pahangdaily pahangdaily Author
Title: Enam Sekeluarga Duduk Di Pondok Rayu Bantuan
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
JERANTUT:   Enam sekeluarga yang tinggal di sebuah pondok di atas tanah kerajaan berdekatan Felda Kota Gelanggi 2, di sini memohon bantua...

JERANTUT:  Enam sekeluarga yang tinggal di sebuah pondok di atas tanah kerajaan berdekatan Felda Kota Gelanggi 2, di sini memohon bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Mohd Razali Kamarudin, 44, berkata, pondok yang dibina sendiri daripada pokok kayu hutan dan papan terbuang itu kini sudah terlalu usang untuk didiami.

Menurutnya, mereka sekeluarga mula tinggal dan mendirikan pondok di atas tanah itu sejak 10 tahun lalu.

“Saya bina pondok di tanah simpanan kerajaan berdekatan Felda ini sebab memang tiada tempat lain nak bertapak.

“Bekalan api dan air pula saya dapat dari sebuah rumah pekerja atas ihsan pemiliknya. Saya minta bantuan sebab saya bimbang pondok ni bila-bila masa boleh roboh,” katanya.

Mohd Razali yang merupakan generasi kedua Felda Kota Gelanggi 2 berkata, kesempitan hidupnya bermula selepas berkahwin pada 1995.

“Selepas lama saya tumpang rumah ibu bapa, saya terus pindah dan tinggal di merata-rata tempat di kawasan Felda ni dan buat macam-macam kerja kampung sebab nak sara keluarga.

“Pendapatan saya dapat dalam RM500 sebulan, jumlah tu hanya cukup untuk makan kami sekeluarga.  Jadi, kalau nak beli rumah sendiri tu memang tak mampulah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, kelmarin.

Menurutnya, bagaikan jatuh ditimpa tangga, isterinya, Faridah Mohd Saad, 47, pula menghidap angin ahmar sejak tiga bulan lalu.

Mohd Razali berkata, kini isterinya dijaga anak sulung yang berusia 19 tahun sementara dia pergi bekerja di sebuah kawasan tapak pertanian berdekatan Felda Lepar Utara dan masuk ke hutan pada hujung minggu untuk mencari rotan dan sumber hutan lain.

Katanya, hasil upah pekerjaannya itu digunakan untuk membiayai persekolahan anak bongsunya yang masih belajar di tingkatan satu selain belanja keperluan makanan dan rawatan isteri.

Berkenaan persiapan mereka sempena Ramadan dan Aidilfitri, katanya, dia dan keluarga cuma berbuka puasa dengan nasi, sambal dan ulam-ulaman malah jauh sekali dapat menikmati juadah yang istimewa seperti insan lain.

“Hari raya tahun ini sama saja macam tahun sebelumnya, memang saya tak fikir nak beli baju baru, kuih raya...sebab memang kami kesempitan wang,” katanya.

Mohd Razali berharap kerajaan dapat memberi bantuan rumah baharu menerusi PPRT atau diberi peluang untuk mendapatkan rumah menerusi Projek Perumahan Generasi Kedua Felda.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga terbabit bolehlah menghubungi Mohd Razali Kamarudin menerusi talian 011-17908676 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional, Faridah Mohd Saad, bernombor 0610529000206333. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top