pahangdaily pahangdaily Author
Title: Pekebun Kecil, Jangan Hanya Menunggu Insentif !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
PEKAN: Para pekebun kecil di­ingatkan supaya tidak hanya menunggu insentif kerajaan sebaliknya perlu mengambil peluang menerusi pelbaga...

PEKAN: Para pekebun kecil di­ingatkan supaya tidak hanya menunggu insentif kerajaan sebaliknya perlu mengambil peluang menerusi pelbagai program yang disediakan bagi membantu menjana pendapatan golongan itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai program disediakan kementeriannya untuk pekebun kecil antaranya peningkatan pendapatan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk program peningkatan pendapatan dan kita jangka 30,000 pekebun kecil dan penoreh getah diberikan tumpuan menerusi program ini.

“Perkara ini perlu diberikan tumpuan berbanding bantuan one off RM500 yang diberikan kerajaan semalam. Jika hendak tanam cili kita akan berikan benih dan boleh ditanam di kebun getah mereka, ini merupakan contoh untuk pekebun kecil meningkatkan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Dividen RISDA 2016 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sinibaru-baru ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini menetapkan harga lantai RM5.50 bagi sekilogram getah bagi memastikan kebajikan golongan pekebun kecil terbela biarpun harga getah menurun.

“Sebagai contoh, jika harga getah turun RM5.20 sekilogram, para pekebun kecil boleh menuntut 30 sen daripada pejabat RISDA berdekatan.


“Begitu juga dengan kutipan wang Ses Getah. Kita membuat keputusan menangguhkan kutipan 14 sen sekilogram sehingga harga mentah produk komoditi itu stabil pada paras Standard Getah Malaysia (SMR) 20 kembali ke tahap RM5.50.

“Penangguhan ini akan memberi tambahan pendapatan antara RM50 hingga RM100 kepada para pekebun kecil,” katanya.
Beliau berkata, pekebun kecil akan terus dibantu tidak kira dalam keadaan susah atau se­nang kerana kerajaan menghargai usaha golongan itu yang merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan ekonomi masyarakat luar bandar.

Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, beliau berkata, bayaran dividen berkenaan akan mula dibayar hari ini dan diselesaikan secepat mungkin.

“Bagi kadar dividen tahun ini, jumlah penerima tertinggi melibatkan kawasan seluas 3.3 hektar dan akan menerima dividen sebanyak RM6,167,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top