pahangdaily pahangdaily Author
Title: Isu Air: Peneroka Felda Chini Terpaksa Beli Tong !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PEKAN: Bekalan air yang terjejas sejak lebih 10 hari memaksa penduduk di Felda Chini 2 dan Felda Chini  3 membeli tong berharga RM290 ...

PEKAN: Bekalan air yang terjejas sejak lebih 10 hari memaksa penduduk di Felda Chini 2 dan Felda Chini 3 membeli tong berharga RM290 seunit. 

Tong air berkapasiti 300 gelen atau 1,135 liter itu diperlukan untuk menakung air yang dibekalkan lori tangki ke kawasan mereka.

Penduduk, Nayan Baharum, 60, dari Felda Chini 3 berkata, keadaan itu menjadi rutin buat penduduk di situ sejak 10 hari lalu.

“Masalah tak ada air sudah 10 hari berlaku dan kami terpaksa bergantung sepenuhnya pada air tangki yang dihantar ke kawasan rumah.
“Kami terpaksa catu penggunaan air kerana takut tak cukup,” katanya ketika ditemui di Felda Chini 3, semalam.
Keadaan sama terpaksa dilalui Aminah Hussin, 65, yang terpaksa menunggu kehadiran lori membawa air untuk kegunaan penduduk.

Dia yang tinggal bersama lima ahli keluarga yang lain mengakui keadaan itu menyebabkan penduduk untuk melakukan aktiviti harian.

“Nak masak, nak basuh baju...semuanya susah. Kalau dulu jam 2 pagi bekalan air ada, tapi sekarang tak ada langsung,” katanya.


Sementara itu,  Pengurus Besar Operasi, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Ir Amir Khan Ayob Mohamed berkata, loji air Chini kini semakin kritikal ekoran Sungai Mentiga yang mencari sumber utama semakin kering.

Paras air di loji tersebut kini menyusut ke paras 0.18 berbanding satu meter pada paras normal.
Menurutnya, pengeluaran air di loji berkenaan terjejas teruk apabila hanya mampu mengeluarkan tujuh juta liter air sahaja berbanding keadaan normal sebelum kemarau iaitu 17juta liter.

Katanya, sungai tersebut kini terpaksa disekat untuk mengelak ia mengalir.

“Sekarang hanya satu daripada tiga pam yang beroperasi selama 12 jam sehari berbanding 24 jam sebelum ini.

“Keadaan ini menyebabkan bekalan air di beberapa kawasan seperti Felda Chini 1hingga 5, Felda Chini Timur 1 dan 2 dan Gumum membabitkan 1,500 akaun,” katanya kepada media pada Lawatan Media ke Loji Air Chini, baru-baru ini.

Amir Khan berkata, Paip menyediakan 27 tangki statik di kawasan terjejas dan sembilan lori tangki sejak 10 hari lalu.

Katanya, keadaan kering sebegini adalah kali kedua berlaku dan pihaknya bersama jabatan bertanggungjawab akan mengkaji untuk menggunakan air bumi bagi mengatasi masalah bekalan air di sini.

“Bagaimana pun, ia memerlukan kajian teliti sama ada bekalan air mencukupi atau tidak untuk membuat telaga tiub selain kualiti air juga perlu di kaji.

“Di Pahang ada  empat loji yang  terjejas iaitu Loji  Air Jelai dan Loji Air Batu 9 di Lipis,  Loji  Air Lubuk Kawah, di Temerloh dan Loji Air Chini melibatkan 8,109 akaun terjejas,” katanya.
Namun katanya, kesemua masih beroperasi tetapi dengan kapasiti menurun.  #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top