Pages

Tengku Abdullah Gesa Umat Islam Kukuhkan Perpaduan


BERA  - Umat Islam perlu memanfaatkan bulan Ramadan sebagai bulan pertautan kasih supaya perpaduan lebih kukuh dan hebat sehingga digeruni musuh Islam. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, sebarang permusuhan dan percanggahan pendapat harus diketepikan demi memartabatkan kesucian agama Islam. Baginda bertitah, masyarakat Islam menghadapi tekanan dari pelbagai sudut dan tidak harus ditambah dengan masalah dalaman sesama sendiri disebabkan aliran politik atau fahaman agama berbeza. "Justeru, bulan Ramadan sangat sesuai untuk umat Islam bermuhasabah diri dan mengukuhkan ukhuwah kerana matlamat kita adalah serupa untuk mendapat keredaan Allah. Natijah daripada ukhuwah itu akan membawa kepada keamanan dan perpaduan yang menjadi teras kemajuan negara bangsa yang dapat dinikmati rakyat pelbagai kaum. "Rakyat bertanggungjawab mempertahankan kemakmuran negara dengan membuang sikap parasit dan mementingkan diri yang merosakkan bangsa, agama dan negara," titah baginda dalam majlis pemberian sumbangan kepada anak yatim dan fakir miskin serta majlis berbuka puasa daerah Bera di Masjid Kuala Triang di sini semalam. Turut berangkat Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan Islamiah Negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad. Baginda bertitah, pergolakan yang berlaku di Syria, Mesir dan beberapa negara lain perlu dijadikan iktibar berguna kepada umat Islam di negara ini. "Tragedi di negara terbabit menyebabkan rakyatnya tidak dapat menjalankan ibadat berpuasa dengan sempurna kerana masing-masing bergelut dengan keselamatan dan juga kekurangan bekalan makanan," titah baginda lagi. #sumber
PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]