Situasi itu berlaku akibat paras air Sungai Mentiga yang menjadi punca bekalan air utama kepada penduduk di Felda Chini, Felda Chini Timur, Kampung Gumum dan Kampung Mambang semakin surut dan kini berada pada paras kritikal.

Biarpun Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) menghantar bekalan air bersih menggunakan lori tangki untuk kegunaan mereka, namun tidak mencukupi terutama pada hujung minggu atau ketika majlis keramaian seperti majlis perkahwinan diadakan.

Seorang penduduk Felda Chini Timur 1, Ahmad Shahril Zailudin, 35, berkata, dia terpaksa menggali perigi sedalam tiga meter bagi mendapatkan bekalan air untuk kegunaan mandi dan membasuh baju.


“Sejak sebulan lalu, rumah kami jarang mendapat bekalan air paip jika ada pun hanya sekejap dan terlalu sedikit sehingga memaksa kami sekeluarga membeli air minuman dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan sekeluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Rohana Daud, 58, berkata, dia bersyukur kerana perigi digali penduduk sejak seminggu lalu mula mengeluarkan air yang semakin hari semakin banyak. “Walaupun air pe­rigi itu agak keruh dan berlumpur, namun sekurang-kurangnya dapat menampung serba sedikit keguna­an air bagi kami semua ketika musim kemarau ini,” ujarnya.

 Tambahnya, setiap kali hu­jung minggu kesemua anak­nya akan pulang ke rumah­nya di Felda Chini Timur dan membawa bekalan air bersih terutama air minuman. Seorang lagi penduduk, Md. Kamis Ayob, 64, berkata, dia bersama isteri dan rakannya terpaksa menggali tiga perigi sedalam 2.4 meter bagaimanapun hanya satu perigi mengeluarkan air namun jumlahnya hanya cukup untuk mandi. 

“Saya bergilir-gilir dengan rakan menggali perigi itu menggunakan cangkul selama lapan jam. Ia sangat memenatkan kerana ta­nahnya keras dan liat,” katanya. #sumber