pahangdaily pahangdaily Author
Title: Gesa Kerajaan Atasi Sisa Minyak Pantai Beserah !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Sisa minyak hitam di sepanjang persisiran Pantai Beserah di sini perlu dibersihkan dengan secepat mungkin kerana semakin lama...

KUANTAN: Sisa minyak hitam di sepanjang persisiran Pantai Beserah di sini perlu dibersihkan dengan secepat mungkin kerana semakin lama dibiarkan, semakin bahaya kesannya terhadap alam sekitar termasuk hidupan marin di kawasan itu.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Ngien Su Kong berkata jika sebahagian sisa minyak itu masuk ke dalam air laut, ia boleh menyebabkan biologikal ikan terjejas sehingga membawa kepada kematian ikan berkenaan.

"Sekiranya sebahagian sisa minyak ini masuk ke dalam air (laut), maka hidupan marin akan terjejas. Misalnya ikan termakan minyak ini, ia boleh mati kerana menjejaskan biologikal ikan itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, penduduk Kampung Pantai di sini digemparkan dengan penemuan sisa minyak hitam seakan-akan tar sepanjang hampir 10 kilometer di persisiran pantai berkenaan.

Sambil menyifatkan kejadian penemuan sisa minyak itu agak serius, Ngien berkata burung juga akan hilang upaya untuk mengekalkan haba badan sekiranya sisa minyak itu terkena dan melekat pada bulunya serta boleh menyebabkan haiwan itu mati.

"Kelengkapan bot dan pukat nelayan juga akan rosak jika terkena sisa minyak ini dan akhirnya akan mengganggu aktiviti harian mereka untuk menangkap ikan. Secara tidak langsung, ini juga akan menjejaskan punca rezeki penduduk," katanya.

Sehubungan itu, Ngien menggesa agensi berkenaan supaya segera tampil membersihkan sisa minyak itu sebelum keadaan menjadi semakin buruk.

Ditanya mengapa sisa minyak hitam itu bertukar menjadi keras seakan-akan tar, beliau berkata ia mungkin terjadi akibat tindak balas cahaya, angin dan ombak terhadap cecair minyak itu yang dipercayai telah beberapa hari berada di lautan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Rosli Zul pula berkata pihaknya sudah mengambil sampel minyak itu untuk dianalisis dan keputusan kimia akan diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan sisa minyak itu  datangnya dari kapal dagang atau pelantar minyak di tengah laut.

"Berikutan itu, fokus kerja pembersihan kini dilakukan mengikut pelan tindakan pembersihan pantai diketuai Pegawai Daerah Kuantan (D0).

Ketika ditanya sama ada kemungkinan minyak itu sengaja dibuang atau pun berlaku tumpahan minyak, Rosli berkata: "Kita tidak dapat maklumat tentang itu.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut sedang memantau. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top