




Besi kanopi patah remuk akibat dipukul oleh ribut pada petang hari kejadian





KUANTAN, 30 Ogos - Menteri Besar Pahang, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob (foto) menasihatkan agar rakyat pelihara keamanan dab kesejahteraan yang dikecapi negara sekarang ini. Beliau berkata demikian dalam perutusan Merdeka Raya MB Pahang 2011 baru-baru ini. "Janganlah kita cuba mengada-adakan perkara yang mungkin tidak sesuai untuk negara kita. Ada orang cuba mengatakan mari kita bertukar kerajaan. Saya berpandangan dan berpendapat kerajaan yang boleh ditukar adalah dalam keadaan dua cara dan dua suasana. Jika kerajaan itu zalim dan jika kerajaan itu tidak dapat menjamin rakyat boleh mendapat kemudahan asas. Kalau sebuah negara itu kerajaannya zalim, rakyat kebuluran maka wajib kerajaan itu ditukarkan. Kita semua lihatlah adakah kerajaan kita seperti yang saya sebutkan tadi", kata Adnan. Malah kata Adnan, dapat dilihat semasa 9 Julai lalu (Himpunan Bersih 2.0) pihak polis telah dengan begitu toleransi dan kerajaan sendiri dibawah kepimpinan YAB Dato' Seri Najib Tun Razak menawarkan untuk sesiapa yang ingin meluahkan perasaan mereka pergi ke stadium. "Cuba kita bandingkan dengan sebuah negara Eropah yang kita tahu, kita lihat bagaimana rakyat telah melakukan rusuhan tetapi dibiarkan oleh polis kerana Menteri Dalam Negeri mengatakan negera berkenaan perlu diseliakan, diawasi mengikut keizinan masyarakat. Oleh sebab itu polis tidak bertindak apa-apa. Maka kedai, pasaraya telah dirompak. Bahkan ada juga rakyat kita yang menderita dirompak, cedera, tetapi akhirnya beberapa hari kemudian kita dapati pihak polis juga telah mengambil tindakan yang begitu tegas sehinggakan belantan digunakan, mereka digari, dipaksa baring atas jalanraya. Polis kita tidak buat begitu. Cuba kalau polis kita berbuat begitu. Saya percaya kiamat Malaysia ni. Akan adalah orang yang akan buat tuduhan berbagai-bagai", kata Menteri Besar Pahang lagi.

PAS Bakal Panggil Dr.Che Rosli Beri Keterangan
Semalam, Ketua Penerangan PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) memberitahu partinya akan memanggil Che Rosli, yang dilaporkan menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng dekat Kuantan, untuk membuat penjelasan mengenai pendiriannya selepas cuti sambutan Aidilfitri. Bagaimanapun pucuk pimpinan tidak menganggap kenyataan wakil rakyat itu sebagai satu tindakan melanggar disiplin parti walaupun bercanggah dengan pendirian PAS. “Kami akan minta YB Che Rosli agar memberi penjelasan kepada pucuk kepimpinan kerana apa yang dikatakan oleh beliau bercanggah dengan pendirian parti,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah, “setakat ini apa yang dikatakan oleh beliau tidak boleh dianggap sebagai isu disiplin.” Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, Che Rosli kemungkinan telah memberi pandangannya mengikut kepakaran beliau dalam bidang nuklear, tetapi pendirian parti adalah berlainan iaitu tidak bersetuju dengan loji Lynas didirikan di Gebeng. Akhir minggu lalu, pemimpin Pakatan Rakyat Pahang membidas TV3 ekoran pengakuan Che Rosli yang menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas. Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, yang mendesak agar loji bernilai RM700 juta itu dihentikan, mahu TV3 menarik balik dan meminta maaf termasuk Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker yang telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap dirinya. PAS Pahang juga meminta kepimpinan pusat agar memanggil Che Rosli untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu. Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad memberitahu tindakan Che Rosli itu tidak boleh diterima kerana beliau sepatutnya menyatakan sokongan melalui akhbar rasmi parti, Harakah. “Kita tahu beliau menyokong loji itu semasa kali pertama kita bincangkan isu ini pada 2009. Tetapi selepas berunding dengan pakar lain, pendirian PAS adalah membantah projek itu. Tetapi sekarang dia telah masuk ke musuh untuk serang parti sendiri,” katanya.
[Sebelum ini, TV3 telah menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh mengatakan Dr Ahmad Termizi dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear. Che Rosli didakwa bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau “malu” dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik. Fuziah berkata, Che Rosli hanya bercakap tentang soal bahaya radiologi sedangkan beliau dan penduduk di sekitar loji itu telah berunding dengan ramai pakar dalam beberapa bidang termasuk kesihatan awam, kejuruteraan kimia, fizik nuklear dan undang-undang tentang alam sekitar].

