Pages

Banjir, Ikutilah Tinjauan Krew PDO Ke Perkampungan Sungai Isap Serta Di Cenderawasih Petang Semalam !!

KUANTAN, 5 Dis - Keadaaan banjir di sekitar kawasan ini dilihat semakin buruk hari ini. Semakin ramai mangsa terpaksa dipindahkan akibat bencana itu. Operasi menyelamat yang dilakukan oleh pihak berkuasa dilihat agak bermasalah apabila air banjir yang melanda kawasan-kawasan terutamanya seperti di Cenderawasih dan Sungai Isap begitu laju dan deras sekali. Tinjauan krew PDO, Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) di awal pagi dan tengahari, mendapati ramai lagi mangsa yang masih terperangkap sedangkan air sudah naik sekitar satu meter di rumah masing-masing. Apapun, operasi menyeamat masih tertumpu kepada mangsa yang terperangkap walau pun mereka yang ditempatkan di pusat perpindahan banjir sebenarnya juga tidak selamat kerana segala kemudahan seperti, makanan dan kelengkapan lain tidak dibekalkan secukupnya. Malah, ada mangsa yang sudah tidak menjamah makanan sejak 28 jang lalu. Paling menyedihkan mereka yang terlibat adalah mangsa yang sudah ditempatkan di pusat pemindahan sebenarnya. Banyak pusat-pusat pemindahan yang disediakan kini serba kekurangan akibat ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih. Sementara itu ada sesetengah pihak melaporkan, ramai mangsa terperangkap kerana tidak mendapat bantuan yang sepatutnya. Ada surau dan masjid yang langsung tidak mendapat bantuan makanan, bot dan sebagainya. Ini menyebabkan ada mangsa yang kebulur dan pengsan gara-gara kelaparan. Antara pusat pemindahan banjir yang dilihat telah dikelilingi air ialah di Sekolah Rendah Batu Tiga, Sekolah Rendah Sungai Isap, Sekolah Menengah Bukit Rangin, Sekolah Rendah Bunut Rendang dan banyak lagi. Mangsa terpaksa ditempat di tingkat satu dan dua bangunan sekoah terbabit kerana tingkat bawah ditenggelami air. Mangsa tidak dapat ke mana-mana dan terpaksa tinggal di dalam gelap akibat api elektrik yang bermasalah di situ.

Berada di atas jalan Gambang-Kuantan, berhadapan dengan Tunas Manja
Krew PDO tunjukkan Masjid Al-Fatah yang hampir tenggelam sepenuhnya

Sementara itu dilaporkan air terus naik terutamanya di kawasan Cenderawasih, Bukit Setongkol, Tanah Putih, Sungai Isap, Kg.Kurnia, Taman Sepakat, Permatang Badak, Bukit Rangin, Kampung Belukar dan banyak lagi. Malah, air di Jalan Gambang ke Kuantan bermula dari hadapan Sekolah Menengah Paya Besar hingga ke Masjid Al-Fatah, Batu 3 air sudah pun naik melepasi jalanraya. Jika banjir pada tahun 2001 dulu, air hanya berlegar-legar di sebelah kiri jalan dari Gambang, kini air telah melimpah kedua-dua arah. Ia tidak pernah berlaku selama ini sebenarnya. Malah, air yang melimpah atas jalanraya begitu deras seolah-olah berada di dalam anak sungai. Hanya pembahagi jalan sahaja yang telah menyelamatkan keadaan akibat sampah sarap yang melekat di situ. Jika tidak sudah pasti keadaan akan lebih buruk terjadi. Beberapa buah pam minyak dan pasaraya yang berdekatan telah ditenggelami air.  Keadaan sungguh menyedihkan, kerana banyak kenderaan tersadai dan gagal diselamatkan. Malah, ada kilang, bengkel, pusat kesihatan, kedai runcit dan lain-lain lagi yang turut musnah. Apa yang disaksikan ini sememangnya amat diluar jangkaan sama sekali bagi penduduk di kawasan ini sejak sekian lama.

