Pages

Rompin: 100 Hektar Hutan Belukar Kerpal Terbakar Semula


ROMPIN – Lebih 100 hektar hutan belukar di kawasan pedalaman Kampung Orang Asli Kerpal yang sedang dalam perancangan untuk dijadikan ladang kelapa sawit terbakar petang kelmarin.

Lebih membimbangkan, kawasan hutan belukar  seluar 222.6 hektar tersebut bersebelahan dengan ladang kelapa mataq seluas 404.9 hektar yang hanya dipisahkan dengan sebatang parit.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati kebakaran mula merebak ke ladang kelapa mataq akibat angin bertiup kuat

Penjaga ladang kelapa mataq, Chin Thai Sin, 68, berkata, kejadian berlaku petang semalam (kelmarin) namun keadaan semakin teruk hari ini (semalam).

Menurutnya, setakat ini 10 batang kelapa dan tanah ladang musnah akibat kejadian itu.

“Pihak bomba sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan kami bimbang kebakaran merebak ke dalam ladang kelapa memandangkan cuaca panas dan angin kencang,” katanya.


Kesihatan penduduk terjejas

Seorang pekerja ladang kelapa mataq, Ainil Autarl Aini berkata, dua minggu lalu, ladang kerpal dan hutan belukar berdekatan turut mengalami kebakaran namun berjaya dikawal pihak bomba.

Bagaimanapun katanya, kebakaran petang semalam (kelmarin) dilihat lebih teruk berbanding sebelum ini.

“Saya dan pekerja lain tinggal di rumah kongsi di sini dan dapat melihat kepulan asap tebal serta api dari rumah bermula petang semalam.

“Keadaan ini turut menjejaskan kesihatan kami, ada dalam kalangan kami yang sesak nafas ketika bekerja kerana asap yang tebal memasuki ladang apabila ditiup angin,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I, Md Yunus Isnin berkata, kebakaran di lokasi yang sama sebelum ini adalah di hutan belukar dan ladang sawit di petak sebelah yang dipisahkan dengan parit.

Menurutnya, sehingga kini, tumpuan diberikan kepada Ladang Sungai Endau yang masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Setakat ini kita berjaya kawal kebakaran di hutan belukar ini daripada merebak ke ladang kelapa mataq serta memadam kebakaran di mana-mana bahagian dalam ladang kelapa mataq.

“Kekuatan anggota yang bertugas di sini hanya tiga orang sahaja berserta peralatan seperti satu unit pam angkut dan satu unit floating pump,” katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan keluasan keseluruhan hutan belukar yang terbakar seluas 222.6 hektar namun anggaran kawasan yang terbakar masih dalam siasatan.

Dalam pada itu menurut Yunus, lori bomba yang dinaikinya dan dua lagi anggota tersangkut di satu simpang dekat ladang kelapa mataq kerana laluan sempit serta keadaan tanah lembut.
“Kita minta bantuan pihak ladang menggunakan traktor membawa peralatan pemadaman api hampir ke lokasi kebakaran manakala keadaan lori yang tersangkut berjaya dikeluarkan dengan bantuan jentolak  dari pihak ladang,” katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]