Pengarah Anih Berhad, Nik Fauzi Nik Hussein (foto) berkata, pelbagai usaha dan program kesedaran dilakukan bagi memberi pendedahan kepada penduduk di sekitar laluan LPT berhubung kesan daripada tindakan tersebut.

“Sejak ditubuhkan pada 2005, kita membelanjakan hampir RM7 juta untuk memasang semula pagar-pagar yang dipotong terutama di sepanjang laluan Temerloh-Kuantan.

“Bila pagar dipotong, haiwan ternakan seperti lembu mema­suki kawasan lebuh raya sehingga berlaku kemalangan yang mengakibatkan kematian,” katanya kepada pemberita selepas Prog­ram Komuniti Anih Berhad Bersama Warga Maahad Tahfiz Muhammadi di Bukit Rangin di sini baru-baru ini.


Menurut Nik Fauzi, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan segera membaik pulih pagar yang dipotong bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Sementara itu, seramai 50 sukarelawan Anih Berhad bergotong-royong membersihkan Maahad Tahfiz Muhammadi termasuk menyediakan sebuah perpustakaan mini dan sudut teknologi maklumat bagi membantu pelajar di situ mendapatkan bahan rujukan.

Katanya, sempena bulan Ramadan ini, pihaknya mengambil inisiatif untuk terus menyumbang kepada komuniti setempat terutama di sepanjang jajaran LPT.

“Langkah ini diharap mampu memberi impak positif dari aspek pembelajaran sekali gus membantu para pelajar tahfiz agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi maklumat yang pesat.

“Sukarelawan Anih Berhad turut melaksanakan pelbagai kerja baik pulih seperti pendawaian semula elektrik, kerja-kerja pembersihan tandas, kelas, susun atur kerusi dan meja, membuang sampah serta mencuci keseluruhan kawasan sekolah,” katanya. #sumber