pahangdaily pahangdaily Author
Title: Isu "Bekalan Air", Pahang Ambil Langkah Proaktif
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail (foto) berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah pr...

KUANTAN: Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail (foto) berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan lebih banyak tangki statik di kawasan yang mengalami kekurangan bekalan air seperti di Chini, Pekan; Lipis dan Temerloh.

Beliau berkata tindakan ini diambil berikutan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kerajaan negeri supaya mengambil tindakan segera mengatasi masalah bekalan air di tiga kawasan di negeri ini yang terjejas berikutan fenomena El Nino.

"Sebelum ini saya ada mencadangkan kepada Perdana Menteri untuk melakukan pembenihan awan dan beliau memaklumkan tiada masalah untuk melaksanakan perkara itu.

Namun dalam masa yang sama beliau telah meminta masalah ini diatasi dahulu  dengan segera sementara menunggu pembenihan awam kerana kalau kita buat pun (pembenihan awan), belum tentu hujan akan turun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Pengkhidmat Cemerlang 2015 kepada 69 individu dan 27 individu Anugerah Pengkhidmat Setia 2016 Majlis Perbandaran Kuantan di sini, hari ini.    

Dalam masa yang sama, katanya kerajaan negeri juga telah meminta bantuan peruntukan luar jangka daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bagi menangani masalah itu.

Katanya untuk kawasan Chini sahaja, sejumlah RM400,000 telah dimohon daripada ICU bagi keperluan membeli air serta menyewa dan membeli tangki statik.

Sementara dua lagi daerah yang terjejas dengan masalah air iaitu Lipis dan Temerloh telah menggunakan peruntukan Pengurusan Air Pahang Berhad bagi menyalurkan bekalan di kawasan yang terjejas.

Muhammad Safian berkata ketiga-tiga kawasan yang mengalami masalah bekalan sumber air itu adalah disebabkan situasi yang berbeza-beza.

Di Lipis katanya masalah bekalan air berpunca daripada keadaan air di muka sauk sungai yang mengalami paras air turun naik manakala di Temerloh pula berpunca daripada keadaan paras air sungai yang cetek.

Manakala keadaan di Chini sendiri berpunca daripada sungai yang hampir kering menyebabkan ketiadaan sumber bekalan air untuk dipam ke loji berhampiran. 

Advertisement

Post a Comment

 
Top