pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kereta Rosak Di LPT, Lelaki Mati Di Rempuh Lori !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta mereka dirempuh sebuah lori ketika berhenti di bahu jalan un...

KUANTAN: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta mereka dirempuh sebuah lori ketika berhenti di bahu jalan untuk membaiki tayar yang rosak, pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi di Kilometer 214, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan itu, Muhamad Azwan Nawawi, 29 dari Klang, Selangor, meninggal dunia di  tempat kejadian.

Manakala rakannya, Mohd Hakim Saparudin, 28, juga dari Klang, Selangor dan mekanik, N Ravisangar, 40, beralamat di Pedas, Negeri Sembilan, cedera parah.

Bagaimanapun, pemandu kereta jenis Toyota Vios itu, Shahrul Nizan Mohd Rais, 30, dan seorang lagi penumpang, tidak cedera.

Mayat Muhamad Azwan terperosok dalam but kereta memandangkan ketika kejadian, dia sedang duduk berehat di dalamnya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan termasuk kereta dinaiki mangsa bersama tiga yang lain, kereta milik mekanik dan sebuah lori tiga tan yang belum dikenal pasti.

Menurutnya, ketika kejadian, Shahrul Nizan bersama Muhamad Azwan, Mohd Hakim dan seorang lagi rakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala Kuantan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, salah satu tayar kereta tersebut rosak lalu mereka berhenti di bahu jalan sebelum menghubungi mekanik (Ravisangar) untuk membaikinya.

“Mekanik itu tiba dengan kereta jenis Proton Saga sebelum meletakkan kenderaannya di hadapan kereta yang mengalami kerosakan tayar itu,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, ketika mekanik sedang membaiki tayar kereta itu, pemandu dan penumpangnya menunggu di luar, manakala Muhamad Azwan berehat di dalam but kereta kerana cuaca panas.

Beliau berkata, tiba-tiba sebuah lori dari arah belakang hilang kawalan lalu merempuh kereta itu dan kereta milik mekanik yang berada di hadapan.

“Menurut mangsa yang terselamat, lori itu berhenti seketika selepas kejadian, namun pemandunya meneruskan perjalanan dengan alasan mahu ke balai bagi membuat laporan.

“Bagaimanapun, belum ada laporan dibuat pemandu lori terbabit, justeru kami sedang mengesan lori dan pemandu terlibat bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Noor berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat, dan dua mangsa yang parah turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut  Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, enam anggota dari balai Bomba Taman Tas diketuai Komander Operasi, Zanafi Zainal, bergegas ke lokasi bagi membantu dan menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, seorang mangsa tersepit di but kereta dan berjaya dikeluarkan kira-kira 9.45 pagi.

“Alat pemotong terpaksa digunakan  memandangkan bahagian kereta remuk,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top