pahangdaily pahangdaily Author
Title: 300 Orang Delegasi China, Malaysia Lawat MCKIP
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Seramai 300 delegasi dari negara China dan Malaysia telah menyertai lawatan ke Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) b...

KUANTAN: Seramai 300 delegasi dari negara China dan Malaysia telah menyertai lawatan ke Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) bagi menerokai peluang perniagaan dan perkongsian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang kini sedang pesat membangun.

Semasa lawatan tersebut, Naib Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Zhang Xiaoqin telah mengumumkan permulaan kerja-kerja menanam cerucuk untuk kilang keluli moden bersepadu diuruskan oleh Alliance Steel (M) Sdn. Bhd (Alliance Steel) yang telah melabur sebanyak RM5.6 billion (USD1.4billion) dan menjadi antara pelabur tunggal terbesar di ECER.

Menurutnya, kerja menanam cerucuk kilang pengeluaran dan mesin penggulung dijadualkan bermula minggu ini dan dijangka selesai dalam masa 120 hari.

Kilang keluli ini juga dijangka akan beroperasi pada penghujung tahun 2017 dan menyediakan lebih 3,500 peluang pekerjaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, negara China merupakan rakan dagang dan pelabur yang rapat di ECER.

“Peningkatan jumlah pelaburan telah merangsang lebih banyak projek infrastruktur seperti pembinaan taman-taman perindustrian,jalan raya dan landasan kereta api.

“Kesan limpahan daripada pelaburan ini membawa manfaat sosioekonomi, terutamanya dari segi peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada masyarakat tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Jebasingam turut mengumumkan MCKIP akan diperluaskan sebanyak 322 hektar yang menjadikan jumlah keseluruhan keluasan kepada 1,238 hektar bagi memenuhi permintaan menggalakkan daripada pelabur.

"Sebagai taman perindustrian pertama di Malaysia diberi status 'Taman Perindustrian Negara', MCKIP terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan berdaya saing dan sedang pesat membangun," katanya.

Pada masa ini, infrastruktur sokongan MCKIP seperti Pelabuhan Kuantan giat dibangunkan termasuk dijadikan pelabuhan laut dalam yang berupaya mengendalikan 52 juta kargo dan menerima kapal berukuran sehingga 200,000 tan berat muatan (DWT).

Projek dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa 1A membabitkan pembinaan lembangan 16 meter terdiri ruang himpitan sepanjang 400 meter dan kawasan penerimaa kargo seluas 20 hektar yang dijangka siap tahun depan.

Fasa 1B membabitkan pembinaan lembangan sedalam 16 meter terdiri daripada ruang himpitan sepanjang 600 meter dan kawasan penerimaan kargo pukal kering seluas 25 hektar yang dijangka siap Ogos 2018. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top