pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kes Samun Kontraktor, Teman Wanita Jadi Dalang
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Seorang kontraktor tidak menyangka teman wanitanya sanggup berpakat dengan dua lelaki melarikan wang tunai RM3,000 bersama dua...

KUANTAN: Seorang kontraktor tidak menyangka teman wanitanya sanggup berpakat dengan dua lelaki melarikan wang tunai RM3,000 bersama dua telefon bimbit miliknya di sebuah inap desa, di Lorong Sri Kuantan, pada 8 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa dikatakan bersama teman wanitanya berusia 22 tahun dan seorang pekerja lelaki berusia 20 tahun mendaftar masuk sebuah inap desa untuk beristirahat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata,  gadis itu menghantar isyarat kepada salah seorang suspek yang didakwa teman lelakinya secara diam-diam bagi memaklumkan waktu sesuai melakukan samun.

Menurutnya,  dua suspek datang menaiki sebuah kereta menyerbu bilik yang disewa mangsa sambil mengacukan sepucuk pistol tiruan ke arah mangsa dan pekerjanya.

“Mangsa bersama pekerjanya yang tergamam diacu pistol menyerahkan RM3,000 dan dua telefon bimbit kepada seorang suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,baru-baru ini.

Kesemua suspek termasuk gadis itu kemudian melarikan diri menaiki sebuah kenderaan dan mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuantan pada hari sama.

Susulan laporan mangsa, pasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah diketuai Asisten Superintendan Mohd Nayan Mokhtar, menahan semua suspek di Tanjung Lumpur dan Jalan Mahkota.

Polis merampas sepucuk pistol palsu yang digunakan suspek termasuk dua telefon bimbit manakala wang tunai RM3,000 habis dijoli.

Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah dan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah membabitkan kes dadah dan kes ugutan jenayah.

“Polis teruskan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top