[Dalam laporannya diumumkan awal Julai lalu, IAEA mendapati projek Lynas untuk mengekstrak nadir bumi yang akan beroperasi di Gebeng, Pahang, mematuhi piawaian keselamatan radiasi antarabangsa. Laporan setebal 55 muka surat yang dibuat panel bebas sembilan pakar dalam bidang keselamatan dan kesihatan radiologi itu turut mengesahkan dua badan kawal selia iaitu Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memastikan semua aspek projek berkenaan mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa. Bahkan, dalam sesetengah kes, peraturan di negara ini bukan saja lengkap dan mematuhi piawaian IAEA, malah lebih ketat berbanding piawaian keselamatan diterima di peringkat antarabangsa. Ia turut mengenal pasti 11 cadangan memperbaiki pengurusan kawal selia oleh AELB dan agensi lain yang perlu dilaksanakan sebelum projek Lynas boleh beroperasi untuk peringkat seterusnya. Kandungan laporan IAEA antaranya menjelaskan Lynas perlu mengemukakan rancangan pengurusan sisa jangka panjang yang lengkap kepada kerajaan serta mematuhinya sebelum boleh memulakan operasi].


KUANTAN 28 Ogos - Masyarakat Islam di negeri Pahang ini diingatkan supaya berbelanja secara berhemat mengikut keperluan dan tidak membazir menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob (foto) berkata, dalam meraikan kemeriahan Syawal, umat Islam tidak seharusnya berbelanja secara bermewah-mewah dan jangan sesekali membazir. "Berbelanja banyak mungkin boleh, mengikut keperluan. Kalau keluarga besar maka belanja pun besar. "Tetapi yang menjadi masalah kepada kita ialah pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku," katanya. Menurutnya, beliau bagi pihak Kerajaan Negeri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh muslimin dan muslimat di Pahang. "Harapan saya dengan semangat Aidifitri, mudah-mudahan semua kita saudara sesama Islam sebenar-benarnya menunjukkan kita orang Islam dan Islam itu bersaudara. "Justeru, kita wajib menghormati, tolong-menolong, bersatu-padu dan berteguh hati dalam menghadapi ancaman yang mungkin datang pada bila-bila masa," jelasnya.
[Sementara itu, tambah Adnan, sempena Ulang Tahun Kemerdekaan negara yang ke- 54 pada 31 Ogos ini, beliau berharap segenap lapisan masyarakat agar bersama-sama menjaga keamanan, kemakmuran dan keharmonian negara. "Janganlah ada antara kita yang cuba meruntuhkan keamanan, kemakmuran dan keharmonian negara dengan membawa perkara-perkara yang boleh mengganggu-gugat perasaan sesuatu pihak yang lain. "Sewajarnya perpaduan kaum ini mesti dipelihara kerana ia kunci kepada keamanan dan keamanan juga akan sebabkan kita mudah kekalkan kemakmuran dan kebahagiaan," jelasnya].





KUALA LUMPUR 27 Ogos - Seramai 24 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya semalam iaitu hari keempat Ops Sikap ke-24 dilancarkan sempena Hari Raya Aidilfitri. Menurut polis, penunggang motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 14 kematian diikuti enam pengguna kereta, dua pejalan kaki dan masing-masing satu kematian membabitkan lori dan lain-lain kenderaan. Daripada jumlah itu, 10 kes dicatat di jalan persekutuan manakala lebuh raya dan jalan bandaran masing-masing merekodkan tiga kematian diikuti dengan dua kematian masing-masing di jalan negeri dan lain-lain jalan. Menurut kenyataan itu, 9,556 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi semalam. Sementara itu Cuaca diramal baik di seluruh negara semasa sambutan Aidilfitri yang dijangka diraikan oleh seluruh umat Islam pada Selasa ini. Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, walaupun beberapa negeri di utara Semenanjung akan mengalami hujan, namun keadaan itu dijangka bertambah baik menjelang Isnin. Beliau juga berkata, hujan sekejap-sekejap yang berlaku di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta ribut petir di Pahang dan Johor Timur, tidak akan menyebabkan berlakunya banjir. "Hujan yang dialami di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dalam tempoh dua hingga tiga hari ini, bukanlah secara berterusan dan dijangkakan menjelang Isnin ini, akan bertambah baik. "Sehubungan itu, tidak ada kemungkinan negeri itu dilanda banjir tetapi keadaannya adalah bergantung kepada kawasan di negeri tersebut,” katanya.
[Melihat kepada statistik kemalangan yang terus meningkat ini, kita seakan semakin takut dan gusar untuk memandu dijalan raya. Namun, kemalangan tidak berbau, terkadang bawa kenderaan perlahan pun akan dilanggar oleh orang lain. Kemalangan sebenarnya bukanlah berpunca dari kesalahan kedua-dua belah pihak. Ramai yang mati akibat menjadi mangsa kesilapan orang lain. Terkadang, orang terbabit tidak mengalami keceraan sedikit pun. Justeri itu orang ramai diminta lebih berhati-hati terutamanya menjelang 1 Syawal yang akan tiba tidak lama lgi. Ingatlah orang tersayang, biar sampai lambat jangan tak sampai langsung. Jangan biar ahli keluarga dan saudara mara menanti dalam tangisan di pagi Aidil Fitri].


