pahangdaily pahangdaily Author
Title: Kenali Siapa Pemilik Nama Jalan Wong Ah Jang ?
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
Sekitar tahun 1920-an, salah seorang taukeh Cina yang amat Dato Wong Ah Jang terkenal di Kuantan adalah Dato’ Kurnia Setia Bakti Wong A...

Sekitar tahun 1920-an, salah seorang taukeh Cina yang amat Dato Wong Ah Jang terkenal di Kuantan adalah Dato’ Kurnia Setia Bakti Wong Ah Jang. Beliau yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan, memiliki aset yang banyak pada zaman itu. Antaranya, beliau memiliki bangunan tiga tingkat pada tahun 1925 yang mengadap Sungai Kuantan. Kediaman beliau tersebut merupakan satu-satunya kediaman yang memiliki sistem kumbahan dan air yang moden. Selain itu, beliau juga memiliki bangunan besar mengadap jalan Telok Sisek yang masih baik keadaannya hingga sekarang serta ladang getah yang kini merupakan tapak SK Sultan Abdullah sekarang.

Sejarah


Dato’ Kurnia Setia Bakti Wong Ah Jang, dilahirkan di China dan Loke Yew berhijrah ke negeri Pahang ketika berusia 15 tahun. Menurut kisah yang diceritakan anak sulung beliau, Dato’ Setia Bakti Wong Kwan Tan kepada wartawan Tai Sing Onn; mendiang ayahnya datang ke Kg. Kuantan pada tahun 1890 dalam keadaan miskin. 



Ketika mula-mula tiba di Kuantan, beliau bekerja selama beberapa tahun di lombong besi di Sg. Belat milik tycoon terkenal Malaya ketika itu, Loke Yew (foto) atau Ru You.

Berniaga

Menurut Dato’ Wong Kwan Tan, mendiang ayahnya sangat berjimat cermat dengan gaji yang diperolehi kerana ingin mengumpul modal membuka perniagaan. Akhirnya setelah cukup simpanan, beliau memulakan perniagaan kecil-kecilan menjadi pengedar senjata dan peluru di bandar Kuantan. Kegigihan beliau berusaha menjadikan perniagaannya berkembang maju. Menurut anaknya lagi, beliau menjadi orang pertama di Kuantan yang mendapat lesen sebagai pemborong dan pengedar getah di Kuantan.

Restoran dan kelab malam milik Wong Ah Jang di jalan Telok Sisek pada tahun 1925. Selepas kematian beliau, Nan Keng Hotel mengambil bangunan ini pada tahun 1930. Kini ia merupakan bekas kedai perabot Bukit Jelita (Lila Wadi), bersebelahan bangunan Kastam lama


Ketika inilah kehidupan Dato’ Wong Ah Jang berubah. Ini kerana pada awal tahun 20-an, harga getah telah melonjak naik disebabkan permintaan yang tinggi. Perniagaan ini telah menjadikan beliau antara orang terkaya pada zaman tersebut.


Selain menjadi pemborong dan pengedar getah, beliau juga merupakan orang pertama yang memulakan perniagaan pengangkutan awam bermotor di Kuantan. Pada tahun 1920, jalan Kuantan-Beserah telah mula dibuka. Dengan menggunakan lori Ford (ruang belakang berbangku kayu yang mudahalih), beliau menjalankan perniagaan mengangkut penumpang serta sewa membawa barang-barang dengan tambang 50 sen untuk jarak perjalanan sejauh 6 batu.

Kemasyarakatan

Dalam bidang kemasyarakat, beliau merupakan antara pengasas Kheng Chew Wooi Kuan (Persatuan Kheng Chew) dan bertanggungjawab dalam pembinaan bangunan Hainanese Club di jalan Bukit Ubi (sekarang masih terletak bersebelahan Court Mammoth).


Mendiang juga bersahabat baik dengan KDYMM Almarhum Sultan Abdullah al-Mu’tasim Billah Ibni Almarhum Sultan Ahmad al-Mu’azam Shah (1914 -1917) hingga dikurniakan Dato’ Yang Kehormat Pahang (Dato’ Kurnia) oleh baginda pada tahun 1925. Beliau juga menerima anugerah JP (Justices of the Peace) serta Sijil Kehormat King George V (Malayan Certificate of Honor)*.


Beliau meninggal dunia pada tahun 1929 ketika berusia 55 tahun dan disemadikan di estetnya di Air Putih.

Patriotik

Satu perkara yang unik mengenai Dato’ Wong Ah Jang, beliau memiliki kecintaan yang amat mendalam terhadap negeri Pahang. Buktinya, beliau telah menamakan anak-anak lelakinya dengan:

Wong Kwan Tan (Kuantan),
Wong Boo Lat (Sungai Belat),
Wong Gambang,
Wong Lembing,
Wong Pekan,
Wong Lipis,
Wong Bentong,
Wong Jelai,
Wong Raub

Selain itu beliau turut menamakan anak-anak perempuannya dengan (kecuali anak perempuan sulungnya sahaja yang bernama Ruth):

Wong Pahang,
Wong Beserah dan
Wong Pontian

Budaya cintakan tanah air ini tidak terhenti setakat itu. Apa yang menarik, tidak seorangpun dikalangan ahli keluarga Wong Ah Jang yang menetap di luar negeri Pahang:

Wong Ruth menetap di Sungai Lembing,
Wong Kwan Tan dan Wong Pekan menetap di Kuantan,
Wong Pahang dan Wong Lipis menetap di Mentakab,
Wong Pontian dan Wong Gambang menetap di Pekan,
Wong Pekan dan Wong Beserah menetap di Bentong,
Wong Belat di Kuala Lipis dan
Wong Bentong di Raub.

Ketika berita tersebut disiarkan (Februari 1959), 3 orang anak lelakinya iaitu Wong Lembing, Wong Jelai dan Wong Raub telah meninggal dunia.

Dato’ Wong Ah Jang (duduk, 8 dari kanan) meraikan Pegawai Daerah Kuantan, J.I Miller dan isterinya yang ingin berangkat balik ke England. Kelihatan juga Wong Lipis (duduk, 2 dari kanan) dan anak ke-8, Wong Pekan (duduk, 2 dari kiri)



*The Certificate of Honour dizahirkan pada tahun 1927, merupakan Certificate of Honor Medal pengiktirafan kepada rakyat di Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang banyak berjasa. Penerima anugerah ini akan menggunakan singkatan gelaran CH (bagi rakyat Negeri-Negeri Selat) dan MCH atau Malayan Certificate of Honor bagi rakyat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Anugerah ini agak eksklusif kerana hanya 6 orang sahaja yang layak menerimanya dalam setahun. Penerima anugerah ini akan mendapat sijil yang ditandatangan oleh Pesuruhjaya Tinggi British (atau Gabenor Negeri-Negeri Selat). Anugerah ini telah dimakzulkan pada tahun 1941. #sumber (Artikel asal YH Ustaz Dato Badlishah Bin Alauddin)

Advertisement

Post a Comment

 
Top