Pages

Tiga Beranak Trauma Di Samun Lelaki Bersenjata Di Maran


MARAN - Tiga beranak alami detik cemas apabila disamun empat lelaki bersenjatakan parang panjang di rumah kedai mereka di Kampung Huma Luas, Chenor, kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Kejadian itu boleh dianggap ‘samun segera’ kerana berlaku sepintas lalu dalam tempoh kurang lima minit dengan anggaran kerugian hampir RM5,000.

Mangsa, Zainal Abiddin Mohammad, 58, yang juga peniaga kedai runcit berkata, sebuah kereta berhenti di hadapan kedainya ketika dia sedang mengemas barang dan menyangka ada pelanggan mahu membeli sesuatu.

Menurutnya, dia terkejut apabila secara tiba-tiba empat lelaki keluar meluru daripada kereta berkenaan dengan masing-masing membawa parang panjang.

“Dua orang acu parang ke leher dan suruh saya diam sebelum minta masuk ke dalam rumah.

“Dua lagi masuk dahulu melalui pintu yang terbuka dan mendapatkan isteri serta seorang anak lelaki di dapur.

“Saya diikat kaki dan tangan di dalam bilik sementara isteri bersama anak diikat di dapur dengan menggunakan wayar barangan elektrik yang dipotong serta kain,” katanya.

Zainal Abiddin erkata, dua daripada lelaki berkenaan bertindak menyelongkar almari pakaian sebelum melarikan diri sebaik mendengar hon kereta yang sedang menunggu mereka di luar kedai.

Menurutnya, rantai emas dan subang yang dipakai isterinya turut disentak kuat selain kehilangan beg galas mengandungi telefon bimbit, gelang emas serta wang tunai hasil jualan runcit.

“Kejadian berlaku dengan begitu cepat, tidak sampai lima minit pun dan bila bunyi hon kereta, mereka terus keluar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintenden Sulaiman A Hamid mengesahkan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Pekan Awah dan siasatan sedang dijalankan.

"Keempat-empat suspek tidak bertopeng muka dan tidak bersarung tangan dengan bersenjatakan parang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]