pahangdaily pahangdaily Author
Title: Air "Bukit Chini" Tidak Selamat Untuk Di Gunakan
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PEKAN: Air bukit yang diambil berhampiran Pusat Latihan Felda Chini di sini tidak selamat digunakan bagi tujuan memasak atau minum, kat...

PEKAN: Air bukit yang diambil berhampiran Pusat Latihan Felda Chini di sini tidak selamat digunakan bagi tujuan memasak atau minum, kata Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar (foto).

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan yang menjalankan ujian terhadap sampel air itu pada Rabu lepas, mendapatinya positif dengan bakteria coliform dan e-coli.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk sekitar Felda Chini yang kerap mengambil air dari kawasan itu susulan gangguan bekalan air kerana musim kemarau, supaya menggunakan air itu untuk tujuan domestik sahaja seperti membasuh dan mandi.


"Pejabat Kesihatan Daerah mengambil sampel air itu di dua lokasi iaitu takungan air bukit dan air limpahan takungan melalui longkang bukit. Ujian kedua-dua sampel adalah positif," katanya baru-baru ini.

Dr Zainal Ariffin berkata, anggota kesihatan juga berjumpa dengan ketua-ketua blok di kawasan Felda bagi menerangkan situasi berkenaan supaya dapat disampaikan kepada penduduk.

"Jabatan ini juga menampal notis amaran mengingatkan bahawa punca air itu mungkin dicemari bakteria, virus atau parasit dan melarang penggunaan air bagi masakan, makanan atau minuman untuk mengelakkan kejadian penyakit berjangkit," katanya.

Dr Zainal Ariffin berkata, penduduk boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah di talian 09-4221044 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan itu mendapati ramai penduduk membawa tong bagi mengambil air ekoran gangguan bekalan air yang sudah berlaku sejak bulan lepas.


Seorang peneroka Abdul Malik, 60, dari Felda Chini Timur berkata, ini merupakan kali pertama beliau mengambil air di kawasan itu, yang terletak kira-kira 7 kilometer dari rumahnya, selepas bertanya kepada beberapa rakan mengenai lokasi mengambil air.

Seorang penduduk Rohaya Rahim, 49, berkata, air bukit itu telah ada sejak 1980-an lagi, namun kewujudannya 'semakin popular' sejak kebelakangan ini, ekoran masalah air yang semakin teruk pada musim kemarau.

Surirumah dari Felda Chini 5 Tambahan itu berkata beliau sudah beberapa kali mengambil air di kawasan itu, dan sejak beberapa hari lalu, beliau mendapati terdapat satu tong besar dengan beberapa paip diletakkan di kawasan itu.

"Terdapat getah paip yang menyalurkan air bukit ke dalam tong hitam dan ini memudahkan kerja mengambil air kerana beberapa orang boleh menadah air dalam waktu yang sama.

"Kami menggunakan air bukit untuk mandi dan membasuh sahaja kerana air ini adalah jernih manakala untuk minum dan memasak menggunakan air yang dihantar lori tangki Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) selain sumbangan pelbagai pihak yang diagihkan ketua blok" katanya.

Rohaya juga menyangkal dakwaan yang tersebar di laman sosial yang mendakwa penduduk Chini terpaksa mengambil air parit ekoran cuaca panas yang meruncing, sebaliknya berpendapat berlaku salah faham akibat gambar yang tersiar.

Ini kerana penduduk menadah air limpahan takungan menerusi paip yang terletak di dalam longkang, menyebabkan ia kelihatan seolah-olah penduduk sedang menceduk air parit, katanya.

Seorang lagi penduduk Abu Samah Yusof, 68, dari Felda Chini 3 pula menyifatkan dakwaan mengambil air parit sebagai 'keterlaluan dan tidak munasabah' kerana tidak mungkin beliau sanggup memberi air tercemar kepada keluarganya.


Abu Samah berkata, mengambil air bukit itu adalah pilihan ramai penduduk kerana air itu boleh diambil pada bila-bila masa tanpa menunggu lori tangki yang datang pada masa-masa tertentu.

"Kadang-kala air yang disimpan habis. Ada masanya, kami tidak berada di rumah semasa lori menghantar air tiba atau malas hendak beratur mengambil air. Di sini lebih mudah, sebab kita tahu bila orang ramai... jadi boleh datang waktu lain," katanya.

Seorang lagi penduduk Mohd Nazar Md Noor, 37, dari Felda Chini 1 berkata beliau mandi di air bukit itu setiap hari sejak bulan lepas kerana lebih mudah selain dapat menjimatkan bekalan air bersih yang disimpan di rumah.

Kawasan air bukit, yang terletak di tepi jalan itu, akan dikunjungi ramai bermula 9 pagi dan semakin berkurangan menjelang tengah hari sebelum kembali sesak selepas waktu bekerja, katanya.

Advertisement

Post a Comment

 
Top