pahangdaily pahangdaily Author
Title: Jemaah Masjid Selesa Dengan Pengurusan Lama
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Jemaah Prihatin Masjid Tepian Putra membantah pembubaran dan pengambilan sekretariat pengurusan masjid yang baharu kerana sudah...

KUANTAN: Jemaah Prihatin Masjid Tepian Putra membantah pembubaran dan pengambilan sekretariat pengurusan masjid yang baharu kerana sudah selesa dengan cara pengurusan yang dilaksanakan sejak setahun lalu.

Mereka mendakwa pembubaran itu boleh memberi persepsi negatif terhadap perancangan program yang direncanakan sebelum ini lebih-lebih lagi ketika Ramadan nanti.

Abdul Wahab Abdullah (foto), 61, berkata, walaupun tinggal di Bukit Sekilau, beliau selesa menjadi kariah di masjid itu kerana pelbagai aktiviti dilakukan seperti ceramah, mengaji dan program kebajikan.

Menurutnya, usaha sekretariat sebelum ini tidak boleh dipersoalkan kerana masjid itu ‘hidup’ disebabkan oleh pelbagai inisiatif mereka melaksanakan pelbagai program.

“Kami senang berkomunikasi dengan mereka. Apa sahaja usul kami sebagai jemaah di sini diterima yang kemudiannya dibawa ke dalam mesyuarat untuk diputuskan.

“Tambahan pula, menjelang bulan Ramadan banyak program yang mereka rancang bersama pihak luar. Bila keadaan ini berlaku, akan timbul rasa tidak selesa kerana program diuruskan dengan pihak lain sedangkan perbincangan dibuat dengan pihak lain,” katanya.

Menurut Abdul Wahab, tidak pernah timbul mereka di dalam sekretariat itu menyandang jawatan untuk kepentingan sendiri.

“Saya nampak cara mereka buat kerja dan bila hal ini (pembubaran) berlaku, seolah-olah usaha mereka sebelum ini tidak dihargai,” katanya.

Seorang lagi jemaah, Mohamed Azlan Mohamed Ariff, 59, berkata, kedudukan masjid yang strategik di pusat bandar menyebabkan orang ramai selesa menunaikan solat di sini.

Menurutnya, meskipun sekretariat yang terlibat bukan individu dari kawasan masjid, namun atas rasa tanggungjawab mereka laksanakan tanggungjawab dan mengimarah masjid secara bersama.

“Jika mereka tiada, saya rasa mungkin masjid ini sepi dan ‘tidak hidup’. Setiap program bersama jemaah dianjurkan secara tidak langsung menjadikan kami seronok datang ke masjid ini,” katanya.

 Sehubungan itu, mereka merayu pihak Majlis Ugama Islam dan Adat resam Melayu Pahang (Muip), Jabatan Agama Islam Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan bersikap adil dan telus untuk membantu menyelesaikan isu ini. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top