Pages

"Berjaya Air" Sambung Operasi Penerbangan Pulau Tioman


TEMERLOH - Syarikat Berjaya Air akan menyambung semula operasi perkhidmatan penerbangan mereka di Pulau Tioman bermula 1 Jun ini selepas dua bulan menggantung operasi mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Pahang, Datuk Mohd Shakar Shamsudin berkata, dengan persetujuan itu akan membolehkan golongan premiere tourist yang biasanya menginap di hotel mewah untuk kembali melancong ke Pulau Tioman.

Menurutnya, golongan itu antara 10 hingga 15 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong yang berkunjung ke pulau tersebut dan kebanyakan mereka menggunakan pengangkutan udara ke Pulau Tioman.

“Saya mengadakan perbincangan dengan Malaysia Airport Berhad (MAB), kementerian pengangkutan dan Berjaya Air sendiri bagi meneruskan semula operasi penerbangan yang digantung sementara sebulan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu bersama penduduk kampung seluruh daerah Temerloh bergotong-royong menyediakan makanan sempena Istiadat Diraja Bersama Rakyat sempena majlis Berkhatan dan Bertindik Paduka-paduka Anakanda Tengku Muda Pahang di Kubang Gajah di sini, baru-baru ini.




Mohd Sharkar berkata, akibat penggantungan penerbangan itu, sebanyak 800 bilik yang biasanya ditempah pelancong golongan itu tidak laku dan menjejaskan pendapatan pengusaha hotel dan resort di situ.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, kerajaan akan meminta MAB mengkaji untuk memanjangkan landasan kapal terbang di Pulau Tioman kepada 200 meter.

Menurutnya, ia penting bagi membolehkan lebih banyak pesawat tambang murah yang boleh membawa hingga 80 penumpang mendarat di landasan itu.

“Buat masa ini, Berjaya Air membawa kapal terbang kecil yang hanya boleh membawa 50 penumpang kerana landasan sedia ada tidak cukup panjang.

“Banyak syarikat penerbangan seperti Maswing, FireFly dan lain-lain yang mempunyai pesawat yang boleh membawa sehingga 80 penumpang dan seterusnya akan menambah bilangan pelancong ke pulau tersebut.

“Diharap usaha menaik taraf landasan sedia ada akan dapat dilakukan dengan baik,” katanya. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]