MARAN, 27 Ogos - Seramai 120 keluarga peneroka di Felda Mawar Jengka 10, dekat sini gusar dengan kehadiran Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi. Ia berikutan masalah bekalan air yang kerap melanda kawasan terbabit masih gagal diatasi oleh pihak yang berkenaan. Ini menyebabkan penduduk gusar dan fobia untuk berhadapan dengan hari raya pada tahun ini. Menurut, Ketua Kampung terbabit Jantan Mat Saman berkata masalah itu bukan perkara baru bagi masyarakat peneroka di sini kerana ia kerap kali berlaku pada setiap tahun terutama pada Ramadan dan Aidilfitri. "Keadaan bertambah sukar apabila ramai sanak saudara dan anak peneroka yang pulang ke kampung kecewa kerana sering menghadapi gangguan bekalan air. Bagi rumah peneroka yang kedudukan mereka di kawasan tinggi menyebabkan tekanan air rendah dan tidak sampai ke kediaman masing-masing", katanya. "Saya juga bersimpati kerana betapa sukar keluarga terbabit menjalani ibadah puasa, memasak dan membasuh pakaian terutama dalam cuaca panas di kawasan tanah rancangan ini.vSelaku ketua kampung, saya ‘pening’ memikirkan masalah itu sedangkan ia adalah tanggungjawab Jabatan Bekalan Air Pahang (JBAP)", tambah beliau lagi. Beliau turut menyeru JBAP mengambil langkah proaktif membantu masyarakat peneroka di sini dengan mengambil tindakan segera dan pantas menghantar air menggunakan lori tangki ke sini."Saya juga mencadangkan supaya langkah jangka panjang yang boleh dilaksanakan agensi itu ialah menukar saluran loji Batu Sawar kepada Loji Sungai Utara yang lebih hampir dengan tanah rancangan ini", katanya.
[Masalah air adalah satu isu besar yang wujud di kawasan-kawasan Felda di Pahang sejak zaman berzaman lagi. Hingga kini ia masih gagal untuk diatasi atas berbagai alasan. Malah, kerajaan mengakui kos pembaikan untuk menukar paip-paip lama kepada paip yang baru menelan belanja ratusan juta ringgit. Mereka tidak mempunyai bajet sedemikian rupa katanya. Tapi aneg pula bila wang Felda boleh rugi ratusan juta untuk beberapa kerat individu tidak menjadi masalah. Inilah yang tidak adil buat rakyat sebenarnya. Namun, undi mereka terus ditagih setiap kali musim pilihanraya. Harga getah dan sawit dinaikkan, berbagai pinjaman kewangan diberikan hingga membuatkan peneroka terpedaya dan alpa dengan masalah air itu sendiri. Hanya generasi kedua yang berada diperantauan sahaja dapat membela dan tukar minda ibubapa mereka. Jika tidak sampai bila pun isu ini tidak selesai. Masa untuk berubah sudah tiba].
KUANTAN 27 Ogos - Mungkin dek kerana tersentak dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang mahu pihak TV3, Karam Singh Walia (Aduan Rakyat) dan Dato' Ti Lian Ker (Ketua MCA Kuantan) maka Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota telah membuat satu laporan polis terhadap Naib Presiden PKR itu. Laporan dibuat oleh Ketua Pemudanya, Suhaimi Sulong (foto) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan jam 4.00 petang semalam. Dalam laporannya Suhaimi mendakwa Fuziah membuat tohmahan berterusan berhubung pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Syarikat Lynas Corporation Ltd. di Gebeng. Suhaimi berkata, Fuziah dilihat masih membuat tohmahan berhubung pembinaan kilang itu dalam beberapa siri ceramahnya di sekitar bandar ini. "Tindakan beliau perlu dihentikan kerana ia boleh mencetuskan suasana tidak tenteram kepada penduduk Kuantan. Tindakan Anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu telah menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk di daerah ini mengenai tahap keselamatan mereka berdasar fakta yang tidak benar,” katanya.
[laporan polis boleh dibuat oleh sesiapa sahaja tentang isu ini. Mungkin selepas ini banyak lagi laporan polis akan dibuat oleh UMNO Pahang berkaitan dengan tindakan Fuziah Salleh ini. Namun persoalannya, kenapa kini Fuziah yang diserang bertalu-talu oleh UMNO?. Sedangkan sebelum ini mereka mengataka isu itu hanyalah dijuarai oleh kaum Tionghua (Cina) semata-mata dan tidak mendapat sokongan orang Melayu. Kini sudah terbalik?. Kenapa NGO Save Malaysia Stop Lynas tidak diserang oleh mereka?. Kenapa DAP yang turut memperjuangkan isu ini tidak diserang oleh mereka. Inilah yang memusykilkan rakyat sebenarnya. Apapun, majoriti rakyat Kuantan tetap menolak Lynas dari terus beroperasi di sini].

