pahangdaily pahangdaily Author
Title: Warga Felda, 'Maut Terjerlus' Ketika Menjala Ikan !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
TEMERLOH: Seorang warga Felda menjadi mangsa kedua lemas di Sungai Pahang ketika turun menjala ikan bersama tiga rakannya, awal pagi Ah...

TEMERLOH: Seorang warga Felda menjadi mangsa kedua lemas di Sungai Pahang ketika turun menjala ikan bersama tiga rakannya, awal pagi Ahad lalu.

Mayat Azmir Salleh, 35, dari Felda Jengka 21 ditemui tersangkut pada pasir jerlus tidak jauh dari lokasi  dia dilaporkan lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Hashnuddin Hussain berkata, mangsa turun ke Sungai Pahang di Kampung Seboi, Kuala Krau menaiki bot bersama tiga rakannya kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, mangsa antara yang terawal turun dari bot untuk menjala di pesisir pasir bagaimanapun difahamkan jala digunakan tersangkut pada tunggul kayu dan dia dipercayai turun ke dalam air untuk melepaskan jala.

“Mangsa mungkin terjerlus ketika itu dan terus tenggelam sebelum kehilangannya disedari rakan.

“Tiga rakannya membantu mencari dan mengesan mangsa tetapi gagal sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba bersama polis dan Jabatan pertahanan Awam (JPAM) menjalankan gerakan mencari dan menyelamat mangsa sebelum mayat lelaki itu berjaya ditemui selepas lapan jam dia dilaporkan lemas.

Katanya, orang ramai terutamanya penduduk di pinggir sungai diingatkan supaya tidak mencari etak, ikan ataupun remis ketika paras air sungai terlalu cetek sekarang.

“Keadaan ini mendatangkan bahaya kerana pada musim panas ini banyak pasir berongga dan jerlus yang boleh membahayakan nyawa.

“Biasanya apabila air cetek terdapat banyak pasir jerlus atau berongga dan jika tidak berhati-hati boleh menyebabkan hilang dan lemas,” katanya.

Katanya, tahun lalu, lima kejadian lemas berlaku pada musim kemarau di kawasan pasir jerlus di Sungai Pahang dalam daerah Temerloh.

"Ini pula kejadian kedua dilaporkan di daerah Temerloh tahun ni selepas seorang lelaki India lemas berhampiran Lubuk Pasu," katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top