pahangdaily pahangdaily Author
Title: Khidmat Warden Didakwa Pijak Pelajar Digantung
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PETALING JAYA: Perkhidmatan warden yang didakwa memijak seorang pelajar sebuah kolej vokasional di Sungai Buloh Ahad lalu digantung seh...
PETALING JAYA: Perkhidmatan warden yang didakwa memijak seorang pelajar sebuah kolej vokasional di Sungai Buloh Ahad lalu digantung sehingga siasatan selesai.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan (foto) yang dipetik Harian Metro berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu.
“Selebihnya kami serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan, kerana saya difahamkan laporan polis sudah pun dibuat.
“Saya amat kecewa kerana sudah banyak kali saya berpesan mendisiplinkan anak dan mencederakan anak adalah dua perkara berbeza,” katanya yang dilaporkan akhbar itu selepas merasmikan Program Klinik Saringan Pekak di Sekolah Kebangsaan Sungai Choh, Rawang hari ini.
Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar melalui Facebook Polis Selangor memaklumkan, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun telah membuat laporan polis pada pagi Isnin lalu.
Beliau turut mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang 3 Mei lalu di Asrama Kasih Kolej Vokasional Sungai Buloh.
“Pihak polis memandang serius perkara ini. Ekoran laporan yang dibuat, polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid melalui Facebooknya memberitahu siasatan juga sedang dijalankan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) di bawah kementerian itu.
Video selama 1 minit 14 saat yang dimuat naik Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan ke Facebooknya Ahad lalu menunjukkan seorang lelaki dewasa berkopiah memijak seorang remaja lelaki yang dipercayai pelajar tingkatan empat sebelum remaja itu sempat menyalakan rokok di tangga.

Advertisement

Post a Comment

 
Top