Sesi pembelaan kes kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari keenam menyaksikan pakar DNA, Brian memberi keterangan berdasarkan laporan ujian DNA yang dilakukan Seah di makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM). Beliau mendakwa Dr Seah Lay Fong (foto) mengabaikan beberapa prosedur asas bagi memastikan tiada campuran bendasing dalam DNA sperma. Brian merujuk kepada keputusan ujian 'Deferential Extracting Process (DEP) yang ditunjukkan di mahkamah. Pakar itu yang disoal peguambela Ram Karpal Singh menyifatkan Seah meneka dalam keputusannya DNA untuk menentukan ianya milik mana-mana individu. Katanya, Seah gagal memastikan DNA dari sperma diasingkan dengan sempurna. "Keputusan DNA tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana sperma. Ia mustahil. "Saya jangka, Seah anggap ianya dari sampel yang sama berdasarkan laporan. Seah sepatutnnya maklumkan keputusan tetapi dia tidak berbuat begitu," kata Brian. "Kenapa Seah tidak boleh meneka?" tanya Ram. "Anda boleh salah (merbahaya). Ia tidak boleh dikait dengan sebarang dakwaan kepada tertuduh," tambah beliau lagi.
Mahkamah Tinggi sebelum ini dimaklumkan bahawa DNA 'lelaki Y' adalah milik Anwar berdasarkan perbandingan DNA yang ditemui pada tiga barang milik Anwar ketika beliau ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur lalu. Brian kemudian tidak menolak kemungkinan DNA Saiful turut dikesan dalam ujian tersebut selain mencadangkan ianya perlu diasingkan terlebih dahulu. Katanya punca kesilapan itu berlaku disebabkan Seah tidak melihat sampel DNA menggunakan mikroskop selepas proses pengasingan. Oleh yang demikian menurutnya sampel tersebut tidak boleh digunapakai kerana ia mengandungi DNA pengadu. "Itu sahaja cara untuk menentukan." kata Brian. Sebelum itu pakar dari Australia itu menerangkan kepada mahkamah tentang kemusykilan yang ditemui pada laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kepunyaan Saiful. Berdasarkan pengalamannya, Brian memberitahu mahkamah bahawa sperma akan menunjukkan tanda-tanda penyusutan selepas terdedah pada kadar maksimum 30 jam. Namun menurut Brian, laporan itu mencatatkan jumlah tinggi walaupun Saiful hadir ke HKL untuk pemeriksaan 48 jam selepas mendakwa diliwat. Hakim Zabidin menangguhkan perbicaraan ke 19 hingga 23 September 2011.








Sewajarnya sebuah Majlis Tempatan seperti Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), kenyataan media haruslah dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Yang DiPertua atau pun Pegawai Perhubungan Awamnya. Langkah T.Ramathas mengeluarkan kenyataan tanpa ada siastaan dijalankan oleh bahagian elektrik atau pun merujuk kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah keterlaluan dan diluar bidang kuasanya sebagai Penguatkuasa. Umumnya, bidang tugas pihak Penguatkuasa tidak merangkumi urusan elektrik, tetapi bagaimana beliau boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Menurut sumber, segala urusan dengan pihak MPK berkenaan dengan tapak telah pun diuruskan mengikut prosedur permohonan yang betul. Urusan elektrik adalah dibawah bidang kuasa TNB dan segala yang berkaitan telah dijelaskan oleh pihak penganjur. Ini termasuklah permintaan untuk bayaran caj sambungan ke salur utama dan bayaran cagaran TNB. Difahamkan sambungan salur elektrik ke lokasi terbabit dibekalkan oleh TNB menerusi pencawangnya di kawasan Perhentian Bas Dan Teksi (Terminal Makmur) yang terletak berhampiran. Difahamkan sebelum memohon bekalan elektrik pihak TNB membuat anggaran bekalan terlebih dahulu. Oleh itu tidak timbul soal penganjur membuat sambungan tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). Maka, T.Ramathas sepatutnya merujuk masalah terbabit (jika benar dakwaannya) kepada pihak penganjur dan juga TNB sebelum mengeluarkan apa jua kenyataan media. Tindakan beliau itu jelas sekali membelakangkan Yang DiPertua MPK. Sedangkan sebagai Penguatkuasa, beliau hanya layak untuk terima aduan sahaja sebenarnya.

