pahangdaily pahangdaily Author
Title: Selongkar Tong, Kerana Kerana Anak Kelaparan !
Author: pahangdaily
Rating 5 of 5 Des:
KUANTAN:  Hiba mendengar tangisan anak-anak yang kelaparan, sepasang suami isteri terpaksa menyelongkar tong sampah bagi mencari makana...

KUANTAN: Hiba mendengar tangisan anak-anak yang kelaparan, sepasang suami isteri terpaksa menyelongkar tong sampah bagi mencari makanan yang masih elok untuk dimakan.

Mohamad Yasot, 37, berkata, dia dan isterinya, Hamidah Omar, 35, tidak mampu menyediakan makanan kepada empat anak mereka setiap hari.

“Kami pernah terputus bekalan makanan hingga anak-anak tidak makan selama tiga hari dan hanya minum air untuk hilangkan lapar.

“Jika saya, isteri dan ibu keluar pungut barang terbuang seperti tin dan kotak kosong di tong sampah besar berdekatan, pada masa sama kami cuba cari sisa makanan dalam plastik yang masih elok seperti gula, tepung dan biskut untuk dikumpulkan.

“Jika banyak kami dapat kumpulkan, adalah barang dapur yang boleh dibawa balik dan dimasak untuk hidangan pada hari itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Ladang, Beserah, di sini semalam.

Difahamkan, pasangan itu mempunyai lapan anak, namun mereka hanya mampu menjaga empat anak berusia dua hingga tujuh tahun yang tidak bersekolah.

Tiga daripada anak mereka dihantar ke sekolah pondok di Sungai Isap dan Sungai Soi di sini, manakala seorang lagi dijaga saudara mereka di Kelantan.

Mohamad berkata, anak-anaknya tidak bersekolah kerana dia tidak mampu, selain jarak sekolah dan rumah yang jauh.

“Memang saya berhajat sangat nak hantar anak-anak ke sekolah tapi tak mampu kerana perbelanjaan sekolah besar terutama tambang bas,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga terpaksa mengharungi kehidupan daif itu dengan tabah memandangkan dia tidak mampu melakukan pekerjaan lain susulan penyakit dihidapinya.


“Saya tak boleh buat kerja berat sebab hidap penyakit buasir kronik. Pernah juga saya ambil upah angkat barang, tapi terpaksa berhenti kerana penyakit bertambah teruk.

“Isteri juga tak dapat keluar bekerja sebab terpaksa jaga anak-anak. Jadi, kami cari saja barang terbuang untuk dijual tampung kehidupan.

“Setiap kali keluar mencari barang terbuang, dapatlah RM15 hingga RM20, cukup untuk beli makanan pada hari itu. Tapi malangnya, bukan setiap hari dapat keluar, kadang-kadang seminggu sekali,” katanya.

Pakai pakaian terbuang

Mohamad berkata, selain menjual barang terbuang, dia juga mencari pakaian terbuang untuk dipakai anak-anaknya.

Manakala sepanjang Ramadan ini, mereka sekeluarga bersahur dan berbuka puasa secara ala kadar.

“Mujur, anak-anak faham keadaan hidup kami, walaupun terpaksa sahur dengan cekodok dan biskut. Kalau berbuka pula, jika ada wang lebih seringgit dua, saya ke kedai beli telur, dapatlah kami makan nasi goreng telur.

“Selalu juga anak-anak merengek kelaparan, tapi disebabkan langsung tiada makanan saya tidak mampu berbuat apa-apa. Cuma kalau terlalu terdesak, isteri terpaksa juga minta dengan jiran jika mereka ada lebihan makanan untuk kami,” katanya.

Dia tidak sanggup melihat anak-anak kelaparan, walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, namun wang itu tidak cukup untuk menampung keluarganya yang ramai.

“Bukan kami nak wang ringgit semata-mata, tapi berikan kami peralatan seperti mesin rumput atau sebagainya supaya kami boleh bekerja dan dapat upah untuk sara kehidupan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 06119-41-00000798-7 atas nama Hamidah Omar. #sumber

Advertisement

Post a Comment

 
Top