Antara mangsa sedang menikmati makanan diberi oleh ADUN Tg.Lumpur
Krew PDO bersama sahabat-sahabat yang sedang makan atas jalanraya 

Orang ramai dilihat cuba menyelamatkan diri dengan melalui jalan tersebut. Keihatan juga beberapa buah kenderaan terus melalui jalan yang kini dibuka dua hala atas satu lorong. Pihak polis pula dilihat menjaga keselamatan dengan tidak membenarkan orang ramai melalui jalan Tanah Putih. Turut keihatan ialah Ketua Polis Daerah Kuantanm OCPD Mohd Jasmani Yusoff yang turut mengawal lalulintas berhadapan dengan Pasaraya Besar Giant Supermarket. Kenderaan diarahkan berpatah balik ke bandar Kuantan di hadapan Medan Warisan. Difahamkan, laluan utama dari Tanah Putih ke Bukit Setongkol melalui Jalan Kg.Tiram juga tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan akibat air yang naik hampir mencecah satu meter. Bandar Kuantan pula lengang kerana banyak pasaraya telah ditutup akibat banjir yang melanda. Ribuan mangsa dipercayai masih terperangkap ketika laporan ini.

Bergambar bersama sahabat-sahabat PAS Kawasan Kuantan yang ditemui
Bergambar dengan guru dan pelajar sekolah Ar-Isyad yang  jadi mangsa

Tinjauan PDO ke Perkampungan Cenderawasih juga melihat senario yang sama. Dianggarkan lebih kurang tiga ribu mangsa masih terperangkap di Sekolah Kebangsaan Cenderawasih yang dijadikan pusat pemindahih an banjir. Air dilihat begitu laju sedalam hampir satu meter bermula dari kawasan Surau Putih di jalan menghala ke Bukit Setongkol. Dilaporkan, ramai juga mangsa yang masih terperangkap di dalam rumah masing-masing akibat bantuan keselamatan yang lambat tiba. Apapun, usaha menyelamat terus dilakukan oleh pihak polis, bomba, Rela dan sebagainya. Semua pihak kelihatan bertungkus lumus untuk membawa keluar mangsa yang terperangkap di situ. Apapun, masih kedengaran mangsa yang lewat diselamatkan hingga mereka kelaparan menunggu di rumah masing-masing. Semua ini mungkin akibat kekurangan bot-bot penyelamat agaknya.

Keadaandi jalan utama ke Perkampungan Cenderawasih dekat Surau Putih

Kenderaan tenggelam dan bergelimpangan dilanda air deras di Cenderawasih

Arus yang begitu deras hampir menghanyutkan kenderaan di Cenderawasih

Beberapa buah lori digunakan sebagai pengangkutan akibat jumlah bot-bot yang dibekalkan tidak dapat menampung keperluan. Air juga masih bertahan di kawasan Taman LKNP Bukit Setongkol dan ramai mangsa yang ditempatkan di Surau Al-Ikhwan dilaporkan kekurangan bekalan makanan. Laluan dari Bukit Setongkol ke arah Tanah Putih dan Kampung Tiram tertutup sama sekali akibat dinaiki air lebih satu meter. Banyak kenderaan yang tersadai dan gagal diselamatkan akibat air banjir yang begitu cepat melanda kawasan mereka. Sementara itu, operasi menyelamat terus dijalankan dengan bantuan orang awam yang berada di situ.


Kawasan Poliklinik Ar Razi Sungai Isap yang turut dilanda banjir besar
Keadaan air deras dan bergelombang seperti di tepi pantai sebenarnya
Arus deras dihadapan stesen minyak BHP yang turut ditenggelami air

[Kawasan-kawasan lain yang masih turut terjejas ialah di Bukit Rangin dan Permatang Badak. Tinjauan PDO mendapati air naik ke Jalan Kuantan-Kemaman By Pass berhampiran Stesen minyak Shell di kawasan Cendering. Banyak kenderaan tersangkut dan keadaan menjadi begitu sesak hingga ke persimpangan University College Shahputra (UCSA). Secara keseluruhannya, banjir kali ini adalah yang terburuk pernah melanda daerah Kuantan. Ia sesuatu yang amat luar biasa dan ramai yang trauma dengan kejadian ini sebenarnya. "Sudah lebih 35 tahun saya mendiami kawasan ini (belakang Shell Batu tiga - Kg.Razali)... bagi saya kawasan ini selamat.. tapi kini kami menjadi mangsa.. memang cukup mengejutkan penduduk di sini", kata seorang guru yang turut menjadi mangsa banjir. Sementara itu air di Sungai Kuantan kelihatan begitu besar dan deras serta memungkinkan limpahan yang lebih dasyat berlaku sekiranya hujan kembali lebat sehari dua ini. Keadaan agak terkawal kerana hari ini (Rabu) hujan tidak turun seperti biasa dan cuaca dilihat dalam keadaan mendung sahaja. Apapun, air dari hulu sungai turun dan bertembung pula dengan air pasang dari arah lautan menyebabkan banjir besar].

1 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

Anonymous said...

Berita banjir jerantut
Http://parlimen81.blogspot.com

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]