistik pengundi tentera yang bersara bertukar kepada pengundi awam. Nazri berkata, seramai 3,894 anggota tentera yang bersara telah memohon semula mendaftar sebagai pengundi awam sepanjang tahun 2010. Beliau berkata, anggota tentera perlu memohon mendaftar semula sebagai pengundi biasa setelah bersara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa sama akan memotong nama mereka daripada daftar pemilih pengundi tidak hadir.
PETALING JAYA 28 Jun - Polis menahan 16 lelaki yang dipercayai menghasut orang ramai supaya menyertai perhimpunan Bersih 2.0 yang dirancang pada 9 Julai ini. Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kesemua mereka yang ditahan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis, iaitu perhimpunan tanpa permit polis yang sah, dibebaskan dengan jaminan polis. "Tangkapan kesemua mereka ini dilakukan di sekitar Shah Alam, Gombak, Klang Utara dan yang terbaru pagi semalam, iaitu lapan orang ditahan di Taman Kosas, Ampang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sijil kepada beberapa individu yang berjaya mematahkan kes ragut di sekitar Subang semalam. Tun Hisan berkata, penahanan 16 individu terbabit adalah kerana polis mempunyai kuasa mengikut Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah iaitu tindakan pencegahan daripada berlakunya sebarang jenayah. "Bukan maksud orang itu pakai baju kuning (dipakai semasa perhimpunan), kita tangkap. Polis juga ada prosedur atau asas nak tangkap seseorang itu, maknanya bila ada perkara yang disyaki serta maklumat, barulah tangkapan akan dilakukan," tambahnya lagi.
KUALA LUMPUR 28 Jun - Mahkamah Rayuan akan menetapkan tarikh perbicaraan kes Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar (foto) apabila Alasan Penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi diterima, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Beliau berkata, Alasan Penghakiman belum difailkan kerana ia masih dalam proses persiapan dan melibatkan jumlah nota keterangan yang besar dan eksibit yang banyak. "Bagi kes ini, Rekod Rayuan sebanyak lebih 50 jilid telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada 12 Mei 2010 yang melibatkan nota keterangan sebanyak lebih 4,000 muka surat. "Memandangkan alasan penghakiman tiada, Rekod Rayuan tersebut adalah tidak lengkap. Justeru, tarikh perbicaraan di Mahkamah Rayuan belum ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis soalan Karpal Singh di Dewan Rakyat semalam.
KUALA LUMPUR 28 Jun – Permohonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail (foto), bersama tiga lagi defendan untuk menggabungkan saman Felda terhadap mereka dengan saman Felda terhadap bekas Timbalan Menteri Tanah, Pembangunan Koperasi, Dr. Tan Kee Kwong ditolak Mahkamah Tinggi di sini semalam telah ditolak dengan kos RM2,000. Permohonan itu dibuat dengan alasan kedua-duanya membabitkan isu dan fakta yang sama selain mahu menjimatkan masa. Hakim Datuk John Louis O’hara menolak permohonan peguam N.Surendran yang wakili defendan selepas mendengar hujahan beliau dan peguam-peguam yang mewakili Felda, Datuk Mahinder Singh dan juga Datuk Firoz Ahmad Jamaluddin.
KUALA LUMPUR 28 Jun - Datuk S.Ambiga (foto), dan Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini malam tadi berkaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang dirancang pada 9 Julai. Ambiga, 54, yang merupakan pengerusi perhimpunan tersebut dan A.Samad, atau Abdul Samad Muhammad Said, 76, tiba di ibu pejabat polis itu pada pukul 2.00 tengah hari ditemani tiga orang peguam serta beberapa penyokong. Ambiga, bekas Presiden Majlis Peguam, memberitahu pemberita kemudian beliau dipanggil untuk memberi keterangan berhubung ceramah pada 12 Jun di Wisma Pandu Puteri; majlis pelancaran mengenai perhimpunan haram itu pada 19 Jun di Dewan Perhimpunan Cina Selangor; dan perhimpunan di depan Balai Polis Travers pada 23 Jun ketika beliau membuat laporan polis. Peguam N.Surendran pula berkata, A. Samad dipanggil untuk memberi keterangan mengenai puisi yang disampaikan pada majlis pelancaran itu.
