PAHANG DAILY ONLINE (PDO) | SUARA KEADILAN UNTUK RAKYAT | PEOPLE'S JUSTICE VOICE (PJV)

Wednesday, February 1, 2012

UiTM Pahang Mencatatkan Sejarah Menjadi Juara Keseluruhan Bagi Anugerah Kualiti Naib Canselor

JENGKA, 1 Feb - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang mencatat sejarah apabila dinobatkan juara keseluruhan Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) UiTM di kampus induk Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. Rektornya, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman (foto) berkata, kejayaan itu dicapai sempena sambutan Bulan Inovasi UiTM yang merupakan program tahunan bagi membina budaya inovasi serta kreativiti pensyarah dalam pelbagai cabang disiplin ilmu. Menurutnya, pembentangan akhir produk inovasi itu diadakan di kampus induk tersebut membabitkan semua wakil UiTM dari seluruh negara. "Kejayaan itu meletakkan UiTM Pahang lebih disegani," katanya. Katanya, antara anugerah yang diterima oleh kampus itu ialah juara keseluruhan AKNC dengan menerima hadiah RM20,000 serta juara AKNC di peringkat kampus negeri. Selain itu tambahnya, UiTM kampus Shah Alam turut menerima Anugerah Inovasi, Anugerah Hasil Pencapaian dan Anugerah Tumpuan kepada tenaga kerja. Jelasnya, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UiTM Pahang turut muncul juara keseluruhan KIK Optima, juara KIK Inovasi Proses Terbaik dan juara KIK Inovasi Kaedah P&P terbaik. "Kejayaan mencapai status juara keseluruhan AKNC dan muncul tempat pertama dalam beberapa pertandingan itu dianggap luar biasa dan beri kebanggaan kepada warga UiTM Pahang," tambahnya.

[Pahang Daily Online mengucapkan syabas dan tahniah kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang atas kejayaan ini. Semoga ianya akan menaikkan imej universiti terbabit dan mengharumkan nama negeri ini. Tahniah juga kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan projek berkenaan. Komitmen dan kesefahaman yang wujud telah berjaya menjadikan UiTM Pahang kini semakin di segani. Harapan kami agar, para pelajar dan semua golongan pendidik di UiTM Pahang dapat lebih cemerlang lagi pada masa akan datang. Bukan sahaja di bidang inovasi, ko-kurikulum malahan juga bidang pendidikan itu sendiri. Harus diingat Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dulunya adalah merupakan pensyarah di UiTM Pahang di awal kewujudannya dulu].

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini: