pahangdaily pahangdaily Author
Title: Air Masin: Penternak Kerugian, Ikan Sangkar Mati
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PEKAN: Penternak ikan sangkar di Kampung Pulau Enjin di sini rugi hampir RM10,000 apabila kira-kira 5,000 ikan ternakannya mati disebab...

PEKAN: Penternak ikan sangkar di Kampung Pulau Enjin di sini rugi hampir RM10,000 apabila kira-kira 5,000 ikan ternakannya mati disebabkan air masin.

Projek ternakan ikan sangkar itu diusahakan Ismailudin Sulaiman, 53, bersama tiga rakannya sejak 10 tahun lalu.

Menurut Ismailudin, kejadian pertama kali itu disedari Ahad lalu apabila sebahagian ikannya mati dan timbul.

“Kira-kira 5,000 ikan pelbagai jenis seperti patin, baung, jelawat, kerai, lampam jawa dan keli mati. Ikan-ikan itu hanya tunggu masa untuk dijual.

“Setakat ini hanya ikan tilapia masih hidup...kira-kira 10,000 ekor berusia tiga bulan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ismailudin berkata, terdapat 20  sangkar ikan yang diternak dan kesemuanya terjejas selepas dimasuki air laut.

Menurutnya, situasi itu berlaku disebabkan keadaan sungai yang menyusut akibat kemarau. Sebelum ini, walaupun berlaku kemarau tetapi air hanya akan menjadi payau.

“Saya tak mampu nak buat apa-apa, hanya tunggu dan lihat saja sebab faktor cuaca ni sukar untuk diramal,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak dapat menahan rasa sedih melihat ikan ternakan seberat 1.5 kilogram mati begitu sahaja.

Dia juga membuat laporan polis dan memaklumkan kepada Jabatan Perikanan berhubung masalah dihadapi.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain berkata, kematian ikan secara serentak dipercayai berpunca daripada air pasang dan saliniti (tahap kemasinan air) yang tinggi.

Menurutnya, air pasang dari laut sampai ke Pahang Tua berlaku di kawasan itu.

“Keadaan paras air Sungai Pahang yang kering dan surut serta air pasang besar menyebabkan air masin sampai ke Pahang Tua. Spesies ikan itu tidak boleh hidup dalam keadaan air payau dan menyebabkan kematian,” katanya.

Adnan turut mengingatkan penternak supaya peka dengan situasi El-Nino yang sedang melanda negara.

Beliau berkata, penternak yang mempunyai ikan yang telah mencapai saiz pasaran dinasihatkan supaya segera menjualnya bagi mengelak sebarang kerugian lebih besar. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top