pahangdaily pahangdaily Author
Title: Lembaga Penasihat Di Ketuai Najib Patut Mansuh
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LUMPUR: Tindakan kesemua enam Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad menyerahkan surat peletakan jawatan selepas lapor...
KUALA LUMPUR: Tindakan kesemua enam Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad menyerahkan surat peletakan jawatan selepas laporan Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) dikeluarkan semalam masih tidak memadai untuk menyelesaikan kontroversi 1MDB.
Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Tony Pua (Petaling Jaya Utara-DAP) berkata, Lembaga Penasihat 1MDB yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga patut dimansuhkan, seperti yang dicadangkan PAC.
Beliau juga berkata artikel 117 dalam ‘Memorandum and Articles of Association’ (M&A) 1MDB yang mewajibkan keterlibatan secara langsung Najib dalam setiap transaksi 1MDB perlu dibuang.
“Ia menyatakan persetujuan bertulis Perdana Menteri diperlukan dalam setiap transaksi 1MDB. Lebih teruk, ia melarang pelantikan mana-mana pegawai Kementerian Kewangan dalam syarikat yang dapat menambah semak dan imbang dalam pengurusan.
“Kurangnya pengawasan di peringkat Kementerian Kewangan hanya meningkatkan lagi kebersalahan (culpability) Perdana Menteri dalam skandal ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Selain pemansuhan Lembaga Penasihat dan artikel 117, PAC dalam laporannya semalam turut mencadangkan agar bekas Ketua pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi disiasat.
Namun, Tony Pua yakin kerajaan tidak akan memandang serius cadangan-cadangan yang dikemukakan, berdasarkan tindakan kerajaan dalam kes Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
“Berdasarkan pengalaman lalu, mereka tidak akan menghiraukannya, dan kami akan terus menyuarakan kritikan,” katanya lagi.
Skandal NFC terbongkar selepas Laporan Ketua Audit Negara 2011 melaporkan syarikat yang dikendali keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mendapat geran kerajaan berjumlah RM250 juta tetapi didakwa tidak menggunakan tujuan sebenar.
NFC didakwa menggunakan sebahagian peruntukan untuk membeli kondo di Bangsar dan Singapura serta kereta mewah. Kerajaan menjelaskan dana itu bersifat pinjaman mudah dan hanya RM182 juta disalurkan kepada NFC.
Mahkamah pada 25 Oktober tahun lalu membebaskan bekas Pengerusi Eksekutif NFC yang juga suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh daripada tuduhan pecah amanah RM49.7 juta.
Skandal PKFZ pula melibatkan kos pembinaan yang melampau berjumlah RM4.6 billion yang dikaitkan dengan MCA. Projek itu gagal mencapai matlamat tetapi tiada pihak yang didakwa di mahkamah. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top