pahangdaily pahangdaily Author
Title: PRN Sarawak: PAS "Sedia Lawan" PKR Dan DAP !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA:  PAS sedia berhadapan pertembungan dengan parti komponen pakatan pembangkang di beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri ...

PETALING JAYA: PAS sedia berhadapan pertembungan dengan parti komponen pakatan pembangkang di beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 akan datang.

Setiausaha PAS Sarawak, Muhtar Suhaili (foto) berkata, sehingga kini parti itu menjangkakan bakal berlaku perebutan di sekurang-kurangnya lima kerusi membabitkan Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

"PAS sedar akan kemungkinan bakal berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan khususnya di kerusi yang ditandingi PKR pada pilihan raya yang lalu seperti Kakus, Jepak dan Lambir.

"Namun berdasarkan maklum balas akar umbi yang cukup positif, PAS terpaksa bertanding di kerusi-kerusi berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Selain itu menurut Muhtar, walaupun PAS dan PKR sudah melakukan perbincangan berhubung isu pembahagian kerusi sempena PRN Sarawak, namun ia menemui kegagalan.

"Sebelum PAS umumkan calon, kita ada bincang dengan PKR tapi ia gagal. Jadi kita terpaksa teruskan untuk bertanding walaupun bakal berlaku pertembungan. Namun kita tak bincang dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

"Kita jangkakan DAP akan meletakkan calon di kerusi Pujut yang majoritinya adalah pengundi Cina dan di kerusi baharu iaitu Samalaju," katanya.

Ditanya sama ada PAS akan berkompromi dengan PKR, DAP dan Amanah pada saat-saat akhir bagi mengelak berlakunya pertindihan kerusi antara parti pembangkang, Muhtar bagaimanapun enggan membuat sebarang jangkaan awal.

"Tidak (kompromi). Tapi masih terlalu awal nak ulas. Anda perlu tunggu sehingga hari penamaan calon. Tarikh pilihan raya pun belum tahu lagi.

"Buat masa ini kami tetap akan bertanding di 11 kerusi berkenaan seperti yang diumumkan," katanya.

Pada 6 April lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding di 11 kerusi iaitu Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Pada PRN Sarawak 2011, PAS bertanding di lima kawasan namun gagal memenangi sebarang kerusi. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top