pahangdaily pahangdaily Author
Title: Perniagaan Makin Merudum Akibat Jalan Di Tutup
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN: Golongan peniaga di Lorong Tun Ismail 6, di sini mendesak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membuka semula laluan masuk ke kawa...

KUANTAN: Golongan peniaga di Lorong Tun Ismail 6, di sini mendesak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membuka semula laluan masuk ke kawasan itu  yang ditutup bermula 23 Mei lalu.

Mereka mendakwa perniagaan merosot dan jualan merudum sejak Jalan Tun Ismail ke Lorong Tun Ismail Ismail 7 dijadikan jalan keluar sahaja selepas MPK menjadikan ia cadangan aliran lalu lintas Jalan Tun Ismail 7, 8 dan 10 bagi tempoh sehingga 22 Jun depan.

Wakil peniaga, Abdul Majid Abdul Wahid mendakwa, perniagaan di kawasan terbabit mula terjejas kerana laluan tidak dapat digunakan.

Katanya, sekiranya keadaan itu berterusan mereka berkemungkinan berdepan risiko gulung tikar selepas hasil jualan merosot 40 peratus setiap hari.

“Ini situasi yang kami hadapi sekarang. Kami hargai usaha MPK namun bukan sampai jejas peniaga di kawasan ini yang sudah lama cari makan di sini.

“Saya hilang ramai pelanggan dan kita harap MPK buka semula jalan masuk dari Jalan Tun Ismail ke Lorong Tun Ismail 7,”  katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mereka akan menghantar aduan dan surat rayuan kepada MPK dalam tempoh terdekat dan setakat ini seramai 67 peniaga dan pengusaha di kawasan itu menandatangani surat membantah tindakan MPK itu.

“Kita cadangkan apabila laluan ini kembali dibuka kepada pengguna, MPK letak pembahagi jalan dan papan tanda secukupnya untuk mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan,” katanya.
Pengurus Besar Gio Mall, G Anbalagan pula berkata, sejak laluan berkenaan ditutup, hasil jualan menurun hingga 30 peratus.

Situasi sama turut dirasai pengusaha hotel bajet, Azlizam A Zaman, yang mendakwa kini kekurangan pelanggan.

Pengusaha salon dan kecantikan, Lim Mei Cheng berkata, kesannya sangat ketara sejak laluan terbabit ditutup dan dia meminta MPK mengkaji semula tindakan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhubungan Awam dan Kemasyarakatan Awam MPK, Haslinda Hassan berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan bertulis daripada peniaga-peniaga di kawasan terbabit.

“Mana-mana pihak yang ingin membuat cadangan atauu tidak bersetuju dengan perubahan dibuat boleh mengemukakan kepada pihak kita.

“Kita akan mengkaji semula melalui mesyuarat jawatankuasa teknikal dan lalulintas MPK,” katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top