Ribut Di Temerloh, 120 Rumah Dan 8 Kedai Rosak


TEMERLOH: Dianggarkan 120 rumah dan kedai di lapan kampung di daerah ini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dalam kejadian yang berlaku di sini petang semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Majlis Keselamatan Daerah Temerloh Mohd Amin Shafie berkata kejadian berlaku kira-kira 6.20 petang semasa hujan lebat diikuti kejadian ribut menyebabkan hampir separuh daripada rumah yang terlibat mengalami kerosakan teruk.

"Kejadian melibatkan Kampung Desa Murni Kerdau, Desa Murni Ketam, Desa Murni Sanggang, Kampung Paya Mengkuang, Paya Keladan dan beberapa kampung sekitar, menyebabkan kebanyakan rumah mengalami kerosakan selepas atap dan dinding diterbangkan angin.

"Ketika kejadian, kebanyakan penduduk sedang menunggu waktu berbuka puasa, bagaimanapun setakat ini tiada sebarang kecederaan dan kemalangan dilaporkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Berikutan itu, katanya pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (Jpam), serta Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lanchang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin turun padang melakukan operasi pembersihan hari ini.

Menurut Mohd Amin bancian jumlah penduduk yang terlibat sedang dilakukan dan jumlah kerugian masih dalam taksiran.

"Penduduk yang mengalami kerosakan rumah yang teruk, kini menumpang sementara di rumah saudara dan jiran terdekat. Bantuan sementara juga telah disalurkan untuk meringankan beban mangsa yang terlibat," katanya.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga dijadual akan mencemar duli esok untuk melawat dan memberikan bantuan kepada penduduk yang terlibat. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]