pahangdaily pahangdaily Author
Title: ADUN Dakwa Tiada Bukti Kegiatan Pencerobohan
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
ULU TEMBELING:  Adun Kuala Tahan memberikan jaminan bahawa tiada sebarang kegiatan pencerobohan hutan atau pembalakan haram sewenang-wen...

ULU TEMBELING: Adun Kuala Tahan memberikan jaminan bahawa tiada sebarang kegiatan pencerobohan hutan atau pembalakan haram sewenang-wenangnya berlaku di kawasan Taman Negara seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, air sungai yang semakin cetek di sekitar kawasan terbabit adalah berpunca daripada fenomena El Nino, bukan kegiatan pencerobohan hutan.

“Ada tiga anak sungai di kawasan hutan di Taman Negara...tiada langsung pembangunan tapi turut kering, terbukti dakwaan itu kurang tepat.

“Saya beri jaminan kawasan hutan Taman Negara seluas kira-kira 700 kilometer persegi masih kekal seperti ribuan tahun sebelumnya dan tidak berlaku kegiatan pencerobohan,” katanya ketika mengunjungi beberapa kampung di sini kelmarin.

Wan Amizan berkata, kerajaan negeri turut menguatkuasakan zon penampan (buffer zon) sejauh 1.5 kilometer di sekitar Sungai Tembeling di mana sebarang aktiviti pembangunan tidak dibenarkan bagi memastikan kawasan tadahan air tidak tercemar.

“Kerajaan negeri pandang serius penjagaan sumber air sebab ia isu sensitif, penduduk marah kalau kawasan tadahan air mereka tercemar.

“Jabatan Hutan bertanggungjawab untuk pantau kegiatan pembalakan melalui Persijilan Pengurusan Hutan (MC&I), jadi mustahil berlaku pembalakan, tambahan pula ia kawasan tumpuan pelancong dunia,” katanya.


Beliau juga mendakwa kesal dengan tuduhan berlakunya pembalakan di kawasan Gunung Ais sehingga mengakibatkan pencemaran kawasan tadahan air.

Menurutnya, pembalakan yang berlaku itu adalah untuk pembinaan jalan raya dari Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling yang kini sedang giat dilaksanakan dan ia bukanlah pembalakan haram.

“Penebangan dilaksanakan secara minimum bagi memastikan pembinaan jalan raya berjalan lancar, ia adalah akses baru yang dibina bagi kemudahan penduduk di kawasan pedalaman itu yang selama ini bergantung kepada bot sungai,” katanya.

Beliau berkata, akibat dakwaan itu penempahan bilik di Taman Negara dibatalkan 50 peratus kerana pelancong luar negara amat prihatin dengan alam sekitar.

“Disebabkan dakwaan terbabit imej Taman Negara dan pendapatan penduduk yang bergantung kepada aktiviti pelancongan di situ turut terjejas,” katanya.

Namun begitu, beliau berkata, harus disedari bahawa di kawasan Taman Negara terdapat lima kampung besar dan tujuh kampung kecil dengan jumlah penduduk sekitar 2,600 orang.

“Mereka juga perlu diberikan kemudahan dengan melaksanakan pembangunan ekonomi dan sosial.  Justeru itu kita tetapkan, pembangunan hanya berlaku di kawasan kanan sungai Tembeling yang terletak di lima kampung tradisional seperti Kampung Pagi, Kuala Sat, Bantal, Mat Daling dan Gusai.

“Pembangunan yang berlaku adalah bagi memenuhi tuntutan penduduk di kawasan itu yang inginkan jalan raya, sekolah, klinik, balai raya, masjid, rumah dan kegiatan ekonomi,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top