SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAF ZAHIR BATIN DARIPADA KREW PENERBITAN PAHANG DAILY ONLINE

Sultan Titah Kerajaan Tambah Baik Destinasi Pelancongan


KUANTAN - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mahu kerajaan negeri meningkatkan promosi pelancongan di negeri ini berikutan tragedi pesawat MAS MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Baginda bertitah,  kehilangan pesawat MH370 memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan bukan sahaja di Pahang, malah Malaysia secara keseluruhannya.

Justeru, destinasi dan produk pelancongan yang terdapat di negeri ini perlu ditambah baik untuk menarik kedatangan pelancong.

“Negeri ini dianugerahkan keadaan alam semulajadi yang cantik dan indah seperti tanah tinggi, tasik, pantai, pulau adalah destinasi pelancongan yang menarik,” titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian pada Istiadat Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pahang yang Ke-13 di Wisma Sri Pahang, di sini, semalam.

Turut berangkat, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob.

Sultan Ahmad Shah turut berpuas hati dengan pembentangan belanjawan negeri yang menyasarkan hasil pendapatan negeri berjumlah RM811 juta sementara perbelanjaan negeri dijangka RM808.8 juta.
Titah baginda, jangkaan lebihan pendapatan pula dijangka berjumlah RM2.2 juta.

“Beta yakin dengan belanjawan yang dibentangkan dan berharap pengurusan kewangan negeri dapat diuruskan dengan lebih cekap selain rancangan pembangunan untuk rakyat dan negeri dilaksanakan dengan lebih berkesan.


“Beta juga menyarankan kerajaan negeri terus memikirkan dan mencari jalan dan kaedah sesuai untuk mencari sumber pendapatan baharu kerajaan memandangkan hasil tradisi seperti tanah, hutan dan air sedia ada tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan kos yang semakin meningkat setiap tahun,” titahnya.


Selain itu, Sultan Ahmad Shah turut melahirkan rasa bangga dengan kemudahan kesihatan di negeri ini berada pada tahap yang memuaskan dan berpendapat tahap kecekapan kemudahan kesihatan boleh dipertingkatkan lagi.

“Beta juga berasa gembira kerana Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sudah mempunyai kepakaran melakukan rawatan jantung.

“Setakat ini, HTAA sudah melakukan lebih kurang 200 prosedur pembedahan terbuka, 4,500 prosedur angiogram dan 1,500 prosedur angioplasty,” titahnya.

Bagi menjamin perpaduan dan keharmonian kaum negeri ini, baginda menyeru supaya semua pihak daripada semua kelompok dan peringkat masyarakat menyedari hakikat itu dan berusaha terus memelihara perpaduan dan keharmonian kaum.

“Wakil rakyat boleh memainkan peranan dalam masyarakat bagi memupuk perpaduan dan keharmonian sejagat.

“Perpaduan dan keharmonian kaum adalah asas kepada keamanan dan kestabilan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran negeri ini,” katanya. #sumber
PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]