pahangdaily pahangdaily Author
Title: Warga Emas Sengsara Akibat Debu Dari Lori Bijih
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUALA LIPIS: -Seorang warga emas yang menghidap strok dan lelah bimbang masalah kesihatannya semakin serius selepas berdepan masalah d...

KUALA LIPIS: -Seorang warga emas yang menghidap strok dan lelah bimbang masalah kesihatannya semakin serius selepas berdepan masalah debu dibawa lori bijih yang keluar masuk ke kawasan perlombongan berhampiran rumahnya, setiap hari.

Tahap kesihatan Johari Bedu, 69, yang kini terlantar akibat penyakit dihadapi semakin terjejas kesan daripada masalah debu.

Isterinya, Sharifah Nahar, 70, berkata, masalah debu itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan suaminya, malah melibatkan mereka sekeluarga.

“Kami seisi rumah mengalami batuk akibat debu yang berterbangan sehinggakan kesihatan saya, suami, anak, menantu yang sedang sarat mengandung dan cucu juga terjejas.
“Kami sekeluarga batuk hampir sebulan akibat terdedah dengan debu yang terlampau tebal ini,” katanya.

Menurutnya, masalah debu itu dihadapi sejak kira-kira sebulan lalu berpunca akibat aktiviti lori bijih yang keluar masuk ke kawasan perlombongan berhampiran rumah mereka.

Jelasnya, aktiviti perlombongan itu sudah berlaku sejak kira-kira setahun lalu, namun ia berhenti beroperasi seketika.

“Kira-kira sebulan lalu, ia kembali beroperasi dan kebetulan ketika ini keadaan cuaca panas menyebabkan debu yang dibawa keluar lori bijih memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Mahani Mahamod, 33, keadaan debu yang teruk boleh dilihat di sepanjang jalan utama Benta - Jerantut terutama di laluan lori bijih terbabit apabila pokok hijau diselaputi debu.

Menurutnya, dia terpaksa melarang anaknya bermain di luar rumah kerana bimbangkan kesihatan mereka.

“Anak saya tidak dapat bermain di luar malah kami sekeluarga juga baru sahaja sembuh daripada batuk yang panjang.

“Kesan debu ini juga mengakibatkan rumah dan kereta sentiasa kotor sehingga terpaksa mencucinya setiap hari,” katanya.

Dia berharap pihak bertanggungjawab prihatin dengan masalah yang menimpa tidak hanya keluarganya, malah kira-kira 10 buah rumah keluarga lain yang terjejas akibat debu terbabit.

Dia mahu pihak berkaitan menyembur jalan atau lori dengan air untuk mengurangkan debu terutama pada musim panas ketika ini selain pemandu lori memandu berhemah. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top