KUANTAN, 27 Jun - Kerajaan Negeri Pahang pimpinan MB Adnan Yaakob bakal berhadapan dengan masalah yang lebih besar dalam isu Lynas selepas ini. Ia berkaitan kenyatan NGO yang lantang memperjuangan hak rakyat dalam isu tersebut iaitu Save Malaysia. Pengerusinya Tan Bun Teat (foto) tidak menolak kemungkinan untuk mengusulkan isu Lynas ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague, di Belanda untuk penyelesaian jika segala ikhtiar untuk menghentikan operasi syarikat itu di kawasan perindustrian Gebeng di sini menemui jalan buntu. Langkah drastik itu perlu diambil setelah melihat kerajaan seolah-olah tidak berminat untuk mendengar suara bantahan rakyat. Malah beliau juga mengharapkan rakyat Australia memahami situasi dan tindakan itu. Menurutnya, tindakan itu perlu memandangkan tindakan syarikat itu seperti tindakan sebuah negara maju dari Negara Dunia Pertama membuli negara dari Dunia Ke-3 dan bukan sekadar warga Kuantan menentang Lynas semata-mata. “Malah seramai 12 ahli dari Save Malaysia termasuk saya akan membentangkan isu ini di Parlimen Australia bermula 3 hingga 9 Julai depan. “Selain itu, kita akan melakukan demonstrasi jalanan di sini jika operasi Lynas diteruskan walaupun dihalang pihak berkuasa,” katanya.KUALA LUMPUR, 27 Jun: PAS Pahang yang selesai mengadakan mesyuarat pertamanya baru-baru ini dengan memfokuskan agenda kepada penstrukturan jawatankuasa baru badan perhubungan negeri. Pesuruhjayanya, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) berkata, perubahan beberapa jawatankuasa memperlihatkan penyertaan golongan muda sebagai barisan pelapis mula ditonjol dalam menyediakan satu pasukan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13. PAS Pahang, katanya membuat rombakan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dengan memasukkan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi sebagai Timbalan Pesuruhjaya. Tindakan ini dilihat sebagai satu usaha memantapkan barisan pemuda negeri sebagai tenaga penting dalam persiapan pilihanraya. Di samping itu, Penerangan PAS Pahang juga menyaksikan perubahan, apabila Ustaz Sauhaimi Saad iaitu bekas Ketua Pemuda Negeri dilantik sebagai Ketua Penerangan manakala Ketua Pemuda Negeri disandang oleh Ustaz Shahril Azman al Hafiz. “Mesyuarat hari ini juga telah membuat komitmen untuk menggerakkan ahli dan penyokong PAS Pahang seramai 30,000 orang untuk menyertai himpunan aman Bersih 2.0 pada 9hb Julai nanti,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat. PAS Pahang, katanya akan membantu pasukan keselamatan bagi memastikan himpunan itu akan berjalan dengan aman, dan mengecam sebarang tindakan bersifat provokasi yang cuba dicetuskan mana-mana pihak. Tambahnya, mesyuarat juga menggesa agar ditingkatkan usaha bantahan terhadap projek Lynas yang mempunyai risiko kepada kehidupan penduduk dan alam sekitar. Katanya, mesyuarat dimaklumkan beberapa himpunan bantahan yang berterusan diadakandi sekitar Kuantan bersama dengan pelbagai NGO dan menggesa ahli PAS untuk turut serta dalam bantahan tersebut.
[Berikut senarai penuh Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Pahang. Pesuruhjaya dikekalkan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Pesuruhjaya 1: Ustaz Yusuf Embong, Timbalan Pesuruhjaya 2: Dr Hamzah Jaafar, Timbalan Pesuruhjaya 3: Nasruddin Hassan Tantawi, Bendahari: Ir Musanif Abd Rahman, Ketua Dewan Pemuda: Ustaz Shahrir Azman Al-Hafiz, Ketua Dewan Ulamak: Ustaz Mokhtar Senik, Ketua Dewan Muslimat: Salamiah Mohd Nor, Pengarah Jabatan Pilihanraya: Abdul Majid Hassan Manaka bagi jawatan Ahli Jawatankuasa pula terdiri daripada Hasanuddin Salim, Syed Hamid Syed Mohamad, Andansura Rabu, Yohanis Ahmad, Alawiyyah Abdullah, Siti Ruhani Abu Bakar, Ramli Awang Abd Rahman. Syabas kepada semua yang terpilih. Teruskan perjuangan !!].





























