pahangdaily pahangdaily Author
Title: Cadang Royalti Bauksit Di Bayar Sebelum Eksport
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang bercadang mengenakan syarat terhadap pihak yang ingin mengeksport bauksit ke China supaya menjelaskan b...

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang bercadang mengenakan syarat terhadap pihak yang ingin mengeksport bauksit ke China supaya menjelaskan bayaran royalti terlebih dahulu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, cadangan itu untuk mengelakkan masalah bayaran royalti tertunggak seperti yang dialami kini yang membuatkan kerajaan negeri masih menunggu bayaran sedangkan bauksit yang dieksport sudah diproses menjadi aluminium.

"Saya cadangkan supaya royalti dibayar sebelum bauksit masuk kapal. Agensi yang mengutip bayaran royalti adalah Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Mineral dan Galian (JMG) dan pelabuhan. Bukan MB (Menteri Besar)," katanya.

Adnan berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Kerjasama Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Rumah Tamu Seri Gelora di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali, Pengarah SPRM Pahang Datuk Wan Ramli Wan Abdullah dan Yang Dipertua MPK Datuk Fadzilla Salleh.

Adnan juga memberitahu bahawa persekutuan bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri supaya lori yang dibenarkan mengangkut bauksit disyaratkan mematuhi had laju 60 kilometer sejam dalam langkah penambahbaikan perlombongan selepas ini.

Beliau menambah kata pihaknya turut menyambut baik campur tangan kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam isu perlombongan bauksit kerana enam daripada tujuh agensi yang terlibat bukan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Hanya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di bawah kerajaan negeri. Saya sendiri telah sekurang-kurangnya empat kali mengadakan perjumpaan dengan pengusaha bauksit memberi amaran supaya melakukan kerja dengan betul.

"Bila kerajaan persekutuan ambil alih, kenakan moratorium... kita dapat lihat Kuantan dan pelabuhan yang bersih," katanya.

Tempoh moratorium selama tiga bulan itu bermula pada 15 Januari sepatutnya tamat pada 15 April, namun pada 8 April lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan keputusan kerajaan persekutuan melanjutkannya.

Dalam ucapannya, Adnan juga memberitahu bahawa beliau dan barisan Exco Pahang masih dalam proses mengumpulkan maklumat peribadi berkaitan pemilikan harta untuk diserahkan kepada SPRM dalam usaha membanteras rasuah.

"Kami akan beri kerjasama kepada SPRM. Saya tiada masalah...," katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top