pahangdaily pahangdaily Author
Title: Zakat Fitrah Negeri Pahang Kekal RM7.00 Seorang
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Kadar zakat fitrah untuk umat Islam di negeri ini kekal sebanyak RM7 seorang selepas mengambil kira harga beras semasa. Tim...

KUANTAN: Kadar zakat fitrah untuk umat Islam di negeri ini kekal sebanyak RM7 seorang selepas mengambil kira harga beras semasa.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan (foto) berkata, bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah, seramai 968 amil telah ditauliahkan dalam negeri Pahang.

Beliau meminta orang ramai membuat bayaran kepada amil yang telah diberi tauliah Muip di tempat masing-masing bermula daripada awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

“Saya memandang berat jumlah zakat fitrah yang dikutip kerana tidak memperlihatkan penambahan yang ketara setiap tahun. Sejak tiga, empat tahun lepas hanya RM6 juta berjaya dikutip.

“Agak membimbangkan kerana mungkin ada orang yang tidak membayar zakat sedangkan jumlah penduduk semakin bertambah,” katanya

Sementara itu katanya, sesiapa yang enggan membayar zakat fitrah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh Muip telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Wan Abdul Wahid berkata, pihaknya mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM7 juta tahun ini berbanding RM6 juta lebih pada tahun lalu.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh layari  portal Muip di www.muip.gov.my

Dalam perkembangan lain, sempena Ramadan ini, Muip telah menyalurkan bantuan am kepada masjid-masjid di negeri Pahang agar dapat meningkatkan lagi aktiviti Ihya Ramadan.

Manakala persediaan menyambut Aidilfitri, Muip akan menyalurkan bantuan kepada asnaf, fakir dan miskin sebanyak RM3.64 juta. #sumber

Advertisement

Post a Comment

Liena md zulkefly said... Thursday, June 15, 2017 1:48:00 PM

Mungkin ramai org byr zakat terus ke asnaf sbb kurang percaya dgn institusi zakat

 
Top