pahangdaily pahangdaily Author
Title: Pesawat Ringan Terhempas, Juruterbang Cedera !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
IPOH:  Sebuah pesawat ringan jenis Gulfstream America G164B milik Systematic Aviation Services (SAS Air Services) Sdn Bhd yang berpang...

IPOH: Sebuah pesawat ringan jenis Gulfstream America G164B milik Systematic Aviation Services (SAS Air Services) Sdn Bhd yang berpangkalan di Subang, Selangor terhempas di kawasan kebun sayur di Tringkap, Cameron Highlands pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Zainalabidin Othman berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, juruterbang warga Australia Peter Hardy, 56, mengalami kecederaan ringan.
"Juruterbang warganegara Australia mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan kiri serta badannya.
"Hasil siasatan awal mendapati Syarikat Boh Plantation di ladang teh Sungai Palas, Brinchang telah menggunakan khidmat SAS Air Services untuk menabur baja," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata untuk rawatan.
Polis percaya pesawat itu hilang kawalan di ketinggian 5,040 kaki dari paras laut disebabkan masalah enjin, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan, katanya.
Zainalabidin berkata, menurut kenyataan saksi kejadian, Cheong Yip Hin yang merupakan ketua anggota RELA Tringkap, dia melihat pesawat tersebut berlegar-legar di ruang udara sebelum terhempas di lereng bukit kawasan kebun berkenaan.
"Saksi mendakwa ketika berada di luar rumahnya, dia lihat enjin pesawat itu mati dan berpusing sebanyak dua kali sebelum terhempas. 
"Beliau segera ke tempat kejadian yang mengambil masa lima minit dari rumahnya dan menemui mangsa (juruterbang) dalam keadaan selamat," katanya.
Katanya, syarikat Boh menggunakan khidmat pesawat berkenaan sebagai rutin untuk menabur baja di kawasan ladang itu sebanyak lima kali dalam setahun.
"Semasa kejadian tiada lagi baja dalam pesawat berkenaan kerana sudah ditabur ke ladang itu," kata Zainalabidin. 
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhammad Haziq Hazmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.35 tengah hari dan tiba kira-kira 15 minit kemudian ke tempat kejadian.
Sebanyak enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Brinchang bergegas ke tempat kejadian, katanya.
"Kami menemui pesawat ringan itu terhempas berhampiran tokong cina di Tringkap," katanya. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top