pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kakak Hilang Motor Gembira Dapat Bantuan Biker
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Nasib seorang wanita yang kehilangan motosikal di hadapan sebuah pasar raya di Balok di sini, mendapat perhatian masyarakat se...

KUANTAN: Nasib seorang wanita yang kehilangan motosikal di hadapan sebuah pasar raya di Balok di sini, mendapat perhatian masyarakat selepas kisahnya diviralkan dalam laman sosial Facebook, kelmarin.

Peniaga, Mardiana Abas, 38, tidak menyangka selepas kejadian motosikalnya hilang disyaki dicuri, ada individu tampil membantu meringankan bebannya.

Katanya, agak mengejutkan apabila ada insan prihatin sudi membantu menggantikan motosikalnya yang hilang termasuk seorang individu dari Melaka yang berjanji untuk membelikan sebuah motosikal baharu.

“Saya bersyukur kepada ALLAH ada insan yang sudi hulur bantuan selepas kisah sedih saya dimasukkan dalam Facebook kelmarin.


“Ada individu dari Melaka berjanji akan beri saya motosikal selepas mengetahui itulah satu-satunya kenderaan yang saya ada untuk berniaga dan uruskan anak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Balok di sini, semalam.

Mardiana amat  bersyukur apabila ada insan yang sudi menghulur bantuan di saat dia sedang memerlukan.

Malah, dia menganggap kejadian yang berlaku kelmarin merupakan dugaannya dan menguji kesabarannya.

“Saya masih sedih dan trauma dengan kejadian menimpa kerana kecurian itu berlaku begitu pantas, tapi saya perlu terima ketentuan ini.


“Saya tak sangka pelbagai pihak tampil membantu sejak semalam termasuk seorang individu yang menggantikan semua barang keperluan dan kasut sekolah anak yang dilarikan bersama motosikal,” katanya.

Mardiana berkata, buat masa sekarang jirannya meminjamkan motosikal  kepadanya bagi memudahkan dia menjalankan urusan harian.

“Saya boleh gunakan motosikal ini sehingga saya ada motosikal baharu dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu yang sudi membantu saya,” katanya.

Mengenai kejadian yang menimpanya, Mardiana berkata, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Berserah dengan pertolongan penduduk di sekitar kawasan itu.

Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi kelmarin ketika  dia dan rakannya, Saliza Ahmad, 39, masuk semula ke pasar raya berhampiran untuk mendapatkan barang yang dibeli.

Ibu lima anak itu mengakui agak cuai kerana meninggalkan kunci motosikal menyebabkan kenderaannya dilarikan seorang lelaki. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top